TIPS MENGULANG AL-QURAN BAGI PARA ISTERI (2)


TIPS 2-Meletakkan target dan sasaran untuk menamatkan semula Hafazan 30 Juz.

PERTAMA:Lakukan pembahagian surah dan Senaraikan terlebih dahulu:
1- Surah-surah yang langsung kita tidak ingat (bila disoal tidak nampak surahnya apa,ayatnya di mana)
2-Surah-surah yang 50 % kita masih ingat
3-Surah-surah yang masih kita lancar /masyi/ingat sungguh-sungguh.

KEDUA:Setelah melakukan pembahagian ini,tetapkan di dalam sebulan berapa surah yang mampu anda hafaz dan masyikan sungguh-sungguh.Lebih praktikal tetapkan di dalam sebulan paling kurang hanya satu surah yang mampu dihafaz dan dilancarkan (berdasarkan kepada realiti kesibukan diri).Jika sebulan 1 surah,12 bulan paling kurang anda sudah mampu menghafaz semula 12 surah ( InsyaAllah).


SEBAGAI CONTOH:

Setelah disenarai dan dibahagikan hafazan anda selama ini kepada 3 peringkat di atas,anda meyakini bahawa anda telah dapat mengingati Juz 30 (Juz Amma) dengan baik dan terdapat beberapa surah pilihan yang telah anda hafaz dan dapat mengingatinya dengan lancar.
Jadi,jumlah baki surah yang perlu anda tekuni hafazannya adalah sebanyak 75 Surah sahaja lagi.

Jumlah : 75 surah
1bulan : 1 surah
12 bulan ( 1tahun): 12 surah

Jadi anda hanya perlukan lebih kurang 7 tahun sahaja lagi untuk mengingati semula semua 30 juz Al-Quran!
Seandainya anda mampu menghafaz lebih banyak surah di dalam sebulan itu adalah lebih baik.Saya menyatakan contoh di atas setelah mengambil kira faktor kehidupan seorang Hafizah setelah bergelar isteri,ibu dan wanita bekerjaya yang realitinya sangat sibuk. Tetapi kesibukan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk seorang Hafizah melupakan Al-Quran.

Menjaga Al-Quran perlu kepada mujahadah yang tinggi.Lawan perasaan malas dan kuatkan hati untuk mengingati kalamullah.


TIPS 3 : Untuk mengelakkan diri cepat penat atau jemu dalam mengulang Al-Quran,gunakan teknik atau taktik tersendiri yang anda sukai untuk mengulang Al-Quran.

Maksud saya,tidak semestinya mengulang Al-Quran dari surah Al-Baqarah.Boleh juga memulakan target hafazan ini dengan menghafaz surah-surah lain yang anda teruja untuk menghafaz dan mendalami makna ayatnya.Teknik ini fleksibel.Apa yang penting anda memperoleh semangat untuk mendalami semula kalam Allah yang mulia ini.

SEBAGAI CONTOH: Untuk tahun pertama ini,anda teruja untuk menghafaz surah-surah dari Juz belakang( Juz 28,29).Senaraikan terus surah-surah ini untuk hafazan anda dalam masa setahun (2012).

Januari: Surah Al-Mursalat
Februari:Surah Al-Qiyamah
Mac:Surah Al-Muzzammil
April:Surah Al-Jinn
Mei:Surah Nuh
Jun:Surah Al-Haqqah
Julai:Surah Al-Qalam
Ogos:Surah Al-Munafiqun
September:Surah Al-Jumu'ah
Oktober:Surah Al-Mumtahanah
November:Surah Al-Qamar
Disember:Surah Al-Fath.

1 Bulan : 1 Surah rasanya tidaklah membebankan bagi seorang isteri yang telah pernah menghafaz Al-Quran.Setelah tiap surah itu telah dihafaz,dengarkan semula melalui kaset atau CD di dalam kereta ketika pergi dan pulang dari tempat kerja,sambil memasak,menyusukan anak atau sedang beristirehat bersama keluarga.InsyaAllah kita akan lebih seronok untuk mengulang Al-Quran.

Terdapat lagi tips-tips hafazan Al-Quran yang ingin saya kongsikan bersama pembaca.InsyaAllah pada kesempatan yang lain saya akan kongsikan bersama anda.Semoga ia diterima sebagai ilmu yang bermanfaat.


" Hakikatnya kita pernah menghafaz 30 Juz Al-Quran.Peliharalah Al-Quran selagi hayat dikandung badan..'


TIPS MENGULANG AL-QURAN BAGI PARA ISTERI


Kali pertama menggalas amanah sebagai seorang Hafizah Al-Quran,ia bukanlah suatu tiket untuk seorang wanita itu mendabik dada dengan mengatakan "aku sudah ingat 30 juz Al-Quran.'' Tidak,Bukan semudah itu!

Al-Quran itu mukjizat yang agung.Fahamilah makna kalimah 'Hafizah Al-Quran'.Ia bermaksud 'Penjaga Al-Quran'.Sesiapa sahaja boleh bergelar Hafizah,tidak semestinya dia perlu memasuki gerbang Maahad Tahfiz Al-Quran terlebih dahulu.Pokoknya,ingin menjadi Hafizah Al-Quran atau sudahpun bergelar Hafizah,kedua-duanya perlu melalui fasa Usaha dan Mujahadah yang tinggi untuk memelihara Al-Quran.

Guru saya di Darul Quran dulu selalu berpesan," Selangkah kamu memasuki bidang menghafaz Al-Quran ini,bermakna kamu telah mengikat janji untuk terus menjaga Al-Quran sepanjang hayat kamu.Al-Quran tidak boleh sewenang-wenangnya dilupakan."

Kata-kata inilah yang menjadi pegangan saya selama ini.Al-Quran sangat mudah terlepas dari ingatan apabila tidak diulang-ulang bacaannya.Itulah konsep menghafaz Al-Quran.

Menilik sirah Rasulullah SAW dalam aspek penjagaan Al-Quran ini,pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW dalam menjaga Al-Quran.Antaranya setelah mereka mendengar ayat-ayat Al-Quran yang baru diturunkan,mereka terus menghafaznya,lalu menulisnya di atas batu,tulang dan kulit binatang.Beginilah cara pengumpulan ayat-ayat Al-Quran yang dilakukan oleh para sahabat supaya ayat Al-Quran ini tidak hilang dan dilupakan.

Tips Mengulang Al-Quran

Bergelar seorang isteri pada masa yang sama menggalas amanah sebagai Hafizah Al-Quran,ianya bukan suatu tanggungjawab yang mudah.Walaupun seorang isteri bertugas sebagai suri rumahtangga,kerja yang terhidang di hadapan mata seolah-olah tidak pernah habis.Bagi isteri yang bekerjaya pula,ramai yang mengadu tidak punya ruang masa yang banyak untuk mengulang Al-Quran,malah untuk membaca Al-Quran pun tidak sempat.

Saya cuba mencari tips yang berguna dan praktikal bagaimana untuk mengulang semula Al-Quran yang pernah kita hafaz sebelum ini dengan mengambil kira realiti kehidupan kita sebagai isteri dan ibu yang saban hari dihambat oleh kesibukan kerja dan keluarga.

Tips Mengulang Al-Quran antaranya:

1- Mempatrikan keazaman yang tinggi untuk mengulang semula 30 Juz Al-Quran walau di mana sekalipun kita berada.
-Renungkan sejenak,kita pernah berada di Darul Quran-hampir separuh kehidupan harian kita berdamping dengan Al-Quran,pantang ada masa yang terluang kita akan membaca dan menghafaz serta mengulang Al-Quran.Al-Quran sentiasa ada di dalam genggaman dan pelukan walau ke mana sekalipun kita pergi- ke kelas Tasmi',ke bilik kuliah,ke masjid,ke dewan makan malah sewaktu minggu orientasi sekalipun barang amanah yang paling wajib dijaga oleh para peserta adalah Al-Quran.Mengapa suasana ini tidak kita teruskan apabila keluar dari Darul Quran?Jadikan Al-Quran itu sentiasa menjadi pendamping kita untuk dibaca di tempat kerja,di dewan kuliah mahupun dibaca di dalam kereta.

2-Meletakkan target dan sasaran untuk menamatkan semula Hafazan 30 Juz.(Menjadi Hafizah semula)
-Ramai Hafizah yang segan dan malu alah untuk mengaku dirinya adalah Hafizah kerana Al-Quran yang pernah dihafaz tidak diingati dengan baik atau biasanya disebut 'tidak masyi'.Saya sendiri mengalami situasi ini.Apabila ditanya," Kamu Hafizah?Hafaz semua Al-Quran?" Jawapan yang biasanya terluncur laju di lisan saya adalah: "Ya,saya pernah menghafaz tetapi perlu mengulang dan lancarkan semula."

Tetapi sampai bila kita perlu berada di takuk lama dan hanya menyerahkan pada keadaan tanpa mengubah hafazan kita menjadi lebih baik?Sebaiknya mulai hari ini dan saat ini,bersama-samalah kita menganjakkan paradigma dan menyusun strategi untuk memastikan suatu hari nanti Al-Quran 30 juz ini benar-benar terpahat di dalam hati dan ingatan kita.

*bersambung*

Penghujung Musafir..

-suami dan sahabat seperjuangan pada hari Konvokesyen mereka-


Natijah Peperiksaan akhir suami saya telah tertera di hadapan mata.

Syukur Alhamdulillah di atas segala nikmatnya.Akhirnya setelah lima setengah tahun berjuang di medan ilmu di Universiti Islam Madinah,beliau bakal pulang dengan menggenggam dua sijil akademik: Diploma Bahasa Arab dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Fakulti Syariah Universiti Islam Madinah.

Maha Suci Allah yang memberikan kekuatan dan ketabahan kepada hamba-hambaNya untuk berjuang di medan ilmu.Segala puja dan puji selayaknya dipanjatkan hanya ke hadrat Allah Taala yang Maha Dekat dan Akrab memakbulkan semua permintaan hamba-hambaNya.

Ini beerti musafir kami juga telah tiba di penghujungnya.

Kami punya tempoh hanya sebulan untuk tinggal di Madinah ini,menguruskan semua sijil-sijil dan urusan akademik suami sebelum kami berangkat pulang ke Malaysia pada penghujung Februari InsyaAllah.

Hati Yang Merindu

Hati mana yang tidak sedih apabila bakal meninggalkan Madinah Al-Munawwarah,bumi yang penuh dengan ketenangan.Ya,saya sangat tenang di sini..Di sana sini kaum Adam dan Hawa rapi dalam menjaga aurat.Sebagai seorang wanita,saya berasa sangat terjaga.

Saya pasti akan merindui saat-saat manis pernah tinggal di Madinah,melihat dan merenung Jabal Uhud yang terletak sangat hampir dengan rumah saya.

Saya pasti rindu untuk mengungkapkan, ((هَذا جبَلٌ يُحِبُّنَا ونُحِبُّهُ)) sebagaimana Hadis Rasulullah SAW apabila melihat Jabal Uhud.Setiap kali melihat Jabal Uhud,hati saya gembira.Sepertimana Rasulullah SAW menyayangi Uhud,begitulah juga sepatutnya kita para umatnya mengambil pengajaran dan tauladan.

Duta Akhlak Nabi

Sejarah pernah mencatatkan bahawa para sahabat diutuskan oleh Rasulullah SAW ke seluruh ceruk rantau dunia untuk menyebarkan risalah Islam,agama yang suci ini.Biarpun pada ketika itu berat hati para sahabat untuk berjauhan dengan Rasulullah SAW,namun demi Islam yang tercinta digagahkan juga diri mereka untuk menyahut seruan Nabi SAW,kekasih hati.

Begitu juga kita umat pada akhir zaman ini.Walau di mana sekalipun kita berada,Rasulullah SAW telah meninggalkan kita dengan sebuah pesanan yang agung:

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku." (HR Imam Muslim)

Kita adalah duta akhlak Rasulullah SAW.Mencontohi Rasulullah SAW di dalam segenap segi kehidupan-melalui kata-kata,perbuatan dan amalan.Itulah sebenarnya tanda kita mencintai Rasulullah SAW.

Sebagaimana Muadz Bin Jabal diutuskan Rasulullah SAW ke bumi Yaman untuk meneruskan legasi tarbiyyah dan menyampaikan dakwah,semangat itulah yang cuba saya kutip sekarang.Kami ingin menyampaikan dakwah sedaya yang kami mampu apabila pulang ke tanah air nanti insyaAllah.Aura tarbiyyah selama tinggal di bumi Madinah ini akan kami bawa bersama.Kisah kehidupan Rasulullah,keperitan dan jerih-payahnya dalam menyampaikan Islam yang cuba kami hayati selama bermusafir di bumi barakah ini akan menjadi tunjang kekuatan untuk kami tabah dan sabar dalam menempuh ujian dalam mendaulatkan Kalamullah.

Hanya kepadaMu Ya Allah tempat kami meminta pertolongan..

Mencintaimu Suamiku Adalah Anugerah!


Alhamdulillah,segala puji bagi Allah yang mengurniakan nikmat berkasih-sayang dalam kehidupan kami suami isteri.Sedar tidak sedar usia perkahwinan ini sudah memasuki tahun keempat.Begitu cepat masa berlalu.


Merenung perjalanan Baitul Muslim kami ini membawa kami menginsafi betapa Allah itu Maha Kaya dengan sifat Kasih dan Penyayang.

Kami bertemu ketika masih di medan pengajian sekolah menengah,pernah bekerja sekali di bawah satu bumbung Persatuan Agama Islam SMKA TAHAP sebagai Bendahari dan Timbalan Bendahari,tetapi tidak pernah terdetik di hati ini bahawa kami akan disatukan sebagai suami isteri 6 tahun selepas itu.Melangkahnya kami bersama-sama ke Darul Quran JAKIM tidak membawa apa-apa petunjuk bahawa saya ini bakal isterinya sehinggalah Allah menghantar 'perasaan' itu kepada saya,selepas 9 tahun saya mengenali nama dan akhlaknya.

Subhanallah..jodoh ini sungguh unik.Dialah lelaki yang paling sukar saya pertimbangkan untuk menjadi tunang dan suami.Lamaran dari jejaka inilah yang paling membuatkan saya tidak tidur lena dan bergetar jantung apabila mengingatkannya..Kerana saya benar-benar takut dan tidak percaya,kerana saya hanyalah seorang gadis yang punya banyak kelemahan sedangkan dia seorang lelaki berakhlak mulia!

"Ainun istikharah dulu.Banyakkan solat sunat,fikir baik-baik.Dia lelaki yang baik,tidak tinggal qiamnya,jangan tolak mentah-mentah.." masih terngiang-ngiang kalam Murabbi,orang tengah yang menyatukan kami ketika saya spontan mengatakan "tak nak" apabila beliau menyampaikan hasrat si dia kepada saya.

"Tak nak" saya bukanlah bermaksud saya sombong atau ego atau cerewet dan demand untuk memilih bakal suami.Tetapi saya terlalu terkejut ketika itu.Saya tidak pernah sangka lelaki sebaik dia akan memilih saya untuk menjadi surinya.Lamaran yang disampaikan oleh Ayahanda Murabbi benar-benar membuatkan saya lemah lutut!

Setelah sebulan lamanya berfikir,menimbang-menimbang dan memohon petunjuk dari Allah,Penguasa segala cinta,lamaran tulus itu saya terima.Syukur Alhamdulillah,Allah Maha Kuasa yang memimpin hati-hati kami untuk tabah dan sabar mengharungi onak dan duri selama 2 tahun pertunangan sehinggalah kami selamat disatukan pada 30 Ogos 2008.

Mencintaimu Suamiku Adalah Anugerah!






Saya melihat keikhlasan cinta pada wajahnya.

Saya terharu melihat kasih-sayang yang dicurahkannya kepada saya dan anak kami.Dia sangat mudah melontarkan kalimat "Abang mohon maaf" kepada saya walaupun saya tahu keegoan seorang lelaki itu lebih tinggi dari wanita.Saya bersyukur memperoleh suami yang soleh yang sudi memimpin dan memperkenalkan saya kepada Allah,Tuhan Yang Satu.

Saya kagum dengan kasih-sayangnya sebagai seorang bapa.Saya tahu,dia sangat ingin mencontohi peribadi Rasulullah SAW di dalam seluruh kehidupannya.Dengan sabar dia menidurkan anak kami ketika saya sibuk di dapur atau menguruskan rumahtangga.Dengan tenang dan gembira,dia mendukung dan menjaga anak kami selama kami bersolat di Masjid Nabawi berjam-jam lamanya.Tidak sedikitpun nampak rasa kekok pada penglihatan saya.

Alhamdulillah,Allah Maha Pengasih yang mengurniakan suami yang baik buat saya dan abah yang baik buat anak-anak saya.Semoga cinta ini di dalam redhaMu Ya Allah.

Cinta Ummi Abah..

Anak ini benar-benar anugerah yang tidak ternilai kepada ibu dan bapanya.Melihat Muadz tidur lena,hati saya sebagai seorang ibu sangat terusik.Subhanallah,Allah jadikan anak kecil ini suci tanpa dosa.Saya dan suamilah yang bertanggungjawab mencorakkannya agar menjadi anak yang soleh lagi muslih.

Terasa begitu cepat masa berlalu.Anak yang saya kandung selama 9 bulan kini telah hampir memasuki usia 9 bulan.Subhanallah..Bertambahnya usia anak bermakna amanah yang dipikul oleh abah dan ummi semakin berat.Kami bertanggungjawab untuk memperkenalkannya kepada Cinta Allah dan cinta Rasulullah SAW..



Muadz pada usia 2 bulan setengah.Sudah pandai senyum dan ketawa apabila diagah.Berat ketika ini 5kg.

Muadz pada usia 3 bulan.Senyumannya mencairkan sesiapa sahaja yang melihatnya,apatah lagi ummi dan abah.Ummi sangat bersyukur memperoleh anak yang tidak mudah meragam seperti Muadz,Alhamdulillah..Ketika ini berat Muadz sudah masuk 6kg.
Inilah kawan baik Muadz di Madinah.Namanya Nur Qaisara Arissa binti Ahmad Khuzaini.Usia Arissa sekarang 1 tahun 6 bulan.Muadz terlebih peramah apabila berjumpa dengan Arissa.Tangan Muadz cepat menarik rambut si kakak sampaikan Arissa cuak bila nak duduk deka-dekat dengan Muadz..Waktu Muadz 6bulan berat Muadz 8.45kg.
Gambar terbaru Muadz ketika mengerjakan Umrah pada minggu lepas.Muadz pada usia 8 bulan tapi ummi tidak timbang lagi berapa berat Muadz.Alhamdulillah jemaah umrah masih belum memasuki Makkah,jadi waktu untuk tawaf hanya mengambil masa 15 minit dan Muadz tidur dengan lena ketika itu.

Muadz,ummi dan abah sangat cintakan Muadz.Ummi abah berazam untuk memberikan pendidikan yang terbaik untuk Muadz.Semoga Muadz menjadi Ulama' ummah satu hari nanti insyaAllah..


ummu muadz
madinah al-munawwarah