Daisypath Anniversary tickers
selesaikan hutang Nurul :)

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah,masih diberi peluang oleh Allah untuk menghirup udara yang segar pada hari ini.
Entry kali ini adalah menyelesaikan homework yang dah lama nurul (adik junior saya di DQ) bagi..dah lama juga kan nurul?maafkan akak ye.puas fikir nak berkongsi pasal apa :)

sebelum tu mabruk buat ukhti Nurul dan Akh Imran atas kelahiran cahaya mata kedua baru-baru ini.Mereka pasangan yang berjiwa besar.Walaupun masih berada dalam bidang pengajian,tapi kondisi ini tak menghalang mereka untuk terus melaksanakan amanah mereka selaku pelajar dan ibubapa.Moga Allah memudahkan segala urusan kalian,amin..

Emm,tagging itu berbunyi begini..

"Once you have been tagged,you are supposed to write a note with 25 random things,fact,habits,or goal about you....If I tag you,its because I want to know more about you.."

InsyaAllah,saya cuba selesaikan hari ni.Selagi tak selesai,rasa bersalah pula kat adik sorang ni:)

1-Nama diberi 'Ainun Mardhiah binti Ismail.Kata mak abah saya,nama ni dicadangkan oleh bapa saudara saya (adik abah).Ada seorang lagi sepupu saya yang sama nama dengan saya.seronok juga bila nama kami serupa:)

2-Saya anak ke 6 dari 9 orang adik beradik( 5 lelaki,4 perempuan).Alhamdulillah,dibesarkan dalam keluarga yang ramai,memang meriah.Dalam family,hanya tinggal 3 orang sahaja lagi adik-adik saya yang masih belajar di USM,UIA & di Banting(persediaan untuk ke oversea).Yang lain Alhamdulillah sudah punya kerjaya masing-masing sebagai Imam Masjid Negeri,doktor,businessman,guru,pensyarah dan surirumah sementara(sayalah tu:)

3-Kami berasal dari keluarga yang sederhana.Abah bekerja sebagai peneroka,mak pula sebagai suri rumah,tapi Alhamdulillah dengan rahmat dan bantuan Allah,kami bahagia hingga ke saat ini.Saya takkan boleh lupa kenangan kami semasa kecil mengikut abah menoreh getah di ladang.Bila cuti sekolah,abang-abang ke ladang getah dengan berbasikal,kami yang perempuan ni pula ikut abah naik motor.Alhamdulillah,pengalaman itu amat indah untuk dikenang.Kesusahan dulu membuatkan kami sentiasa sedar jangan sombong dan pandang rendah pada orang lain.

4-Abah saya adalah kaunselor terbaik buat saya dan adik-beradik.Setiap kali menghantar kami ke sekolah,pasti bibirnya tak lekang dengan nasihat berharga,"Belajar rajin-rajin,abah takde harta yang banyak nak bagi anak-anak abah,ILMU je yang boleh selamatkan kita,naikkan martabat kita."Tiap kali kami nak exam,tiap pagi abah akan panggil kami adik-beradik dan bacakan doa,tiupkan atas ubun-ubun kami.Mak pula akan siapkan bekal makanan untuk kami supaya tak lapar di sekolah,memeluk dan mencium kami dengan erat sebelum kami melangkah keluar dari rumah..Pergi kami dihantar dengan lambaian dari seorang ibu,pulang kami disambut dengan keceriaan dan kasih-sayang yang tidak terhingga..isk,sebak pula hati ni..-_-

5-Abah amat tegas mentarbiah kami.Sebelum pukul 7 malam,semua kena berhenti main,bersiap untuk solat Maghrib.adik-beradik lelaki abah wajibkan ke surau,berzikir dan jadi Bilal:)adik-beradik perempuan solat dengan mak di rumah.Dilarang sama-sekali untuk menonton TV senja-senja begitu.(cerita pun bukan best).Lepas solat Maghrib,kami mengaji sama-sama."Melancar dulu,dah lancar baru panggil abah.Abah nak dengar,"kata abah pada kami.

6-kami takut kalau mengaji main-main.Abah sangat tegas bab Mengaji Al-QUran ni.Paling takut kalau salah tajwid.Jangan beranganlah nak berborak-borak,curi-curi tidur time tu,abah tahu!agaknya abah mengintai kami kat celah dinding kot.kalau tak lancar apa hukumannya?tak boleh pindah ke mukasurat seterusnya,stay mengaji kat tempat yang sama sampai kami lulus dan abah puas hati.

7-Antara motivasi yang abah selalu berikan pada kami tanpa kami sedari adalah waktu kami di jalanraya.kalau nampak kereta Honda Accord,BMW atau Mercedes,abah akan kata,"ni kereta Yah(saya),ni kereta abang wan,ni kereta abang mi."pendek kata tiap sorang dari kami konon-kononnya sudah ada kereta masing-masing.Secara tak langsung ianya boleh jadi inspirasi buat kami untuk belajar sungguh-sungguh!:)

8-Cita-cita saya dari kecil ingin menjadi seorang Pensyarah.Saya ingat lagi,waktu di Darjah 4,saya buat buku nota kecil dan tulis impian saya dalam tu.ada 2 item yang paling utama:
1-Mahu melanjutkan pelajaran ke Mesir..2-bercita-cita untuk menjadi seorang Pensyarah.Alhamdulillah,impian saya yang pertama dimakbulkan Allah.Saya sudah pulang sebagai Graduan Al-Azhar dengan izin Allah,Alhamdulillah.

9-Cita-cita kedua saya (Pensyarah)akan cuba saya realisasikan apabila saya pulang ke Malaysia nanti insyaALLAH.Saya sangat meminati bidang pendidikan dan suka berkongsi dengan orang sekeliling.Moga-moga ilmu Allah ini tersebar di seluruh dunia dan kalimah ALLAH kembali dijulang suatu hari nanti,insyaAllah.

10-Beralih ke hobi saya,tentunya membaca-tidak kira apa jua jenis buku.Sangat cintakan buku,suka beli buku dan baca buku.

Baru 10,dah panjang rasanya.Saya berhenti dulu di sini,bersambung ke entry seterusnya,insyaAllah:)


NOTA CINTA BUAT HATI..


Kedinginan yang dirasai saat ini membawa hati bermusahasabah.Betapa Allah menjadikan siang dan malam itu tidak sia-sia.Siang adalah peluang untuk manusia bekerja,mengurusi kehidupan,mencari rezeki dan nafkah untuk isteri,anak-anak dan keluarga.Malamnya pula diberi peluang lagi oleh Allah untuk merehatkan fikiran,melepaskan kelelahan yang dirasai saban hari.Indahnya kehidupan mukmin itu,sepertiga malamnya diisi pula dengan bangun mengucapkan 'terima kasih' kepada Allah,mengerjakan solat sunat dan berzikir,tanda penghambaan kepada Rabbnya.


Subhanallah,cemburunya aku kepada pemilik hati sebegini.Hatinya diikat erat untuk taat mencintai Allah dan Rasulnya.Dunia baginya hanyalah sementara,hanya medan untuk menggandakan amalan.Perisainya adalah Al-Quran dan sunnah,yang dibaca,dihadam dan diamalkan siang dan malam.Natijahnya,Allah tidak melupakan hamba yang sebegini.Allah memancarkan nur ketaqwaan ke wajah dan di hatinya.Dia sentiasa tenang tatkala orang lain dalam resah dan gelisah,dia sentiasa tersenyum biarpun diuji dengan kedukaan dan kesakitan,dia tak lupa merendahkan diri dan hati di dalam sujudnya,menitiskan air mata dan merasai diri ini tidak sunyi dari melupakan dosa.Dia mudah untuk melontarkan kemaafan bagi insan-insan di sekelilingnya.Beruntungnya jika aku punya hati yang sebegini..

Subhanallah,lembutnya hati hamba itu..Dia memulakan pagi harinya dengan azam ingin melakukan amalan dan ketaatan sebanyak-banyaknya pada Allah.Lunaknya hati itu,apabila insan lain bercerita tentang kekuasaan Allah dan kegembiraan yang dijanjikan oleh Allah buat mukmin yang soleh iaitu Syurga yang mengalir sungai-sungai indah di bawahnya,hatinya bertambah khusyuk dan tawaduk melaksanakan ketaatan. Apabila diceritakan tentang lembaran sirah Rasulnya,Nabi Muhammad yang amat dicintai,air matanya menitis setitik demi setitik,seolah dapat merasai keperitan yang dihadapi oleh Baginda Rasulullah selama membawa panji tarbiyyah..

Allahu Akbar,hati sebeginilah yang dipandang Allah..
Walau kehidupannya sarat dengan ujian,baginya inilah wasilah agar dia makin hampir dengan Allah.Dia makin intim bermunajat pada Penciptanya,kerana dia tahu Allah menguji tanda hamba itu mampu memikul beban ujian tersebut.Dia tidak sesekali mengeluh,malah ulas bibirnya basah dengan zikir,memuji dan terus memuji Allah Yang Maha Berkuasa Lagi Maha Bijaksana.
aku juga ingin memiliki hati sebegini Ya Allah..

Ku renung lagi langit yang terbentang luas.Dalam doaku,aku yakin Allah Maha Mendengar degup hati ini,doa yang kulafazkan saban waktu.."Ya Allah,aku ingin berubah.Pandulah aku,pimpinlah aku ke jalan yang Engkau redhai Ya Ilahi Rabbi.Aku tak mahu tergolong dalam hamba yang rugi.Rugi di dunia kerana tidak beramal dengan sebanyak-banyaknya.Rugi di Akhirat lantaran tidak terpilih untuk berada di Syurga,singgahsana yang kuimpi..Terimalah taubatku Ya Allah."

:: dari Madinah:PAMERAN SIRAH RASULULLAH SAW ::

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..kepadaMu kami sembah dan kepadaMu jua kami meminta pertolongan..

Sudah lama rasanya tak mencoret di teratak ini.Kesibukan taklah setara mana,tapi mungkin kerana penguat semangat saya(suami) tidak ada di sisi pada minggu lepas kerana mengerjakan haji di Baitullah,maka semangat untuk menulis sedikit berkurang.(boleh ke alasan camni?^_~)

Alhamdulillah,masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menulis..Diizinkan juga olehNya untuk menggerakkan jemari ini,menyusun kata di blog ini,mudah-mudahan ada manfaatnya buat sahabat-sahabat yang datang berziarah,inshaAllah.Sungguh,nikmat kesihatan adalah salah satu dari kurniaanNya Yang Maha Agung,bayangkan jika sepanjang masa kita di dalam kesakitan,bagaimana kita dapat mengerjakan ibadah,bekerja,berfikir,bergerak dan lain-lain.Justeru,manfaatkanlah nikmat kesihatan ini untuk sentiasa beramal,berazam untuk melaksanakan kebaikan dan menjauhi larangan.Andai kita mati dalam mengerjakan amal yang baik,sesungguhnya besar ganjaran di sisi Allah dan amat besar keuntungan yang bakal kita perolehi di syurga kelak.

opps,dah jauh pula topik yang saya bawa..;)sebenarnya kali ni,saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat sekalian pengalaman semasa saya dan suami menghadiri Pameran Sirah Rasulullah SAW yang terletak berhampiran dengan Masjid Nabawi pada 11 November yang lalu.

Alhamdulillah,dalam kesibukan bandar Madinah yang dilimpahi dengan ribuan manusia yang datang dari segenap ceruk rantau dunia untuk menziarahi Madinah,kami dapat mengambil peluang untuk sama-sama memeriahkan pameran ini yang sememangnya dapat menambahkan informasi dan pengetahuan tentang sirah Rasulullah.

Khemah besar didirikan untuk jualan kurma,pakaian,beg kargo dan pelbagai barangan lain,sementara satu bahagian lagi disediakan untuk Pameran khas sirah Rasulullah.Terdapat beberapa orang penterjemah yang bertanggungjawab menerangkan tentang Sirah Rasulullah,dan kami ditemani oleh penterjemah dari negara Indonesia yang menerangkan dari awal tentang pengenalan keturunan Rasulullah SAW hinggalah kepada kewafatan Rasulullah SAW..Alhamdulillah,pengalaman yang menarik kerana di tempat yang sama,pengunjung juga disediakan dengan video/tayangan tentang Sirah Nabi,antaranya kronologi hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bersama Abu Bakar As-Siddiq,kisah yang berlaku sepanjang perjalanan Baginda dan Abu Bakar ke Madinah,sejarah pembinaan Masjid Nabawi juga Perang-perang yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.



Gambar di atas adalah ruangan tayangan video tentang Masjid Nabawi,masjid yang dibina atas dasar Taqwa.Tanah tapak masjid ini berasal daripada tempat mengering tamar kepunyaan dua orang anak yatim (Suhail dan Sahl).Rasulullah SAW kemudian membeli tanah tersebut.Banyak lagi kisah yang tersirat di sebalik sejarah pembinaan Masjid Nabawi ini,jika ada kelapangan inshaAllah saya akan ceritakan kemudian..^_^





Gambar di atas pula menceritakan tentang pergerakan tentera Islam dan tentera musuh di dua lokasi peperangan iaitu Peperangan Uhud dan Peperangan Khandak/Ahzab.Diterangkan kepada kami bagaimana terjadinya peperangan tersebut,tindakan umat Islam dan serangan balas dari kaum kafir..Alhamdulillah,sejarah yang selama ini diketahui secara teori dari buku-buku kini lebih jelas dan diperhalusi serta dapat difahami dengan lebih mendalam.




Saya tak sabar-sabar lagi untuk tiba di ruang pameran di atas.Gambar di atas menunjukkan perkakas-perkakas yang terdapat di rumah Rasulullah SAW..Objek di tepi sekali adalah bantal Rasulullah,alas tidur Baginda pada waktu malam.MashaAllah,lihatlah kezuhudan Nabi kita yang tidak tidur beralaskan bantal dan tilam yang mahal dan empuk,kehidupan Rasulullah tidak bermewah-mewah dan berlebih-lebihan.Malam Baginda lebih terisi dengan Qiyamullail,penghidup jiwa dan penenang bagi hati yang sentiasa merindui Tuhannya..

Lawatan kami diakhiri dengan pemberian hadiah buku-buku oleh pihak yang menguruskan pameran tersebut.Alhamdulillah,walaupun lawatan kami tak memakan masa yang terlalu lama,namun mendatangkan faedah yang banyak.Rasa semakin jatuh cinta pada Baginda Rasulullah SAW..Pameran ni masih lagi berjalan,inshaAllah andai punya kesempatan saya akan memasukkan lagi gambar-gambar di sekitar pameran tersebut.

Siiru 'ala Barakatillah :)

AIR MATA IBU DI MASJID NABI

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..

Lama tidak menulis membuatkan saya teruja untuk berkongsi pengalaman sepanjang berada di Madinah ini.Hari-hari yang berlalu merakam cerita baru yang bermakna.
Masakan tidak,hari-hari melangkahkan kaki di bumi yang pernah berpijaknya tapak kaki junjungan mulia Rasulullah SAW dan para sahabat,membuatkan diri yang kerdil ini cepat bermuhasabah.Hadirku ke sini bukan untuk berbangga-bangga,malah suatu pinjaman nikmat dari Allah yang wajib disyukuri.Iman perlu sentiasa ditingkatkan,akhlak perlu sentiasa dibaiki semata-mata untuk memperoleh redhaNya..

Rumah saya Alhamdulillah masih berada di kawasan Tanah Haram,terletak di belakang Bukit Uhud.Bermakna,2,3 minit perjalanan keluar dari rumah,sudah dapat melihat Bukit Uhud yang tersergam indah.Bukit yang menjadi kecintaan Nabi sebagaimana sabda Baginda (yang bermaksud):

"Inilah Uhud,bukit yang mencintai kami dan kami mencintainya.."

Benar..melihat bukit ini menimbulkan kekaguman yang luar biasa,di sini menyaksikan peristiwa bermakna bagi umat Islam,kisah yang pasti tidak akan dilupakan oleh umat Rasulullah SAW hingga hari akhirat.Ia gah berdiri,seolah-olah menjadi benteng kepada Madinah,menimbulkan ketenangan setiap kali melihatnya..Subhanallah,indahnya ciptaan Allah..
~AIR MATA IBU DI MASJID NABI~


Setiap kali anda melangkahkan kaki ke Masjid Nabawi,pastinya anda akan dapat mengutip pengajaran-pengajaran baru yang dapat dijadikan panduan hidup.Itulah juga yang saya rasai..Biarpun hanya melihat dan memerhati kehidupan dan ragam manusia,pasti ada ibrah dan pengajaran yang tersirat di sebalik itu.Saya tidak akan jemu untuk menceritakan perihal Masjid Nabi,kerana Masjid ini mengukir sejarah yang tidak kan ada surutnya.Di sini terakam kisah kehidupan Rasulullah SAW dan para sahabat dari saat penghijrahan Baginda dari Makkah menuju ke Madinah sehinggalah saat kewafatan Baginda yang mulia..

Suatu malam,ketika saya sedang merehatkan diri di tiang masjid,sementara menunggu panggilan telefon dari suami untuk mengajak saya pulang,saya terdengar keriuhan dari arah pintu.Terlihat seorang ibu berlari ke sana ke mari sambil memegang dua orang anak kecil.Seorang anak erat memegang tangan si ibu,manakala seorang lagi berada di atas dokongan.Ibu itu melaung,memanggil nama seseorang.Apabila kelibatnya semakin hampir dengan saya,fahamlah saya bahawa ibu ini sedang mencari seorang lagi anaknya yang tidak dapat dikesan..Saya sendiri berasa cuak,bagaimana nak mencari anak kecil dalam keadaan orang ramai begini?Ibu ini terus melaung-laung nama anaknya,dengan harapan anaknya mendengar dan berlari mendapatkannya.Dia berlari ke hulu ke hilir melihat di setiap ceruk ruang Masjid..Kelihatan di wajahnya sungguh bimbang.

Tidak lama kemudian,datang pengawas masjid (wanita) dengan memegang seorang anak kecil.Dia bertanya sama ada kami ada melihat ada tak ibu yang mencari anaknya?kami pun terus menunjuk dan memanggil ibu tersebut.Alhamdulillah,anak tersebut telah dijumpai.Saya pula diserbu rasa bimbang,kalau-kalau ibu tersebut memarahi anaknya itu,tetapi sangkaan saya meleset.Anak itu terus disambut,didakap dan dicium dengan sepenuh hati.Malah,lebih menyayat hati,air mata ibu itu turut mengalir,tidak sanggup kehilangan permata hatinya..MashaAllah,sungguh mulia hati seorang ibu..

Alhamdulillah,Allah mendatangkan satu lagi pengajaran pada saya hari itu.Bagi orang lain mungkin biasa,tapi tidak bagi saya.Ianya cukup terkesan di hati saya hingga saat ini.Saya terlalu merindui ibu-ibu saya di tanah air..
Cintai ibu sepenuh hati,kerana hati seorang ibu tidak sesekali mengharap ganjaran atau balasan atas segala kesusahan yang ditempuh untuk membesarkan anaknya.Juga saya berazam untuk menjadi ibu yang kaya dengan kasih-sayang dan mencurahkannya kepada anak-anak,zuriat keturunan saya,inshaAllah..


Terima kasih Ya Allah,sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dan Penyayang..

LALUAN CINTA YANG MAKIN MEKAR..


" Padatnya bang,mashaAllah.."luah saya pada suami bila tibanya kami di Masjid Nabawi.
"Ni baru sikit Ain,lepas ni laagi padat,sampai belakang ni pun tak muat.."suami membalas sambil menghalakan tangan ke arah pintu pagar Masjid Nabi ini.


MashaAllah,cukup mengkagumkan!

Pengalaman pertama berada di Madinah pada musim haji,sangat menakjubkan.Masakan tidak,jika hari-hari biasa saya boleh bersolat dengan senang hati sama ada di ruang muslimat yang membawa anak atau tempat solat muslimat yang disediakan untuk wanita yang tidak membawa anak-anak kecil,kali ini peluang itu amat tipis.setiap kali waktu solat,ruang solat amat penuh,padat,malah tidak ada ruang untuk berada di pintu masuk sekalipun!


Di sini sedang berlangsungnya Pesta Ibadah yang luar biasa!

Berduyun-duyun hamba Allah menghadirkan diri bersolat dan bermunajat di Masjid Nabi,ingin sekali menziarahi Rasulullah SAW,jasad yang mulia,yang dicintai seluruh makhluk langit dan bumi..


Suatu ketika,selepas Isyak saya cuba-cuba menunggu untuk melihat bagaimana padatnya manusia menuju ke Raudhah.ketika itu jemaah haji dari Malaysia masih tidak ramai,yang meramaikan masjid ini majoritinya jemaah dari Turki,Indonesia,Thailand dan Afrika Selatan.(berdasarkan kepada pakaian@trademark negara masing-masing.)

Apabila dibuka sahaja pintu besar di ruang muslimat,seperti yang dijangka bertolak-tolakan,berpusu-pusu para muslimat bergerak ke Raudhah,bimbang tidak punya tempat dan peluang untuk bersolat di situ barangkali.Aduh,gerun pula melihatnya.Saya bayangkan,kalau saya juga menyertai mereka pada waktu itu,kemungkinan besar saya terjatuh dan dipijak-pijak,jadi niat untuk terus ke Raudhah terpaksa dihentikan setakat itu.


Pernah suatu hari,usai mengerjakan solat Maghrib,saya terlalu dahaga dan ingin sekali meneguk secawan dua air zam-zam.Azam diteguhkan untuk masuk ke dalam masjid kerana sebelum itu tidak berpeluang bersolat di dalam,terpaksa bersolat di luar pagar disebabkan kawasan solat yang sudahpun penuh.Alhamdulillah,akhirnya berjaya masuk ke dalam dan terus menuju ke tong-tong air zam2.ohh,banyak tong yang sudahpun kehabisan air.Tiba-tiba terdengar riuh-rendah berhampiran dengan tempat saya minum.Rupa-rupanya ada jemaah yang menggunakan air tersebut untuk membasuh muka..Ala makcik,patutlaa air habis..:)tersenyum melihat gelagat manusia yang pelbagai.mungkin makcik tu tak berdaya nak keluar menuju ke tandas,kalau keluar alamat tiadalah ruang untuknya solat di situ,semua tempat telah selamat dicop..keadaan yang terlalu sesak hampir membuatkan saya hampir pitam.Sudahnya,berlapang dadalah dengan situasi ini..


Terasa bangga melihat ramainya umat Islam di muka bumi ini.Usaha dakwahmu tidak sia-sia duhai Rasulullah.Kini umatmu mempir menziarahimu,tidak sesekali melupakan betapa sukar dan peritnya dirimu menyebarkan Risalah Islam..


Sedikit masa lagi,lautan manusia akan membanjiri Makkah,bumi barakah untuk menyahut panggilan Haji..semoga Amal Ibadah kita diterima oleh Allah,amin.


IFF : AGENDA YANG TERSIRAT??


Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..

Dalam sekalian umat Islam berduyun-duyun dan bersesak-sesak berada di bumi Makkah dan Madinah saat ini,masih ada segelintir lagi umat Islam yang masih sibuk memperagakan kehidupan dunia yang kononnya indah dipandang mata.

Dalam deruan esak tangis jutaan hamba Allah yang berada di tanah suci ini menginsafi diri sebagai umat Rasulullah yang masih kurang mengamalkan sunnahnya,lahir pula program-program jahil yang menyentap malah menghiris tangkai jantung umat Islam,kerana penghinaan terbuka mereka kepada Rasulullah SAW.




Agenda apa ini??

Memperagakan wanita dengan berpakaian tidak menutup aurat,tetapi hebat mencanangkan bahawa program ini adalah Festival yang bercirikan Islamik.

Tujuan apa ini??

Tulisan Nabi Muhammad sejelas-jelasnya terpampang dan ditayangkan dalam keadaan wanita yang separuh tubuhnya didedahkan sebagai 'tayangan awam.' Apa ini??!Tidak cukupkah bukti bahawa ini penghinaan kepada Baginda Rasulullah,pembawa risalah yang mulia?

Tidak ada sesiapa yang dapat mempertikaikan bahawa kriteria pemilihan pemimpin adalah mereka yang mempunyai iman yang teguh kepada Allah,melaungkan kebenaran,mencegah kemungkaran dengan kuasanya,menerapkan Islam di dalam diri,keluarga dan rakyatnya sehingga terbinalah negara ISLAM yang dicita-citakan.Adakah penganjuran festival seperti ini menggambarkan sifat pimpinan yang digariskan oleh Islam?Jika hari ini para muda-mudi diacu dengan acuan sebegini,didedahkan dengan hiburan dan program dunia yang melekakan,apakah nasib umat Islam 10,20 tahun akan datang?


Jika objektif festival ini ingin memperkenalkan pakaian wanita Islam di mata dunia,membawa gagasan bahawa wanita Islam hari ini tidak jumud dan statik,pelaksanaannya tidak sedikitpun mencapai objektif yang ingin dicapai.Andai Islam itu hanya dinilai melalui tulisan,ia jelas telah jauh menyimpang!


Seruan buat semua umat Islam,bangkitlah kita mempertahankan Islam yang mulia melalui pelbagai medium sekalipun.Kredit buat Pemuda PAS dan NGO yang tampil berani menyatakan prinsip dan kecaman terhadap isu ini.Semoga amal ini menjadi saksi di akhirat kelak bahawa kita terlalu mencintai Agama dan Rasulullah SAW.Salam juang!



13 HARI DI BUMI KECINTAAN RASULULLAH..

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..kepadaMu kami sembah dan kepadaMu jua kami meminta pertolongan..

Alhamdulillah,sedar tak sedar sudah 13 hari kaki ini mengatur langkah di Madinah,bumi kecintaan Rasulullah SAW..Saya merasakan musafir kali ini amat berlainan sekali..Bukan tidak pernah merantau..3 tahun berada di Mesir,amat mengajar diri ini erti berdikari,berjiwa besar dan perlunya jiwa yang cekal..Namun kali ini debarannya luar biasa..

Mungkin kerana keadaan diri yang tidak biasa dengan suasana Saudi,lahjah Arabnya fushah,suasananya sedikit berbeza dengan Mesir.tetapi positifnya,di sinilah saya bakal menimba pengalaman..Menjadi ahli Madinah adalah hadiah yang amat berharga yang Allah kurniakan buat hamba yang lemah ini..Di sini medan untuk saya memperbaiki diri,mendidik diri menjadi hamba yang setiap saat berterima kasih kepada Allah Yang Maha Pemurah..juga medan untuk mencurah khidmat dan kasih-sayang sepenuhnya kepada suami,yang bersabar menanti dan penuh redha melalui fasa berjauhan dengan isteri selama 2 tahun kerana menuntut ilmu Allah..Moga Allah mencurahkan rumahtangga kita dengan siraman sakinah,mawaddah wa rahmah selama-lamanya,amin..

Alhamdulillah,setelah berhari-hari mencari teratak untuk berteduh,akhirnya Allah temukan kami dengan rumah yang sesuai dengan kondisi kami selama berada di Madinah ini.Rumah ini tidaklah semahal banglo mewah,namun kami senang dengan pilihan ini..Apa yang penting,bait muslim ini akan terisi dengan program-program tarbiah dan agenda-agenda yang mendekatkan ahlinya kepada Allah,inshaAllah..di sinilah kunci kasih,tempat kami melepaskan lelah setelah seharian menjalankan amanah sebagai hamba Allah..

Cuaca di sini masih panas,tetapi masih membolehkan penghuninya istiqamah melaksanakan ketaatan kepada Allah..malamnya,tetap ramai dan berduyun-duyun manusia bersolat di Masjid Nabawi..Hari Jumaat bagi saya sangat meriah,terlalu sesak dengan ribuan manusia di sekeliling Masjid Nabawi..tak sabar menanti musim haji,pasti keadaannya jauh dan jauh lebih sesak dari sekarang ni..

Terlalu banyak yang ingin dicoretkan di sini..InshaAllah,andai punya kesempatan,saya ingin sekali berkongsi pengalaman berharga sepanjang berada di Tanah Haram ini..

Siiru 'ala Barakatillah..:)

kehidupanku yang baru..:)

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..

InsyaAllah saya akan berlepas ke Jeddah-Madinah pada 22 September ini.check in di KLIA pada jam 12 tghari.I.allah,kami akan menetap di Madinah sehingga April 2012,(dengan izin Allah)..mohon doakan perjalanan kami dipermudahkan dan diredhaiNya..Salam sayang buat semua..

plot kesedaran

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..

Rindu untuk bertamu di teratak ini..Sepanjang di Malaysia,agak sukar untuk saya mengupdate blog memandangkan tiada kemudahan internet di rumah..

Terlalu banyak kisah yang ingin dikongsikan,terlalu banyak berita yang ingin dikhabarkan..inshaAllah andai punya kelapangan saya akan mencoret lagi..

Antara berita utama yang ingin dikongsi,Alhamdulillah permohonan saya untuk tinggal di Madinah,Arab Saudi diluluskan.Alhamdulillah,Maha Suci Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang..inilah hadiah yang paling bermakna buat diri ini..Syukur tidak terhingga mengenangkan nikmat yang tidak putus-putus dari Dia..doa yang bertahun-tahun kami panjatkan selama saya dan suami berjauhan dulu,kini dimakbulkan Alhamdulillah..InshaAllah saya dan suami akan berlepas ke Madinah pada 22 September 2010..saya akan tinggal di sana sehingga Mac 2012,sehingga suami menamatkan pengajiannya di Universiti Islam Madinah,InshaAllah..Rabbuna Yusahhil Ya Rabb..

Hari demi hari menatap berita dan membaca akhbar di tanah air,hati dipagut pilu,geram dan marah yang teramat.Rasanya semua yang bergelar manusia yang waras akan mempunyai perasaan yang sama..Saban hari,dilaporkan kes buang bayi,dera bayi yang tidak berdosa..Parah dan makin parah!Bagaimana ya?bagaimana kita nak sedarkan anak muda hari ini?bagaimana ya tergamak hati seorang ibu membuang anak di tali air,dalam tambunan sampah dan dalam sungai?

Realitinya,anak muda kita ketandusan iman.Anak muda kita dahagakan ilmu Agama..Anak-anak kita tidak merasai kebesaran Al-Quran itu sebagai petunjuk jalan dan penenang hati..Yang terhidang di depan mata adalah hiburan,konsert,pesta nyanyian dan nyanyian..pakaian menutup aurat dirasakan pakaian asing,ketinggalan zaman..yang lebih standard adalah skirt paras paha,baju yang sendat dan ketat..itu yang cantik,itu yang manis,itu yang seksi..

Tugas kita sebagai hamba Allah yang sedar perlu terus dilaksanakan..kita punya facebook,blog dan medium2 lain,sampaikan seberapa banyak dakwah melaluinya..sama-sama mengajak ke arah jalan makruf,agar kita sama-sama selamat di dunia dan akhirat..Bayangkan kalau sehari kita mengajak seorang hamba Allah ke jalan taqwa,dalam sebulan kita dapat membantu 30 orang..bukankah dakwah itu suatu tuntutan dan pesanan dari Rasulullah SAW untuk kita melaksanakannya?

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk menghadapi hari-hari mendatang..Salam ingatan!

MAJLIS BACAAN AL-QURAN EKSKLUSIF BERSAMA JUARA AKADEMI AL-QURAN MUSIM PERTAMA, ABDULLAH FAHMI


MARILAH SAMA - SAMA KITA HAYATI ALUNAN BACAAN AYAT SUCI AL-QURAN DAN MENGENALI ILMU - ILMU QURAN SEPERTI QIRAAT, TAFSIR, KELEBIHAN AL-QURAN ADN BANYAK LAGI...

JANGAN LEPASKAN PELUANG BERSAMA IKON REMAJA MASA KINI, ABDULLAH FAHMI, JUARA AKADEMI AL-QURAN MUSIM PERTAMA!!!