SELAGI TERDAYA..




"Subhanallah, segala puji hanya untuk Allah. Sesungguhnya semakin banyak kita sujud, semakin kerdil rasanya diri ini. Hidup di dunia hanya seketika, Nikmat ditarik bila-bila masa. Kesyahduan qiam amat menyentuh kalbu. Bangunlah qiam sekiranya kita kepenatan menjalani kehidupan...

Hati kita sebenarnya umpama kayu yang perlu di syelek dengan lemah lembut... Kesyahduan di sepertiga malam akan menjadikan hati lembut. Hati yang lembut akan menambahkan kerendahan hati. Kerendahan hati menjadikan kita orang yang mudah menabur bakti tanpa mengharapkan balasan selain dari Ilahi... "



Berkali-kali titipan kata-kata ini saya baca dan hayati.Kalam hikmah ini lahir dari hati nurani yang ikhlas,yang sangat mencintai Allah dan Rasulnya.Buktinya,hati saya seorang hamba Allah yang kerdil ini terasa benar-benar tersedar untuk berubah.Ya,berubah untuk menjadi hamba Allah yang taat,melaksanakan sebanyak-banyaknya ketaatan semata-mata mengharapkan rahmat Allah.



Kata-kata ini adalah pesanan dari salah seorang muallimah saya semasa di Sekolah menengah dahulu,Cikgu Lily Sarinawati.Guru yang sangat saya kagumi dan hormati.Yang tidak jemu mendidik kami dengan kata-kata yang lembut dan berhikmah.Hinggalah saat ini saya terasa dekat dengan beliau,walau kami jauh beribu batu..



Maha Penyayangnya ALLAH,pada saat hati kita terdetik untuk bertaubat dan dekat dengan Allah,Allah menghantar manusia-manusia soleh di sekeliling kita untuk memberikan kesedaran dan keinsafan.Mereka ini sebagai wasilah dari Allah untuk memberikan kekuatan.Sungguh Allah sangat dekat dengan hambaNya,Yang Maha Mendengar doa hambaNya saban waktu..




Selagi terdaya..gerakkanlah anggota kita untuk beribadah kepada Allah..




Selagi terdaya..sumbangkanlah bakti dan pertolongan kepada orang di sekeliling kita.Mungkin bagi kita pertolongan yang diberi hanya sekecil cuma,tetapi bagi insan yang menerima,ia adalah anugerah yang tidak ternilai harganya.




Selagi terdaya,sayangilah dan kasihilah orang di sekeliling kita tanpa mengharap puji dan balasan..Nantikanlah balasan terbaik dari Allah..Syurga Firdaus yang paling tinggi buat hamba yang tidak pernah lelah melakukan 'Ubudiyah dan amalan-amalan Mahmudah..

WAHAI KEKASIHKU,WAHAI NABI MUHAMMAD SAW




Tersentuh..
Benar-benar tersentuh..

Wahai Rasulullah,kekasih hati kami..

Hati hamba-hamba yang beriman,setiap saat dan waktu akan merindui Baginda Rasulullah SAW.Rindu yang penuh sarat.

Hati hamba yang amat cintakan Baginda Rasulullah SAW,setiap apa yang dia lakukan akan difokuskan kepada TAQWA.Sentiasa terdetik di hati,adakah amalan yang dia lakukan ini ALLAH dan RASUL cintai?

Hati insan yang benar-benar cintakan Allah dan Rasulullah..setiap kali bangun pada pagi hari,mindanya akan terus terfikir apakah yang akan dia lakukan pada hari ini untuk kemaslahatan ummah?Sebaliknya insan yang biasa-biasa hanya memikirkan perkara-perkara yang hanya menguntungkan diri sendiri..

Hati yang sarat dengan TAQWA,sentiasa sempit dada apabila mendengar lafaz ALLAH dan RASULULLAH SAW.Terlalu rindu dan cinta untuk berada di Syurga Firdaus,berada bersama-sama Rasulullah SAW di akhirat kelak.

Lantas jiwanya kental,mujahadahnya diteguhkan untuk menjalankan Amar Makruf Nahi Munkar.Bukan mudah melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh golongan yang sedikit.Golongan itu saban waktu menyampaikan dakwah Islam,mengajak manusia menjalankan amalan-amalan kebaikan dan menghalang kerja-kerja yang menjurus kepada kemungkaran dan mengundang murka Allah.Itulah perjuangan,sunnatullah yang perlu dilalui oleh pejuang-pejuang agama Allah.

Pada saat air mata gugur kerana menerima tekanan,cacian dan kejian daripada manusia kerana menegakkan agama Allah,jiwanya segar dan tenang apabila mengingati Baginda Rasulullah SAW,yang jauh dan jauh hebat ujian dan cabarannya untuk mendaulatkan Dinul Islam..

Ya Allah,persaksikanlah..Kami terlalu merindui Baginda Rasulullah SAW..Kami mengharapkan syafaat Baginda..Ampunilah dosa kami Ya Allah..

TETAMU RAUDHAH

Pagi-pagi lagi saya mengingatkan suami saya tentang hajat saya yang menggunung untuk ke Raudhah pada hari ini.Sungguh kerinduan yang teramat untuk menjejak Raudhah.Apatah lagi bila mengenangkan sedikit masa lagi Raudhah akan dipenuhi oleh tetamu yang datang dari segenap ceruk rantau untuk menunaikan fardhu Haji.

"Ok,pukul 8 siap tau.Kelas abang mula pukul 8.30" Abang mengingatkan saya.

Alhamdulillah.seronok tak terkata dan tidak sabar rasanya untuk menjejakkan kaki ke Raudhah.Sebelum ini banyak halangan yang tidak mengizinkan saya untuk ke sana.Sepanjang tahun Masjid Nabawi sentiasa penuh kecuali pada bulan Syawal dan selepas bulan Zulhijjah,sebelum visa umrah dibuka.Pada waktu itu sahaja Masjid Nabawi benar-benar lengang,hanya warga Saudi sahaja yang memenuhi kawasan masjid.

Tepat jam 8 pagi,kami sekeluarga bergerak ke Masjid Nabawi.Alhamdulillah perjalanan tidak memakan masa yang lama,lebih-lebih lagi rumah kami tidaklah jauh mana dengan Masjid Nabawi.Abang menurunkan saya dan Muadz di perkarangan masjid,berhampiran dengan Perkuburan Baqi' dan meneruskan perjalanannya ke universiti.

Seperti dijangka,masjid ketika itu agak lengang.Mungkin pada waktu pagi golongan wanita berada di rumah menjalankan kewajipan sebagai isteri dan ibu.Di sini kaum wanita tidak bekerja dan tidak boleh memandu kereta.Maka tanggungjawab di rumah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Saya menanggalkan sandal,terus menuju ke dalam masjid dan seperti biasa perlu melalui pemeriksaan beg di pintu masjid.Hati berbunga girang.Hari ini terasa istimewa kerana inilah kali pertama saya ke Raudhah bersama Muadz pada waktu pagi."Ya Rasulullah,aku datang bersama anakku.Semoga anakku ini dapat meneruskan perjuangan sucimu menegakkan kalimah Allah di muka bumi." Bisik saya di dalam hati.

Sampai di Raudhah,saya terus mencari ruang kosong.Syukur,masih ada ruang kosong di tengah,tetapi saya masih menunggu.Mengharapkan ada tempat yang lebih baik di sebelah tepi,berhampiran dengan Makam Rasulullah.Saya bimbang untuk meletakkan Muadz di laluan orang,bimbang anak kecil ini dipijak.Kebiasaannya dalam kawasan yang kecil,orang yang lalu-lalang tidak memandang ke bawah,jadi bimbang mereka tidak perasan akan Muadz yang sedang berbaring di karpet.

Beberapa minit berlalu,masih lagi tiada ruang di sebelah tepi yang kosong.

"Ukhti,kamu nak solat?Mari saya jagakan anak kamu." Seorang wanita Arab menghulurkan bantuan.

"Ya,saya nak solat.Kamu tolong tengokkan anak saya ya."

Di dalam hati memanjat syukur,ada insan mulia yang sudi membantu.Dia benar-benar menjaga Muadz dengan baik.Setiap kali ada orang lalu dan hendak melangkah,cepat-cepat dia mendepakan tangan,supaya tidak ada kaki yang memijak Muadz.Syukur Alhamdulillah,saya dapat bersolat dengan tenang.Muadz pula?Seperti biasa dia seronok bila berjumpa ramai orang.Riuh suaranya menegur ummi solat.Mungkin apabila melihat mulut saya terkumat-kamit semasa solat,dia ingatkan saya bercakap dengannya.Sangat menghiburkan hati:)



"Jazakumullahu khairan kathira" ucap saya kepadanya usai saya mengerjakan solat.
" Wa Iyyak.." Balas beliau dengan senyuman.


Seketika kemudian Muadz menangis tanda mengantuknya sudah di tahap yang tidak dapat ditahan-tahan.Saya terus ke karpet merah di belakang Raudhah,menyusukan Muadz sehinggalah anak ini tertidur.Hajat di hati ingin lagi menyambung solat,maka niat ini diteruskan juga sambil menggendong Muadz menuju ke Raudhah semula.Saya letakkan Muadz di atas karpet.Sebelum tu sempat juga menjeling-jeling ke arah Pengawas Masjid,bimbang juga mereka tak benarkan saya letakkan Muadz di situ,kerana memakan ruang orang yang ingin solat.Tapi apabila melihat banyak lagi ruang-ruang Raudhah yang masih kosong,saya menarik nafas lega.Tidurlah Muadz dengan lena di atas karpet Raudhah.Hati saya berkata,"Muadz,Muadz sepatutnya syukur sangat-sangat pada Allah.Kecil-kecil lagi Muadz dah boleh pergi Raudhah,siap boleh tidur lagi.":)



Tepat jam 9.30 pagi,suami datang menjemput kami pulang.Syukur Alhamdulillah,terasa kepuasan di hati dapat menjadi tetamu Raudhah hari ini.



Raudhah..



Merakam sejuta bicara antara hamba dengan Rabbnya..








RAMADHAN DI MADINAH

Bismillahirrahmanirrahim..

Segala puji bagiMu Ya Allah.kepadaMu kami sembah dan kepadaMu jua kami meminta pertolongan.Maha Suci Engkau dengan sifat Penyayang,nikmatMu tidak pernah berkurang walaupun kami sering lupa untuk mensyukuri segala ganjaran dariMu..

Ramadhan pada tahun ini adalah yang paling indah dalam hidup saya,Alhamdulillah.Sungguh terlalu banyaknya nikmat Allah buat hambaNya.Bertahun-tahun saya berdoa moga Allah kurniakan kesempatan untuk merasai berpuasa di Madinah,bumi kecintaan Rasulullah SAW.Alhamdulillah,dengan izinNya hajat saya dimakbulkan.

Seawal di bulan Syaaban,suami sering mengingatkan saya,tanamkan azam untuk beribadah sebanyak-banyaknya pada bulan Ramadhan ini.Tidak cukup dengan itu,promosi Ramadhan di televisyen sangat mengujakan.Stesen Radio juga tidak ketinggalan,"Ramadhan Karim,Ramadhan Karim.."Subhanallah,suasana begini benar-benat membentuk peribadi dan motivasi seorang muslim agar berlumba-lumba dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjunjung tinggi sunnah Rasulullah SAW.

Benar,suasana Ramadhan di Madinah cukup berbeza.Kami suami isteri mempatrikan azam,sebolehnya Ramadhan kali ini adalah yang paling baik yang pernah kami lalui,insyaAllah.Tidak sabar rasanya untuk menempuh bulan Ramadhan di Madinah.Ramadhan kali ini istimewa kerana saya menyambutnya dengan anakanda kesayangan saya,Muhammad Muadz.Saya juga berusaha mendapatkan maklumat untuk Penyusuan anak pada bulan Ramadhan agar projek penyusuan untuk anakanda tersayang berjalan lancar.









suasana berbuka puasa di Masjid Nabawi




Ramadhan tiba..Dengan suhu panas di Madinah ketika itu yang mencecah 40 hingga 50 darjah celcius,ianya satu cabaran buat kami untuk menempuh puasa di sini.Subhanallah,terkenang Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat berperang dalam peperangan Badar pada bulan Ramadhan.Saya kini berada di tempat yang sama,merasai kepanasan yang sama.Tetapi Baginda dan para sahabat teguh membawa panji Islam,mencapai kemenangan biarpun dalam kepayahan dan kesusahan.Ya Rasulullah..sungguh aku rindu akan dirimu..

Pada malam terawih yang pertama,manusia berbondong-bondong mengerjakan solat Isyak dan terawih di Masjid Nabawi.Saya menguatkan semangat menolak stroller Muadz,mencari ruang-ruang kosong untuk kami bersolat.Subhanallah,lautan manusia memenuhi Masjid Nabawi,sangat sesak.Rasa seronok terbit di hati saya menyaksikan pesta Ibadah sedang berlangsung dengan jayanya!

Akhirnya,saya dan Muadz ketemu juga ruang untuk bersolat.Hujung sekali di tepi pagar Masjid Nabawi.Kalau pada hari-hari biasa mana mungkin kami bersolat di tempat itu kerana Masjid Nabawi ini sangat luas,tetapi pada bulan Ramadhan ini fenomenanya berbeza.Segenap ceruk masjid pasti akan diduduki orang.


Kasihan melihat anakanda Muadz..berpeluh-peluh dan merah mukanya mengharungi kepanasan walaupun pada malam hari..Saya menyapu air di kepala Muadz tiap kali habis solat 2 rakaat.Barulah nampak dia segar.Walaupun kepanasan,anak kecil yang berusia 3 bulan setengah ini masih mampu mengukir senyuman dan tidak menangis selama saya bersolat lebih kurang 2 jam.Alhamdulillah,saya bersyukur Allah permudahkan saya untuk mengerjakan ibadah walaupun bersama anak kecil.Saya sentiasa bisikkan pada Muadz,"Muadz,kita sabar ye nak.Allah akan bagi pahala yang banyak bila kita sabar.Muadz kuat semangat.Muadz anak yang soleh,Allah sayang orang yang sabar.Muadz jangan nangis ye.Ummi nak solat,Muadz anak yang baik kan?"Dan seolah memahami kalam umminya,Muadz menguntum senyum dan bermain sendiri sehinggalah saya tamat bersolat witir,Alhamdulillah..

Solat terawih yang berlangsung selama 2 jam itu terasa hanya sekejap berlalu.Imam yang memimpin solat terawih adalah Syeikh Huzaifi,Syeikh Solah Budair,Syeikh Ali Syeikh dan Syeikh Imad.Selesai solat witir kami terus pulang dan kebiasaanya kami akan menempuh kesesakan lalu lintas yang dahsyat di kawasan parking bawah tanah Masjid Nabawi.

Pengalaman berbuka puasa di Masjid Nabawi juga adalah momen-momen indah di dalam hidup saya.kami perlu bertolak dari rumah seawal jam 6 petang supaya sempat berbuka puasa di masjid.Subhanallah,setiap hari Masjid Nabawi sangat sibuk dan sesak.Hari pertama kami hanya sempat berbuka dengan dadih,kurma dan air zam-zam kerana tikar-tikar yang menyediakan makanan berbuka sudah penuh.Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan kembara ibadah terawih dan witir pada malam harinya.Saya minum air zam-zam sebanyak-banyaknya supaya memperoleh tenaga berganda dan susu yang cukup untuk Muadz.Syukur Alhamdulillah,walaupun tidak berbuka dengan makanan yang mewah-mewah,perut rasa kenyang dan paling penting,diri terasa akan keberkatannya.

Setiap hari di sekeliling Masjid Nabawi akan disediakan hamparan-hamparan makanan untuk berbuka puasa.Cukup meriah!Tersedia nasi arab,ayam dan roti Al-Baik dan macam-macam lagi.Penuh di sekeliling masjid.Tak termasuk lagi di dalam masjid.Kata abang,di dalam masjid,makanan yang disediakan adalah tamar,dadih dan roti.Pilihlah yang mana kita suka.Bagi saya,walaupun jemaah umrah yang datang tidak membawa kewangan yang cukup,tapi mereka tidak akan kelaparan selama berada di Madinah.Rezeki ada di mana-mana.Insan-insan di sini juga sangat dermawan dan pemurah,tidak lokek untuk membantu.

Pernah suatu hari,saya dan suami agak kelewatan untuk berbuka di Masjid Nabawi.Sampai sahaja di hadapan tempat parking Masjid Nabawi,Jaga yang menjaga tempat tersebut melarang kami untuk masuk kerana kawasan parking sudahpun penuh.Lagi setengah jam lagi untuk berbuka,suami mencari tempat lain untuk kami berbuka puasa.Sampai di pertengahan jalan,azan berkumandang dan kami mengambil keputusan untuk berbuka di tepi jalan,di hadapan Mat'am(kedai makan) warga Bangladesh.Kelihatan ramai pekerja Bangladesh yang berbuka di mat'am tersebut.suami saya masuk ke kedai makan itu untuk membeli air mineral.Tetapi apabila masuk ke kedai tersebut,pekerja kedai berkata kedai itu tidak menjual minuman ketika itu.Beliau membungkus nasi-nasi,buah tembikai,manisan dan jus percuma untuk kami berbuka.Subhanallah,terasa betapa bersyukurnya kami.

Suatu hari yang lain,kerana kesesakan jalan,kami sekali lagi sampai lewat di Masjid Nabawi.Saya pula bersegera menolak stroller Muadz untuk tiba di kawasan solat wanita dan berbuka puasa di sana.Tetapi sebelum sempat sampai ke tempat yang dituju,azan berkumandang dan ketika itu saya berada di kawasan solat lelaki,yang terhidang hamparan-hamparan juadah yang pelbagai.Seorang lelaki Arab berlari menuju ke arah saya,memberikan saya tamar dan air zam-zam.Tidak lama kemudian,datang pula seorang anak kecil lelaki sekitar umur 3 tahun,menghulurkan saya air mineral dan roti.Alhamdulillah,saya benar-benar terharu.Walaupun kami tidak pernah mengenali,namun atas dasar ukhwah dan saudara seaqidah,mereka menghulurkan apa jua yang mereka ada ketika itu.

Ramadhan yang indah,hari-hari terasa diri ini cukup kerdil apabila berpeluang menjejakkan kaki di bumi kecintaan Rasulullah SAW.Setiap hari dalam rakaat witir yang terakhir kami akan membaca doa Qunut.Allahu Akbar,diri insan mana yang tidak mengalirkan air mata tika mendengar bait-bait indah doa yang dibaca.Air mata berderaian tumpah apabila mengaminkan doa Syeikh Solah Budair.Sungguh doa yang dilafazkannya itu amat menggetarkan hati terutama apabila memohon agar Allah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa,menghancurkan musuh-musuh Islam.Bergema seluruh Masjid Nabawi dengan lafaz 'Amin' dan serentak dengan itu kedengaran tangisan sebak hamba-hamba Allah yang mengaminkan..Allahu Akbar,lebih sebak bila terasa Rasulullah SAW sangat dekat dengan kita dan kita kini sedang menyambung rantai-rantai perjuangan Baginda.

Suatu malam,saya tidak sempat untuk menunaikan witir kerana perlu pulang segera.Saya melalui kawasan solat lelaki dan ketika itu solat witir sedang didirikan dan doa Qunut sedang dibacakan.Mendengar doa,'Amin' yang bergema dan tangisan dari hamba-hamba Allah ketika itu,tiba-tiba lutut saya menjadi lemah.Saya terpaku,tidak mampu untuk berjalan,sebaliknya berhenti dan menadah tangan..mengaminkan doa itu hingga ke ayat yang terakhir..sungguh hati hamba amat mengharapkan keredhaan Tuhannya.Siapalah kita jika nak dibandingkan dengan kurniaan Allah yang Maha Agung?

Kembara Ramadhan kami di Madinah berakhir pada 21 Ramadhan kerana selepas itu kami pulang ke Malaysia untuk berhari-raya bersama keluarga.Semoga Allah mengurniakan lagi kami peluang untuk berpuasa di sini suatu hari nanti.Amin.

:: SUASANA QISAS YANG SAYA SAKSIKAN ::

13 Jun 2011- Suasana pagi itu amat tenang.Madinah sedang menempuh fasa musim panas sekarang.Saya pula baru sahaja menamatkan pantang bersalin walaupun terasa agak sukar tanpa keluarga di sisi.

Jam 9 pagi,sedang saya mengemas rumah,lincah mengutip kain-kain untuk dibasuh,tiba-tiba suami menjerit,"Ain,pagi ni ada Qisas!" serentak dengan itu saya menjawab, "Nak pergi bang!"kami terus bersiap dengan segera kerana kata suami kalau lambat alamatnya tak dapatlah melihat Qisas secara dekat.Saya jadi kelam-kabut dibuatnya,mana nak kejar cari abaya saya ,mana nak cari baju-baju yang sesuai dipakai Muadz.Fuh,betul-betul kelam-kabut,dalam kepala hanya ada satu perkara..Saya nak tengok Qisas!

Dalam kereta,barulah suami sempat bagitahu,beliau mendapat maklumat bahawa hari ini akan dijalankan Qisas dari facebook abang Khuzaini,salah seorang sahabat yang rapat dengan kami di Madinah ini.Perjalanan diteruskan ke Toriq Abu Dzar,lokasi pelaksanaan Qisas sebentar nanti.Debaran di hati saya masih belum hilang,malah bertambah-tambah.Masakan tidak,selama ini saya hanya mendengar cerita suami tentang Qisas kerana suami saya pernah menyaksikannya pada tahun 2007.Hari ini saya sendiri akan melakar sejarah peribadi,menyaksikan pancung kepala di depan mata!

Dari kejauhan selepas melepasi trafik berhampiran Hassan Mall,kelihatan lalu lintas terlalu sesak,kereta berpusu-pusu ke tempat pelaksanaan Qisas,parking pula sudah tentu telah penuh.Saya melihat jam di tangan,ketika itu jam baru menunjukkan pukul 9.15 pagi,sedangkan Qisas akan dilaksanakan pada jam 10 pagi.'Ya Allah,ramainya manusia.boleh ke saya mencelah dengan bawa Muadz ni?' terus hati ini berkata-kata.Suami mengambil keputusan tepat untuk parking di belakang Hassan Mall,salah sebuah pasar raya di Madinah ini.Selesai parking kereta saya terus berkata pada suami,'Abang lari bang.cepat pergi sana,Ain boleh pergi sendiri.Jangan risaukan Ain.Cepat bang,nanti tak dapat duduk depan!' Suami saya pun terus berlari setelah memberi nasihat dan petunjuk jalan pada saya.

Saya juga terpaksa berlari anak sambil menggendong Muadz.Situasi pada ketika itu sangat sibuk,manusia berlari sana-sini,berkejar-kejaran untuk mengambil tempat,agar tidak ketinggalan menyaksikan pelaksanaan hukum Allah ini.Subhanallah,kehebatan hukum Allah ini menyentap urat nadi saya.Ramai yang menyaksikan Qisas,pastinya hukum yang dilaksanakan itu tidak sia-sia,malah meninggalkan kesan yang mendalam pada orang yang melihatnya.Maha Hebat dan Berkuasanya Allah,pelaksanaan hukuman ini bukanlah untuk menyusahkan hambanya,malah meletakkan manusia itu di dalam posisi yang paling selamat.



Setelah beberapa minit saya mengharungi kepanasan mentari,akhirnya saya tiba di tempat yang paling sesuai untuk saya berteduh bersama anak kecil ini,di hadapan kedai menyewa barang-barang kenduri.Alhamdulillah,syukur walaupun tidak dapat melihat secara dekat,sekurangnya saya dapat menyaksikan suasana sekeliling,memerhatikan gelagat manusia yang berbondong-bondong dan teruja menyaksikan hukum Allah dilasanakan,sungguh itu adalah pengalaman yang paling indah buat diri saya.

Jam 9.50 pagi,suami menelefon saya,bertanyakan di mana saya berada ketika itu.

"Ain kat depan kedai sewa barang-barang kenduri.Abang kat mana?Dapat tak duduk depan?"

"Alhamdulillah abang dapat duduk depan,betul-betul dekat dengan orang yang nak kena pancung tu.tapi tadi tiba-tiba ada ambulans datang,rilek je dia parking betul-betul depan abang.Kena la pindah tempat sikit.Tapi masih boleh lagilah tengok dekat-dekat."



Ya,baru saya teringat.Kata abang,dua-tiga buah ambulans yang datang bukan semata-mata datang untuk mengambil dan membawa hamba Allah yang dipancung itu,tapi nak angkat orang ramai yang pengsan sebab terkejut dan panik melihat orang yang dipancung.MashaAllah,hebatnya hukuman ini.Orang yang menyaksikannya mana mungkin berani untuk melakukan kesalahan sepertimana pesalah tersebut,membunuh orang lain.

Jam 9.55 pagi,debaran di hati makin terasa.Dari kejauhan saya mendengar suara pengumuman tentang pelaksanaan Qisas sebentar nanti.Ayat-ayat Al-Quran tentang ayat Qisas dibaca dan semua hadirin dimaklumkan tentang kesalahan yang dibuat oleh pesalah tersebut iaitu membunuh salah seorang warga Saudi.Saya berdiri dengan khusyuk,cuba menghayati apa yang bakal berlaku.Keadaan senyap sunyi walaupun terlalu ramai manusia yang hadir.Semuanya menanti peristiwa yang akan berlaku sebentar sahaja lagi.




Satu minit..dua minit...

Tiba-tiba kedengaran tempikan "ALLAHU AKBAR!" yang kuat dari para hadirin dan serentak dengan itu semua orang bertepuk tangan.

"Eh,takkan orang kena pancung,boleh bertepuk tangan pulak?"Semakin kaget saya dibuatnya tanpa dapat memahami situasi yang sebenar.Manusia yang ramai tadi beransur-ansur meninggalkan tempat Qisas setelah beberapa minit berlalu.

"Abang,apa dah jadi bang?"Saya menelefon suami,meminta kepastian.

"Ain,keluarga mangsa yang dibunuh tu dah maafkan pesalah.Kiranya orang tu tak jadilah dipancung."

Subhanallah,Alhamdulillah..mashaAllah,hebatnya Allah melembutkan hati keluarga si mati untuk menuturkan kemaafan di saat beberapa detik lagi pedang ala Saladin itu akan memenggal kepala si pesalah tersebut.Patutlah para hadirin bertempik Allahu Akbar dan bertepuk tangan,tanda meraikan kegembiraan atas peristiwa yang berlaku tadi..Subhanallah..

Beberapa minit kemudian,abang tiba di tempat saya dan Muadz menunggu.Abang masih dalam keadaan teruja.
"Subhanallah,sikit lagi orang tu nak kena pancung.Keluarga si mati tu tiba-tiba maafkan kesalahan dia.Ya Allah.."cerita abang penuh takjub.Bermakna ini adalah pengalaman kedua abang menyaksikan Qisas dalam situasi yang berbeza.Kali pertama dulu,abang dapat saksikan 4 orang dipancung kepalanya dan pada kali ini seorang pesalah tidak jadi dipancung atas kemaafan keluarga si mati.

Setelah keadaan semakin reda walaupun lalu-lintas masih sesak,kami menapak meninggalkan tempat tersebut.Hati saya terselit kagum pada kerajaan yang melaksanakan hukum Allah ini.Di sini,rakyat tidak berani untuk membunuh dan melakukan jenayah sesuka hati kerana hukum Allah benar-benar dilaksanakan,walaupun ada juga yang terlibat tetapi jumlahnya terlalu sedikit.Itulah hikmah apabila manusia hidup berpaksikan hukum Allah.