:: dari Madinah:PAMERAN SIRAH RASULULLAH SAW ::

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..kepadaMu kami sembah dan kepadaMu jua kami meminta pertolongan..

Sudah lama rasanya tak mencoret di teratak ini.Kesibukan taklah setara mana,tapi mungkin kerana penguat semangat saya(suami) tidak ada di sisi pada minggu lepas kerana mengerjakan haji di Baitullah,maka semangat untuk menulis sedikit berkurang.(boleh ke alasan camni?^_~)

Alhamdulillah,masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menulis..Diizinkan juga olehNya untuk menggerakkan jemari ini,menyusun kata di blog ini,mudah-mudahan ada manfaatnya buat sahabat-sahabat yang datang berziarah,inshaAllah.Sungguh,nikmat kesihatan adalah salah satu dari kurniaanNya Yang Maha Agung,bayangkan jika sepanjang masa kita di dalam kesakitan,bagaimana kita dapat mengerjakan ibadah,bekerja,berfikir,bergerak dan lain-lain.Justeru,manfaatkanlah nikmat kesihatan ini untuk sentiasa beramal,berazam untuk melaksanakan kebaikan dan menjauhi larangan.Andai kita mati dalam mengerjakan amal yang baik,sesungguhnya besar ganjaran di sisi Allah dan amat besar keuntungan yang bakal kita perolehi di syurga kelak.

opps,dah jauh pula topik yang saya bawa..;)sebenarnya kali ni,saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian pengalaman semasa saya dan suami menghadiri Pameran Sirah Rasulullah SAW yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi pada 11 November yang lalu.

Alhamdulillah,dalam kesibukan bandar Madinah yang dilimpahi dengan ribuan manusia yang datang dari segenap ceruk rantau dunia untuk menziarahi Madinah,kami dapat mengambil peluang untuk sama-sama memeriahkan pameran ini yang sememangnya dapat menambahkan informasi dan pengetahuan tentang sirah Rasulullah.

Khemah besar didirikan untuk jualan kurma,pakaian,beg kargo dan pelbagai barangan lain,sementara satu bahagian lagi disediakan untuk Pameran khas sirah Rasulullah.Terdapat beberapa orang penterjemah yang bertanggungjawab menerangkan tentang Sirah Rasulullah,dan kami ditemani oleh penterjemah dari negara Indonesia yang menerangkan dari awal tentang pengenalan keturunan Rasulullah SAW hinggalah kepada kewafatan Rasulullah SAW..Alhamdulillah,pengalaman yang menarik kerana di tempat yang sama,pengunjung juga disediakan dengan video/tayangan tentang Sirah Nabi,antaranya kronologi hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bersama Abu Bakar As-Siddiq,kisah yang berlaku sepanjang perjalanan Baginda dan Abu Bakar ke Madinah,sejarah pembinaan Masjid Nabawi juga Perang-perang yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.



Gambar di atas adalah ruangan tayangan video tentang Masjid Nabawi,masjid yang dibina atas dasar Taqwa.Tanah tapak masjid ini berasal daripada tempat mengering tamar kepunyaan dua orang anak yatim (Suhail dan Sahl).Rasulullah SAW kemudian membeli tanah tersebut.Banyak lagi kisah yang tersirat di sebalik sejarah pembinaan Masjid Nabawi ini,jika ada kelapangan inshaAllah saya akan ceritakan kemudian..^_^





Gambar di atas pula menceritakan tentang pergerakan tentera Islam dan tentera musuh di dua lokasi peperangan iaitu Peperangan Uhud dan Peperangan Khandak/Ahzab.Diterangkan kepada kami bagaimana terjadinya peperangan tersebut,tindakan umat Islam dan serangan balas dari kaum kafir..Alhamdulillah,sejarah yang selama ini diketahui secara teori dari buku-buku kini lebih jelas dan diperhalusi serta dapat difahami dengan lebih mendalam.




Saya tak sabar-sabar lagi untuk tiba di ruang pameran di atas.Gambar di atas menunjukkan perkakas-perkakas yang terdapat di rumah Rasulullah SAW..Objek di tepi sekali adalah bantal Rasulullah,alas tidur Baginda pada waktu malam.MashaAllah,lihatlah kezuhudan Nabi kita yang tidak tidur beralaskan bantal dan tilam yang mahal dan empuk,kehidupan Rasulullah tidak bermewah-mewah dan berlebih-lebihan.Malam Baginda lebih terisi dengan Qiyamullail,penghidup jiwa dan penenang bagi hati yang sentiasa merindui Tuhannya..

Lawatan kami diakhiri dengan pemberian hadiah buku-buku oleh pihak yang menguruskan pameran tersebut.Alhamdulillah,walaupun lawatan kami tak memakan masa yang terlalu lama,namun mendatangkan faedah yang banyak.Rasa semakin jatuh cinta pada Baginda Rasulullah SAW..Pameran ni masih lagi berjalan,inshaAllah andai punya kesempatan saya akan memasukkan lagi gambar-gambar di sekitar pameran tersebut.

Siiru 'ala Barakatillah :)

AIR MATA IBU DI MASJID NABI

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..

Lama tidak menulis membuatkan saya teruja untuk berkongsi pengalaman sepanjang berada di Madinah ini.Hari-hari yang berlalu merakam cerita baru yang bermakna.
Masakan tidak,hari-hari melangkahkan kaki di bumi yang pernah berpijaknya tapak kaki junjungan mulia Rasulullah SAW dan para sahabat,membuatkan diri yang kerdil ini cepat bermuhasabah.Hadirku ke sini bukan untuk berbangga-bangga,malah suatu pinjaman nikmat dari Allah yang wajib disyukuri.Iman perlu sentiasa ditingkatkan,akhlak perlu sentiasa dibaiki semata-mata untuk memperoleh redhaNya..

Rumah saya Alhamdulillah masih berada di kawasan Tanah Haram,terletak di belakang Bukit Uhud.Bermakna,2,3 minit perjalanan keluar dari rumah,sudah dapat melihat Bukit Uhud yang tersergam indah.Bukit yang menjadi kecintaan Nabi sebagaimana sabda Baginda (yang bermaksud):

"Inilah Uhud,bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya.."

Benar..melihat bukit ini menimbulkan kekaguman yang luar biasa,di sini menyaksikan peristiwa bermakna bagi umat Islam,kisah yang pasti tidak akan dilupakan oleh umat Rasulullah SAW hingga hari akhirat.Ia gah berdiri,seolah-olah menjadi benteng kepada Madinah,menimbulkan ketenangan setiap kali melihatnya..Subhanallah,indahnya ciptaan Allah..
~AIR MATA IBU DI MASJID NABI~


Setiap kali anda melangkahkan kaki ke Masjid Nabawi,pastinya anda akan dapat mengutip pengajaran-pengajaran baru yang dapat dijadikan panduan hidup.Itulah juga yang saya rasai..Biarpun hanya melihat dan memerhati kehidupan dan ragam manusia,pasti ada ibrah dan pengajaran yang tersirat di sebalik itu.Saya tidak akan jemu untuk menceritakan perihal Masjid Nabi,kerana Masjid ini mengukir sejarah yang tidak kan ada surutnya.Di sini terakam kisah kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat dari saat penghijrahan Baginda dari Makkah menuju ke Madinah sehinggalah saat kewafatan Baginda yang mulia..

Suatu malam,ketika saya sedang merehatkan diri di tiang masjid,sementara menunggu panggilan telefon dari suami untuk mengajak saya pulang,saya terdengar keriuhan dari arah pintu.Terlihat seorang ibu berlari ke sana ke mari sambil memegang dua orang anak kecil.Seorang anak erat memegang tangan si ibu,manakala seorang lagi berada di atas dokongan.Ibu itu melaung,memanggil nama seseorang.Apabila kelibatnya semakin hampir dengan saya,fahamlah saya bahawa ibu ini sedang mencari seorang lagi anaknya yang tidak dapat dikesan..Saya sendiri berasa cuak,bagaimana nak mencari anak kecil dalam keadaan orang ramai begini?Ibu ini terus melaung-laung nama anaknya,dengan harapan anaknya mendengar dan berlari mendapatkannya.Dia berlari ke hulu ke hilir melihat di setiap ceruk ruang Masjid..Kelihatan di wajahnya sungguh bimbang.

Tidak lama kemudian,datang pengawas masjid (wanita) dengan memegang seorang anak kecil.Dia bertanya sama ada kami ada melihat ada tak ibu yang mencari anaknya?kami pun terus menunjuk dan memanggil ibu tersebut.Alhamdulillah,anak tersebut telah dijumpai.Saya pula diserbu rasa bimbang,kalau-kalau ibu tersebut memarahi anaknya itu,tetapi sangkaan saya meleset.Anak itu terus disambut,didakap dan dicium dengan sepenuh hati.Malah,lebih menyayat hati,air mata ibu itu turut mengalir,tidak sanggup kehilangan permata hatinya..MashaAllah,sungguh mulia hati seorang ibu..

Alhamdulillah,Allah mendatangkan satu lagi pengajaran pada saya hari itu.Bagi orang lain mungkin biasa,tapi tidak bagi saya.Ianya cukup terkesan di hati saya hingga saat ini.Saya terlalu merindui ibu-ibu saya di tanah air..
Cintai ibu sepenuh hati,kerana hati seorang ibu tidak sesekali mengharap ganjaran atau balasan atas segala kesusahan yang ditempuh untuk membesarkan anaknya.Juga saya berazam untuk menjadi ibu yang kaya dengan kasih-sayang dan mencurahkannya kepada anak-anak,zuriat keturunan saya,inshaAllah..


Terima kasih Ya Allah,sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dan Penyayang..

LALUAN CINTA YANG MAKIN MEKAR..


" Padatnya bang,mashaAllah.."luah saya pada suami bila tibanya kami di Masjid Nabawi.
"Ni baru sikit Ain,lepas ni laagi padat,sampai belakang ni pun tak muat.."suami membalas sambil menghalakan tangan ke arah pintu pagar Masjid Nabi ini.


MashaAllah,cukup mengkagumkan!

Pengalaman pertama berada di Madinah pada musim haji,sangat menakjubkan.Masakan tidak,jika hari-hari biasa saya boleh bersolat dengan senang hati sama ada di ruang muslimat yang membawa anak atau tempat solat muslimat yang disediakan untuk wanita yang tidak membawa anak-anak kecil,kali ini peluang itu amat tipis.setiap kali waktu solat,ruang solat amat penuh,padat,malah tidak ada ruang untuk berada di pintu masuk sekalipun!


Di sini sedang berlangsungnya Pesta Ibadah yang luar biasa!

Berduyun-duyun hamba Allah menghadirkan diri bersolat dan bermunajat di Masjid Nabi,ingin sekali menziarahi Rasulullah SAW,jasad yang mulia,yang dicintai seluruh makhluk langit dan bumi..


Suatu ketika,selepas Isyak saya cuba-cuba menunggu untuk melihat bagaimana padatnya manusia menuju ke Raudhah.ketika itu jemaah haji dari Malaysia masih tidak ramai,yang meramaikan masjid ini majoritinya jemaah dari Turki,Indonesia,Thailand dan Afrika Selatan.(berdasarkan kepada pakaian@trademark negara masing-masing.)

Apabila dibuka sahaja pintu besar di ruang muslimat,seperti yang dijangka bertolak-tolakan,berpusu-pusu para muslimat bergerak ke Raudhah,bimbang tidak punya tempat dan peluang untuk bersolat di situ barangkali.Aduh,gerun pula melihatnya.Saya bayangkan,kalau saya juga menyertai mereka pada waktu itu,kemungkinan besar saya terjatuh dan dipijak-pijak,jadi niat untuk terus ke Raudhah terpaksa dihentikan setakat itu.


Pernah suatu hari,usai mengerjakan solat Maghrib,saya terlalu dahaga dan ingin sekali meneguk secawan dua air zam-zam.Azam diteguhkan untuk masuk ke dalam masjid kerana sebelum itu tidak berpeluang bersolat di dalam,terpaksa bersolat di luar pagar disebabkan kawasan solat yang sudahpun penuh.Alhamdulillah,akhirnya berjaya masuk ke dalam dan terus menuju ke tong-tong air zam2.ohh,banyak tong yang sudahpun kehabisan air.Tiba-tiba terdengar riuh-rendah berhampiran dengan tempat saya minum.Rupa-rupanya ada jemaah yang menggunakan air tersebut untuk membasuh muka..Ala makcik,patutlaa air habis..:)tersenyum melihat gelagat manusia yang pelbagai.mungkin makcik tu tak berdaya nak keluar menuju ke tandas,kalau keluar alamat tiadalah ruang untuknya solat di situ,semua tempat telah selamat dicop..keadaan yang terlalu sesak hampir membuatkan saya hampir pitam.Sudahnya,berlapang dadalah dengan situasi ini..


Terasa bangga melihat ramainya umat Islam di muka bumi ini.Usaha dakwahmu tidak sia-sia duhai Rasulullah.Kini umatmu mempir menziarahimu,tidak sesekali melupakan betapa sukar dan peritnya dirimu menyebarkan Risalah Islam..


Sedikit masa lagi,lautan manusia akan membanjiri Makkah,bumi barakah untuk menyahut panggilan Haji..semoga Amal Ibadah kita diterima oleh Allah,amin.