Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..kepadaMu kami sembah dan kepadaMu jua kami meminta pertolongan..
Sudah lama rasanya tak mencoret di teratak ini.Kesibukan taklah setara mana,tapi mungkin kerana penguat semangat saya(suami) tidak ada di sisi pada minggu lepas kerana mengerjakan haji di Baitullah,maka semangat untuk menulis sedikit berkurang.(boleh ke alasan camni?^_~)
Alhamdulillah,masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menulis..Diizinkan juga olehNya untuk menggerakkan jemari ini,menyusun kata di blog ini,mudah-mudahan ada manfaatnya buat sahabat-sahabat yang datang berziarah,inshaAllah.Sungguh,nikmat kesihatan adalah salah satu dari kurniaanNya Yang Maha Agung,bayangkan jika sepanjang masa kita di dalam kesakitan,bagaimana kita dapat mengerjakan ibadah,bekerja,berfikir,bergerak dan lain-lain.Justeru,manfaatkanlah nikmat kesihatan ini untuk sentiasa beramal,berazam untuk melaksanakan kebaikan dan menjauhi larangan.Andai kita mati dalam mengerjakan amal yang baik,sesungguhnya besar ganjaran di sisi Allah dan amat besar keuntungan yang bakal kita perolehi di syurga kelak.
opps,dah jauh pula topik yang saya bawa..;)sebenarnya kali ni,saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian pengalaman semasa saya dan suami menghadiri Pameran Sirah Rasulullah SAW yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi pada 11 November yang lalu.
Alhamdulillah,dalam kesibukan bandar Madinah yang dilimpahi dengan ribuan manusia yang datang dari segenap ceruk rantau dunia untuk menziarahi Madinah,kami dapat mengambil peluang untuk sama-sama memeriahkan pameran ini yang sememangnya dapat menambahkan informasi dan pengetahuan tentang sirah Rasulullah.
Khemah besar didirikan untuk jualan kurma,pakaian,beg kargo dan pelbagai barangan lain,sementara satu bahagian lagi disediakan untuk Pameran khas sirah Rasulullah.Terdapat beberapa orang penterjemah yang bertanggungjawab menerangkan tentang Sirah Rasulullah,dan kami ditemani oleh penterjemah dari negara Indonesia yang menerangkan dari awal tentang pengenalan keturunan Rasulullah SAW hinggalah kepada kewafatan Rasulullah SAW..Alhamdulillah,pengalaman yang menarik kerana di tempat yang sama,pengunjung juga disediakan dengan video/tayangan tentang Sirah Nabi,antaranya kronologi hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bersama Abu Bakar As-Siddiq,kisah yang berlaku sepanjang perjalanan Baginda dan Abu Bakar ke Madinah,sejarah pembinaan Masjid Nabawi juga Perang-perang yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.
Gambar di atas adalah ruangan tayangan video tentang Masjid Nabawi,masjid yang dibina atas dasar Taqwa.Tanah tapak masjid ini berasal daripada tempat mengering tamar kepunyaan dua orang anak yatim (Suhail dan Sahl).Rasulullah SAW kemudian membeli tanah tersebut.Banyak lagi kisah yang tersirat di sebalik sejarah pembinaan Masjid Nabawi ini,jika ada kelapangan inshaAllah saya akan ceritakan kemudian..^_^
Gambar di atas pula menceritakan tentang pergerakan tentera Islam dan tentera musuh di dua lokasi peperangan iaitu Peperangan Uhud dan Peperangan Khandak/Ahzab.Diterangkan kepada kami bagaimana terjadinya peperangan tersebut,tindakan umat Islam dan serangan balas dari kaum kafir..Alhamdulillah,sejarah yang selama ini diketahui secara teori dari buku-buku kini lebih jelas dan diperhalusi serta dapat difahami dengan lebih mendalam.
Saya tak sabar-sabar lagi untuk tiba di ruang pameran di atas.Gambar di atas menunjukkan perkakas-perkakas yang terdapat di rumah Rasulullah SAW..Objek di tepi sekali adalah bantal Rasulullah,alas tidur Baginda pada waktu malam.MashaAllah,lihatlah kezuhudan Nabi kita yang tidak tidur beralaskan bantal dan tilam yang mahal dan empuk,kehidupan Rasulullah tidak bermewah-mewah dan berlebih-lebihan.Malam Baginda lebih terisi dengan Qiyamullail,penghidup jiwa dan penenang bagi hati yang sentiasa merindui Tuhannya..
Lawatan kami diakhiri dengan pemberian hadiah buku-buku oleh pihak yang menguruskan pameran tersebut.Alhamdulillah,walaupun lawatan kami tak memakan masa yang terlalu lama,namun mendatangkan faedah yang banyak.Rasa semakin jatuh cinta pada Baginda Rasulullah SAW..Pameran ni masih lagi berjalan,inshaAllah andai punya kesempatan saya akan memasukkan lagi gambar-gambar di sekitar pameran tersebut.
Siiru 'ala Barakatillah :)