TARGET AL-QURAN MUADZ DISEMBER 2012



Minggu ini ummi dan abah kembali berbincang serius bagaimana untuk meningkatkan lagi prestasi Al-Quran Muadz.Syukur Alhamdulillah,di rumah kami sudah dipasang unifi,Jadi ummi boleh memasang video Alif Ba Ta dan Al-Quran terus dari youtube untuk tontonan Muadz.

Alat bantu mengajar sangat penting supaya Muadz tidak bosan belajar hanya dengan satu cara sahaja.
Target ummi untuk Muadz pada bulan Disember ini adalah

MUADZ MAMPU UNTUK MENGENAL SEMUA HURUF HIJAIYAH DENGAN BAIK

Pada minggu lepas,ummi bertanya Ibu kepada Kakak Darwisya (Puan Lina) bagaimana untuk meningkatkan lagi prestasi Al-Quran Muadz setelah semua teknik yang Puan Lina sampaikan di blognya telah ummi praktikkan.Muadz boleh menyebut huruf-huruf tertentu tetapi tidak mengikut turutan.(Tidak menyebut secara turutan ALIF,BA,TA,THA).Tapi bila ummi tunjuk huruf KHO,Muadz kenal itu huruf KHO.Adakah betul cara yang ummi ajarkan ni?

Ini adalah jawapan Puan Lina:
"Saya memang galakkan ibu-ibu mengajar tidak ikut turutan dari awal. InsyaAllah jika anak kenal, itu bermakna dia benar2 kenal dan bukan kerana dia menghafal.
Selamat mendidik!"

Alhamdulillah,ummi menarik nafas lega.
Selepas Muadz berjaya mengenal semua huruf nanti,In Shaa Allah ummi akan teruskan usaha  dengan mengajar Muadz menghafaz Surah-surah akhir dari Al-Quran step by step.Bagi ummi,tidak mengapa Muadz menghafaz sedikit demi sedikit,yang penting Muadz dapat membaca dan menghafaz dengan baik dan kekal di ingatan.
Pengalaman ummi semasa menghafaz Al-Quran dahulu,kadangkala kami terlalu mengejar Muqarrar/Silibus Hafazan Al-Quran agar segera tamat mengikut masa yang ditetapkan.Kesannya ayat-ayat yang telah dihafaz sebelum ini tidak betul-betul melekat di ingatan.Jadi perkara ini sedikit merugikan.Maksud saya,kita perlu mencari masa yang lain pula untuk mengulang ayat-ayat yang pernah dihafaz sebelum ini.Jadi sebolehnya ummi tidak mahu perkara sebegini berlaku pada anak-anak.
BILA MASANYA MUADZ BERMAIN?
Muadz sama seperti baby lain.Aktif meneroka dunianya sendiri.Saya tidaklah terlalu menekan Muadz untuk membaca,belajar dan membaca.Saya cuma mengajar Muadz dalam masa setengah jam setiap hari (paling lama).Waktu inilah saya menyebut huruf-huruf Hijaiyah satu persatu dengan suara yang jelas.Selain waktu ini saya memasang video Alif Ba ta untuknya.Muadz masih ada masa untuk menonton Upin Ipin dan bermain dengan seronoknya pada waktu yang lain.
Saya pasti ibu-ibu di luar sana pasti mempunyai kaedah tersendiri bagaimana untuk mendidik anak-anak.Saya cuma berkongsi untuk memberi semangat kepada diri sendiri agar meneruskan misi dan visi saya untuk memastikan anak-anak mengenal Al-Quran seawal usia mereka.Tidak bermaksud untuk menunjuk-nunjuk atau berlagak pandai seolah-olah saya sahaja yang pandai mendidik anak( Astaghfirullahalazim).Sekiranya pembaca sekalian ada idea atau perkongsian pengalaman,saya sangat alu-alukan nasihat daripada anda:)




Video di atas inilah yang ummi pasangkan untuk Muadz setiap hari.Semuanya ada 15 video,ummi dapatkan dari youtube.Muadz nampak enjoy bila ummi pasangkan video ini Alhamdulillah:)

Didikan Al-Quran Untuk Muadz



Sebelum saya melangkah ke alam perkahwinan 4 tahun yang lalu,saya telah menyenarai dan menggariskan beberapa target dan strategi untuk pendidikn Al-Quran anak-anak saya.Bagi saya perkara ini tersangatlah penting kerana sebagai ibu saya adalah pembina generasi.Di tangan sayalah nanti anak-anak akan dicorakkan sama ada menjadi insan berguna atau sebaliknya( Nauzubillahi min zalik)

Kita berada di akhir zaman.Manusia berlumba-lumba mencari kemewahan dunia.Anak-anak pula sering terabai dan menjadikan mereka terumbang-ambing dalam melayari bahtera kehidupan.Apabila mereka tidak mendapat didikan Al-Quran seawal usia mereka,bagaimanakah kita boleh menjamin mereka mampu memandu rohani dan jiwa mereka dengan baik?Sedangkan ketenangan seorang hamba itu adalah apabila mereka akrab dengan Allah,enak menghayati setiap tafsiran Kalamullah.

AL-QURAN MUADZ

Saya nekad untuk mulakan didikan Al-Quran pada anakanda Muadz seawal usianya 2 bulan.Sepanjang mengandungkannya,saya cuba memberi pendedahan awal Al-Quran kepadanya dengan cara saya membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya berkali-kali.Dengan harapan anakanda saya di dalam kandungan sentiasa terhibur dengan ayat-ayat Allah.Syukur Alhamdulillah ketika itu saya masih berada di Madinah dan dapat bersolat di Masjid Nabawi setiap hari.Muadz dapat mendengar pelbagai bacaan Imam yag tepat dari sudut tajwid dan makhrajnya.

Saya jadikan blog Darwisy Darwisya dan blog Cinta Rasul sebagai rujukan bagaimana untuk mendidik anak-anak seusia Muadz belajar Al-Quran.Saya membuat flash card Alif Ba Ta sendiri dengan menggunakan manilakad.Manilakad dipotong besar dan saya menulis huruf-huruf hijaiyah dengan menggunakan marker pen di atasnya.Hehe,lucu pula bila mengingatkannya..Sempoi habis:)  

Maka bermulalah episod memperkenalkan Muadz denga huruf-huruf Al-Quran.Selepas memandikan Muadz dan mengurut badan montelnya,saya pun menunjukkan flash card itu kepadanya satu persatu dengan suara yang jelas.Ulang dan ulang setiap huruf 3 kali.Pada awalnya terasa seperti mahu berhenti segera sebab Muadz langsung tidak melayan ummi membaca:)Muadz suka memandang tempat lain tetapi ummi kuatkan juga hati untuk teruskan sampai habis.Memanglah baby takkan boleh fokus pada satu tempat sahaja kan?:)

Berapa lama manilakad itu bertahan?Hehe,sudah tentulah tidak tahan lama.Ada kesan gigitan Muadz,Muadz koyak-koyak buat mainan dan lagi tragis dironyok-ronyok si manilakad itu:)Tapi ummi sudah sedia dengan manilakad yang lain pula.Yang penting tiap-tiap hari Muadz dengar ummi mengajar:)
 



Di samping itu,ummi perdengarkan Muadz video-video Alif Ba Ta dan Al-Quran setiap hari.Memang Muadz terhibur sangat,terkekek-kekek dia ketawa apabila mendegar nasyid Alif Ba Ta.Sewaktu di dalam kereta,abah akan pasangkan CD atau kaset Al-Quran.Kami yakin apabila anak ini terbiasa mendengar Al-Quran mereka akan dapat membaca dan menghafaz dengan mudah pada masa akan datang.Pada usia sebegini minda mereka akan menyerap segala ilmu yang disampaikan kepada mereka.

USIA 1 TAHUN 6 BULAN
Alhamdulillah,dengan izin Allah,pada usia Muadz 1 tahun 6 bulan,Muadz sudah boleh menyebut beberapa huruf Hijaiyah itu  dengan baik.Apabila ummi sebut "ALIF",Muadz akan sambung "BA,TA"..Bila ummi sebut "MIM" Muadz akan sambung "NUN" dan beberapa huruf lain.

Suatu hari,sepupu Muadz mengajar Muadz menyebut namanya.
"Muadz,sebut nama abang.Sebut nama abang: abang Ajim.Macamana Muadz?"Soal Ajim kepada Muadz
Ajim mengulang soalannya berkali-kali lalu Muadz menjawab, "KHO" :D

Pecah ketawa kami pada waktu itu.Mungkin Muadz menyangka Ajim menyebut huruf "JIM", sebab itulah dia menyambung menyebut huruf "KHO" :):) 

IBRAH BUAT UMMI:)

Benarlah Allah jadikan anak-anak ini dengan sangat unik.Pada awal usia,mereka hanya mendengar dan merakam apa yang kita ajarkan.Apabila sudah tiba masanya,mereka akan mengeluarkan input-input yang telah mereka perolehi sebelum ini.

Sebab itu sebagai ibu kita perlu kuat semangat dan jangan mengalah untuk memberikan ilmu yang baik kepada anak-anak.Allah jadikan hati mereka bersih dan suci.Mereka sangat genius untuk menerima segala kebaikan.Kita masih belum terlambat.Mari lakukan sesuatu dan berusaha sedaya mampu untuk mengajarkan Al-Quran kepada anak-anak.

Teknik Menghafaz Al-Quran





Sebelum menghafaz
1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafaz
2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafaz.
3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafaz.
4. Berada dalam keadaan tenang.
5. Kosongkan fikiran sebelum menghafaz.
6. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafaz.
Teknik Menghafaz
A. Teknik “Chunking”
1. Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
2. Memisah-misahkan selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
3. Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
4. Memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, cerita dan sebagainya.
5. Memisah-misahkan Al-Qur’an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.
B. Teknik Mengulang
1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya 10 kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafaz berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafaz setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafaz satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafaz bahagian Al-Qur’an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.
C. Teknik Tumpu dan Ingat
1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mati dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.

D. Teknik Menghafaz Dengan Seorang Teman

1. Pilih seorang teman yang sama minat.
2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.
E. Teknik Mendengar Kaset
1. Pilih seorang qari’ yang baik bagi seluruh Al-Qur’an atau beberapa qari’ bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari’ tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari’ tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur’an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.
F. Teknik Merakamkan Suara
1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafalan yang betul.
2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafalnya.
G. Teknik Menulis
1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.
H. Teknik Menghafal Sebelum Tidur
1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisi-nya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.
J. Teknik “Mindmaping”
1. Bagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu Maqra’. Tulis ayat pertama Maqra’ tersebut dicabangnya.
2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau rubu’.
3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi Maqra’.
Mengekalkan Hafazan

1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika musafir dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau ngantuk.
8. Menulis setiap ayat yang mutashabih.

Satu Hari Di Musim Sejuk


-suasana musim sejuk di Mansurah-


Mansurah,Mesir
November 2008

Jalan menuju ke Markaz Pelajar Malaysia Mansurah sangat becak.Air bertakung di sana sini.Saya meneruskan perjalanan dalam kesejukan musim dingin di Mesir ketika ini..Sesekali angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menambahkan kesejukan hingga ke tulang sum-sum.Hujan lebatyang turun pada malam semalam menyebabkan jalan raya becak bersalut lumpur.Kereta lalu-lalang memercikkan air kotor dan mengenai jubah dan kasut.Oh,janganlah cuba-cuba memakai jubah yang berwarna cerah pada musim hujan begini.Jelaslah kelihatan kotor di sana sini.

"Subhanallah,sejuknya.." monolog saya di dalam hati.Sampai di selekoh Utubis Jadid,mata saya tertancap kepada para pekerja yang sedang mengutip sampah.Sekumpulan lagi menolak air yang bertakung di atas jalan dengan menggunakan penyapu dan peralatan lain.Apabila tibanya musim hujan,fenomena begini kerap saya saksikan.Sistem saliran yang kurang baik memungkinkan perkara ini terjadi.Tiada longkang,maka air yang bertakung menyukarkan kenderaan bergerak lancar.Apatah lagi dengan kepadatan rakyat dan kenderaan di Mesir ini.Jika tidak diuruskan dengan baik pasti akan kerap berlaku kemalangan.

5 minit lagi menghampiri ke jam 7 pagi.Saya mempercepatkan langkah.Sudah terbayang wajah Syeikh Husin yang menanti di pagar rumahnya.Menanti kami anak-anak murid menjemputnya untuk menyampaikan ilmu di Markaz Pelajar Malaysia Mansurah.Begitulah rutin kami pelajar-pelajar Qiraat setiap pagi.Apabila pelajar sudah ramai datang ke Markaz,kami akan bergilir-gilir ke rumah Syeikh setiap hari untuk menjemputnya.Apabila kami tiba di rumah Syeikh,maka beliau sedia maklum bahawa anak-anak muridnya sudah ramai menantinya di Markaz untuk menimba ilmu.

Tetapi pada hari itu perkara sebaliknya berlaku.Jam menunjukkan pukul 7.15 pagi tetapi baru satu baris pelajar yang tiba.Saya sudah bimbang.Pasti Syeikh akan kecewa nanti.Mahu tidak mahu terpaksalah juga saya dan Aini menjemput Syeikh.Jika tidak,tentu lebih lama Syeikh menunggu kami di pagar rumahnya.Kami berjalan kaki ke rumah Syeikh sambil menelefon kawan-kawan yang masih belum hadir.

"Mengapa lambat Mardhiah?"Syeikh mengajukan soalan setibanya kami ke rumahnya.
"Maafkan kami Syeikh,ramai yang masih belum tiba," jawab saya dalam keadaan serba salah.
"Mesyi,mafi musykilah," balas Syeikh dan kami terus mengatur langkah menuju ke Markaz semula.Syeikh hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan.Memang begitulah sikapnya.Mulutnya terkumat-kamit mengulang Al-Quran sepanjang perjalanan sehinggalah kami tiba di Markaz.

"Assalamualaikum",Syeikh memberi salam kepada semua anak-anak muridnya.
"Waalaikumussalam," balas kami.

"Ya Mardhiah,ainal baqi? (Ya Mardhiah,mana baki pelajar yang lain?)" Tanya Syeikh kepada saya sekaligus menambahkn perasaan serba salah di hati.
"Ma'alisy Ya Syeikh,Ma 'araftu..(Maafkan saya Syeikh,saya tidak tahu)" Balas saya dengan nada yang sangat bersalah.

Sangat bersalah kerana Syeikh sanggup meluangkan masanya untuk mengajar kami walaupun di dalam keadaan dirinya sangat sibuk.Seawal jam 6.30 pagi Syeikh sudah duduk di tingkat bawah rumahnya mengulang Al-Quran dan jam 7 pagi sepatutnya kami sudah hadir menjemputnya ke Markaz.Jam 9 pagi Syeikh menamatkan pengajian dan terus ke Kilang roti tempatnya bekerja.Syeikh bertugas sebagai Manager di kilang roti.Kadangkala,pada jam 11 pagi beliau bergegas kembali ke Markaz untuk mengajar pelajar Qiraat tahun 3 pula.Jam 12.30 tengahari kelas berakhir dan Syeikh terus menuju ke Masjid di sebelah rumahnya untuk mengimami Solat Zohor.Pada sebelah petang beliau akan mengajar kelas Tahfiz kanak-kanak dan pengajian Ilmu-ilmu Al-Quran untuk orang dewasa di sebelah rumahnya.Saya sendiri tertanya-tanya,bilakah masanya Syeikh berehat?Beliau bukanlah masih muda,umurnya sudah menjangkau 50-an.

"Musim sejuk ini memang menguji kita.Lebih-lebih lagi untuk bangun di awal pagi untuk mengulang Al-Quran dan mengulangkaji pelajaran," Suara Syeikh memecahkan suasana sekaligus mematikan lamunan saya sebentar tadi.

"Tetapi tahukah kamu,apabila kamu melangkah kaki ke kelas dalam keadaan sejuk pada pagi hari begini,Allah akan menggandakan pahala kamu.Allah akan memudahkan kamu memperoleh ilmu dan Allah akan memudahkan laluan kamu untuk memasuki Syurga.Oleh itu kuatkan jihad kamu dalam menuntut ilmu.Kuatkan semangat kamu untuk melawan nafsu tidur di pagi hari.Kamu akan terasa keindahannya nanti,"

Subhanallah,indahnya kalam-kalam nasihat dari Syeikh.

"Semakin banyak kamu membaca Al-Quran dalam keadaan sejuk-sejuk begini semakin kamu terasa akan keindahan Al-Quran.Allah sangat sayang kepada kamu.Berjihadlah dalam membaca Al-Quran.Kamu akan terpilih sebagai orang yang akan menghuni Syurga."

Kata-kata itu seolah-olah satu anak panah yang tepat mengenai hati saya.Ya,musim sejuk ini dugaan untuk kerap tidur sangatlah kuat.Terbayang lihaf (toto) tebal di katil yang menyelimuti tubuh yang sedang tidur kesejukan seperti berada di dalam aircond.Tetapi ini lagi seronok,aircond semulajadi,fresh!
Baru mula membuka Al-Quran,kelopak mata semakin berat.Baru mula menghadap kulit kitab,mata sudah mahu terlelap.Itulah penangan musim sejuk..parah,parah..

"Kamu perlu ada azam yang kuat.Azam yang kuat untuk menuntut ilmu Allah.Bukan untuk diri kamu sahaja,tetapi untuk Agama.Kamu datang jauh dari Malaysia ke Mesir ini untuk menuntut ilmu.Cuba kamu bayangkan perasaan ibu ayah kamu kalau mereka tahu kamu datang sini tetapi tidak belajar bersungguh-sungguh.Datang Mesir untuk tidur lena.Belajar main-main.Apa perasaan mereka?"

Subhanallah,semakin mendalam kata-kata Syeikh.

Daripada Abu Darda' r.a berkata: Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang menjalani satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha bagi orang yang menuntut ilmu. Dan sesungguhnya orang yang ada diseluruh lapisan langit dan bumi meminta ampun bagi orang yang alim sehingga ikan yang ada dilaut. Dan sesungguhnya kelebihan orang yang alim atas orang yang abid seperti kelebihan bulan purnama atas sekalian bintang-bintang. Dan sesungguhnya ulama itu pewaris Nabi-nabi. Dan para Nabi itu sebenarnya tidak mewariskan dinar (wang emas) dan dirham (wang perak)tetapi yang diwariskan oleh mereka ialah ilmu. Maka barangsiapa mengambil ilmu bererti ia telah mengambil habuan yang paling sempurna."

Hadis Riwayat Abu Daud


Jihad ini perlu diteruskan.Jika orang lain bermain-main aku perlu fokus kepada pelajaran.Jika orang lain enak tidur diselimuti lihaf tebal aku perlu bingkas bangun memperbanyakkan amal.Kerana kelazatan dunia ini hanya sementara,aku teringin menikmati nikmat di Syurga.

Ya Allah,aku pohon bantuanMu.Kuatkan aku untuk mencapai misi visiku!

ABAH HERO SAYA!


Saya anak Jengka.
Ya,saya tidak pernah malu untuk mengaku bahawa saya anak Felda,anak seorang Penoreh Getah yang punya wawasan tinggi dalam mendidik anak bangsa.

Sedari kecil,abah adalah Hero saya.Saya cukup bangga menjadi anak abah.
Walaupun kami 9 beradik sinonim dengan watak abah yang tegas dan garang,tapi jauh di lubuk hati saya tetap berbangga menjadi anak abah.

Abah garang,
Tapi waktu fajarnya dimulakan dengan sujud dan tasbih kepada Allah.
Tatkala berkumandang azan Subuh,rumah kami meriah dengan suara emak dan abah yang sudah bersedia untuk bersolat berjemaah.
Mendengar suara abah berdehem,saya sudah faham dan bingkas bangun mengejutkan adik-adik yang lain.Dehem itu petanda abah menyuruh kami bangun,cukup-cukuplah tidur lena dengan diselimuti selimut yang tebal.

Abah tegas,
Waktu Maghrib menjadi kepantangan kepada kami untuk menonton TV..No!
Kelam-kabut kami berebut bilik air kerana mengejar waktu bersolat Maghrib secara berjemaah bersama emak.
Anak-anak lelaki pula dididik ke surau,menyapu dan membersihkan tahi cicak yang merata di lantai surau dan kedengaran suara mereka mengalunkan azan mengikut giliran.

Alangkah indahnya saat itu.
Itu adalah pentarbiahan awal abah dan emak kepada kami.
Membawa anak-anak ke surau untuk solat berjemaah setiap hari akan mendatangkan kesan positif ke dalam jiwa anak.Mereka mengenali bahawa surau itu tempat mulia.Masjid itu adalah tempat untuk menambahkan ilmu dan tapak pembinaan peribadi mulia.

Solat,Solat dan Solat.
Waktu untuk hamba hampir dan akrab dengan Tuhannya.

Abah,
Terima kasih kerana memperkenalkan saya pada awal kehidupan tentang itu!