Daisypath Anniversary tickers
CEMERLANG WALAUPUN SUDAH BERGELAR ISTERI DAN IBU


Saya mengenalinya semenjak di Darul Quran JAKIM.Umur kami sebaya.Syukur Alhamdulillah,Allah beri peluang dan pengalaman kepada kami untuk bersama di dalam satu Usrah yang dinamakan Usrah Sofiyyah.Usu (panggilan kami untuknya di dalam Usrah) adalah antara anak usrah saya yang paling komited MashaAllah.


Usu berkahwin pada usia muda,ketika itu dia masih belajar di Darul Quran.Suaminya adalah mahasiswa Universiti Ummul Qura Makkah Al-Mukarramah.Dengan izin Allah selepas beberapa tahun mereka berjauhan,akhirnya usu berjaya melanjutkan pengajian di Universiti yang sama seperti suaminya,Universiti Ummul Qura Makkah (Nisa').

Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata ketika ini dan bakal menyambut kelahiran permata cinta yang ketiga pada awal April tahun ini InsyaAllah.Jujurnya apabila melihat dirinya saya sendiri terasa 'penat' .Melihat dia yang lincah menguruskan suami dan anak-anak seramai dua orang yang berumur lebih kurang 3 dan 2 tahun dan pada masa yang sama bergelar Mahasiswi kuliah Lughah,terselit perasaan kagum di hati saya.

Ada orang yang berpendapat terlalu sukar untuk mengandungkan anak-anak yang ramai ketika masih di dalam pengajian.Ada yang sanggup berhenti belajar untuk menjaga anak atau anak-anak terbiar comot tidak terurus apabila kedua-dua ibu bapanya sibuk belajar.

Tetapi syukur Alhamdulillah.Situasi ini tidak berlaku kepada keluarga pasangan muda ini.Kebetulan suami Usu adalah sahabat suami saya ketika di Darul Quran.Jadi ukhwah di antara keluarga kami dan keluarga mereka terasa erat.Kami banyak berkongsi bermacam-macam perkara terutaama tentang pengurusan keluarga dan anak-anak.

Perancangan Strategi

Berkahwin ketika masih di alam pengajian dan mempunyai anak-anak yang ramai tidak menjadi masalah apabila kita merancang strategi yang betul bagaimana untuk menempuh saat-saat yang sukar ini.Semua orang mempunyai cabaran masing-masing dalam menguruskan institusi keluarga.Bezanya bagaimana kita menguruskan minda kita untuk menjadikan setiap masalah di hadapan mata itu adalah sebagai satu cabaran dan peluang untuk berjaya,bukan meletakkan kita di ambang kegagalan.

Semalam saya bertanya Usu dan suaminya,adakah mereka pernah mengalami tekanan dalam menguruskan kewangan keluarga?Dengan anak-anak yang semakin membesar dan jarak yang rapat dan pada masa yang sama bakal menyambut kelahiran baru?

Kata mereka,itu adalah perkara normal yang pasti pernah dilalui tetapi sebagai pasangan suami isteri yang masih belajar,mereka berprinsip untuk tidak boros dan cerewet dalam berbelanja.Belanja sekadar yang perlu,tidak perlu terlalu mewah.

Paling membuatkan saya kagum kerana Usu masih maintain mencapai pangkat Mumtaz
( Cemerlang) di dalam semua peperiksaan yang dilaluinya,Subhanallah.3 hari 2 malam saya menumpang di rumah mereka saya dapat menilai bagaimana Usu menguruskan masa sebagai isteri dan ibu.

-Seawal subuh dia bangun mengerjakan solat dan bersiap-siap untuk ke kuliah jam 7.30 pagi.Pada masa yang sama menghantar anak-anak mereka ke Hadhonah (nurseri).
-Jam 12.30 tengahari suaminya pulang dari Universiti,memasak untuk isteri dan anak-anak.
-Jam 2 petang Usu pulang bersama anak-anaknya.Mereka makan tengahari dan biasanya anak-anak Usu tidur setelah penat bermain di Hadhonah.Mereka tidur nyenyak sehingga Maghrib.Jadi waktu inilah peluang untuk Usu dan suaminya berehat melepaskan lelah dan kepenatan setelah pulang dari kuliah.
-Maghrib dan Isyak: Mereka ke Masjidil Haram atau terlibat dengan program-program persatuan.
-Anak-anak Usu tidur agak lewat.lebih kurang jam 12.30 atau 1..Selepas anak-anak tidur,itulah waktunya usu membuat assignment dan mengulangkaji pelajaran.

Memuliakan Tetamu.
Antara akhlak mereka suami isteri yang patut kami contohi dan ikuti adalah memuliakan tetamu.Biarpun kami tumpang berteduh di rumah mereka pada hari Kuliah biasa,namun mereka tidak kekok melayan kami dengan baik.

Semalam suaminya masih sempat menghidangkan sate yang dibuat sendiri dan malam semalam Usu sempat lagi mengajar saya cara membuat keropok lekor.Sangat teruja saya dibuatnya.

Misi Akan Datang

Saya menulis tentang ini kerana saya dan suami juga merancang untuk menyambung pengajian di peringkat Master dan phD setelah pulang ke Malaysia nanti InsyaAllah.Kami juga ingin bekerja sebagai Pensyarah di Maahad Tahfiz atau Universiti dan ingin memperoleh anak-anak yang ramai sebagai pengikat cinta dan perjuangan (dengan izin Allah).Semangat inilah yang akan kami bawa bersama.

Tidak ada yang mustahil di dalam kehidupan ini,asal sahaja kita berfikiran positif dan merancang strategi awal dan cuba menjalankan amanah sebagai Hamba Allah,umat Rasulullah SAW,anak,menantu,suami,isteri,kakak,abang dan ipar dengan baik.Paling utama kita perlu yakin bahawa Allah Yang Maha Kuasa yang sentiasa memberi pertolongan,kekuatan dan ketabahan di dalam setiap derap langkah kita di muka bumi ini.

Positif dan Bersangka Baik kepada Allah!

CATATAN DARI MAKKAH

Syukur Alhamdulillah buat kesekian kalinya Allah izinkan kami untuk menjejak Tanah Haram Makkah.Bumi yang sentiasa kami rindui saban waktu..


Perjalanan memakan masa lebih kurang 6 jam dari Madinah kerana kami berhenti solat dan makan di Mahattah Amjad.Mahattah ini menjadi pilihan kerana hidangan nasi mandinya yang sangat lazat MashaAllah.

Perasaan bercampur baur di sepanjang perjalanan apabila mengenangkan ini adalah antara rakaman saat-saat akhir kami bermusafir ke bumi Makkah.Sebak di hati melihat bukit-bukau di sepanjang jalan.Bukit-bukau ini bakal saya tinggalkan sedikit masa lagi InsyaAllah.

Umrah

Pagi tadi kami bergerak dari rumah Ustaz Khairul Ariffin menuju ke Masjidil Haram dengan menaiki teksi.Indahnya melihat pemandangan Makkah sebelum subuh,MashaAllah.Keadaan tidaklah terlalu sesak dan kami tiba di Masjidil Haram pada pukul 5.35 pagi.Kesejukan menggigit-gigit tulang sum-sum.Anakanda Muadz seolah-olah memahami ummi dan abahnya ingin mengerjakan Umrah.Awal-awal lagi Muadz bangun dan bersiap untuk ke Masjidil Haram.

Usai solat subuh,keadaan di dataran kaabah sangat sesak.Oleh kerana kami bimbang akan keselamatan Muadz,kami membuat keputusan untuk menunggu dahulu sehingga keadaan sedikit reda untuk memulakan tawaf.Jam 7.15 pagi kami memuakan tawaf.Alhamdulillah pusingan 1 hingga ke 4 berjalan lancar.

Tiba ke pusingan ke 5 tawaf,solat sunat Istisqa' didirikan.Keadaan ketika itu menjadi sedikit sesak dan padat kerana ada antara jemaah yang sedang tawaf ketika itu tiba-tiba berhenti untuk mengerjakan solat Istisqa'.Dengan situasi dataran kaabah yang masih dipenuhi ramai manusia ketika itu,keadaan menjadi sedikit kelam-kabut.Selesai solat Istisqa',aktiviti tawaf berjalan lancar seperti biasa.

Di dalam kesibukan mengerjakan tawaf,saya sempat menangkap beberapa kalimah yang disampaikan oleh Syeikh yang menyampaikan khutbah selepas solat sunat Istisqa' antaranya menekankan tentang perlunya kita menghindari maksiat dalam kehidupan.
"Maksiat itu akan menyebabkan jauhnya kita dengan Rahmat dan Barakah dari Allah."

Ya Allah,Kami ingin kembali padaMu..

Dengan izin Allah Taala,kami selesai mengerjakan umrah pada jam 9.30 pagi Alhamdulillah.

Hati manusia sangat mengharapkan taufik dan hidayah dari Penciptanya.

Walau sebanyak manapun peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengerjakan Haji dan Umrah,tetapi sekiranya diri dan amalan kita masih berada pada takuk yang lama selepas itu,ia tidak memberi erti apa-apa.Berazamlah untuk memperbanyakkan amal kebaikan tanda bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan.Berubahlah ke arah yang lebih baik.

Saya ingin berkongsi kata-kata Prof Muhaya di dalam salah satu ceramahnya," Ketika anda mengerjakan tawaf di Kaabah,adakah anda hanya memerhatikan keadaan sekeliling,gelagat orang ramai atau anda benar-benar fokus pada ibadah anda?"

Beribadahlah dengan benar-benar fokus mengharap maghfirah dan kasih-sayang Allah.Di sana terdapat kelazatan rohani yang tidak tergambar dengan kata-kata.Semoga Allah meredhai kita semua,amin..

SMILE! ALLAH LOVES YOU!


Kadangkala diri kita sering diuji dan kita merasakan kitalah yang paling banyak dan berat menghadapi ujian.Lebih dahsyat lagi sehingga tahap kita seolah-olah menyalahkan Allah Taala,mengapa menurunkan ujian sebegitu berat kepada kita?


Astaghfirullah..


Sedarkah kita di dalam kehidupan sehari-hari pelbagai nikmat yang Allah berikan kepada kita?
Allah masih menganugerahkan harta,kejayaan dan perkara-perkara yang menerbitkan kegembiraan di hati kita walaupun kita sering lupakan Dia..

Kita sering lewat mengerjakan solat..
Kita sangat berkira untuk meluangkan masa membaca Al-Quran walaupun kita tahu Al-Quran itu kalam Allah,kata-kata Allah dan ibarat 'surat cinta' dari Allah untuk kita.

Lantas apabila ditimpa sedikit musibah,kita terus merungut dan menyalahkan takdir.

"Kenapalah aku begini?"
"Kenapa aku tak berjaya macam si polan tu?"
"Kenapa aku asyik sakit je?"
"Kenapa aku ni papa kedana?"

Hati Yang Sabar

Sebagai hamba kita memang layak untuk diuji.Dan ujian itu adalah tanda Allah memberikan perhatian dan kasih-sayangNya yang tidak berbelah bagi pada kita.

Firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut Ayat 2-3:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ * وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ }

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beri

man,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah me

guji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” – Surah Al-Ankabut ayat 2-3


Apabila diuji maka akan terbitlah rasa sabar yang menggunung di dalam diri.Bersabarlah ketika saat mula kita ditimpa ujian.Bukan setelah merungut-rungut dan marah-marah barulah kita mengatakan " sabar,sabar.."

الصبر عند الصدمة الأولى
Teringat pada suatu ketika saya diuji semasa di Mesir.Kemarahan meluap-luap di dada ketika itu,terasa sangat pedih di hati.Lantas Kak Roslina,seorang sahabat saya yang solehah mengingatkan saya,

"Ainun,sabar ye.. الصبر عند الصدمة الأولى (Sabar itu adalah pada saat pukulan pertama).."

Astaghfirullah..terus hati beristighfar ketika itu.Ajaibnya,dari hati merasa panas dan meluap-luap sebentar tadi,ia terus menjadi tenang selepas mendengar nasihat dari sahabat saya itu.

Memang ketika marah dan sedih kita tidak mampu mengawal perasaan.Tidak hairanlah Nabi mengucapkan orang yang kuat itu adalah orang yang dapat menahan amarahnya.Bermakna kita mampu untuk menahan marah dan mengawal kesedihan.Teladanilah
Rasulullah SAW,para sahabat dan hamba-hamba Allah yang sabar.



Smile! Allah Loves You!

Positifkanlah diri saat ujian menyapa.

Syeikh saya di Mesir sering mengingatkan kami dengan katanya,
" Cuba kamu renung kehidupan Rasulullah SAW.Baginda Insan mulia,dicintai penduduk langit dan bumi.Tetapi dakwah Baginda tidak sunyi dari ujian.Saat Baginda berdakwah di Makkah Baginda dikecam hebat,saat Baginda meneruskan dakwah di Taif Baginda dibaling batu dan dihina dicaci,adakah itu bermaksud Baginda tidak disayangi Allah? Tidak!Itu bukan bermaksud Allah membenci Rasulullah SAW.Malah Baginda sangat dicintai Allah dan menjadi kekasih Allah.Semakin Rasulullah diuji,semakin kuat dan kental Baginda menyampaikan dakwah."

Begitu juga dengan kita.Apabila kita diuji dengan keperitan dan kesusahan bersabar dan senyumlah.Allah akan menggandakan lagi pahala dan kasih-sayangnya kepada kita.




Haram Dan Kuliah Ilmu Syeikh Syanqiti

Haram ( Masjid Nabawi ) semakin sesak.

Bagi saya sebagai orang yang menetap di Madinah suasana ini menimbulkan rasa seronok dan gembira di hati.
Kerana apa?
Kerana selepas tamat musim Haji yang lalu,suasana Masjid Nabawi agak lengang.Walaupun warga Madinah dan Saudi ramai menziarahi Masjid Nabawi tetapi jumlahnya tidaklah terlalu padat sehingga memenuhi segenap ruang masjid.

Tetapi apabila dibuka visa umrah,suasananya berbeza.Berbondong-bondong manusia menziarahi Madinah terutamanya Masjid Nabawi.Kemeriahannya kembali terasa.Saya sendiri seolah-olah merasakan diziarahi oleh saudara-mara dari seluruh dunia..Subhanallah!

Kuliah Ilmu Syeikh Syanqiti

Selepas solat maghrib baru saya perasan panggilan telefon dari suami.Apabila panggilan itu diulang berkali-kali bermakna ada sesuatu perkara penting yang ingin diberitahu.Syukurlah saya tergerak hati untuk membuka telefon.

" Ain,ada ceramah Syeikh Syanqiti sekejap lagi.Di tempat yang sama."

Kebetulan saya sudah berada di ruang solat wanita berhampiran pintu nombor 30.Di sini terdapat speaker yang akan memperdengarkan ceramah-ceramah yang diadakan di Masjid Nabawi.

Syeikh menyampaikan ilmu berkaitan tentang Zakat dan para pendengar bertanyakan soalan di akhir ceramah.Kata abang,suasana ceramah di ruang solat lelaki penuh dan padat,seperti suasana ceramah Ustaz Azhar Idrus di Malaysia.Ya,Syeikh Syanqiti memang sangat terkenal di seluruh dunia dengan kefaqihannya di dalam ilmu agama.

Antara kata-kata Syeikh yang sangat menyentuh hati saya adalah berkaitan dengan berbuat baik kepada ibu bapa.

" Hubungilah ibu bapa kamu setiap hari atau 3 hari sekali atau seminggu sekali atau sebulan sekali.Gembirakanlah mereka.Ada orang apabila mendapat kejayaan orang yang terawal yang dia maklumkan adalah sahabatnya.Tetapi sepatutnya semua yang berlaku pada kamu terutama berita gembira,berita kejayaan dan lain-lain sepatutnya beritakanlah kepada kedua ibu bapamu terlebih dahulu.Berbuat baiklah kepada mereka.Kita tidak tahu yang mana satu amalan kita yang Allah terima.Jadi,sentiasalah berbuat baik di dalam kehidupanmu."

Timbul sebak di hati mengenangkan emak dan abah di kampung.Terlalu rindu pada mereka setelah berbulan-bulan tidak berjumpa.Semoga Allah memanjangkan umur kami untuk bertemu dan dikurniakan peluang kepada kami untuk berbakti kepada kedua ibu bapa.

" Ya Allah,peliharalah kedua ibu-bapaku dan masukkanlah mereka ke dalam syurgaMu tanpa hisab..Amin.."