
Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..kepadaMu kami sembah dan kepadaMu jua kami memohon pertolongan..
salam pagi jumaat yang amat menenangkan..
syukur Alhamdulillah,Allah masih memanjangkan lagi nyawa kita pada hari ini..setiap kali ingin melelapkan mata pada waktu malam,pasti terdetik di hati ini..'adakah aku akan bangun lagi esok?','camana solat aku hari ni?','Allah angkat dan terima tak amalan aku hari ni?'
Hari-hari yang kita lalui penuh dengan liku dan ujian serta kegembiraan yang bersilih ganti.adakala kita gembira,memperoleh apa yang kita inginkan..dan adakala kesedihan sarat bertamu di jiwa,kesunyian membelenggu hati kecil ini,sehinggakan kita terasa tidak mampu untuk meneruskan perjuangan ini..
inilah kehidupan..
kehidupan yang mempunyai pelbagai rencah dan warnanya..bila gembira,kadangkala kita terasa tidak perlu meminta dan bergantung harap pada Dia,tetapi bila ujian menimpa,segera kita bersujud,menangis dan memohon pertolongan pada zat yang selayaknya memberi pertolongan..Maha Suci Allah..
Dia hadirkan ujian supaya hambaNya 'sedar diri',kembali kepada PenciptaNya..
Maha suci Allah..
Dia datangkan ujian agar bertambah dan berganda taqwa seorang hamba di dalam hatinya.
Semalam,kisah hidup saya juga mengalami rentak yang serupa..jika orang lain bergembira bila tibanya hari ulangtahun kelahiran,tetapi sebaliknya bagi saya..hati dirundung haru yang amat,tiba-tiba mengalami krisis rendah diri yang amat mendalam..rendah diri kerana kurangnya amal,rendah diri kerana masih terlalu kurang khidmat yang saya hulurkan buat suami,rendah diri itu,rendah diri ini....tidak pasti adakah faktornya,adakah kerana penangan peperiksaan yang bakal hampir atau sebab lain..
lantas saya menghubungi suami,rakan kongsi merangkap penasihat peribadi..
kata abang,"cuba ain cek solat ain,ataupun renung2,kot2 ain ada buat salah dengan Allah atau dengan kawan-kawan.."
ALHAMDULILLAH..nasihatnya ringkas,tetapi amat berbekas di hati..
Wahai Allah,terasa aku terlalu kerdil di sisiMu..lautan nikmat yang Kau anugerahkan untukku,menganugerahkan suami yang baik,keluarga yang penyayang,sahabat-sahabat yang prihatin dan segala2nya nikmat yang tak mampu ku hitung..sering diri ini lupa untuk bersyukur padaMu,tetapi nikmatMu tak pernah bertepi..
Saya gagahkan diri membuka lembaran warkah cinta dari Allah..saya yakin jawapannya ada di sini..saya yakin Allah pasti mendengar bicara hati ini,yang ingin kembali kepada DIa..
Mata saya terus bertamu pada muka surat 209,Surah Yunus ayat 9 dan 10..
maksudnya:
ayat 9 : " Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal soleh,Tuhan mereka akan MEMIMPIN mereka dengan sebab iman mereka yang sempurna itu.(Mereka masuk ke taman yang) sungai-sungainya mengalir di bawah tempat kediaman mereka di dalam syurga yang penuh nikmat."
ayat 10 : " Doa ucapan mereka di dalam syurga itu ialah : (MAHA SUCI ENGKAU DARI SEGALA KEKURANGAN WAHAI TUHAN!) Dan ucapan penghormatan mereka padanya adalah
(SELAMAT SEJAHTERA)! Dan akhir doa mereka adalah : ( SEGALA PUJI DIPERSEMBAHKAN BAGI ALLAH YANG MEMELIHARA DAN MENTADBIRKAN SEKALIAN ALAM)
Subhanallah..benarlah Al-Quran ini warkah agung dari Allah buat hambaNya..di sini letaknya pengharapan,di sini hadirnya ketenangan..
hati seolah-olah dipujuk,kembali bangun untuk terus bergantung harap.saya mendapat aura dan inspirasi baru..hidup ini segalanya kerana Allah..bila matlamat hidup jelas hadafnya kerana Allah,nescaya hidup ini takkan gelisah..
kita hamba yang selayaknya diuji kerana kita hanyalah sekelumit cuma di sisi kekuasaanNya..
maka,teruslah meminta dan meminta dengan khauf dan roja'..
semoga rahmatNya sentiasa mengiringi permusafiran ini..
p/s: jazakumullahu khairan kathira buat ahli bait saya (kak ema,kak ina,kak anis,kak afidah,ain)dan sahabat2 seimarah(kak redha n adik ayuni),tak lupa buat adik su n alin yang berjaya melaksanakan majlis gempar malam tadi..saya senang-lenang pada siangnya,ingatkan takde apa2 sambutan yang mengejutkan memandangkan masing2 nak exam,tapi rupanya perancangan licik ini dilaksanakan pd malam hari!^_~apapun,kalian memang hebat dan saya terharu sangat2..juga ucapan penghargaan buat teman-teman yang disayangi atas ucapan dan doa..hanya Allah yang layak membalasnya..^_^salam sayang!
إذا لم تقدر على قيام الليل وصيام النهار فاعلم أنك مكبول كبلتك معصيتك
“ Apabila kamu tidak mampu untuk bangun tahajud waktu malam dan tidak mampu puasa sunat pada waktu siang maka ketahuilah kamu sudah dibelenggu oleh maksiatmu.”

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..Alhamdulillah atas nikmat yang paling besar yang dikurniakan pada kita,nikmat iman dan Islam..
Saya memohon maaf kepada kaum keluarga dan sahabat2,kerana sudah lama rasanya tidak menulis.Di samping menjalankan amanah sebagai penuntut ilmu,amanah sebagai skuad "amar makruf nahi mungkar" juga perlu bergerak seiring.
Masalah hisbah yang semakin membarah di bumi Anbiya' ini tidak wajar dipandang sebelah mata oleh para penuntut ilmu.ya benar,keberadaan kita di sini berpaksikan kepada menuntut ilmu Allah,tetapi bukankah ilmu yang dipelajari perlu diamal dan dipraktikkan?
Hari demi hari mendengar masalah demi masalah yang semakin serius,membuatkan saya (dan tentunya sahabat2 lain) semakin sempit dada.Ya Allah,tidak rela rasanya meninggalkan bumi Mesir ini dalam keadaan adik2 tidak mendapat tarbiah yang sempurna.Setiap manusia punya kelemahan,tetapi setiap kelebihan yang Allah kurniakan juga perlu dimanfaatkan.Saya menyeru kepada semua sahabat2,sumbangkanlah apa sahaja kemampuan yang kalian ada untuk membantu gerak kerja dakwah ini,sama ada buah fikiran,tenaga mahupun wang ringgit.
Termenung saya bila memikirkan sikap mahasiswa kita pada zaman millenium ini..kita sering mempersoalkan apakah jasa orang lain kepada kita,apa bakti yang telah pimpinan curahkan pada kita,tetapi pernahkah kita mengkoreksi diri..sejauh mana kita ikhlas mencurahkan khidmat untuk membawa sinar dan manfaat buat ummat Nabi Muhammad?
seketika,cubalah buang ego dan sifat meninggi diri yang merajai hati kita sejak sekian lama.beri ruang kepada diri kita untuk memberi kerjasama yang baik kepada semua pimpinan atau sesiapa sahaja yang ikhlas mengerah kudrat untuk memastikan umat Islam kembali kepada jalan yang benar,yang didasari dengan rasa cinta yang teramat kepada Allah.
Visi Al-Azhar adalah melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang diacu dengan adunan iman yang mantap dan diterjemahkan melalui akhlak yang hebat sepertimana yang telah digariskan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.Bagi saya,tidak guna kita punya kebijaksanaan dan kepandaian yang luar biasa,tetapi sirna dari sudut akhlak dan perlakuan.
Nilailah kembali tahap keilmuan kita,pada masa yang sama rendahkan hati kita memohon kepada Allah,agar kita tidak tertipu dengan resam dunia yang melalaikan dan penuh tipu daya.Mohonlah pada Allah agar ilmu yang telah kita miliki ini tidak menjadikan kita sebagai hamba Allah yang sombong dan takabbur atas nikmat kurnianNya.
Pohon maaf atas segala kekhilafan..
Bismillahirrahmanirrahim.. Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..yang menetapkan Hari Pembalasan dan kepadaNya jua kita kembali..
beberapa hari lepas saya mendapat mesej dari suami,
"setiap pertambahan ilmu,sepatutnya bertambahlah amal..tapi sekiranya semakin kurangnya amal,boleh jadi ilmu tersebut tidak ada keberkatan.."
mesej tersebut membuatkan saya merenung dan berfikir.. di manakah tahap saya?adakah ilmu seiring dengan amal?...
dan saya kembali merenung pengisian tazkirah Syeikh Husin dalam muhadharah kami yang lepas sempena Hijrah..
sudah lama saya ingin kongsikan tazkirah ini bersama sahabat2 semua namun tak punya banyak kesempatan untuk berada di depan komputer..maafkan saya.. ...............................................................................
1- SETIAP BENDA YANG BERLAKU ITU BERSEBAB
Pada awal perkongsian,Syeikh bertanya kepada kami semua..mengapa Rasulullah kelihatan Seolah-olah terlalu berjaga-jaga dan berhati-hati sebelum memulakan hijrah ke Madinah,sedangkan Saidina Umar Al-Khattab dengan penuh berani tampil ke hadapan penduduk Makkah,mencabar mereka siapa yang berani menghalangnya untuk berhijrah??
tidak ada seorang pun yang berani menghalang Umar ketika itu dan beliau dapat meneruskan hijrahnya ke Madinah..
Syeikh memprovok kami lagi..adakah Rasulullah dalam ketakutan?sedangkan Rasulullah itu benar dan Rasulullah mengetahui yang Allah pasti membantu Baginda?mengapa Rasulullah tidak bertindak seperti Umar?
kami terdiam..
jawab Syeikh.. Sesungguhnya Rasulullah adalah insan terpuji dan sangat berstrategi. mengapa Rasulullah berhati2??
kerana Hijrah ini BUKAN untuk Rasulullah SAW sahaja tetapi PENGAJARAN utama kepada umat2nya sehingga hari kiamat.. Apa yang Rasulullah ingin ajarkan kepada kita melalui peristiwa Hijrah ini?
Pengajarannya adalah:
SETIAP APA YANG BERLAKU ITU BERSEBAB >>
SETIAP KEJAYAAN@MATLAMAT YANG DICAPAI ADALAH BERSEBAB.
SETIAP KEJAYAAN @MATLAMAT YANG KITA INGIN CAPAI SEWAJIBNYA MELALUI PROSES USAHA DAN PERANCANGAN SERTA TINDAKAN DARI DIRI SENDIRI PADA AWALNYA DAN BARULAH KITA BERTAWAKKAL KEPADA ALLAH
Antara strategi Rasulullah SAW :
1- Menggantikan Saidina Ali di tempat tidur Baginda
2-Rasulullah dan Saidina Abu Bakar menuju ke Gua Thur secara rahsia
3-Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar mendiamkan diri ketika orang2 Quraisy menghampiri pintu gua itu.
dengan strategi dan tindakan yang berperancangan ini,maka Rasulullah SAW dan sahabat2 berjaya tiba di Madinah dan merakam satu peristiwa gemilang buat umat Islam seluruhnya..
Rasulullah kelihatan amat berhati2 bukanlah bermaksud Rasulullah takut,tetapi ia adalah STRATEGI,dan dengan strategi yang dirancang dengan baik,Rasulullah berjaya memasuki Madinah dan akhirnya Islam terpelihara hingga ke hari ini.
Rasulullah menunjukkan kepada kita bahawa kejayaan itu tidak kan diperoleh dengan hanya menyerah kepada keadaan,perlu berusaha terlebih dahulu.Sedangkan pada logik akal kita,Rasulullah mampu mencapai kejayaan dalam hijrah ini walaupun hanya dengan berdoa kerana doa Baginda pastinya dimakbulkan oleh Allah..
tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.Baginda dan para sahabat berusaha sedaya mampu dan akhirnya barulah Baginda memohon bantuan dan tawakkal kepada Allah.
sambung Syeikh lagi..begitu juga dengan situasi kamu sekarang..boleh ke kamu nak cemerlang dengan hanya berpeluk tubuh dan cakap "aku nak cemerlang" sedangkan kamu tak usaha?? tak boleh bukan??
selanjutnya Syeikh menerangkan kepada kami.. Indahnya Islam,setiap peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah dan para sahabat dahulu menjadi pengajaran dan kaedah untuk umat pada hari ini..bukti agama Islam adalah agama yang benar dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.
contohnya :
1-pada zaman Rasulullah SAW,pernah berlaku pembunuhan. mungkin bagi sesetengah orang mereka terfikir,bagaimana pada zaman Rasulullah pun boleh ada orang membunuh?
-tetapi sebenarnya tersirat satu hikmah yang lebih besar di sebalik itu..hukuman yang Rasulullah kenakan kepada pembunuh tersebut dijadikan kaedah untuk dilaksanakan hingga ke akhir kiamat.andai berlaku pembunuhan pada zaman ini,maka kita perlu melaksanakan hukuman seperti mana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW.
2-pada satu ketika,Rasulullah pernah terlupa di dalam sembahyang.Rasulullah mengerjakan solat 2 rakaat sedangkan sepatutnya Baginda bersolat 4 rakaat..adakah Rasulullah tidak khusyuk? Jawapannya: situasi ini bukanlah bermakna Rasulullah tidak khusyuk dalam solat..ini adalah satu pengajaran kepada kita bahawa setiap manusia itu tidak sunyi dari kelupaan dan membuat kesilapan.kerana kita adalah hamba dan hanya Allah Yang Maha Perkasa dan Maha Bijaksana..
3-kisah Salman Al-Farisi ketika perang Khandak-beliau secara terbuka memberi cadangan kepada Rasulullah untuk menggali parit sebagai kubu mengelilingi bandar Madinah dan pendapat ini dipersetujui oleh Rasulullah SAW sebagai pemimpin agung. -andai kita kaitkan kisah Salman ini dengan realiti dunia sekarang,mungkin kita terfikir,alangkah beraninya Salman memberikan cadangan seperti itu kepada Rasulullah sedangkan beliau hanyalah orang biasa dan Rasulullah SAW adalah insan mulia yang dicintai langit dan bumi.. TETAPI ini adalah pengajaran buat umat Nabi Muhammad seluruhnya..bahawa yang bergelar pemimpin itu perlu terbuka dan bersedia untuk mendengar pandangan ahli.Pemimpin tidak boleh semudah-mudahnya memandang rendah kepada ahli walau siapa dan bagaimana keadaannya..Lihatlah bagaimana Tawadhuknya Baginda Rasulullah SAW dalam setiap keadaan..
~bersambung ke entry akn dtg : HIJRAH ROH vs ROH DAN JASAD ~
inshaAllah..
(Kalimah hijrah, seperti juga lain-lain kalimah yang penting dalam Islam, kerap disalah tafsirkan. Mendengar pelbagai bentuk dan nada perbualan antara juruhebah radio dengan pendengarnya semasa memandu pagi tadi (topiknya: Hijrah) menggerak rasa hati untuk menulis sesuatu tentang hijrah yang suci ini.
Sedih, apabila hijrah dikaitkan dengan perkara-perkara “kecil” yang begitu pinggiran sifatnya. Namun, saya berlapang dada… hakikatnya itulah nasib Islam, agama yang paling banyak disalah tafsirkan bukan hanya oleh bukan Islam tetapi oleh orang Islam sendiri. Dan saya juga pernah tersasar memahaminya.
Justeru, saya rasa terpanggil untuk berkongsi mengenai hijrah. Jika salah, mohon diperbetulkan. Jika benar, alhamdulillah mohon difahami, dihayati dan sama-sama diperjuangkan.)
ARMADA HIJRAH
Hijrah adalah kalimah yang sinonim dengan iman dan jihad. Allah berfirman;
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. Tuhan menggembirakan mereka dengan rahmat dan keredaan-Nya dan syurga-syurga, mereka memperoleh di dalamnya kesenangan yang abadi, mereka kekal di dalamnya. Sesungguhnya Allah pada sisi-Nya pahala yang besar.” (At-Taubah:20-22)
Ketiga-tiganya tidak boleh dipisahkan sama sekali. Tegasnya, hijrah itu dilaksanakan atas dorongan iman dan berjihad di jalan Allah. Dan ketiga-tiganya menuntut pengorbanan yang besar dari segi harta (masa dan tenaga) serta jiwa. Tidak ada hijrah tanpa pengorbanan. Dan pengorbanan itu bukan untuk kepentingan diri dan orang lain, tetapi semata-mata untuk mendapat rahmat dan keredaan Allah.
Ironinya, kita sering mendengar ungkapan seperti:
“Kita mesti hijrah menuju kejayaan.”
“Bangunkan ekonomi kita dengan semangat hijrah.”
Ya, benar kita perlukan kecemerlangan dalam bidang ekonomi, politik, pendidikan dan lain-lain, namun usaha itu sama sekali tidak boleh disifatkan sebagai hijrah sekiranya faktor iman dan Islam tidak dijadikan dorongan, penentu, pemantau dan panduan dalam mencapainya. Tanpa iman dan Islam menjadi niat dan jalannya maka apakah bezanya pencapaian kita dengan individu, masyarakat dan negara-negara bukan Islam? Mereka menjadi kaya, maju dan kuat tanpa menjadikan akidah, syariat dan akhlak sebagai landasan.
Hijrah tidak boleh dikaitkan berpindah daripada suasana miskin kepada kaya semata-mata. Ini kerana seorang sahabat Rasulullah SAW – Suhaib Ar Rumi RA bertukar daripada kaya kepada miskin akibat berhijrah. Ibnu Hisyam meriwayatkan bahwa ketika Suhaib (RA) berusaha hijrah, kafir Quraisy berkata kepadanya, “Ketika dulu kamu datang kemari, kamu sangat miskin dan tak dipandang sebelah mata. Kini kamu kaya raya. Kami tidak akan relakan kamu pergi membawa kekayaanmu.” Suhaib (RA) menjawab, “Jika kuberikan semua kekayaanku kepada kalian, akankah kalian relakan aku pergi?”. Kafir Quraisy menyetujuinya.
Suhaib (RA) menyerahkan semua hartanya kepada mereka dan berhijrahlah ke Madinah. Mengetahui hal ini Rasulullah (SAW) berkata, “Suhaib telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya. Sungguh, Suhaib benar-benar telah melakukan pertukaran yang menguntungkan dirinya.” Bukan beliau sahaja yang berbuat demikian tetapi itulah jua nasib yang menimpa hartawan-hartawan Islam seperti Abu Bakar Assiddiq, Uthman ibn Affan, Abdul Rahman bin Auf dan lain yang kebanyakannya tinggal sehelai sepinggang apabila seluruh aset dan premis perniagaan mereka terpaksa ditinggalkan di Makkah apabila mereka berhijrah ke Madinah.
Hijrah juga tidak boleh dikaitkan dengan perjuangan meninggikan status sosial. Ini kerana Mus’ab bin Umair RA – seorang lelaki bangsawan yang ternama, bertukar menjadi mujahid yang akhirnya mati syahid dalam keadaan tidak cukup kain kafan untuk menutup jenazahnya. Lihatlah betapa ramainya orang-orang besar Quraisy yang memeluk Islam rela membuang status sosialnya apabila mereka rela makan minum, tidur baring dan hidup bersaudara dengan golongan bawahan yang dulunya adalah kaum pendatang dan hamba abdi.
Hijrah memang bererti perpindahan, tetapi bukan semua perpindahan boleh disifatkan sebagai hijrah. Hanya perpindahan atau perubahan yang diniatkan kerana iman dan Islam sahaja layak dinamakan hijrah. Ini diterangkan oleh hadis berikut:
“Dari Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r.a katanya : ” Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda :’ Hanya sanya amalan-amalan itu adalah ( bergantung ) kepada niat, dan hanya sanya bagi setiap manusia itu apa ( balasan ) yang diniatkannya. Maka barang siapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barang siapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehnya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah keranany.”’
TITIK PERALIHAN MENUJU KEMENANGAN
Hijrah walaupun dilihat pada mata kasar seolah-olah berundur, tetapi sebenarnya tidak. Ia adalah langkah berundur untuk melonjak lebih jauh. Pelaksanaan Islam selepas hijrah menjadi lebih syumul – daripada soal menegakkan akidah, syariat serta akhlak di peringkat diri dan keluarga kepada pelaksanaan sistem pemerintahan, pendidikan, ekonomi, pertanian dan lain-lain lagi di peringkat masyarakat dan negara.
Justeru, hijrah adalah syarat untuk mendapat kemenangan. Tanpa hijrah umat Islam akan kalah. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:
“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa mereka, lebih besar derajatnya disisi Allah. Dan mereka itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.”
Islam telah diperjuangkan di peringkat yang lebih global dan holistik hanya selepas Rasulullah SAW berhijrah. Dan sejak itu jugalah posisi Islam yang mulanya berada di bawah (ditindas) mula beralih ke atas (memayungi dan menaungi). Atas dasar itulah, Sayidina Umar RA memilih hijrah sebagai detik bermulanya kalendar Islam. Ia telah dipilih sebagai mercu tanda bermulanya kemenangan Islam. Agar dengan itu setiap kali menyambut tahun baru Islam umat Islam akan mengimbau detik kemenangan itu sebagai aspirasi mencipta kemenangan baru!
Hijrah digerakkan oleh pemikiran strategik, rohani yang bersih, persiapan fizikal dan material yang ampuh, emosi yang tenteram dengan bantuan Allah menerusi tentera-tentera-Nya yang di langit dan di bumi. Ia bukan sahaja perjalanan merentasi Makkah dan Madinah tetapi hakikatnya merentasi sejarah. Ia adalah satu kebangkitan yang merentasi masa dan ruang (time and space) generasi semasa dan sesudahnya.
DETIK YANG MENENTUKAN
Mari sejenak kita telusuri detik yang menentukan dalam sejarah Islam itu menerusi sajak ini:
HIJRAH KEKASIH
Keberanian Ali menggamit maut di hujung selimut
Ketabahan Asma’ serikandi perancang bekal musafir
Setia, berani dan tabah terserlah
Di hijrah Rasulullah… menuju Allah
ke kota Madinah
Di gua Thur jejaring lelabah mengukir keliru
Merpatipun bersarang rendah menghibur gundah
Bisa ular di kaki Abu Bakar menjadi penawar
Angin malam dan ribut pasirpun reda seketika
Tentera Tuhan… akur setia
pada dua kekasih-Nya di dalam gua
Di Madinah suara rindu syahdu mendayu
Hari syukur, tafakur atas nikmat dan rahmat
Marhaban… marhaban… marhaban
meriah kedengaran
Al Qaswa dibiarkan memilih persinggahan
di depan rumah Abu Ayub akhirnya…
bertamulah keberkatan
Dibena masjid telapak semadi ketulusan hati
dengan Ilahi…
sesama insani…
Muhajirin dan Ansar dipersaudarakan
Aus dan Khazraj diserasikan
Perisai ummah benteng kekuatan
Itulah keindahan sebuah hijrah
Yang bertintakan kesusahan…
berdakwatkan ketabahan
Itulah hijrah kekasih Allah
Berasaskan iman bertunjangkan ukhwah
Menara Islam terjulang…
di Madinah Munawwarah!
Di tahap pertama perjuangannya (di Makkah) Baginda terlebih dahulu membina kekuatan iman dan takwa dalam diri pengikutnya. Di peringkat ini fokus Baginda hanyalah pada pembinaan kekuatan dalaman. Ketika ini walaupun ada serangan dalam bentuk fizikal hingga ke peringkat membunuh, Rasulullah tidak melawan walaupun ada sahabatnya yang terkorban.
Untuk meredakan penyeksaan yang ditanggung oleh sahabat-sahabatnya, Baginda mengarahkan beberapa orang sahabatnya hijrah ke Habsyah dan beberapa tahun kemudian Baginda sendiri hijrah ke Madinah. Pada peringkat awal di kota Madinah baginda memulakan beberapa langkah penting dan besar di tahap kedua.
Untuk pengukuhan ilmu, iman dan amal secara berterusan di binanya masjid – pusat pembinaan kekuatan rohaniah. Untuk kekuatan ukhwah, dipersaudarakannya golongan Muhajirin dan Ansar. Untuk menyatukan seluruh penduduk Madinah (yang Islam dan bukan Islam) dimetrainya Piagam Madinah – yang menjamin keamanan dan sistem pertahanan bersama. Kekuatan ekonomi mula dibina dan sistem hidup yang memerlukan pelbagai kepakaran mula diterokai – pasar, kebun, sistem perparitan dan kebersihan kota mula dilaksanakan.
Tiga atau empat tahun kemudian, apabila kekuatan Islam mula terserlah dan musuh terus mencabar, barulah Rasululah mengangkat senjata dan berlakulah beberapa siri peperangan yang bersifat defensif. Mula-mula Badar, kemudian Uhud dan akhirnya Khandak. Keberanian dan kepakaran dalam bidang ketenteraan tidak menggangu kecintaan Rasulullah s.a.w. kepada perdamaian. Lalu berlakulah perjanjian Hudaibiyah.
Rasululah s.a.w. berani berperang dan berani berdamai dan dalam kedua-dua keadaan tersulam satu kebijaksanaan, kejujuran dan kekuatan yang sukar ditandingi. Dan akhirnya, dengan hati yang bertakwa, pemikiran yang strategi dan persediaan fizikal yang mantap, Makkah berjaya dibebaskan dan Islam tersebar di seluruh Jaziratul Arab.
Itulah langkah-langkah yang produktif dan konstruktif sebaik berlakunya peristiwa hijrah. Hijrah merupakan satu tahap berlakunya “turing point” (titik peralihan) dan “turning over” (titik perubahan) dalam perjuangan Islam. Hijrah yang telah berlaku hampir 1430 tahun yang lalu itu hakikatnya terus signifikan dan relevan untuk dijadikan asas dan teras dalam pemikiran, pertimbangan, keputusan dan tindakan umat Islam masa kini.
BERSAMA HIJRAH
Maal Hijrah ertinya “bersama hijrah.” Bersama hijrah bukan bermusim dan terhad sifatnya. Sambutan yang dibuat saban tahun tidak akan bermakna sekiranya ibrah dan hikmah di sebalik hijrah tidak terserlah. Ia akan terus menjadi ritual yang tidak membangunkan spiritual umat – sama seperti sambutan Maulid Nabi, Nisfu Sa’aban, Nuzul Quran, Lailatul Qadar dan lain-lain lagi. Bersama hijrah bermaksud mempelajari, memahami, menghayati dan mengamalkan dan memperjuangkan iman dan Islam berdasarkan “resipi” yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.
Hijrah yang menjadi tuntutan secara berterusan ialah berpindah atau berubah daripada buruk (jahat) kepada yang baik. Dan ukuran baik atau buruk itu dibuat berdasarkan perspektif iman dan Islam. Bersama hijrah dalam erti kata yang lebih luas ialah sentiasa berubah kepada Islam dan iman yang lebih baik sama ada untuk diri, keluarga, organisasi, masyarakat mahupun negara kita.
Bersama hijrah juga bermaksud sentiasa melakukan perubahan ke arah memperkukuhkan Islam secara istiqamah dan total. Hijrah diri, ialah sejauh mana diri diubah ke arah yang lebih baik dan mantap dari sudut akidah, syariat dan akhlak. Hijrah diri itu perlu diteruskan ke peringkat keluarga, organisasi dan masyarakat.
Manakala hijrah negara pula merangkumi hijrah sistem ekonomi, pendidikan, sosial dan lain-lain sistem kehidupan ialah sejauh mana semuanya mampu memperkukuhkan iman dan Islam kita untuk memberi keamanan dan kemakmuran kepada orang Islam dan bukan Islam persis yang dibuat oleh Rasulullah SAW di negara Islam Madinah dahulu.
Untuk melakukan hijrah yang menyeluruh itu, semua pihak mesti berperanan. Kenali watak dan peranan wira-wira hijrah yang mampu dan sesuai untuk diteladani. Pilihlah, sama ada untuk meneladani:
• Kesetiaan dan kemurahan hati Sayidina Abu Bakar (menyediakan keperluan logistik dan teman karib kepada Rasulullah SAW).
• Keberanian dan amanahnya Sayidina Ali (berselimut di tempat tidur Rasulullah SAW dan memulangkan kembali harta orang ;lain yang diamanahkan kepada Rasulullah SAW).
• Kecekapan Asma binti Abu Bakar (menyediakan makanan).
• Sifat murah hati Ummu Maabad (rela kambingnya diperah susu untuk memberi minum dalam perjalanan Rasulullah SAW dan Sayidina Abu Bakar).
• Kesal dan akurnya Suraqah (yang mulanya menentang tetapi akhirnya tunduk dan yakin kepada kemenangan Islam).
ARMADA HIJRAH
Islam kini menagih hijrah justeru nasibnya yang dagang seperti mana ia bermula. Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW telah benar-benar berlaku. Rasulullah SAW bersabda:
“Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”. H.R. Muslim
Jadilah “orang beruntung” yakni orang yang bersiap sedia untuk melakukan hijrah satu langkah “jump start” yang sangat diperlukan masa kini. Perkukuhkanlah iman dan lakukanlah hijrah setiap masa, di mana sahaja dan di posisi mana pun kita berada. Sentiasa ada set minda (“mind set”) hijrah di dalam diri kita yang menyebabkan apa sahaja yang kita fikir, rasa, buat dan laksanakan adalah ke arah Islam dan iman yang lebih baik.
Setiap diri berfikir untuk menghijrahkan hati, akal, nafsu, emosi dan fizikalnya ke arah iman dan Islam. Ibu bapa berfikir bagaimana menghijrahkan keluarganya. Guru-guru bertanggung jawab menghijrahkan sekolah. Imam hijrah dengan anak-anak kariahnya. Pemimpin masyarakat menghijrahkan kampung, mukim, bandar dan daerah. Wakil rakyat di kawasan parlimen masing-masing. Begitu juga dengan ADUN. Tokoh-tokoh korporat, menteri-menteri pula berperanan memimpin armada hijrah yang lebih besar dan luas lagi…
Inilah pra syarat untuk mencapai kejayaan. Bantuan Allah akan sentiasa bersama kita jika kita bersama hijrah. Maha Hebat Allah yang menjadi sesarang lelabah dan merpati yang zahirnya begitu lemah untuk melindungi dua orang kekasihnya di gua Thur… Namun di situlah kehebatan kuasa Allah yang pernah menjadikan air untuk menewaskan Firaun dan bala tenteranya, nyamuk untuk membunuh Namrud, burung dan batu kecil ketika memusnahkan tentera bergajah Abrahah.
Dan untuk kita umat Islam akhir zaman, pasti ada bantuan yang sama, dengan syarat kita berhijrah dengan tenaga, harta, masa dan jiwa. Hijrah atau kalah, yang mana satu pilihan kita?
Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..
Berbicara tentang tulisan..saya bukanlah insan yang kreatif dan kritis untuk menitipkan kata.Namun,bila merenung kronologi hidup ini,baru saya sedar,rupa-rupanya saya memang berminat untuk menceburi bidang penulisan.Dan saya amat berminat membaca tulisan2 serta pandangan2 orang lain.
menulis ini juga suatu seni..melalui penulisan,otak kita mampu berkembang dengan baik sebagai pemikir dan perancang kerana apabila menulis kita akan mengerah minda untuk menghasilkan idea2 baru yang bernas serta menarik.dalam penulisan juga kita akan bercerita tentang hidup,yang kadang-kadang tidak mampu untuk dikongsi secara lisan bersama insan lain.dan biasanya seorang yg pemendam atau pendiam (lebih-lebih lagi wanita) gemar menterjemahkan apa yang mereka rasa melalui tulisan.bagi mereka(mungkin juga saya^_^)cara ini adalah lebih adil.hati tenang dan puas,dan orang lain yang membaca juga akan dapat faedahnya sama..inshaAllah..
sahabat2,ingatkanlah saya andai tulisan saya menyebabkan diri insan lain terasa diaibkan,disakiti dan dianiayai.tulisan juga mempunyai pengaruh yang besar di dalam hidup.orang akan mengganggap tulisan kita adalah diri kita.itulah perasaan kita,akhlak kita,pandangan kita,kehidupan kita.andai kita sering menceritakan kelemahan dan keburukan orang lain di dalam tulisan,secara automatik orang yang membaca akan dapat menilai bagaimana diri kita serta paradigma kita.andai ingin menegur,tegurlah secara berhikmah dan bijaksana.teguran yang diiringi dengan kata2 yang lembut dan sopan akan lebih diterima oleh hati2 manusia,kerana semulajadinya manusia itu diciptakan suka kepada kebaikan dan kebenaran.
sering juga kita meluahkan kemarahan melalui tulisan.dan tanpa kita sedar,kadangkala kemarahan yang kita terjemahkan ke atas sekeping kertas,mesej,blog dan sebagainya membuatkan hati insan lain terguris.begitu halusnya seni penulisan walaupun ia hanyalah paparan huruf dan bukan zahirnya wajah seseorang secara nyata.justeru,menulislah secara berhemah dan memikirkan jangka panjang.bimbang kesan akan datang akan lebih parah.mad'u yang asalnya ingin rapat dengan kita semakin menjauhkan diri lantaran terasa hati dengan apa yang kita tulis.bukankah itu satu kerugian?
ingatkanlah saya jika saya terlupa...
tulisan ini adalah peringatan kepada diri saya yang utama dalam proses untuk merealisasikan impian menjadi da'ieyah yang baik,inshaAllah..semoga setiap kalimah dan huruf yang saya tulis akan meninggalkan kesan yang baik buat insan2 lain yang membaca sepertimana diri saya terasa dimuhasabahkan setiap kali saya membaca tulisan orang lain.
semoga kita benar2 ikhlas untuk menyampai dan menyebarkan Islam selagi hayat dikandung badan.walaupun hanya seorang yang membaca,moga2 dakwah ini akan tersebar di seluruh dunia.kita bukanlah menginginkan blog kita atau nama kita disebut-sebut atau dipuji-puji,tetapi mengharapkan agar semua umat Islam yang membaca penulisan kita merasai betapa indahnya menganut agama yang mulia ini.
buat muslimah solehah sekalian,sebaiknya peliharalah dirimu,dan tidak mempamerkan kejelitaan dirimu di ruang-ruang blog ataupun friendster dengan aksi-aksi yang kurang menyenangkan.muslimahku,kita dicipta dengan sebaik-baik kejadian..diri ini,peribadi ini teristimewanya hanyalah untuk tatapan imam kita,suami kita yang amat dicintai..
mengharap dan terus mengharap Redha Ilahi..
Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusof selalu berasa khuatir jikalau ibadahnya kurang khusyuk.Lantas,dia sering bertanya kepada orang yang dianggap lebih warak dan tekun beribadah,bagi memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk itu.
Suatu hari,Isam telah menghadiri majlis yang dikendalikan oleh seorang abid bernama Hatim al-Assam.Di penghujung majlis, Isam pergi mendapatkan abid terkenal itu dan bertanya,
"Wahai Hatim,bagaimanakah caranya tuan solat? "
Jawab Hatim, "Apabila masuk waktu solat,aku berwuduk zahir dan batin."
"Wuduk zahir dan batin ?" Isam bertanya kembali, "Apa maksud tuan?"
Hatim memberitahu,
"Wuduk zahir adalah sebagaimana biasa iaitu membasuh semua anggota wuduk dengan air.Sementara wuduk batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara,iaitu BERTAUBAT,MENYESALI DOSA YANG TELAH DILAKUKAN,TIDAK MENCARI ATAU MENGHARAP PUJIAN ORANG,TIDAK TERGILA-GILAKAN DUNIA,TINGGALKAN SIFAT MEMBANGGA DIRI, BUANGKAN SIFAT KHIANAT DAN MENIPU, dan yang ketujuh,MENINGGALKAN SIFAT DENGKI."
Seterusnya Hatim memberitahu,
"Selesai wuduk zahir dan batin, aku pergi ke masjid, kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat.Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan membayangkan bahawa aku sedang berhadapan dengan Allah,syurga di sebelah kananku,neraka di sebelah kiriku,malaikat maut di belakangku dan aku kini berdiri di atas titian siratal mustaqim.Aku menganggap bahawa solatku ini adalah solat terakhirku,kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.."
"Setiap bacaan dan doa dalam solat aku fahamkan maknanya,kemudian aku rukuk dan sujud dengan tawadhuk,aku bertasyahud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas.Begitulah aku bersolat selama 30 tahun."
Demi mendengar kata-kata itu,Isam terus menangis kerana bersakan selama ini ibadahnya kurang baik berbanding Hatim.
Wallahua’lam..
Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..
Alhamdulillah,semenjak pulang ke Malaysia saya dapat melepaskan kerinduan saya yang teramat untuk membaca buku-buku haraki yang menjadi koleksi simpanan.Di Mesir kawalan/peraturan keselamatan amat ketat.Untuk kebaikan diri dan persatuan,kami tidak digalakkan untuk menyimpan buku2 haraki,bimbang ada serbuan dari pihak polis di sana..
Di sini saya ingin berkongsi dengan semua tentang isi2 penting dalam buku 'Apa ertinya saya menganut Islam'..buku haraki pertama yang menjadi kesayangan saya sedari sekolah menengah.khatam berpuluh kali pun masih tak puas nak baca=)
SENDI2 KEKUATAN DALAM MEMERANGI NAFSU
1-HATI ~ Hati akan menjadi benteng yang kuat dalam memerangi nafsu sekiranya hati itu hidup,lembut,bersih,cekal dan selalu mengingati pesanan Sayyidina 'Ali yang berbunyi:
" Sesungguhnya Allah SWT mempunyai bejana di atas buminya iaitu hati-hati..maka hati yang paling disukai oleh Allah SWT ialah hati yang lembut,bersih dan cekal.Kemudian Saidina Ali menafsirkan (kalimah-kalimah tersebut dengan) katanya; Cekal dalam pegangan agama,bersih di dalam keyakinan dan lembut terhadap saudara-saudara mukmin.."
Saidina Ali juga berkata : " Hati seorang mukmin itu bersih,terdapat padanya pelita yang bercahaya.Hati orang kafir itu hitam serta berpenyakit."
2-AKAL ~ Akal adalah ciptaan Allah yang dapat melihat,mempunyai daya memahami sesuatu,mampu membezakan dan dapat menyimpan sesuatu fahaman dari ilmu-ilmunya di mana dengan ilmu kelak ia dapat menghampirkan diri dengan Allah , mengetahui keagungan Allah serta kekuatanNya.
Rasulullah SAW berpesan kepada Saidina Ali Karamallahu wajhah:
" Apabila manusia mendampingi Allah dengan melakukan berbagai amalan kebajikan maka engkau dampingilah Allah dengan akal fikiran engkau."

Doa ini sangat masyhur dan disebut sebagai Ummu AdDu'a ( ibu segala doa ) iaitu doa yang bermaksud :
" Wahai Tuhan kami , kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat . Dan selamatkanlah kami dari azab neraka ." ( Surah Al- Baqarah : ayat 201 )
Namun dalam realitinya , manusia ada bermacam - macam sikap dan mentaliti dalam memohon hasanah dari Allah SWT . Ada yang hanya memohon kebaikan di dunia.Kebaikan yang mereka pinta dan buru di atas dunia ini pun adalah kebaikan yang ditafsirkan menurut kerakusan nafsu . Bukan kebaikan yang dikehendaki oleh agama. Allah berfirman mengenai mereka :
" Dan di antara manusia ada yang berkata : Ya Tuhan kami , berilah kami (kebaikan) di dunia . Tetapi tidak ada baginya di akhirat pembahagian , " ( Surah Al- Baqarah : ayat 200 )
Golongan ini hanya mendapat kebaikan di dunia yang tiada ' nilai akhirat ' atau tidak dapat dimanfaatkan untuk akhirat . Kebaikan buat mereka hanya berakhir di dunia . Ada pula golongan yang hanya mahu berdoa untuk kebaikan akhirat . Dalam sepotong hadis sahih riwayat Imam Muslim , Ahmad dan At- Tirmizi dikisahkan mengenai seorang lelaki Ansar yang ditimpa penyakit teruk.
Rasulullah SAW pergi menziarahinya dan bertanya :
" Adakah engkau telah mengatakan sesuatu ?
Jawabnya : " Ya Rasulullah ! aku telah berdoa : Ya Allah sekiranya Engkau akan menyeksaku di akhirat nanti dengan sesuatu seksaan , segerakanlah azab itu ke atasku ( di dunia )
Bersabda Rasulullah SAW : " Subhanallah , apakah kamu sanggup menanggung siksa Allah ? katakanlah ( berdoalah ) : " Kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat . Dan selamatkanlah kami dari azab neraka ."
Satu golongan lagi adalah mereka yang langsung tidak memikir , mengendahkan apalagi untuk mendoakan kebaikan di dunia mahupun di akhirat . Golongan yang terbaik adalah mereka yang memohon kebaikan di dunia dan akhirat . Inilah yang dikehendaki Allah dan diajarkan oleh Rasul Nya. Di dalam tafsir Sofwatut Tafasir , As Syeikh Muhammad Ali as- Sobuni menuliskan bahawa orang yang memohon kebaikan di dunia dan di akhirat ini adalah tergolong di dalam mukmin yang berakal .










