Daisypath Anniversary tickers
Sandstorm Di Madinah

-suhu Madinah hari ini-



Subhanallah..
Hari semalam dan hari ini Madinah dilanda ribut pasir (sandstorm) dan cuaca pada pagi ini sangat sejuk.Angin bertiup dengan kencang dan debu serta habuk berterbangan,keadaannya seperti jerebu yang agak dahsyat.Hari ini banyak sekolah yang bercuti lantaran cuaca yang kurang baik.Dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan.
Subhanallah..Kebiasaannya apabila peralihan cuaca dari musim sejuk ke musim panas situasi inilah yang biasanya berlaku.


Muadz juga diserang batuk-batuk dan selsema..Syafakallah Ya Muadz..

Jemaah umrah ketika ini sangat ramai,melimpah-ruah.Terbit rasa kasihan di hati apabila melihat jemaah umrah yang bersolat di dalam kesejukan di luar Masjid Nabawi.Namun saya yakin mereka tabah dan sabar menempuh situasi ini.Peluang berada di Madinah perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.Cabaran yang perlu ditempuh hanya seketika cuma InsyaAllah..

-suasana di Masjid Nabawi semalam-

Impian dan Sistem Turki

Semangat dan azam ini tercetus apabila terbit kesungguhan di hati saya untuk benar-benar menjaga Al-Quran.Al-Quran ini adalah amanah yang perlu saya pikul dengan sebaik mungkin sehinggalah saya meninggal dunia bertemu dengan Allah,Tuhan Yang Menciptakan saya.


Saya suka bertanya sahabat-sahabat saya yang sudah pun bergelar Hafizah,yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak.
"Bagaimana dengan hafazan Al-Quran?"
Rata-ratanya memberi jawapan, "Allah..sedih sangat.Tiada suasana,tiada semangat untuk mengulang.Tidak seperti berada di Maahad Tahfiz dulu.."

Ya,saya maklum akan situasi itu.Saya sendiri kadangkala menghadapinya.

Azam dan Impian

Dari pembacaan,analisa dan muhasabah yang saya jalankan kepada beberapa orang sahabat,saya menukilkan satu azam di dalam diri.Saya ingin mencari formula-formula,teknik-teknik atau strategi-strategi yang baik dalam menghafaz dan mengulang Al-Quran.Sebenarnya proses mengulang Al-Quran bagi saya lebih sukar berbanding menghafaz Al-Quran.Sebab itulah apabila hafazan Al-Quran tidak diendahkan atau ditinggal lama,agak sukar untuk mengingatinya kembali.Perlu usaha yang jitu dan mujahadah yang kuat untuk mendapatkan kembali kalam Allah yang mulia itu.

Terdapat pelbagai teknik dalam menghafaz dan mengulang Al-Quran yang telah dipraktikkan oleh Sekolah-sekolah atau Maahad-maahad Tahfiz di seluruh dunia amnya dan di Malaysia khususnya,di antaranya adalah dengan menggunakan Sistem Turki.

Sistem Turki ini telah dipraktikkan oleh para huffaz di Maahad Tahfiz Darul Tuba,Tangkak Johor dan ternyata memberi kesan yang baik kepada hafazan mereka.Saya pernah melawat ke Maahad Tahfiz ini suatu ketika dahulu sewaktu masih menuntut di Darul Quran JAKIM.Dengan izin Allah,saya ingin ke sana sekali lagi untuk mempelajari,mengkaji dan mempraktikkan bagaimana yang dikatakan menghafaz dan mengulang Al-Quran dengan menggunakan Sistem Turki itu. Ramai yang mengatakan bahawa Sistem Turki adalah antara sistem yang terbaik di dalam menghafaz dan mengulang Al-Quran.

Hasil kajian itu akan saya kongsikan bersama sahabat-sahabat,para penghafaz Al-Quran dan semua umat Islam InsyaAllah.Mungkin sudah ada kajian yang dijalankan sebelum ini tetapi tidak disebarkan seluas-luasnya kepada masyarakat umum.Sungguh,para Huffaz sangat ternanti-nanti teknik yang terbaik bagi mereka mengulang Al-Quran.Saya yakin semua yang sudah mengkhatamkan 30 juz Al-Quran sedar akan tanggungjawab dalam memelihara Al-Quran,cuma terdapat halangan-halangan sampingan yang merencatkan usaha dan semangat dalam mengulang Al-Quran.Situasi inilah yang perlu kita sama-sama atasi agar Agenda menghafaz dan mengulang Al-Quran menjadi agenda terpenting di dalam kehidupan kita sehari-hari.

Di samping itu,sikap dan watak kita juga perlu kepada perubahan.Kita perlu berusaha,bukan hanya menyerah kepada keadaan sehingga ulangan hafazan yang sedikit itu masih kekal di takuk lama.Berusahalah,lawan perasaan malas untuk mengulang Al-Quran,agar Al-Quran itu benar-benar menjadi syafaat kepada kita di akhirat kelak.

Hari-hari yang berbaki di bumi Barakah Madinah Al-Munawwarah ini,saya memohon ke hadrat Allah Taala agar impian dan cita-cita saya ini dimakbulkan dan mendapat pertolongan daripadaNya..Doakan saya!



Di Saat Dia Pergi..

Di tangan Allah terletak segala kekuasaan dan keagungan.

Di tangan Allah manusia diciptakan dan sekelip mata Dia Yang Maha Kuasa layak mengambilnya kembali.

5 Hari yang lalu saya kehilangan anak yang baru 6 minggu di dalam kandungan.
Innalillah wa inna ilaihi Roji'un..

Jumaat,9 Mac 2012

Sehari sebelum itu saya bersemangat untuk berprogram bersama suami dan sahabat-sahabat di Yanbu',yang terletak 2 jam dari Madinah.Program bermula dari pagi sehingga selepas Asar dan saya cukup-cukup gembira apabila dapat mencurahkan ilmu dan berkongsi pengalaman bersama kakak-kakak di sana.

Pulang dari tempat program,terasa kepenatan yang amat sangat.Mungkin saya kurang berehat dan bergerak ke hulu ke hilir bersama anak kecil.Selepas solat dan makan malam,saya terus tidur dan berehat sepuasnya.

Pagi Jumaat yang barakah,terasa kondisi diri agak membimbangkan.Pendarahan bermula.Perasaan cuak melanda diri ketika itu.Pendarahan berterusan sehinggalah selepas solat Jumaat.Hati ibu ini terdetik,

"Ya Allah,anak ini datang dariMu.Engkau Yang Berkuasa menciptakannya.Ya Allah,aku hamba.Aku redha atas segala Qada' QadarMu.Ya Allah,Engkau Maha Baik.Engkau pasti tidak sedikit pun menzalimi aku.Ya Allah,tabahkan hatiku.Aku bulatkan hati ini untuk menyerahkan segala-galanya kepadaMu.Ya Allah,kepadaMu aku sembah dan kepadaMu aku meminta pertolongan.."

Zikir itu saya ulang-ulangi di dalam hati,sudah dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku kerana pendarahan ini agak luar biasa keadaannya.

"Hasbunallahu wa ni'mal wakil.." Saya tenangkan hati dengan melafazkan zikir ini sebanyak-banyaknya.

Suami saya yang penyayang tidak henti-henti memberi semangat,"Fikir positif Ain,InsyaAllah anak kita selamat." Sejuk hati mendengar kata-kata lembut suami.Saya tahu dia sangat bimbangkan keadaan saya dan anak ini.

Allah Maha Pengasih,Allah Maha Penyayang.

Jam 3.30 Petang,akhirnya keluar ketulan yang agak besar.

"Abang,Innalillah wa inna ilaihi Roji'un.Rasanya sudah tidak ada harapan.Anak kita sudah tiada," dengan tenang saya menyatakannya kepada suami.

Pada malamnya kami ke Hospital RC Yanbu' dengan bantuan Kak Nik dan suaminya.Kak Nik merupakan doktor dan tinggal di Yanbu kerana mengikuti suaminya yang bekerja di sini.
Hasil pemeriksaan doktor,saya bersyukur kerana tidak perlu melalui proses D&C.Kata Doktor hanya tinggal sedikit sahaja lagi baki yang tinggal dan InsyaAllah ia akan keluar sendiri selepas ini.

Nilai Ukhwah

Allah mencaturkan pengalaman berharga untuk saya lalui sebelum pulang ke Malaysia sedikit masa lagi.Saya dipertemukan dengan kakak-kakak Yanbu yang sangat baik MashaAllah.

Kak Suhaida dan Haji Ramly-Kami tumpang berteduh di rumah mereka selama beberapa hari tinggal di Yanbu.Terasa kasih-sayang mereka seolah-olah kami ini ahli keluarga mereka sendiri.Subhanallah,akhlak mulia yang mereka teladani dari sifat Nabi benar-benar kami kagumi.

Apabila mendapat berita tentang keadaan saya,Kak Nik,Kak Za Balad,Kak Za,Kak Nani dan Kak Yati datang menziarahi saya.Subhanallah,perasaan sedih dan terharu bercampur baur.Mereka sangat prihatin.

"Ainun sabar ya.InsyaAllah Allah akan gantikan yang lebih baik,"nasihat mereka kepada saya.

Saya tersentuh dengan pengorbanan Kak Nik.Akhlaknya benar-benar mencerminkan akhlak doktor yang solehah MashaAllah.Beliau sedang sarat mengandung 7 bulan tetapi sanggup membantu kami sehingga lewat malam ketika di hospital.Kak Nik yang menerangkan kepada doktor kondisi saya ketika itu.Apabila doktor bertemu doktor,sudah tentulah prosesnya menjadi lebih mudah.

Saya bersyukur.
Bersyukur kerana ditemukan dengan hamba-hamba Allah yang sangat mencintai ukhwah kerana Allah.Kami jarang bertemu.Tetapi apabila menatap wajah mereka terasa bagaikan menatap wajah kakak saya sendiri.

Tarbiah Dari Allah

Ini adalah didikan dari Allah kepada saya.Antara ujian yang perlu ditempuh untuk menjadikan saya manusia yang kenal erti sabar dan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah.

Memetik kata-kata dari seorang adik,

"Saat Allah swt mencintai seseorang, tempat pertama sentuhan cinta itu ialah HATI mereka.
Disitulah Allah melenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka, kemudian digantikan dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan yang bersih. hati kita seolah berbisik, "Aku tahu bila Allah mencintaiku iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.."