Daisypath Anniversary tickers
Masjid Nabawi-Part 2

Masjid Nabawi sangat istimewa.Ia bukan sekadar sebuah masjid biasa yang hanya berfungsi untuk solat.Pada zaman Rasulullah SAW lagi,institusi masjid ini sangat tinggi tarafnya.Tempat untuk solat,majlis-majlis ilmu,bermesyuarat,malah tempat yang menyeronokkan bagi kanak-kanak.Mereka menghafaz Al-Quran di dalam masjid dan di luar dataran masjid seolah-olah menjadi tempat rekreasi.Mereka bermain,berlari ke sana ke mari dengan seronoknya.Para ibu pula menjinjing beg-beg makanan dan jag air untuk makan bersama kawan-kawan,seperti berkelah di tepi pantai.


Setiap hari ramai kanak-kanak yang memenuhi kawasan masjid.Pada waktu solat,mereka mendirikan solat bersama ibu mereka.Selesai mengerjakan solat,permainan bermula.Merekalah yang memeriahkan kawasan luar Masjid Nabi.Sementara para ibu yang ada di dalam,ramai yang datang dengan membawa bayi dan anak-anak yang masih kecil.Ada yang mengendong bayi yang lebih kecil dari usia Muadz.Saya kira itu adalah didikan buat anak-anak mereka.Agar anak-anak terbiasa dengan suasana masjid,terbiasa dengan solat berjemaah,membaca Al-Quran dan majlis-majlis ilmu.Subhanallah,.

Halaqah Al-Quran

Sekiranya anda pernah menziarahi Masjid Nabawi,anda akan melihat banyak kumpulan-kumpulan kecil yang membaca dan menghafaz Al-Quran bersama guru-guru mereka.Bermula dari kanak-kanak yang berumur 5 tahun hinggalah ibu-ibu yang sudah ada anak dan cucu-semuanya boleh mendaftar untuk memasuki halaqah Al-Quran ini.

Pendaftaran hanya dibuka pada 1 hingga 7 Muharam pada setiap tahun. Alhamdulillah kelas telah bermula pada 1 Safar yang lalu.Ketika pendaftaran,muallimah akan bertanya sama ada kita mahu menghadiri kelas yang bermula selepas Asar hingga maghrib atau kelas yang bermula selepas maghrib hingga Isyak.

Impian saya untuk memasuki Halaqah Al-Quran tidak kesampaian.Sebabnya?Syarat untuk menyertai halaqah adalah ibu-ibu yang mendaftar tidak dibenarkan untuk membawa bayi bersama ketika mengaji Al-Quran..Ohh tidak..sedihnya rasa hati..Bagaimanapun saya faham..Muallimah tidak mahu anak-anak kecil ini mengganggu proses pembelajaran itu nanti.Suami saya pula ada talaqi bersama Syeikh Maqrami pada masa yang sama.
Tidak mengapa,semoga masa yang ada itu dapat saya manfaatkan untuk mengulang ayat-ayat Al-Quran yang pernah saya hafaz sebelum ini.

Seminar Kekeluargaan

"Tak mengapa,kalau Ain tak dapat masuk kelas Quran,abang hantar Ain pergi seminar Keluarga di Darul Hadith ya," pujuk suami menenangkan saya.

Kami pun terus bergerak ke Darul Hadith yang terletak tidak jauh dengan Masjid Nabawi.Seminar ini sepatutnya bermula pada jam 4 petang dan tempat ini hanya dikhaskan untuk wanita.Para suami pula akan mendengar ceramah tersebut secara live di Universiti Islam Madinah bersama dengan penceramah,sementara kami akan melihat dan mendengar ceramah tersebut dari layar skrin yang akan ditayangkan di dalam dewan ini.

Beginilah kebiasaan ceramah-ceramah yang diadakan di Madinah.Lelaki dan wanita pasti akan diasingkan.Walaubagaimanapun ceramah masih dapat didengar dengan baik dan jelas walaupun tidak dapat melihat wajah penceramah secara live.

Apabila kami sampai di Darul Hadith,kami bersegera menuju ke pintu masuk.Penjaga Darul Hadith menahan kami.

" Maaf,bayi tak dibenarkan masuk," kata pak cik itu kepada kami.

Muka saya kembali mendung.Baru kali ini saya faham,inilah yang dinamakan pengorbanan setelah mempunyai anak -_-

Suami memahami kesedihan di hati saya.

"Tak mengapa,Ain masuk dulu dalam 1o minit.Abang tunggu di sini dan jaga Muadz.Sekurangnya dapat dengar sedikit," suami memujuk lagi.

Saya pun masuk. Subhanallah,dewannya sangat luas dan selesa.Seperti auditorium,dilengkapi dengan skrin-skrin,TV dan PA System yang canggih."Seronoknya!" Jerit saya di dalam hati.

Malangnya seminar ini masih belum bermula.Kata Penjaga wanita yang ada di tempat itu,insyaAllah seminar bermula selepas Maghrib..Nampaknya sekali lagi saya tidak dapat menyertainya.Suami perlu menumpukan perhatiannya kepada pelajaran kerana peperiksaan akan bermula pada minggu hadapan.Tidak sampai hati pula saya untuk meminta suami menjaga Muadz.Saya tidak mahu mengganggunya mengulangkaji pelajaran.

"Tidak mengapa.Pasti ada hikmah di sebaliknya," saya berbisik kepada diri sendiri.

Kami kembali semula ke Masjid Nabawi selepas itu.Saya merenung wajah Muadz.
"Tak mengapa sayang.Allah tahu setiap niat hambaNya.Allah akan bagi peluang lagi kepada kita nanti,InsyaAllah." ^-^

Aisyah : Sahabat Dari China

Kami menggelarkannya 'Aisyah Sini'(Aisyah China).Dia sahabat pertama yang menegur saya ketika saya mula masuk ke kelas Maahad Lughah di sini pada bulan Mac yang lalu.Umurnya?Sudah memasuki 40 Tahun tetapi masih semangat dan kuat belajar.Maahad Lughah kami sangat unik mashaAllah.Terbuka kepada semua orang asing yang tinggal di Madinah,hanya untuk wanita.Majoriti sahabat-sahabat saya adalah isteri dan ibu kepada 2 atau 3 orang anak,malah sudah ada yang bercucu.Maahad ini tidak ada had umur.Tetapi peraturan maahad sangat ketat.InsyaAllah pada entry yang lain,saya akan menulis khas tentang maahad saya :)

Berbalik kepada kisah 'Aisyah Sini'..
Selepas saya bersalin saya langsung tidak menemuinya lagi.Saya telah berhenti dari maahad kerana bermasalah untuk mencari pengasuh untuk Muadz.Lagi pula,saya telah menyimpan azam untuk menjaga Muadz 24 jam di hadapan mata saya kerana ini pengalaman baru pada saya sebagai seorang ibu.Saya masih tidak ada pengalaman,jadi setiap detik saya ingin bersama Muadz,melihat setiap perkembangan dan keperluannya.Keputusan berat terpaksa saya ambil,saya terpaksa berhenti belajar di maahad.

Beberapa minggu yang lalu,ketika saya tergesa-gesa keluar masuk Masjid Nabawi untuk melakukan urusan pendaftaran Halaqah Al-Quran,dari kejauhan saya melihat seorang wanita tersandar di tiang masjid,berpakaian putih dan bertudung hitam.Seperti tarikan magnet,saya mendekati wanita itu.Dia sedang sibuk membaca mudzakirat-kertas pembelajarannya.Di kiri dan kanannya terdapat kertas dan alat tulis.

Tidak semena-mena saya terus menegur..Aisyah!!!
Aisyah terkejut.Mungkin pada fikirannya wanita Arab manalah yang tiba-tiba menegurnya itu.Mukanya masih keliru..

"Aisyah,ana Ainun.Syuf!" Saya menyelak sedikit Niqab supaya dia mengenali saya.
"Subhanallah,Ainun!" Dia terus memeluk saya.

Air mata saya menitik setitis dua.Saya terlalu rindu!

"Aisyah,kamu buat apa ni?" Kami berbual di dalam Bahasa Arab kerana Aisyah tidak mengetahui Bahasa Melayu dan saya tidak pandai bercakap Bahasa Cina ^-^

"Tengah menghafaz Hadith ni.Lusa imtihan..Susahlah..Saya tak berapa faham..Lagipun saya dah tua.Payah nak ingat," Aisyah mengadu pada saya.

" Mafi musykilah Aisyah.Saya tahu kamu boleh.Kamu cemerlang.Kuatkan semangat.InsyaAllah kamu boleh," saya cuba menyuntik kata-kata semangat padanya.

Setelah hampir 10 minit kami berkongsi rasa,akhirnya saya terpaksa meminta izin untuk beredar.Suami dan anak sedang menunggu saya di luar masjid.

Alhamdulillah,saya bersyukur dapat bertemu dengannya.Saya rindu pada Aisyah,Hafizah-sahabat saya dari Perancis dan sahabat-sahabat lain.Mereka sangat baik MashaAllah..Terasa ukhwah kami erat walau kami berbeza bangsa dan cara hidup.

Aisyah..dia akan kekal di hati saya sebagai sahabat yang sangat istimewa..InsyaAllah!

Masjid Nabawi - Part 1

Apabila berakhirnya musim haji dan pulangnya jemaah Haji ke negara masing-masing bermakna Masjid Nabawi akan berkurang tetamunya.Masjid Nabawi lengang.Walaupun ramai masyarakat tempatan yang datang bertali arus mengerjakan solat di Masjid Nabi,namun tidak akan sama kepadatannya berbanding musim Haji dan Umrah.


Waktu ini Alhamdulillah kami dapat bersolat di Raudhah dengan tenang.Tidak ada tolak-menolak,pijak-memijak dan tarik-menarik seperti kebiasaan yang berlaku apabila manusia terlalu ramai.Namun kemeriahan lebih terasa apabila tetamu-tetamu Allah datang menziarahi Madinah.InsyaAllah sedikit masa lagi visa Umrah akan dibuka.Saya tidak pasti bilakah jemaah umrah akan tiba.


Prof Muhaya

Cara Cloth Diapers Tahan Lebih Lama


Dari blog :
http://clothdiapermalaysia.com/



Bagaimanakah cara untuk membolehkan Cloth Diapers tahan lebih lama?

LAKUKAN LAH YANG BERIKUT:


1.Paling utama, beli lah Cloth Diapers yang berkualiti atau yang diketahui umum sebagai jenama yang tahan lama (tanyakan lah pendapat ibu-ibu lain yang ber-Cloth Diaper untuk mendapatkan tips).


2.Pastikan stok Cloth Diaper mencukupi, dan lebih bagus jika mempunyai Cloth Diapers dalam jumlah yang banyak. Ini kerana apabila Cloth Diapers yang sama dipakai dan dibasuh berulang kali, ia akan menyebabkan ianya cepat lusuh dari “wear and tear”. Diibaratkan seperti pakaian kita lah, kalau ada 5 helai sahaja dan kita pakai dan cuci hari-hari, mesti tak sampai berapa bulan sudah lusuh atau mungkin koyak, bukan?


3.Pilih Cloth Diapers jenis “Snaps” atau butang berbanding Velcro untuk mengelakkan Velcro nya cepat “haus”. Secara umum, Cloth Diapers snaps akan kelihatan “baru” lebih lama berbanding Velcro.


4.Jaga lah Cloth Diapers dengan teliti. Pastikan cara pembasuhan dan penggunaan harian mengikut kaedah yang disarankan jenama Cloth Diapers tersebut. Kaedah penjagaan meungkin berbeza bergantung kepada material yang digunakan.


5.Gunakan cecair/serbuk pencuci yang sesuai untuk Cloth Diapers! Jangan gunakan pencuci yang ada peluntur, enzim, fosfat, pengawet atau pelembut/pewangi di dalamnya. Bahan-bahan ini boleh menyebabkan Cloth Diapers bocor dan mudah rosak.

7.Jika anda ingin menggunakan Cloth Diapers untuk anak-anak yang seterusnya, belilah Cloth Diapers yang bersaiz (sized diapers) berbanding “One-Size”. Ini kerana Cloth Diapers bersaiz kurang kerap digunakan dan kualitinya akan tahan lebih lama jika disimpan. Bayangkan, Cloth Diapers “One-size” dipakaikan semenjak bayi baru lahir sehingga 2 tahun, betul kah ia boleh digunakan dengan sempurna untuk adiknya pula?


8.Sesekali, lakukan “strip washing” untuk menghilangkan bau-bauan dan juga kulat (mold/fungi) yang mungkin tumbuh di Cloth Diapers. Keadaan ini boleh menyebabkan Cloth Diapers rosak.


9.Keringkan Cloth Diapers dengan menyidai di bawah cahaya matahari (gantung/sidai kan dengan cermat) berbanding menggunakan opsyen “Spin Drying” dalam mesin basuh atau menggunakan mesin Dryer.





10.Untuk All-In-Two (AI2) diapers dan juga diaper covers, bahagian luarnya (diaper cover) tidak perlu dibasuh dengan kerap, dan elok dibasuh tangan kerana ianya tidak begitu kotor. Ini boleh mengekalkan kualiti lapisan PUL pada diaper cover tersebut.


11.Beli Cloth Diapers yang diperbuat dari material sintetik seperti microfiber kerana ianya lebih tahan lasak berbanding material semula jadi/organik seperti bamboo dan kapas (cotton).


12.Gunakan “laundry bag/net” jika membasuh menggunakan mesin basuh dan menggunakan opsyen “Spin Dry”.


13.Jika menggunakan Cloth Diapers jenis Velcro, sematkan Velcro pada “laundry tab” sebelum membasuh untuk mengelakkannya tertarik/terlekat pada Cloth Diapers yang lain.



JANGAN PULA LAKUKAN YANG BERIKUT!

1.Jangan perah Cloth Diapers terlalu kuat untuk mengelakkan getah (elastic) cepat lusuh.
2.Jangan gunakan sebarang berus yang kasar untuk menggosok/menyental Cloth Diapers.
3.Jangan gunakan pencuci yang ada peluntur, enzim, fosfat, pengawet atau pelembut/pewangi di dalamnya. Bahan-bahan ini boleh menyebabkan Cloth Diapers bocor dan mudah rosak.
4.Jangan basuh Cloth Diapers dengan air yang terlalu panas kerana ini boleh merosakkan PUL (waterproof layer). Jika perlu, gunakan air suam sahaja.
5.Jangan gunakan krim lampin (diaper/nappy cream) bersama Cloth Diapers kerana ia mungkin menyababkan kebocoran (gunakan lah krim yang sesuai untuk Cloth Diapers atau pun lapik Cloth Diapers dengan nappy liner jika menggunakan krim tersebut).
Cloth Diapers itu suatu pelaburan (investment), bukan? Setelah menelaah, melakukan kaji selidik, dan melakukan proses pembelian, sudah tentu kita mahukan yang terbaik dari wang yang kita laburkan pada Cloth Diapers, betul tak?

Namun begitu, kita juga perlu realistik dan tidak boleh beranggapan bahawa Cloth Diapers yang kita beli itu boleh tahan sampai beberapa tahun… Saya berharap tips yang saya utarakan ini boleh dijadikan rujukan untuk anda untuk ber-Cloth Diaper dengan bijak dan pintar!






Tragedi SAPTCO

2 November 2011-6 Zulhijjah 1432 H.



Jam satu pagi,bas SAPTCO yang kami naiki bergerak meninggalkan Madinah menuju ke Jeddah.Bermakna kembara Haji kami sudah bermula.Selain saya dan suami,Ustaz Aizat dan isterinya Kak Azimah beserta anak kecilnya Humaira' juga akan menyertai Kembara Haji ini.Kami mendaftar dengan Syarikat Travel Arab-Qawafil Arabiah di bawah kelolaan UQ-PROTEAM,pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Makkah.



Seperti yang dijadualkan,kami perlu tiba di Jeddah sebelum tengah hari esoknya kerana selepas Zohor,bas-bas Syarikat Qawafil Arabiah akan bergerak ke Makkah untuk terus melaksanakan Tawaf Qudum seterusnya menginap di khemah kami di Mina.



Awal-awal lagi sudah berlaku keributan di dalam bas.Seorang wanita Arab Mesir bertikam lidah dengan pemandu tentang tempat duduk.Saya tidak mengambil pusing dengan apa yang berlaku kerana hati dan minda fokus memikirkan apakah yang bakal berlaku sepanjang saya mengerjakan Haji nanti..Sukarkah?Penatkah?Bersediakah saya?Minda terus berfikir sambil hati tidak putus-putus melafazkan doa.."Ya Allah,permudahkanlah segala urusanku.."



"Ain jangan tidur dulu tau.Lepas Bir Ali baru boleh tidur sebab bas ni takkan berhenti.."Suami mengingatkan saya.



Zulhulaifah atau Bir Ali adalah Miqat bagi penduduk Madinah dan sekitarnya. Jaraknya dengan Makkah lebih kurang 450 kilometer dan lebih kurang 10 kilometer dari Madinah.Di sinilah kami perlu berniat ihram.



"Baik bang,"saya mengiyakan walaupun mata ini sudah terasa terlalu berat.Sesekali saya tersengguk,lantas suami menyiku lembut."Jangan tidur," Arahannya tegas diiringi senyuman tanda kasihankan saya.



Selepas melalui Bir Ali,saya terus tidur.Muadz juga lena di pangkuan saya.Inilah kali pertama Muadz menaiki bas.Syukur Alhamdulillah,sepanjang perjalanan hanya sekali dua dia merengek inginkan susu.Selepas menyusu anak soleh ini tidur semula,memberi peluang kepada umminya untuk berehat sama.




TRAGEDI



Saya terjaga apabila bas berhenti di Mat'am (Kedai makan) di tepi jalan.Saya tidak pasti di mana. Kata pemandu bas,kami sudah hampir memasuki Jeddah.Suasana pagi sangat mendamaikan.Bas berhenti sebentar kerana beberapa orang penumpang ingin membeli makanan untuk bersahur di kedai makan tersebut.



Tiba-tiba dua orang wanita Afrika meminta izin pemandu bas untuk turun kerana ingin membuang air kecil.Pemandu bas pula dengan tegas tidak membenarkan mereka turun.



"Bas berhenti sekejap sahaja.Di sini tiada tandas," Pemandu meninggikan suaranya.



"Tak ada masalah,kami boleh cari,"balas salah seorang wanita Afrika tersebut.



Akhirnya pemandu terus membukakan pintu bas dan mereka pun turun.Perasaan saya kurang enak apabila melihat muka pemandu bas yang masam mencuka.Dalam hati berdoa moga-moga tidak ada perkara buruk yang akan berlaku..Astaghfirullah.



10 minit berlalu..Masih ada seorang lagi wanita Afrika yang belum menaiki bas.Pemandu terus menghidupkan enjin bas dan terus bergerak meninggalkan tempat itu.



"Akhi,ada seorang lagi tertinggal!" seorang wanita menjerit lantang.



Mendengar sahaja jeritan wanita itu,satu bas mula kelam-kabut.



"Berhenti!Berhenti!" Penumpang menjerit bersahut-sahutan.



Pemandu bas masih buat-buat tidak tahu.Masih meneruskan perjalanan.



"Astaghfirullah,akhi!Dia wanita!Takkan nak tinggalkan dia di tempat sunyi begini!" Kedengaran suara menjerit dari belakang.



"Aku sudah beritahu tadi.Jangan turun.Bas cuma berhenti sekejap.Tapi dia nak turun juga."Jawab pemandu bas dengan kuat.



"Tapi dia perempuan.Takkan nak tinggalkan dia begitu!" Balas yang lainnya.



Saya beristighfar di dalam hati..Allah..inilah kali pertama peristiwa ini berlaku di hadapan mata saya.Seorang wanita ditinggalkan di tepi jalan.Hanya tempat persinggahan-cuma ada kedai makan kecil di situ.Dia berseorangan-tiada wanita lain menemaninya.Astaghfirullah..hati dipagut bimbang dan kasihan yang teramat kepada wanita itu.Dia menaiki bas ini untuk ke Jeddah dengan menggendong barang-barang yang banyak dan berat di belakangnya.Saya pasti barang-barang itu adalah untuk dijual,untuk mencari sesuap rezeki.Barang-barang itu masih ada di dalam bas ini,begnya juga masih ada.Tapi tuannya ditinggalkan di tepi jalan,di tempat yang cukup asing baginya.



PERTOLONGAN TIBA



Bas masih riuh-rendah.Tetapi pemandu masih berdiam diri,tidak mahu berhenti apatah lagi berpatah balik untuk mengambil wanita itu.



Tiba di Jeddah,kami melalui kawasan pemeriksaan Polis.Polis memeriksa adakah penumpang-penumpang yang mahu mengerjakan haji mempunyai tasrih ataupun tidak.



Dengan tidak semena-mena,seorang wanita Mesir bangun,menuju ke cermin tingkap pemandu dan memberitahu pihak polis.



"Tuan,ada seorang kawan kami tertinggal di Mat'am belakang,jauh dari sini.Kami terlupa dan tak perasan tadi.Tolong tuan,selamatkan dia,"Wanita itu memusing cerita,tidak memberitahu perkara sebenar.



Polis terkejut.Serentak dengan itu menyuruh pemandu bas turun.



Dua orang lelaki mampir ke hadapan dan bertanya wanita Mesir itu,mengapa tidak memberitahu hal yang sebenar?Wanita itu menjawab,"Aku takut kalau aku dihalau dari bas ini.Kamulah beritahu."



Lama bas kami ditahan.Mungkin pihak polis ingin mendapatkan penjelasan dari pemandu bas.



"Terus-terang dengan aku.Wanita itu sengaja ditinggalkan atau kamu semua terlupa?"Tanya salah seorang anggota Polis.



Lalu lelaki tadi turun dari bas dan berjumpa dengan polis untuk memberitahu hal yang sebenar..



"ALLAH TAK PERNAH TIDUR!"



Lebih kurang satu jam kami menunggu..Tiba-tiba sebuah kereta Polis berhenti di hadapan bas kami dan keluarlah wanita Afrika dari perut kereta tersebut.



"Alhamdulillah!" Kami semua mengucap syukur.Polis menyelamatkan wanita tadi dan membawanya kembali ke bas kami.



Pemandu kembali menaiki bas.Diam-langsung tidak bersuara.Mungkin dia telah menerima ceramah percuma dari Polis-polis tadi.



Wanita Afrika itu naik.Di wajahnya tergambar perasaan sedih dan geram bercampur dengan perasaan Syukur.



"Allah Mafi Naum!Allah Mafi Naum!" Tiba-tiba dia menjerit kuat.Apa yang saya faham,dia ingin memberitahu kami semua bahawa Allah Tidak pernah tidur.Bas kembali hingar-bingar.



"Allah tak pernah tidur.Kalau Allah tetapkan aku selamat,aku akan selamat.Allah tahu apa yang berlaku pada aku.Allah yang selamatkan aku."Kuat suaranya meluahkan perasaan yang ditahan-tahan.



Pemandu bas tidak menjawab sepatah pun.Hanya mendiamkan diri-pasrah dengan apa yang berlaku.



"Sabar Ukhti.Alhamdulillah kamu dah selamat.Tenang,tenang.." Ramai yang menasihati wanita tersebut.



Akhirnya bas kembali tenang sehinggalah kami tiba di destinasi.



Ianya pengalaman yang sangat berharga.



ALLAH TIDAK PERNAH TIDUR!



Kalimah itu memberi kesan yang mendalam kepada saya walaupun ia diucapkan spontan oleh wanita itu.Dalam keadaan saya mencari motivasi dan kekuatan hati untuk mengerjakan Haji,Allah menghantar wanita itu untuk memberi semangat kepada saya-menyedarkan dan menyentap hati saya.



ALLAH TIDAK PERNAH TIDUR..Dia Maha Tahu apa yang akan berlaku dan telah berlalu.Dia Maha Tahu setiap detik hati hamba-hambaNya sepanjang masa,tidak akan tertinggal walau seminitpun.Mintalah pada Allah,Dia Ada dan mendengar semua permintaan kita.



Tragedi Saptco..Ianya seperti sebuah drama yang sangat memberi kesan kepada jiwa..








Muadz dan Haji

Bismillahirrahmanirrahim..

Sudah empat hari kami sekeluarga pulang dari menunaikan Fardhu Haji.Syukur Alhamdulillah,Allah permudahkan segalanya.Benarlah,Haji itu punya aromanya yang tersendiri.Saya yakin,setiap insan yang pernah melalui Ibadah Haji ini,pasti menyimpan memori yang tersangat indah dalam hidupnya.Haji sangat berbeza dengan ibadah yang lain.

Saya dan suami berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan untuk membawa Muadz bersama-sama kami mengerjakan Haji.Bayi kami baru 6 bulan,sangat bergantung sepenuhnya kepada ummi dan abahnya.Lama kami berbincang,melakukan SWOT dan Brainstorm-mengkaji baik dan buruk membawa Muadz mengerjakan Haji.Akhirnya,hasil solat Hajat dan Istikharah,kami membuat keputusan untuk membawa Muadz bersama.

Debar di hati ini hanya Allah yang tahu.Sudahlah ini kali pertama saya mengerjakan Haji,masih kurang jelas bagaimana praktikalnya nanti.Tetapi apabila memikirkan Muadz yang masih menyusu penuh dan kerap bangun pada waktu malam,saya akhirnya berlapang dada dan menguatkan hati untuk membawa Muadz bersama.Kami sungguh-sungguh bertawakkal pada Allah.Saya sentiasa bisikkan di dalam hati dan diam-diam saya mengucapkannya pada Muadz,



" Muadz,kita tetamu Allah.Allah akan jaga Muadz,lebih baik dari ummi menjagamu nak.Muadz kuat semangat ya sayang.Allah jaga Muadz,Allah jaga Muadz.."


berulang kali saya lafazkan kalimah ini kepada Muadz dan syukur Alhamdulillah..Muadz seakan mengerti..

Dengan izin Allah,dengan kuasa Allah-Rahman dan RahimNya-bermula dari kami Tawaf Qudum sehinggalah berakhir Ibadah Haji,Muadz tidak meragam dan menangis langsung.Sungguh Allah mendengar detik hati hamba-hambaNya.Sungguh saya amat takjub dengan bantuan Allah ini.Ya,bukan mudah ke sana ke mari bersama anak kecil,apatah lagi mengerjakan Haji,tetapi bagi saya apabila kita yakin dengan bantuan Allah,Allah pasti tidak akan sia-siakan doa hambaNya.

Saya pohon bantuan Allah agar mengilhamkan saya menulis pengalaman selama mengerjakan Haji ini.Saya ingin sekali berkongsi dengan insan-insan lain,agar ianya beroleh manfaat bersama..Doakan saya!



Muadz dan abah sewaktu wukuf di Arafah

Di Atas Rantaian Ukhwah Ini..


Mei 2004.

Saya mula mendaftarkan diri di Darul Quran JAKIM.Membawa cita-cita tinggi untuk menghafaz Al-Quran,bidang yang menjadi kecintaan saya sejak kecil.Lebih kurang seminggu saya dan kawan-kawan menjalani orientasi.


Saya mula bertemunya di Masjid Darul Quran.Taaruf dimulakan dengan berbalas senyuman,tanpa disengajakan."MashaAllah,comel," bisik saya di dalam hati.Kami tidak sempat berbual apa-apa kerana masa yang perlu ditepati selaku peserta orientasi.


Minggu orientasi selesai,alangkah seronoknya.Setiap hari kami bertembung lagi di Masjid Darul Quran,tempat yang paling utama dan selesa bagi pelajar-pelajar Darul Quran menghafaz Al-Quran.Masjid yang luas,ditambah lagi dengan pemandangan tasik yang cantik mengelilingi kawasan masjid,membuatkan hati terasa amat tenang.


"Assalamualaikum,Diyana sihat?" saya menegurnya ketika kami bertembung ingin mengambil rehal untuk meletakkan Al-Quran yang ingin dibaca.


"Waalaikumussalam.Alhamdulillah sihat.Dah habis ye orientasi.." Dia membalas sapaan saya dengan senyuman.


"Ya,habis dah.Lega.." kami sama-sama tersenyum mesra.


Saya suka memilih kawasan di tepi sebelah kiri masjid untuk menghafaz dan mengulang Al-Quran.Terasa lebih privasi.Diyana pun begitu.Tempat kami mengulang agak hampir cuma kebiasaannya dia di hadapan sedikit.


Kami hanya sempat berbual apabila waktu hendak pulang ke asrama,ketika masing-masing sibuk menyarung jubah,pakaian rasmi pelajar banat( perempuan) di sini.


Rupa-rupanya bilik kami di asrama tidaklah jauh mana.Sering saya bertembung dengannya.Sahabat saya ini murah dengan senyuman.Barulah saya tahu dia merupakan pimpinan bagi pelajar-pelajar Persijilan Darul Quran pada tahun itu.Memang patutlah dia sentiasa kelihatan sibuk ke sana sini dengan menggenggam fail-fail dan buku.


Masjid mempertemukan kami dan masjid jugalah yang mengeratkan kami.Dia sering memberikan nasihat dan perkongsian ringkas kepada saya tentang rencah hidup sebagai hafizah Al-Quran.Maklumlah,saya masih baru dalam bidang yang mencabar ini.Setiap kali selepas Asar,pelajar banat akan diisi dengan slot tazkirah oleh pimpinan ataupun individu sukarela,dan Diyana sering menyampaikan tazkirah ketika itu.


Lebih kurang setahun setengah kami berkenalan di Darul Quran,Diyana meneruskan pengembaraan ilmunya di UIAM.Bermula detik itu kami terus terpisah


Alhamdulillah,dengan berkembangnya teknologi hari ini,saya dapat menjejaki semula sahabat-sahabat lama di facebook,termasuklah Diyana. Rupanya Diyana sudah berumahtangga.Gembira di hati melihatnya bahagia,walaupun hampir enam tahun kami tidak bersua muka.Saya sentiasa mengikuti perkembangannya dan sahabat-sahabat satu batch dengan beliau yang agak rapat dengan saya,antaranya Afzan,Ruby,Syeril dan Mahani.


Lebih gembira di hati ini bila mengetahui Diyana sudah beroleh cahaya mata,seorang puteri yang diberi nama Nurhanan Insyirah binti Ahmad Khalil.Bayi ini lebih kurang usia anak saya,Muhammad Muadz.Wajahnya persis wajah si ibu,sangat comel mashaAllah.




14 OKTOBER 2011


Jumaat,jam 7 malam waktu Saudi.


" Kak,Kak Diyana dah takde.Al-Fatihah.." Mesej ringkas yang dihantar oleh adik saya,Nur Ilyani yang sama-sama belajar di Darul Quran itu mengejutkan saya dan serentak dengan itu memecahkan empangan airmata.


Persoalan terjawab.
Sepanjang minggu itu saya sangat merindui Diyana,Syeril,Ruby,Afzan dan sahabat-sahabat batch mereka.Agak pelik rasanya.Bertahun-tahun kami tidak berjumpa,malah langsung tidak bermesej.Tapi kerinduan ini amat mendalam,apabila mengenangkan kami sama-sama pernah menuntut ilmu di bumi Al-Quran,sama-sama nasihat-menasihati di atas jalan kebenaran.Ukhwah ini terasa sungguh erat,mereka saya rasakan sangat dekat.


Minggu itu juga ketika saya singgah di facebook Diyana,baru saya tahu yang beliau menghidap penyakit SLE.Air mata mengalir saat membaca doa-doa dari sahabat-sahabat beliau.Ya Allah,beratnya ujian yang sedang ditanggung oleh sahabatku.Sempat saya menitipkan doa dan semangat buatnya di wall,tapi saya yakin beliau tidak sempat membacanya kerana ketika itu beliau sedang bertarung melawan penyakit di hospital.


Saya membaca kembali mesej dari Ilyani sebentar tadi.Seperti tidak percaya.Diyana sudah pergi..


Beliau seorang wanita yang solehah dan sangat menjaga kehormatan diri.Beliau rajin mengerjakan Qiyamullail dan solat-solat sunat,rajin menghadiri majlis ilmu.Dan yang pasti,Al-Quran yang menjadi amanahnya sentiasa dan tidak jemu dibaca.Saya yakin beliau pergi dalam keadaan yang tenang,hamba solehah yang gembira bertemu RabbNya.


Keesokan harinya Ilyani terus mengirim berita Allahyarhamah kepada saya.


"Yani kat rumah arwah.Nak simpan pukul 11 waktu Malaysia.Menitis air mata tengok buah hati arwah dan suami berusia 5 bulan..baby ikut muka arwah.."


Air mata saya mengalir lagi.Sedaya upaya saya membalas mesej Yani,


"Allah sayangkan Kak Diyana.Dia sangat baik,dia kembali pada Allah dalam keadaan diredhai Allah dan suami..yani,mesti muka kak Diyana tenang kan sekarang?Akak teringin nak tengok muka baby arwah.yani tolong ambil gambar baby nanti ye.akak tunggu update dari yani.terima kasih banyak-banyak dik.."


"InsyaAllah kak..Baby Hannan sangat comel.Tak meragam pun walaupun bagi susu formula..macam tahu-tahu je.."


Terkenangkan anak Allahyarhamah,Nurhanan Insyirah.Allah pasti menjagamu nak.Allah takkan biarpun dirimu keseorangan tanpa bimbingan dan kasih-sayang.Kamu beruntung lahir dari rahim ibu yang solehah,yang sangat dekat dengan Allah dan sangat tegar dalam perjuangan.


Seharian saya tidak senang duduk.Setiap saat bibir ini melafazkan doa,moga-moga Allahyarhamah tergolong dalam golongan hambaNya yang solehah dan dihimpunkan bersama wanita-wanita Syurga,amin..


Mesej terakhir Ilyani pada hari itu benar-benar mengujakan saya..
"Alhamdulillah arwah dah selamat dikebumikan.Arwah macam tidur lena.."


Alhamdulillah..Allahu Akbar..Benarlah janji Allah sepertimana dalam firmanNya:


"Wahai jiwa yang tenang!Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang redha dan DiredhaiNya.Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,dan masuklah ke dalam SyurgaKu."
( Surah Al-Fajr : Ayat 27- 30)


Sahabatku,moga dirimu tenang di sana..



Allahyarhamah Diyana pada majlis pertunanganAnak Allahyarhamah:Nurhanan Insyirah

Medan Keseronokan Penuntut Ilmu

suami saya ketika membawa ziarah jemaah haji



Musim Haji tiba lagi.

Kebiasannya pada Musim Haji suami saya akan menempuh jadual yang sangat padat,sebagai penuntut ilmu di Universiti Islam Madinah,Talaqqi di bersama Syeikh Khalid di rumah beliau,talaqqi bersama Syeikh Maqrami dan Syeikh Abdul Karim( Mufti Masjid Nabawi)di Masjid Nabawi Asy-Syarif,sebagai muzaawir( Pembawa ziarah jemaah Haji) dan pada masa yang sama menjalankan tugas wajib sebagai suami dan bapa.



Sebagai isteri sering terselit perasaan kasihan di hati apabila melihat wajah suami yang kepenatan setiap kali pulang dari kuliah.Tapi saya tahu suami saya punya visi dan misi yang besar di dalam hidupnya.Kepenatan pulang dari membawa ziarah jemaah Haji Malaysia tidak menghalangnya untuk terus berkejaran menuntut ilmu di Masjid Nabi.


Saya tahu,cintanya pada Ilmu dan para Masyayikh sangat tinggi.

"Kali ni abang tak boleh nak bawa ziarah banyak-banyak masa waktu kuliah.Sayang kelas.Sem ni abang belajar tentang hudud,Qisas dan lain-lain.Beza kita belajar kat sini dengan tempat lain.Kat sini negara yang amalkan Qisas.Penerangan Syeikh sangat mendalam,sangat padat.Di Malaysia nanti kita perlu memahamkan masyarakat pasal hukum ni.Bukan setakat belajar,tapi kita akan jadi tempat rujukan."Luah abang kepada saya semasa kami pulang dari Masjid Nabawi.


Semester ini merupakan semester akhir suami saya bergelar mahasiswa Universiti Islam Madinah.Bermakna semester ini adalah yang paling penting dan perlu kepada tumpuan yang jitu kepada pelajaran.Tidak cukup dengan ilmu yang dicedok dari universiti,peluang belajar dengan Syeikh-syeikh yang amat ramai di Madinah ini perlu dimanfaatkan.Bagi saya,amat rugi sekiranya mahasiswa-mahasiswa di sini tidak mengambil peluang menuntut ilmu dengan syeikh di sini.Peluang terbentang di hadapan mata dengan banyaknya kuliah-kuliah ilmu yang diadakan bukan sahaja di Masjid Nabawi,malah di Masjid Qiblatain dan Quba' juga meriah dengan majlis ilmu.


Inilah medan keseronokan bagi penuntut ilmu.Bagi yang benar-benar bersungguh-sungguh,ilmu itu akan digali lagi,dirujuk dan didalami dari pelbagai sumber.



MESIR MENGAJARKU CINTAKAN ILMU


Tiga tahun saya bergelar mahasiswi Maahad Qiraat Fatayat Mansurah,di bawah naungan Universiti Al-Azhar,Mesir.


Tiga tahun saya menempuh ujian dan cabaran menuntut lmu di tempat orang,yang iklimnya sudah tentu tidak sama dengan Malaysia.


Tiga tahun saya menguatkan hati berpagi-pagian keluar menuntut ilmu seawal jam 7 pagi.Jika ketika itu musim sejuk,kebiasaannya hujan akan turun denga lebatnya di bumi Mansurah.Jalan-jalan akan becak dan sana-sini air bertakung teruk kerana di Mesir tidak disediakan saliran air atau longkang-longkang yang baik seperti di Malaysia.Keluar awal pagi pada musim sejuk bermakna fizikal perlu menempuh fasa gigil-menggigil sepanjang di jalanan.Di dalam kelas Syeikh Husin pula ujiannya lebih berat.Mengantuk yang tidak dapat dikawal-kawal.Bukan seorang dua yang mengantuk,malah boleh dikatakan setiap barisan ada yang tersengguk-sengguk.Namun Syeikh Husin tidak pernah menyebut beliau terasa hati dengan kami.Cuma nasihat dari seorang bapa,"Kuatkan diri kamu menuntut ilmu.Allah akan redha pada kamu."


Pulang dari kelas Syeikh Husin,saya bersama sahabat saya,Kak Fatin bergegas mencari teksi.Kami perlu bersegera ke Markaz Sibawaih,menuntut ilmu Bahasa Arab bersama Ustazah Hebah.Kelas tamat pada pukul satu.Kami terus solat Zohor dan berkejar pula ke Maahad Qiraat untuk menghadiri kuliah rutin setiap hari.



Menjelang Asar,kelas tamat dan kami pulang ke rumah.Andai ada kesempatan,kaki melangkah ke Dewan Mahasiswa Mahasiswi Mansurah untuk mengikuti kuliah ilmu harian yang disampaikan oleh ustaz-ustaz,mahasiswa yang sama-sama menuntut ilmu di Perlembahan Nil ini.Hampir maghrib baru tiba di rumah.


Selepas Maghrib masa terbaik untuk mengulang Al-Quran,selepas Isyak masa untuk mengulangkaji pelajaran dan kemudian barulah tidur.


Penat?Ya,memang penat.Tetapi apa yang saya rasakan sekarang adalah kepuasan.Kepuasan apabila mencabar diri sendiri melalui pelbagai kesusahan dan ujian di Mesir semata-mata untuk menuntut ilmu.Sungguh,saya dapat rasai apa itu keberkatan menuntut ilmu.Allah akan permudahkan segala urusan dengan syarat kita bersungguh-sungguh menuntut ilmu kerana Allah.


Kini selepas setahun saya meninggalkan Mesir,saya amat merindui suasana itu.InsyaAllah,dengan izin Allah saya ingin ke sana lagi dan bertemu dengan guru-guru,muallim-muallimah saya.Hanya dengan Ilmu dapat mengubah segalanya!






Menuntut ilmu kadangkala payah,perlu kepada MUJAHADAH



Menuntut ilmu kadangkala memeritkan,perlu kepada KEAZAMAN



Menuntut ilmu kadangkala tidak punya wang,perlu kepada PENGORBANAN



Menuntut ilmu itulah PERJUANGAN!



Nasi Maqlubah dan Basbousa




Nasi Maqlubah Mak Long.Kredit untuk Prof Kamil:)


Malam semalam saya dan suami mendapat jemputan dari Pak Long Isa dan Mak Long Normah.Hajat di hati sebenarnya ingin menziarahi pak long dan mak long sebelum mereka pulang ke Malaysia pada hari Rabu ini.Kebetulan pula,pak long dan mak long menjemput Profesor Kamil dan Kak Roza pada waktu yang sama.Alhamdulillah,dapatlah saya berkenalan dan berborak panjang dengan Kak Roza yang baru menetap di Madinah sejak sebulan yang lalu.

Pak Long dan Mak Long sudah kami anggap sebagai ayah dan ibu kami di Madinah ini.Mereka berasal dari Kedah, sudah menetap di sini lebih kurang 47 tahun.Cukup lama kan?Alhamdulillah,rezeki dari Allah..

Sementara mak long memasak,saya dan Kak Roza berbual panjang.Kak Roza cukup ramah orangnya,anak-anaknya pula Amirul dan Sofiyya sangat suka dengan baby.Terhibur hati saya melihat Amirul pandai memangku dan bermain dengan Muadz.Ahmad,cucu Pak Long pula menambahkan kemeriahan suasana.Ahmad kalau tidak silap saya berumur dua tahun lebih.Keletahnya yang cerdik dan pandai bercakap Arab sangat mencuit hati kami.

Hidangan sudah sampai..Nasi Maqlubah,Mee Bandung,Basbousa,Salatah terhidang di depan mata.

"MashaAllah,banyaknya mak long!kak Roza,mak long ni pakar masak kat Madinah ni tau." saya bersuara menghidupkan suasana.

"Mak long masak camana ni?" Kak Roza pula berminat untuk menuntut resepi.

"Ni spagetti ke mak long?" tanya saya pula.

"Tak..mee ni mak long buat sendiri.mak Long beli mesin dia,buat sendiri ja.." mak Long terus menjawab soalan kami.

Selera kami makan sampai bertambah-tambah.MashaAllah,memang sedap!

Maqlubah, atau maknanya masakan yang diterbalikkan (upside down) adalah satu resepi yang masyhur di Jordan. Ia adalah masakan yang berasaskan nasi dan mempunyai aroma yang sungguh menyelerakan.



Basbousa pula sejenis halawah ( manisan) yang menjadi kegemaran orang Arab.Teringat waktu di Mesir dulu,saya kurang berminat untuk makan manisan atau kuih-kuih Arab ni sebab kadang-kadang terlalu manis.

PESAN KAK ROZA




"Ainun teruskan menulis.Menulis ni kena mula,kena selalu tulis.Setiap hari biasakan tulis satu page,30 hari dah 30 page kan?"

Nasihat Kak Roza saya tanam dalam-dalam di hati.Kak Roza seorang penulis dan telah menulis 2 buah buku antaranya bertajuk "Travelog Cinta Abadi."Suaminya pula saya rasa satu Malaysia sudah maklum-Profesor Kamil yang menulis buku "Travelog Haji."

Syukur Alhamdulillah,Allah temukan saya dengan mereka.Supaya saya tidak terhenti usaha di sini malah berganda-ganda semangat untuk menghasilkan yang terbaik buat ummah melalui mata pena.

Hari ini saya bukan sahaja dapat menikmati Nasi Maqlubah dan Basbousa yang sangat sedap,malah dapat mendengar nasihat-nasihat dari Kak Roza yang sangat lazat..Alhamdulillah!
















SELAGI TERDAYA..




"Subhanallah, segala puji hanya untuk Allah. Sesungguhnya semakin banyak kita sujud, semakin kerdil rasanya diri ini. Hidup di dunia hanya seketika, Nikmat ditarik bila-bila masa. Kesyahduan qiam amat menyentuh kalbu. Bangunlah qiam sekiranya kita kepenatan menjalani kehidupan...

Hati kita sebenarnya umpama kayu yang perlu di syelek dengan lemah lembut... Kesyahduan di sepertiga malam akan menjadikan hati lembut. Hati yang lembut akan menambahkan kerendahan hati. Kerendahan hati menjadikan kita orang yang mudah menabur bakti tanpa mengharapkan balasan selain dari Ilahi... "



Berkali-kali titipan kata-kata ini saya baca dan hayati.Kalam hikmah ini lahir dari hati nurani yang ikhlas,yang sangat mencintai Allah dan Rasulnya.Buktinya,hati saya seorang hamba Allah yang kerdil ini terasa benar-benar tersedar untuk berubah.Ya,berubah untuk menjadi hamba Allah yang taat,melaksanakan sebanyak-banyaknya ketaatan semata-mata mengharapkan rahmat Allah.



Kata-kata ini adalah pesanan dari salah seorang muallimah saya semasa di Sekolah menengah dahulu,Cikgu Lily Sarinawati.Guru yang sangat saya kagumi dan hormati.Yang tidak jemu mendidik kami dengan kata-kata yang lembut dan berhikmah.Hinggalah saat ini saya terasa dekat dengan beliau,walau kami jauh beribu batu..



Maha Penyayangnya ALLAH,pada saat hati kita terdetik untuk bertaubat dan dekat dengan Allah,Allah menghantar manusia-manusia soleh di sekeliling kita untuk memberikan kesedaran dan keinsafan.Mereka ini sebagai wasilah dari Allah untuk memberikan kekuatan.Sungguh Allah sangat dekat dengan hambaNya,Yang Maha Mendengar doa hambaNya saban waktu..




Selagi terdaya..gerakkanlah anggota kita untuk beribadah kepada Allah..




Selagi terdaya..sumbangkanlah bakti dan pertolongan kepada orang di sekeliling kita.Mungkin bagi kita pertolongan yang diberi hanya sekecil cuma,tetapi bagi insan yang menerima,ia adalah anugerah yang tidak ternilai harganya.




Selagi terdaya,sayangilah dan kasihilah orang di sekeliling kita tanpa mengharap puji dan balasan..Nantikanlah balasan terbaik dari Allah..Syurga Firdaus yang paling tinggi buat hamba yang tidak pernah lelah melakukan 'Ubudiyah dan amalan-amalan Mahmudah..

WAHAI KEKASIHKU,WAHAI NABI MUHAMMAD SAW




Tersentuh..
Benar-benar tersentuh..

Wahai Rasulullah,kekasih hati kami..

Hati hamba-hamba yang beriman,setiap saat dan waktu akan merindui Baginda Rasulullah SAW.Rindu yang penuh sarat.

Hati hamba yang amat cintakan Baginda Rasulullah SAW,setiap apa yang dia lakukan akan difokuskan kepada TAQWA.Sentiasa terdetik di hati,adakah amalan yang dia lakukan ini ALLAH dan RASUL cintai?

Hati insan yang benar-benar cintakan Allah dan Rasulullah..setiap kali bangun pada pagi hari,mindanya akan terus terfikir apakah yang akan dia lakukan pada hari ini untuk kemaslahatan ummah?Sebaliknya insan yang biasa-biasa hanya memikirkan perkara-perkara yang hanya menguntungkan diri sendiri..

Hati yang sarat dengan TAQWA,sentiasa sempit dada apabila mendengar lafaz ALLAH dan RASULULLAH SAW.Terlalu rindu dan cinta untuk berada di Syurga Firdaus,berada bersama-sama Rasulullah SAW di akhirat kelak.

Lantas jiwanya kental,mujahadahnya diteguhkan untuk menjalankan Amar Makruf Nahi Munkar.Bukan mudah melakukan kerja-kerja yang dilakukan oleh golongan yang sedikit.Golongan itu saban waktu menyampaikan dakwah Islam,mengajak manusia menjalankan amalan-amalan kebaikan dan menghalang kerja-kerja yang menjurus kepada kemungkaran dan mengundang murka Allah.Itulah perjuangan,sunnatullah yang perlu dilalui oleh pejuang-pejuang agama Allah.

Pada saat air mata gugur kerana menerima tekanan,cacian dan kejian daripada manusia kerana menegakkan agama Allah,jiwanya segar dan tenang apabila mengingati Baginda Rasulullah SAW,yang jauh dan jauh hebat ujian dan cabarannya untuk mendaulatkan Dinul Islam..

Ya Allah,persaksikanlah..Kami terlalu merindui Baginda Rasulullah SAW..Kami mengharapkan syafaat Baginda..Ampunilah dosa kami Ya Allah..

TETAMU RAUDHAH

Pagi-pagi lagi saya mengingatkan suami saya tentang hajat saya yang menggunung untuk ke Raudhah pada hari ini.Sungguh kerinduan yang teramat untuk menjejak Raudhah.Apatah lagi bila mengenangkan sedikit masa lagi Raudhah akan dipenuhi oleh tetamu yang datang dari segenap ceruk rantau untuk menunaikan fardhu Haji.

"Ok,pukul 8 siap tau.Kelas abang mula pukul 8.30" Abang mengingatkan saya.

Alhamdulillah.seronok tak terkata dan tidak sabar rasanya untuk menjejakkan kaki ke Raudhah.Sebelum ini banyak halangan yang tidak mengizinkan saya untuk ke sana.Sepanjang tahun Masjid Nabawi sentiasa penuh kecuali pada bulan Syawal dan selepas bulan Zulhijjah,sebelum visa umrah dibuka.Pada waktu itu sahaja Masjid Nabawi benar-benar lengang,hanya warga Saudi sahaja yang memenuhi kawasan masjid.

Tepat jam 8 pagi,kami sekeluarga bergerak ke Masjid Nabawi.Alhamdulillah perjalanan tidak memakan masa yang lama,lebih-lebih lagi rumah kami tidaklah jauh mana dengan Masjid Nabawi.Abang menurunkan saya dan Muadz di perkarangan masjid,berhampiran dengan Perkuburan Baqi' dan meneruskan perjalanannya ke universiti.

Seperti dijangka,masjid ketika itu agak lengang.Mungkin pada waktu pagi golongan wanita berada di rumah menjalankan kewajipan sebagai isteri dan ibu.Di sini kaum wanita tidak bekerja dan tidak boleh memandu kereta.Maka tanggungjawab di rumah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Saya menanggalkan sandal,terus menuju ke dalam masjid dan seperti biasa perlu melalui pemeriksaan beg di pintu masjid.Hati berbunga girang.Hari ini terasa istimewa kerana inilah kali pertama saya ke Raudhah bersama Muadz pada waktu pagi."Ya Rasulullah,aku datang bersama anakku.Semoga anakku ini dapat meneruskan perjuangan sucimu menegakkan kalimah Allah di muka bumi." Bisik saya di dalam hati.

Sampai di Raudhah,saya terus mencari ruang kosong.Syukur,masih ada ruang kosong di tengah,tetapi saya masih menunggu.Mengharapkan ada tempat yang lebih baik di sebelah tepi,berhampiran dengan Makam Rasulullah.Saya bimbang untuk meletakkan Muadz di laluan orang,bimbang anak kecil ini dipijak.Kebiasaannya dalam kawasan yang kecil,orang yang lalu-lalang tidak memandang ke bawah,jadi bimbang mereka tidak perasan akan Muadz yang sedang berbaring di karpet.

Beberapa minit berlalu,masih lagi tiada ruang di sebelah tepi yang kosong.

"Ukhti,kamu nak solat?Mari saya jagakan anak kamu." Seorang wanita Arab menghulurkan bantuan.

"Ya,saya nak solat.Kamu tolong tengokkan anak saya ya."

Di dalam hati memanjat syukur,ada insan mulia yang sudi membantu.Dia benar-benar menjaga Muadz dengan baik.Setiap kali ada orang lalu dan hendak melangkah,cepat-cepat dia mendepakan tangan,supaya tidak ada kaki yang memijak Muadz.Syukur Alhamdulillah,saya dapat bersolat dengan tenang.Muadz pula?Seperti biasa dia seronok bila berjumpa ramai orang.Riuh suaranya menegur ummi solat.Mungkin apabila melihat mulut saya terkumat-kamit semasa solat,dia ingatkan saya bercakap dengannya.Sangat menghiburkan hati:)



"Jazakumullahu khairan kathira" ucap saya kepadanya usai saya mengerjakan solat.
" Wa Iyyak.." Balas beliau dengan senyuman.


Seketika kemudian Muadz menangis tanda mengantuknya sudah di tahap yang tidak dapat ditahan-tahan.Saya terus ke karpet merah di belakang Raudhah,menyusukan Muadz sehinggalah anak ini tertidur.Hajat di hati ingin lagi menyambung solat,maka niat ini diteruskan juga sambil menggendong Muadz menuju ke Raudhah semula.Saya letakkan Muadz di atas karpet.Sebelum tu sempat juga menjeling-jeling ke arah Pengawas Masjid,bimbang juga mereka tak benarkan saya letakkan Muadz di situ,kerana memakan ruang orang yang ingin solat.Tapi apabila melihat banyak lagi ruang-ruang Raudhah yang masih kosong,saya menarik nafas lega.Tidurlah Muadz dengan lena di atas karpet Raudhah.Hati saya berkata,"Muadz,Muadz sepatutnya syukur sangat-sangat pada Allah.Kecil-kecil lagi Muadz dah boleh pergi Raudhah,siap boleh tidur lagi.":)



Tepat jam 9.30 pagi,suami datang menjemput kami pulang.Syukur Alhamdulillah,terasa kepuasan di hati dapat menjadi tetamu Raudhah hari ini.



Raudhah..



Merakam sejuta bicara antara hamba dengan Rabbnya..








RAMADHAN DI MADINAH

Bismillahirrahmanirrahim..

Segala puji bagiMu Ya Allah.kepadaMu kami sembah dan kepadaMu jua kami meminta pertolongan.Maha Suci Engkau dengan sifat Penyayang,nikmatMu tidak pernah berkurang walaupun kami sering lupa untuk mensyukuri segala ganjaran dariMu..

Ramadhan pada tahun ini adalah yang paling indah dalam hidup saya,Alhamdulillah.Sungguh terlalu banyaknya nikmat Allah buat hambaNya.Bertahun-tahun saya berdoa moga Allah kurniakan kesempatan untuk merasai berpuasa di Madinah,bumi kecintaan Rasulullah SAW.Alhamdulillah,dengan izinNya hajat saya dimakbulkan.

Seawal di bulan Syaaban,suami sering mengingatkan saya,tanamkan azam untuk beribadah sebanyak-banyaknya pada bulan Ramadhan ini.Tidak cukup dengan itu,promosi Ramadhan di televisyen sangat mengujakan.Stesen Radio juga tidak ketinggalan,"Ramadhan Karim,Ramadhan Karim.."Subhanallah,suasana begini benar-benat membentuk peribadi dan motivasi seorang muslim agar berlumba-lumba dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjunjung tinggi sunnah Rasulullah SAW.

Benar,suasana Ramadhan di Madinah cukup berbeza.Kami suami isteri mempatrikan azam,sebolehnya Ramadhan kali ini adalah yang paling baik yang pernah kami lalui,insyaAllah.Tidak sabar rasanya untuk menempuh bulan Ramadhan di Madinah.Ramadhan kali ini istimewa kerana saya menyambutnya dengan anakanda kesayangan saya,Muhammad Muadz.Saya juga berusaha mendapatkan maklumat untuk Penyusuan anak pada bulan Ramadhan agar projek penyusuan untuk anakanda tersayang berjalan lancar.









suasana berbuka puasa di Masjid Nabawi




Ramadhan tiba..Dengan suhu panas di Madinah ketika itu yang mencecah 40 hingga 50 darjah celcius,ianya satu cabaran buat kami untuk menempuh puasa di sini.Subhanallah,terkenang Baginda Rasulullah SAW dan para sahabat berperang dalam peperangan Badar pada bulan Ramadhan.Saya kini berada di tempat yang sama,merasai kepanasan yang sama.Tetapi Baginda dan para sahabat teguh membawa panji Islam,mencapai kemenangan biarpun dalam kepayahan dan kesusahan.Ya Rasulullah..sungguh aku rindu akan dirimu..

Pada malam terawih yang pertama,manusia berbondong-bondong mengerjakan solat Isyak dan terawih di Masjid Nabawi.Saya menguatkan semangat menolak stroller Muadz,mencari ruang-ruang kosong untuk kami bersolat.Subhanallah,lautan manusia memenuhi Masjid Nabawi,sangat sesak.Rasa seronok terbit di hati saya menyaksikan pesta Ibadah sedang berlangsung dengan jayanya!

Akhirnya,saya dan Muadz ketemu juga ruang untuk bersolat.Hujung sekali di tepi pagar Masjid Nabawi.Kalau pada hari-hari biasa mana mungkin kami bersolat di tempat itu kerana Masjid Nabawi ini sangat luas,tetapi pada bulan Ramadhan ini fenomenanya berbeza.Segenap ceruk masjid pasti akan diduduki orang.


Kasihan melihat anakanda Muadz..berpeluh-peluh dan merah mukanya mengharungi kepanasan walaupun pada malam hari..Saya menyapu air di kepala Muadz tiap kali habis solat 2 rakaat.Barulah nampak dia segar.Walaupun kepanasan,anak kecil yang berusia 3 bulan setengah ini masih mampu mengukir senyuman dan tidak menangis selama saya bersolat lebih kurang 2 jam.Alhamdulillah,saya bersyukur Allah permudahkan saya untuk mengerjakan ibadah walaupun bersama anak kecil.Saya sentiasa bisikkan pada Muadz,"Muadz,kita sabar ye nak.Allah akan bagi pahala yang banyak bila kita sabar.Muadz kuat semangat.Muadz anak yang soleh,Allah sayang orang yang sabar.Muadz jangan nangis ye.Ummi nak solat,Muadz anak yang baik kan?"Dan seolah memahami kalam umminya,Muadz menguntum senyum dan bermain sendiri sehinggalah saya tamat bersolat witir,Alhamdulillah..

Solat terawih yang berlangsung selama 2 jam itu terasa hanya sekejap berlalu.Imam yang memimpin solat terawih adalah Syeikh Huzaifi,Syeikh Solah Budair,Syeikh Ali Syeikh dan Syeikh Imad.Selesai solat witir kami terus pulang dan kebiasaanya kami akan menempuh kesesakan lalu lintas yang dahsyat di kawasan parking bawah tanah Masjid Nabawi.

Pengalaman berbuka puasa di Masjid Nabawi juga adalah momen-momen indah di dalam hidup saya.kami perlu bertolak dari rumah seawal jam 6 petang supaya sempat berbuka puasa di masjid.Subhanallah,setiap hari Masjid Nabawi sangat sibuk dan sesak.Hari pertama kami hanya sempat berbuka dengan dadih,kurma dan air zam-zam kerana tikar-tikar yang menyediakan makanan berbuka sudah penuh.Namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan kembara ibadah terawih dan witir pada malam harinya.Saya minum air zam-zam sebanyak-banyaknya supaya memperoleh tenaga berganda dan susu yang cukup untuk Muadz.Syukur Alhamdulillah,walaupun tidak berbuka dengan makanan yang mewah-mewah,perut rasa kenyang dan paling penting,diri terasa akan keberkatannya.

Setiap hari di sekeliling Masjid Nabawi akan disediakan hamparan-hamparan makanan untuk berbuka puasa.Cukup meriah!Tersedia nasi arab,ayam dan roti Al-Baik dan macam-macam lagi.Penuh di sekeliling masjid.Tak termasuk lagi di dalam masjid.Kata abang,di dalam masjid,makanan yang disediakan adalah tamar,dadih dan roti.Pilihlah yang mana kita suka.Bagi saya,walaupun jemaah umrah yang datang tidak membawa kewangan yang cukup,tapi mereka tidak akan kelaparan selama berada di Madinah.Rezeki ada di mana-mana.Insan-insan di sini juga sangat dermawan dan pemurah,tidak lokek untuk membantu.

Pernah suatu hari,saya dan suami agak kelewatan untuk berbuka di Masjid Nabawi.Sampai sahaja di hadapan tempat parking Masjid Nabawi,Jaga yang menjaga tempat tersebut melarang kami untuk masuk kerana kawasan parking sudahpun penuh.Lagi setengah jam lagi untuk berbuka,suami mencari tempat lain untuk kami berbuka puasa.Sampai di pertengahan jalan,azan berkumandang dan kami mengambil keputusan untuk berbuka di tepi jalan,di hadapan Mat'am(kedai makan) warga Bangladesh.Kelihatan ramai pekerja Bangladesh yang berbuka di mat'am tersebut.suami saya masuk ke kedai makan itu untuk membeli air mineral.Tetapi apabila masuk ke kedai tersebut,pekerja kedai berkata kedai itu tidak menjual minuman ketika itu.Beliau membungkus nasi-nasi,buah tembikai,manisan dan jus percuma untuk kami berbuka.Subhanallah,terasa betapa bersyukurnya kami.

Suatu hari yang lain,kerana kesesakan jalan,kami sekali lagi sampai lewat di Masjid Nabawi.Saya pula bersegera menolak stroller Muadz untuk tiba di kawasan solat wanita dan berbuka puasa di sana.Tetapi sebelum sempat sampai ke tempat yang dituju,azan berkumandang dan ketika itu saya berada di kawasan solat lelaki,yang terhidang hamparan-hamparan juadah yang pelbagai.Seorang lelaki Arab berlari menuju ke arah saya,memberikan saya tamar dan air zam-zam.Tidak lama kemudian,datang pula seorang anak kecil lelaki sekitar umur 3 tahun,menghulurkan saya air mineral dan roti.Alhamdulillah,saya benar-benar terharu.Walaupun kami tidak pernah mengenali,namun atas dasar ukhwah dan saudara seaqidah,mereka menghulurkan apa jua yang mereka ada ketika itu.

Ramadhan yang indah,hari-hari terasa diri ini cukup kerdil apabila berpeluang menjejakkan kaki di bumi kecintaan Rasulullah SAW.Setiap hari dalam rakaat witir yang terakhir kami akan membaca doa Qunut.Allahu Akbar,diri insan mana yang tidak mengalirkan air mata tika mendengar bait-bait indah doa yang dibaca.Air mata berderaian tumpah apabila mengaminkan doa Syeikh Solah Budair.Sungguh doa yang dilafazkannya itu amat menggetarkan hati terutama apabila memohon agar Allah menyelamatkan Masjid Al-Aqsa,menghancurkan musuh-musuh Islam.Bergema seluruh Masjid Nabawi dengan lafaz 'Amin' dan serentak dengan itu kedengaran tangisan sebak hamba-hamba Allah yang mengaminkan..Allahu Akbar,lebih sebak bila terasa Rasulullah SAW sangat dekat dengan kita dan kita kini sedang menyambung rantai-rantai perjuangan Baginda.

Suatu malam,saya tidak sempat untuk menunaikan witir kerana perlu pulang segera.Saya melalui kawasan solat lelaki dan ketika itu solat witir sedang didirikan dan doa Qunut sedang dibacakan.Mendengar doa,'Amin' yang bergema dan tangisan dari hamba-hamba Allah ketika itu,tiba-tiba lutut saya menjadi lemah.Saya terpaku,tidak mampu untuk berjalan,sebaliknya berhenti dan menadah tangan..mengaminkan doa itu hingga ke ayat yang terakhir..sungguh hati hamba amat mengharapkan keredhaan Tuhannya.Siapalah kita jika nak dibandingkan dengan kurniaan Allah yang Maha Agung?

Kembara Ramadhan kami di Madinah berakhir pada 21 Ramadhan kerana selepas itu kami pulang ke Malaysia untuk berhari-raya bersama keluarga.Semoga Allah mengurniakan lagi kami peluang untuk berpuasa di sini suatu hari nanti.Amin.

:: SUASANA QISAS YANG SAYA SAKSIKAN ::

13 Jun 2011- Suasana pagi itu amat tenang.Madinah sedang menempuh fasa musim panas sekarang.Saya pula baru sahaja menamatkan pantang bersalin walaupun terasa agak sukar tanpa keluarga di sisi.

Jam 9 pagi,sedang saya mengemas rumah,lincah mengutip kain-kain untuk dibasuh,tiba-tiba suami menjerit,"Ain,pagi ni ada Qisas!" serentak dengan itu saya menjawab, "Nak pergi bang!"kami terus bersiap dengan segera kerana kata suami kalau lambat alamatnya tak dapatlah melihat Qisas secara dekat.Saya jadi kelam-kabut dibuatnya,mana nak kejar cari abaya saya ,mana nak cari baju-baju yang sesuai dipakai Muadz.Fuh,betul-betul kelam-kabut,dalam kepala hanya ada satu perkara..Saya nak tengok Qisas!

Dalam kereta,barulah suami sempat bagitahu,beliau mendapat maklumat bahawa hari ini akan dijalankan Qisas dari facebook abang Khuzaini,salah seorang sahabat yang rapat dengan kami di Madinah ini.Perjalanan diteruskan ke Toriq Abu Dzar,lokasi pelaksanaan Qisas sebentar nanti.Debaran di hati saya masih belum hilang,malah bertambah-tambah.Masakan tidak,selama ini saya hanya mendengar cerita suami tentang Qisas kerana suami saya pernah menyaksikannya pada tahun 2007.Hari ini saya sendiri akan melakar sejarah peribadi,menyaksikan pancung kepala di depan mata!

Dari kejauhan selepas melepasi trafik berhampiran Hassan Mall,kelihatan lalu lintas terlalu sesak,kereta berpusu-pusu ke tempat pelaksanaan Qisas,parking pula sudah tentu telah penuh.Saya melihat jam di tangan,ketika itu jam baru menunjukkan pukul 9.15 pagi,sedangkan Qisas akan dilaksanakan pada jam 10 pagi.'Ya Allah,ramainya manusia.boleh ke saya mencelah dengan bawa Muadz ni?' terus hati ini berkata-kata.Suami mengambil keputusan tepat untuk parking di belakang Hassan Mall,salah sebuah pasar raya di Madinah ini.Selesai parking kereta saya terus berkata pada suami,'Abang lari bang.cepat pergi sana,Ain boleh pergi sendiri.Jangan risaukan Ain.Cepat bang,nanti tak dapat duduk depan!' Suami saya pun terus berlari setelah memberi nasihat dan petunjuk jalan pada saya.

Saya juga terpaksa berlari anak sambil menggendong Muadz.Situasi pada ketika itu sangat sibuk,manusia berlari sana-sini,berkejar-kejaran untuk mengambil tempat,agar tidak ketinggalan menyaksikan pelaksanaan hukum Allah ini.Subhanallah,kehebatan hukum Allah ini menyentap urat nadi saya.Ramai yang menyaksikan Qisas,pastinya hukum yang dilaksanakan itu tidak sia-sia,malah meninggalkan kesan yang mendalam pada orang yang melihatnya.Maha Hebat dan Berkuasanya Allah,pelaksanaan hukuman ini bukanlah untuk menyusahkan hambanya,malah meletakkan manusia itu di dalam posisi yang paling selamat.



Setelah beberapa minit saya mengharungi kepanasan mentari,akhirnya saya tiba di tempat yang paling sesuai untuk saya berteduh bersama anak kecil ini,di hadapan kedai menyewa barang-barang kenduri.Alhamdulillah,syukur walaupun tidak dapat melihat secara dekat,sekurangnya saya dapat menyaksikan suasana sekeliling,memerhatikan gelagat manusia yang berbondong-bondong dan teruja menyaksikan hukum Allah dilasanakan,sungguh itu adalah pengalaman yang paling indah buat diri saya.

Jam 9.50 pagi,suami menelefon saya,bertanyakan di mana saya berada ketika itu.

"Ain kat depan kedai sewa barang-barang kenduri.Abang kat mana?Dapat tak duduk depan?"

"Alhamdulillah abang dapat duduk depan,betul-betul dekat dengan orang yang nak kena pancung tu.tapi tadi tiba-tiba ada ambulans datang,rilek je dia parking betul-betul depan abang.Kena la pindah tempat sikit.Tapi masih boleh lagilah tengok dekat-dekat."



Ya,baru saya teringat.Kata abang,dua-tiga buah ambulans yang datang bukan semata-mata datang untuk mengambil dan membawa hamba Allah yang dipancung itu,tapi nak angkat orang ramai yang pengsan sebab terkejut dan panik melihat orang yang dipancung.MashaAllah,hebatnya hukuman ini.Orang yang menyaksikannya mana mungkin berani untuk melakukan kesalahan sepertimana pesalah tersebut,membunuh orang lain.

Jam 9.55 pagi,debaran di hati makin terasa.Dari kejauhan saya mendengar suara pengumuman tentang pelaksanaan Qisas sebentar nanti.Ayat-ayat Al-Quran tentang ayat Qisas dibaca dan semua hadirin dimaklumkan tentang kesalahan yang dibuat oleh pesalah tersebut iaitu membunuh salah seorang warga Saudi.Saya berdiri dengan khusyuk,cuba menghayati apa yang bakal berlaku.Keadaan senyap sunyi walaupun terlalu ramai manusia yang hadir.Semuanya menanti peristiwa yang akan berlaku sebentar sahaja lagi.




Satu minit..dua minit...

Tiba-tiba kedengaran tempikan "ALLAHU AKBAR!" yang kuat dari para hadirin dan serentak dengan itu semua orang bertepuk tangan.

"Eh,takkan orang kena pancung,boleh bertepuk tangan pulak?"Semakin kaget saya dibuatnya tanpa dapat memahami situasi yang sebenar.Manusia yang ramai tadi beransur-ansur meninggalkan tempat Qisas setelah beberapa minit berlalu.

"Abang,apa dah jadi bang?"Saya menelefon suami,meminta kepastian.

"Ain,keluarga mangsa yang dibunuh tu dah maafkan pesalah.Kiranya orang tu tak jadilah dipancung."

Subhanallah,Alhamdulillah..mashaAllah,hebatnya Allah melembutkan hati keluarga si mati untuk menuturkan kemaafan di saat beberapa detik lagi pedang ala Saladin itu akan memenggal kepala si pesalah tersebut.Patutlah para hadirin bertempik Allahu Akbar dan bertepuk tangan,tanda meraikan kegembiraan atas peristiwa yang berlaku tadi..Subhanallah..

Beberapa minit kemudian,abang tiba di tempat saya dan Muadz menunggu.Abang masih dalam keadaan teruja.
"Subhanallah,sikit lagi orang tu nak kena pancung.Keluarga si mati tu tiba-tiba maafkan kesalahan dia.Ya Allah.."cerita abang penuh takjub.Bermakna ini adalah pengalaman kedua abang menyaksikan Qisas dalam situasi yang berbeza.Kali pertama dulu,abang dapat saksikan 4 orang dipancung kepalanya dan pada kali ini seorang pesalah tidak jadi dipancung atas kemaafan keluarga si mati.

Setelah keadaan semakin reda walaupun lalu-lintas masih sesak,kami menapak meninggalkan tempat tersebut.Hati saya terselit kagum pada kerajaan yang melaksanakan hukum Allah ini.Di sini,rakyat tidak berani untuk membunuh dan melakukan jenayah sesuka hati kerana hukum Allah benar-benar dilaksanakan,walaupun ada juga yang terlibat tetapi jumlahnya terlalu sedikit.Itulah hikmah apabila manusia hidup berpaksikan hukum Allah.





:: Dari Jendela Hati ::


Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam.KepadaMu kami sembah dan kepadaMu jua kami meminta pertolongan..

Alhamdulillah,kami baru pulang dari bersolat di Masjid Nabawi.Dalam perjalanan pulang keluar dari tempat parking,suami saya memandu dengan kelajuan biasa kerana kami maklum selepas solat Isyak,parking dan jalan sekitar Masjid Nabawi penuh sesak dan bahaya kalau memandu dengan laju.Tiba-tiba sebuah kereta meluru laju dan hampir-hampir melanggar kereta kami.."Abang!"saya menjerit terkejut sambil memegang anakanda saya Muadz sekemasnya.Allahu Akbar,mujur tangan sempat memaut apa yang ada.Syukur Alhamdulillah,abang sempat mengelak dari terlanggar kereta tersebut.Sehinggalah sampai ke rumah debar di hati saya masih belum hilang."Allah Maha Besar,Allah Maha Besar.Allah yang selamatkan kita tadi.."abang mengulang-ngulang ayat itu sambil menenangkan saya.Apa lagi yang mampu saya ucapkan sebagai hamba melainkan syukur Alhamdulillah,Allah masih panjangkan umur kami hingga ke saat ini..

2 bulan blog tak diupdate.Pelbagai cerita dan peristiwa yang ingin saya kongsikan bersama sahabat sahabiah sekalian,namun kekangan waktu tak mengizinkan saya untuk berlamaan di depan laptop.Sesekali,bila anakanda Muadz tidur,tangan sudah tersedia mahu menaip tapi idea pula entah ke mana:)'Ala kulli hal,InsyaAllah andai ada peluang dan kesempatan saya akan menulis dan menulis.Moga penulisan ini memberi manfaat kepada saya dan semua.Moga titipan peristiwa yang akan saya kongsikan di kanvas ini dapat memberi pengajaran dan perkongsian bermakna buat semua,InsyaAllah.

Sudah 10 bulan saya menetap di Madinah Al-Munawwarah ini.Sepanjang saya di sini rasanya selepas musim haji sekitar bulan 12 dan bulan 1 sahaja keadaan di Masjid Nabi tidak terlalu sesak.Apabila visa umrah dibuka,Masjid Nabi menerima ribuan tetamu tidak henti-henti hingga kini Alhamdulillah.

Selepas saya tamat berpantang pada bulan Jun yang lalu,Allah izinkan saya untuk menyaksikan hukuman Qisas yang diadakan di Toriq Abu Zar,Madinah Al-Munawwarah.Allahu Akbar,tak pernah terlintas di hati saya untuk memperoleh peluang keemasan seperti ini,lebih-lebih lagi menyaksikan hukuman tersebut dengan membawa zuriat sendiri.Amat-amat bermakna dan insyaAllah saya akan kongsikan bersama sahabat sahabiah semua.

Rasanya setakat ini dahulu sebagai pembukaan semula blog saya:)Ramadhan semakin menghampiri,mari kita berazam dan menyusun strategi-strategi untuk menjadikan Ramadhan kali ini adalah yang terbaik yang pernah kita lalui.

Siiru 'ala Barakatillah..Assalamualaikum ^_^

Penyeri Baitul Muslim ASSHIKAINUN:)

Mohd Muadz pada usia 7 hari:)



Baby Muadz dan kak Farisha,anak kepada Dr.Fariza :)






Muadz di atas ribaan abahnya..khusyuk muadz tengok muka abah..:)






Tidur dalam iman:)










Muadz terkini..sangat suka senyum.Alhamdulillah,melihatnya sangat menggembirakan hati ummi dan abah:)










::Seputar Hari Kelahiran Muadz :) ::

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah,segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..Yang tidak putus-putus menurunkan nikmat kepada hamba-hambaNya..Alhamdulillah..

Syukur Alhamdulillah,saya selamat melahirkan seorang mujahid di bumi Madinah ini pada 25 April yang lalu..kondisi yang makin sibuk selepas bergelar ibu tidak mengizinkan saya untuk mengupdate blog terlebih awal..maafkan saya;)

Saya sertakan gambar kenang-kenangan pada hari kelahiran Muadz..lain masa saya kongsi cerita lagi insyaAllah..

p/s: Gambar2 ni istimewa untuk tatapan bonda Cikgu Noraini dan keluarga..maafkan saya ummi,lambat sangat masukkan gambar Muadz..sangat rindukan ummi sekeluarga!:)



Waktu ni kami berdua baru keluar dari labour room.Tangan yang memakaikan pakaian muadz di atas adalah tangan yang sama memakaikan pakaian untuk saya waktu kecil dulu..emak saya!;)


Abah Muadz bergambar bersama abah saya..Muadz adalah cucu abah yang ke 14,Alhamdulillah:)---(tak tahula kenapa tiba2 gambar ni jadi kecik-_-)






Kasih seorang bapa..saya melihat kegembiraan yang tidak terkata di wajahnya..kini dirimu menjadi bapa duhai suamiku:)Alhamdulillah..









Sahabat-sahabat suami datang menziarahi sejurus selepas suami mengumumkan kelahiran Muadz..Terharu dengan keprihatinan semua..Jazakumullahu Khairan kathira!