Masjid Nabawi sangat istimewa.Ia bukan sekadar sebuah masjid biasa yang hanya berfungsi untuk solat.Pada zaman Rasulullah SAW lagi,institusi masjid ini sangat tinggi tarafnya.Tempat untuk solat,majlis-majlis ilmu,bermesyuarat,malah tempat yang menyeronokkan bagi kanak-kanak.Mereka menghafaz Al-Quran di dalam masjid dan di luar dataran masjid seolah-olah menjadi tempat rekreasi.Mereka bermain,berlari ke sana ke mari dengan seronoknya.Para ibu pula menjinjing beg-beg makanan dan jag air untuk makan bersama kawan-kawan,seperti berkelah di tepi pantai.
Apabila berakhirnya musim haji dan pulangnya jemaah Haji ke negara masing-masing bermakna Masjid Nabawi akan berkurang tetamunya.Masjid Nabawi lengang.Walaupun ramai masyarakat tempatan yang datang bertali arus mengerjakan solat di Masjid Nabi,namun tidak akan sama kepadatannya berbanding musim Haji dan Umrah.

Dari blog :
http://clothdiapermalaysia.com/
LAKUKAN LAH YANG BERIKUT:
1.Paling utama, beli lah Cloth Diapers yang berkualiti atau yang diketahui umum sebagai jenama yang tahan lama (tanyakan lah pendapat ibu-ibu lain yang ber-Cloth Diaper untuk mendapatkan tips).
2.Pastikan stok Cloth Diaper mencukupi, dan lebih bagus jika mempunyai Cloth Diapers dalam jumlah yang banyak. Ini kerana apabila Cloth Diapers yang sama dipakai dan dibasuh berulang kali, ia akan menyebabkan ianya cepat lusuh dari “wear and tear”. Diibaratkan seperti pakaian kita lah, kalau ada 5 helai sahaja dan kita pakai dan cuci hari-hari, mesti tak sampai berapa bulan sudah lusuh atau mungkin koyak, bukan?
3.Pilih Cloth Diapers jenis “Snaps” atau butang berbanding Velcro untuk mengelakkan Velcro nya cepat “haus”. Secara umum, Cloth Diapers snaps akan kelihatan “baru” lebih lama berbanding Velcro.
4.Jaga lah Cloth Diapers dengan teliti. Pastikan cara pembasuhan dan penggunaan harian mengikut kaedah yang disarankan jenama Cloth Diapers tersebut. Kaedah penjagaan meungkin berbeza bergantung kepada material yang digunakan.
5.Gunakan cecair/serbuk pencuci yang sesuai untuk Cloth Diapers! Jangan gunakan pencuci yang ada peluntur, enzim, fosfat, pengawet atau pelembut/pewangi di dalamnya. Bahan-bahan ini boleh menyebabkan Cloth Diapers bocor dan mudah rosak.
7.Jika anda ingin menggunakan Cloth Diapers untuk anak-anak yang seterusnya, belilah Cloth Diapers yang bersaiz (sized diapers) berbanding “One-Size”. Ini kerana Cloth Diapers bersaiz kurang kerap digunakan dan kualitinya akan tahan lebih lama jika disimpan. Bayangkan, Cloth Diapers “One-size” dipakaikan semenjak bayi baru lahir sehingga 2 tahun, betul kah ia boleh digunakan dengan sempurna untuk adiknya pula?
8.Sesekali, lakukan “strip washing” untuk menghilangkan bau-bauan dan juga kulat (mold/fungi) yang mungkin tumbuh di Cloth Diapers. Keadaan ini boleh menyebabkan Cloth Diapers rosak.
9.Keringkan Cloth Diapers dengan menyidai di bawah cahaya matahari (gantung/sidai kan dengan cermat) berbanding menggunakan opsyen “Spin Drying” dalam mesin basuh atau menggunakan mesin Dryer.

10.Untuk All-In-Two (AI2) diapers dan juga diaper covers, bahagian luarnya (diaper cover) tidak perlu dibasuh dengan kerap, dan elok dibasuh tangan kerana ianya tidak begitu kotor. Ini boleh mengekalkan kualiti lapisan PUL pada diaper cover tersebut.
11.Beli Cloth Diapers yang diperbuat dari material sintetik seperti microfiber kerana ianya lebih tahan lasak berbanding material semula jadi/organik seperti bamboo dan kapas (cotton).
12.Gunakan “laundry bag/net” jika membasuh menggunakan mesin basuh dan menggunakan opsyen “Spin Dry”.
13.Jika menggunakan Cloth Diapers jenis Velcro, sematkan Velcro pada “laundry tab” sebelum membasuh untuk mengelakkannya tertarik/terlekat pada Cloth Diapers yang lain.
JANGAN PULA LAKUKAN YANG BERIKUT!
1.Jangan perah Cloth Diapers terlalu kuat untuk mengelakkan getah (elastic) cepat lusuh.
2.Jangan gunakan sebarang berus yang kasar untuk menggosok/menyental Cloth Diapers.
3.Jangan gunakan pencuci yang ada peluntur, enzim, fosfat, pengawet atau pelembut/pewangi di dalamnya. Bahan-bahan ini boleh menyebabkan Cloth Diapers bocor dan mudah rosak.
4.Jangan basuh Cloth Diapers dengan air yang terlalu panas kerana ini boleh merosakkan PUL (waterproof layer). Jika perlu, gunakan air suam sahaja.
5.Jangan gunakan krim lampin (diaper/nappy cream) bersama Cloth Diapers kerana ia mungkin menyababkan kebocoran (gunakan lah krim yang sesuai untuk Cloth Diapers atau pun lapik Cloth Diapers dengan nappy liner jika menggunakan krim tersebut).
Cloth Diapers itu suatu pelaburan (investment), bukan? Setelah menelaah, melakukan kaji selidik, dan melakukan proses pembelian, sudah tentu kita mahukan yang terbaik dari wang yang kita laburkan pada Cloth Diapers, betul tak?
Namun begitu, kita juga perlu realistik dan tidak boleh beranggapan bahawa Cloth Diapers yang kita beli itu boleh tahan sampai beberapa tahun… Saya berharap tips yang saya utarakan ini boleh dijadikan rujukan untuk anda untuk ber-Cloth Diaper dengan bijak dan pintar!
2 November 2011-6 Zulhijjah 1432 H.
Jam satu pagi,bas SAPTCO yang kami naiki bergerak meninggalkan Madinah menuju ke Jeddah.Bermakna kembara Haji kami sudah bermula.Selain saya dan suami,Ustaz Aizat dan isterinya Kak Azimah beserta anak kecilnya Humaira' juga akan menyertai Kembara Haji ini.Kami mendaftar dengan Syarikat Travel Arab-Qawafil Arabiah di bawah kelolaan UQ-PROTEAM,pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Makkah.
Seperti yang dijadualkan,kami perlu tiba di Jeddah sebelum tengah hari esoknya kerana selepas Zohor,bas-bas Syarikat Qawafil Arabiah akan bergerak ke Makkah untuk terus melaksanakan Tawaf Qudum seterusnya menginap di khemah kami di Mina.
Awal-awal lagi sudah berlaku keributan di dalam bas.Seorang wanita Arab Mesir bertikam lidah dengan pemandu tentang tempat duduk.Saya tidak mengambil pusing dengan apa yang berlaku kerana hati dan minda fokus memikirkan apakah yang bakal berlaku sepanjang saya mengerjakan Haji nanti..Sukarkah?Penatkah?Bersediakah saya?Minda terus berfikir sambil hati tidak putus-putus melafazkan doa.."Ya Allah,permudahkanlah segala urusanku.."
"Ain jangan tidur dulu tau.Lepas Bir Ali baru boleh tidur sebab bas ni takkan berhenti.."Suami mengingatkan saya.
Zulhulaifah atau Bir Ali adalah Miqat bagi penduduk Madinah dan sekitarnya. Jaraknya dengan Makkah lebih kurang 450 kilometer dan lebih kurang 10 kilometer dari Madinah.Di sinilah kami perlu berniat ihram.
"Baik bang,"saya mengiyakan walaupun mata ini sudah terasa terlalu berat.Sesekali saya tersengguk,lantas suami menyiku lembut."Jangan tidur," Arahannya tegas diiringi senyuman tanda kasihankan saya.
Selepas melalui Bir Ali,saya terus tidur.Muadz juga lena di pangkuan saya.Inilah kali pertama Muadz menaiki bas.Syukur Alhamdulillah,sepanjang perjalanan hanya sekali dua dia merengek inginkan susu.Selepas menyusu anak soleh ini tidur semula,memberi peluang kepada umminya untuk berehat sama.
TRAGEDI
Saya terjaga apabila bas berhenti di Mat'am (Kedai makan) di tepi jalan.Saya tidak pasti di mana. Kata pemandu bas,kami sudah hampir memasuki Jeddah.Suasana pagi sangat mendamaikan.Bas berhenti sebentar kerana beberapa orang penumpang ingin membeli makanan untuk bersahur di kedai makan tersebut.
Tiba-tiba dua orang wanita Afrika meminta izin pemandu bas untuk turun kerana ingin membuang air kecil.Pemandu bas pula dengan tegas tidak membenarkan mereka turun.
"Bas berhenti sekejap sahaja.Di sini tiada tandas," Pemandu meninggikan suaranya.
"Tak ada masalah,kami boleh cari,"balas salah seorang wanita Afrika tersebut.
Akhirnya pemandu terus membukakan pintu bas dan mereka pun turun.Perasaan saya kurang enak apabila melihat muka pemandu bas yang masam mencuka.Dalam hati berdoa moga-moga tidak ada perkara buruk yang akan berlaku..Astaghfirullah.
10 minit berlalu..Masih ada seorang lagi wanita Afrika yang belum menaiki bas.Pemandu terus menghidupkan enjin bas dan terus bergerak meninggalkan tempat itu.
"Akhi,ada seorang lagi tertinggal!" seorang wanita menjerit lantang.
Mendengar sahaja jeritan wanita itu,satu bas mula kelam-kabut.
"Berhenti!Berhenti!" Penumpang menjerit bersahut-sahutan.
Pemandu bas masih buat-buat tidak tahu.Masih meneruskan perjalanan.
"Astaghfirullah,akhi!Dia wanita!Takkan nak tinggalkan dia di tempat sunyi begini!" Kedengaran suara menjerit dari belakang.
"Aku sudah beritahu tadi.Jangan turun.Bas cuma berhenti sekejap.Tapi dia nak turun juga."Jawab pemandu bas dengan kuat.
"Tapi dia perempuan.Takkan nak tinggalkan dia begitu!" Balas yang lainnya.
Saya beristighfar di dalam hati..Allah..inilah kali pertama peristiwa ini berlaku di hadapan mata saya.Seorang wanita ditinggalkan di tepi jalan.Hanya tempat persinggahan-cuma ada kedai makan kecil di situ.Dia berseorangan-tiada wanita lain menemaninya.Astaghfirullah..hati dipagut bimbang dan kasihan yang teramat kepada wanita itu.Dia menaiki bas ini untuk ke Jeddah dengan menggendong barang-barang yang banyak dan berat di belakangnya.Saya pasti barang-barang itu adalah untuk dijual,untuk mencari sesuap rezeki.Barang-barang itu masih ada di dalam bas ini,begnya juga masih ada.Tapi tuannya ditinggalkan di tepi jalan,di tempat yang cukup asing baginya.
PERTOLONGAN TIBA
Bas masih riuh-rendah.Tetapi pemandu masih berdiam diri,tidak mahu berhenti apatah lagi berpatah balik untuk mengambil wanita itu.
Tiba di Jeddah,kami melalui kawasan pemeriksaan Polis.Polis memeriksa adakah penumpang-penumpang yang mahu mengerjakan haji mempunyai tasrih ataupun tidak.
Dengan tidak semena-mena,seorang wanita Mesir bangun,menuju ke cermin tingkap pemandu dan memberitahu pihak polis.
"Tuan,ada seorang kawan kami tertinggal di Mat'am belakang,jauh dari sini.Kami terlupa dan tak perasan tadi.Tolong tuan,selamatkan dia,"Wanita itu memusing cerita,tidak memberitahu perkara sebenar.
Polis terkejut.Serentak dengan itu menyuruh pemandu bas turun.
Dua orang lelaki mampir ke hadapan dan bertanya wanita Mesir itu,mengapa tidak memberitahu hal yang sebenar?Wanita itu menjawab,"Aku takut kalau aku dihalau dari bas ini.Kamulah beritahu."
Lama bas kami ditahan.Mungkin pihak polis ingin mendapatkan penjelasan dari pemandu bas.
"Terus-terang dengan aku.Wanita itu sengaja ditinggalkan atau kamu semua terlupa?"Tanya salah seorang anggota Polis.
Lalu lelaki tadi turun dari bas dan berjumpa dengan polis untuk memberitahu hal yang sebenar..
"ALLAH TAK PERNAH TIDUR!"
Lebih kurang satu jam kami menunggu..Tiba-tiba sebuah kereta Polis berhenti di hadapan bas kami dan keluarlah wanita Afrika dari perut kereta tersebut.
"Alhamdulillah!" Kami semua mengucap syukur.Polis menyelamatkan wanita tadi dan membawanya kembali ke bas kami.
Pemandu kembali menaiki bas.Diam-langsung tidak bersuara.Mungkin dia telah menerima ceramah percuma dari Polis-polis tadi.
Wanita Afrika itu naik.Di wajahnya tergambar perasaan sedih dan geram bercampur dengan perasaan Syukur.
"Allah Mafi Naum!Allah Mafi Naum!" Tiba-tiba dia menjerit kuat.Apa yang saya faham,dia ingin memberitahu kami semua bahawa Allah Tidak pernah tidur.Bas kembali hingar-bingar.
"Allah tak pernah tidur.Kalau Allah tetapkan aku selamat,aku akan selamat.Allah tahu apa yang berlaku pada aku.Allah yang selamatkan aku."Kuat suaranya meluahkan perasaan yang ditahan-tahan.
Pemandu bas tidak menjawab sepatah pun.Hanya mendiamkan diri-pasrah dengan apa yang berlaku.
"Sabar Ukhti.Alhamdulillah kamu dah selamat.Tenang,tenang.." Ramai yang menasihati wanita tersebut.
Akhirnya bas kembali tenang sehinggalah kami tiba di destinasi.
Ianya pengalaman yang sangat berharga.
ALLAH TIDAK PERNAH TIDUR!
Kalimah itu memberi kesan yang mendalam kepada saya walaupun ia diucapkan spontan oleh wanita itu.Dalam keadaan saya mencari motivasi dan kekuatan hati untuk mengerjakan Haji,Allah menghantar wanita itu untuk memberi semangat kepada saya-menyedarkan dan menyentap hati saya.
ALLAH TIDAK PERNAH TIDUR..Dia Maha Tahu apa yang akan berlaku dan telah berlalu.Dia Maha Tahu setiap detik hati hamba-hambaNya sepanjang masa,tidak akan tertinggal walau seminitpun.Mintalah pada Allah,Dia Ada dan mendengar semua permintaan kita.
Tragedi Saptco..Ianya seperti sebuah drama yang sangat memberi kesan kepada jiwa..
Bismillahirrahmanirrahim..
Sudah empat hari kami sekeluarga pulang dari menunaikan Fardhu Haji.Syukur Alhamdulillah,Allah permudahkan segalanya.Benarlah,Haji itu punya aromanya yang tersendiri.Saya yakin,setiap insan yang pernah melalui Ibadah Haji ini,pasti menyimpan memori yang tersangat indah dalam hidupnya.Haji sangat berbeza dengan ibadah yang lain.
Saya dan suami berfikir semasak-masaknya sebelum membuat keputusan untuk membawa Muadz bersama-sama kami mengerjakan Haji.Bayi kami baru 6 bulan,sangat bergantung sepenuhnya kepada ummi dan abahnya.Lama kami berbincang,melakukan SWOT dan Brainstorm-mengkaji baik dan buruk membawa Muadz mengerjakan Haji.Akhirnya,hasil solat Hajat dan Istikharah,kami membuat keputusan untuk membawa Muadz bersama.
Debar di hati ini hanya Allah yang tahu.Sudahlah ini kali pertama saya mengerjakan Haji,masih kurang jelas bagaimana praktikalnya nanti.Tetapi apabila memikirkan Muadz yang masih menyusu penuh dan kerap bangun pada waktu malam,saya akhirnya berlapang dada dan menguatkan hati untuk membawa Muadz bersama.Kami sungguh-sungguh bertawakkal pada Allah.Saya sentiasa bisikkan di dalam hati dan diam-diam saya mengucapkannya pada Muadz,
berulang kali saya lafazkan kalimah ini kepada Muadz dan syukur Alhamdulillah..Muadz seakan mengerti..
Dengan izin Allah,dengan kuasa Allah-Rahman dan RahimNya-bermula dari kami Tawaf Qudum sehinggalah berakhir Ibadah Haji,Muadz tidak meragam dan menangis langsung.Sungguh Allah mendengar detik hati hamba-hambaNya.Sungguh saya amat takjub dengan bantuan Allah ini.Ya,bukan mudah ke sana ke mari bersama anak kecil,apatah lagi mengerjakan Haji,tetapi bagi saya apabila kita yakin dengan bantuan Allah,Allah pasti tidak akan sia-siakan doa hambaNya.
Saya pohon bantuan Allah agar mengilhamkan saya menulis pengalaman selama mengerjakan Haji ini.Saya ingin sekali berkongsi dengan insan-insan lain,agar ianya beroleh manfaat bersama..Doakan saya!

Muadz dan abah sewaktu wukuf di Arafah
Mei 2004.
Saya mula mendaftarkan diri di Darul Quran JAKIM.Membawa cita-cita tinggi untuk menghafaz Al-Quran,bidang yang menjadi kecintaan saya sejak kecil.Lebih kurang seminggu saya dan kawan-kawan menjalani orientasi.
Saya mula bertemunya di Masjid Darul Quran.Taaruf dimulakan dengan berbalas senyuman,tanpa disengajakan."MashaAllah,comel," bisik saya di dalam hati.Kami tidak sempat berbual apa-apa kerana masa yang perlu ditepati selaku peserta orientasi.
Minggu orientasi selesai,alangkah seronoknya.Setiap hari kami bertembung lagi di Masjid Darul Quran,tempat yang paling utama dan selesa bagi pelajar-pelajar Darul Quran menghafaz Al-Quran.Masjid yang luas,ditambah lagi dengan pemandangan tasik yang cantik mengelilingi kawasan masjid,membuatkan hati terasa amat tenang.
"Assalamualaikum,Diyana sihat?" saya menegurnya ketika kami bertembung ingin mengambil rehal untuk meletakkan Al-Quran yang ingin dibaca.
"Waalaikumussalam.Alhamdulillah sihat.Dah habis ye orientasi.." Dia membalas sapaan saya dengan senyuman.
"Ya,habis dah.Lega.." kami sama-sama tersenyum mesra.
Saya suka memilih kawasan di tepi sebelah kiri masjid untuk menghafaz dan mengulang Al-Quran.Terasa lebih privasi.Diyana pun begitu.Tempat kami mengulang agak hampir cuma kebiasaannya dia di hadapan sedikit.
Kami hanya sempat berbual apabila waktu hendak pulang ke asrama,ketika masing-masing sibuk menyarung jubah,pakaian rasmi pelajar banat( perempuan) di sini.
Rupa-rupanya bilik kami di asrama tidaklah jauh mana.Sering saya bertembung dengannya.Sahabat saya ini murah dengan senyuman.Barulah saya tahu dia merupakan pimpinan bagi pelajar-pelajar Persijilan Darul Quran pada tahun itu.Memang patutlah dia sentiasa kelihatan sibuk ke sana sini dengan menggenggam fail-fail dan buku.
Masjid mempertemukan kami dan masjid jugalah yang mengeratkan kami.Dia sering memberikan nasihat dan perkongsian ringkas kepada saya tentang rencah hidup sebagai hafizah Al-Quran.Maklumlah,saya masih baru dalam bidang yang mencabar ini.Setiap kali selepas Asar,pelajar banat akan diisi dengan slot tazkirah oleh pimpinan ataupun individu sukarela,dan Diyana sering menyampaikan tazkirah ketika itu.
Lebih kurang setahun setengah kami berkenalan di Darul Quran,Diyana meneruskan pengembaraan ilmunya di UIAM.Bermula detik itu kami terus terpisah
Alhamdulillah,dengan berkembangnya teknologi hari ini,saya dapat menjejaki semula sahabat-sahabat lama di facebook,termasuklah Diyana. Rupanya Diyana sudah berumahtangga.Gembira di hati melihatnya bahagia,walaupun hampir enam tahun kami tidak bersua muka.Saya sentiasa mengikuti perkembangannya dan sahabat-sahabat satu batch dengan beliau yang agak rapat dengan saya,antaranya Afzan,Ruby,Syeril dan Mahani.
Lebih gembira di hati ini bila mengetahui Diyana sudah beroleh cahaya mata,seorang puteri yang diberi nama Nurhanan Insyirah binti Ahmad Khalil.Bayi ini lebih kurang usia anak saya,Muhammad Muadz.Wajahnya persis wajah si ibu,sangat comel mashaAllah.
14 OKTOBER 2011
Jumaat,jam 7 malam waktu Saudi.
" Kak,Kak Diyana dah takde.Al-Fatihah.." Mesej ringkas yang dihantar oleh adik saya,Nur Ilyani yang sama-sama belajar di Darul Quran itu mengejutkan saya dan serentak dengan itu memecahkan empangan airmata.
Persoalan terjawab.
Sepanjang minggu itu saya sangat merindui Diyana,Syeril,Ruby,Afzan dan sahabat-sahabat batch mereka.Agak pelik rasanya.Bertahun-tahun kami tidak berjumpa,malah langsung tidak bermesej.Tapi kerinduan ini amat mendalam,apabila mengenangkan kami sama-sama pernah menuntut ilmu di bumi Al-Quran,sama-sama nasihat-menasihati di atas jalan kebenaran.Ukhwah ini terasa sungguh erat,mereka saya rasakan sangat dekat.
Minggu itu juga ketika saya singgah di facebook Diyana,baru saya tahu yang beliau menghidap penyakit SLE.Air mata mengalir saat membaca doa-doa dari sahabat-sahabat beliau.Ya Allah,beratnya ujian yang sedang ditanggung oleh sahabatku.Sempat saya menitipkan doa dan semangat buatnya di wall,tapi saya yakin beliau tidak sempat membacanya kerana ketika itu beliau sedang bertarung melawan penyakit di hospital.
Saya membaca kembali mesej dari Ilyani sebentar tadi.Seperti tidak percaya.Diyana sudah pergi..
Beliau seorang wanita yang solehah dan sangat menjaga kehormatan diri.Beliau rajin mengerjakan Qiyamullail dan solat-solat sunat,rajin menghadiri majlis ilmu.Dan yang pasti,Al-Quran yang menjadi amanahnya sentiasa dan tidak jemu dibaca.Saya yakin beliau pergi dalam keadaan yang tenang,hamba solehah yang gembira bertemu RabbNya.
Keesokan harinya Ilyani terus mengirim berita Allahyarhamah kepada saya.
"Yani kat rumah arwah.Nak simpan pukul 11 waktu Malaysia.Menitis air mata tengok buah hati arwah dan suami berusia 5 bulan..baby ikut muka arwah.."
Air mata saya mengalir lagi.Sedaya upaya saya membalas mesej Yani,
"Allah sayangkan Kak Diyana.Dia sangat baik,dia kembali pada Allah dalam keadaan diredhai Allah dan suami..yani,mesti muka kak Diyana tenang kan sekarang?Akak teringin nak tengok muka baby arwah.yani tolong ambil gambar baby nanti ye.akak tunggu update dari yani.terima kasih banyak-banyak dik.."
"InsyaAllah kak..Baby Hannan sangat comel.Tak meragam pun walaupun bagi susu formula..macam tahu-tahu je.."
Terkenangkan anak Allahyarhamah,Nurhanan Insyirah.Allah pasti menjagamu nak.Allah takkan biarpun dirimu keseorangan tanpa bimbingan dan kasih-sayang.Kamu beruntung lahir dari rahim ibu yang solehah,yang sangat dekat dengan Allah dan sangat tegar dalam perjuangan.
Seharian saya tidak senang duduk.Setiap saat bibir ini melafazkan doa,moga-moga Allahyarhamah tergolong dalam golongan hambaNya yang solehah dan dihimpunkan bersama wanita-wanita Syurga,amin..
Mesej terakhir Ilyani pada hari itu benar-benar mengujakan saya..
"Alhamdulillah arwah dah selamat dikebumikan.Arwah macam tidur lena.."
Alhamdulillah..Allahu Akbar..Benarlah janji Allah sepertimana dalam firmanNya:
"Wahai jiwa yang tenang!Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang redha dan DiredhaiNya.Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,dan masuklah ke dalam SyurgaKu."
( Surah Al-Fajr : Ayat 27- 30)
Sahabatku,moga dirimu tenang di sana..
Allahyarhamah Diyana pada majlis pertunangan
Anak Allahyarhamah:Nurhanan Insyirah
suami saya ketika membawa ziarah jemaah hajiKebiasannya pada Musim Haji suami saya akan menempuh jadual yang sangat padat,sebagai penuntut ilmu di Universiti Islam Madinah,Talaqqi di bersama Syeikh Khalid di rumah beliau,talaqqi bersama Syeikh Maqrami dan Syeikh Abdul Karim( Mufti Masjid Nabawi)di Masjid Nabawi Asy-Syarif,sebagai muzaawir( Pembawa ziarah jemaah Haji) dan pada masa yang sama menjalankan tugas wajib sebagai suami dan bapa.
Sebagai isteri sering terselit perasaan kasihan di hati apabila melihat wajah suami yang kepenatan setiap kali pulang dari kuliah.Tapi saya tahu suami saya punya visi dan misi yang besar di dalam hidupnya.Kepenatan pulang dari membawa ziarah jemaah Haji Malaysia tidak menghalangnya untuk terus berkejaran menuntut ilmu di Masjid Nabi.
Saya tahu,cintanya pada Ilmu dan para Masyayikh sangat tinggi.
"Kali ni abang tak boleh nak bawa ziarah banyak-banyak masa waktu kuliah.Sayang kelas.Sem ni abang belajar tentang hudud,Qisas dan lain-lain.Beza kita belajar kat sini dengan tempat lain.Kat sini negara yang amalkan Qisas.Penerangan Syeikh sangat mendalam,sangat padat.Di Malaysia nanti kita perlu memahamkan masyarakat pasal hukum ni.Bukan setakat belajar,tapi kita akan jadi tempat rujukan."Luah abang kepada saya semasa kami pulang dari Masjid Nabawi.
Semester ini merupakan semester akhir suami saya bergelar mahasiswa Universiti Islam Madinah.Bermakna semester ini adalah yang paling penting dan perlu kepada tumpuan yang jitu kepada pelajaran.Tidak cukup dengan ilmu yang dicedok dari universiti,peluang belajar dengan Syeikh-syeikh yang amat ramai di Madinah ini perlu dimanfaatkan.Bagi saya,amat rugi sekiranya mahasiswa-mahasiswa di sini tidak mengambil peluang menuntut ilmu dengan syeikh di sini.Peluang terbentang di hadapan mata dengan banyaknya kuliah-kuliah ilmu yang diadakan bukan sahaja di Masjid Nabawi,malah di Masjid Qiblatain dan Quba' juga meriah dengan majlis ilmu.
Inilah medan keseronokan bagi penuntut ilmu.Bagi yang benar-benar bersungguh-sungguh,ilmu itu akan digali lagi,dirujuk dan didalami dari pelbagai sumber.
MESIR MENGAJARKU CINTAKAN ILMU
Tiga tahun saya bergelar mahasiswi Maahad Qiraat Fatayat Mansurah,di bawah naungan Universiti Al-Azhar,Mesir.
Tiga tahun saya menempuh ujian dan cabaran menuntut lmu di tempat orang,yang iklimnya sudah tentu tidak sama dengan Malaysia.
Tiga tahun saya menguatkan hati berpagi-pagian keluar menuntut ilmu seawal jam 7 pagi.Jika ketika itu musim sejuk,kebiasaannya hujan akan turun denga lebatnya di bumi Mansurah.Jalan-jalan akan becak dan sana-sini air bertakung teruk kerana di Mesir tidak disediakan saliran air atau longkang-longkang yang baik seperti di Malaysia.Keluar awal pagi pada musim sejuk bermakna fizikal perlu menempuh fasa gigil-menggigil sepanjang di jalanan.Di dalam kelas Syeikh Husin pula ujiannya lebih berat.Mengantuk yang tidak dapat dikawal-kawal.Bukan seorang dua yang mengantuk,malah boleh dikatakan setiap barisan ada yang tersengguk-sengguk.Namun Syeikh Husin tidak pernah menyebut beliau terasa hati dengan kami.Cuma nasihat dari seorang bapa,"Kuatkan diri kamu menuntut ilmu.Allah akan redha pada kamu."
Pulang dari kelas Syeikh Husin,saya bersama sahabat saya,Kak Fatin bergegas mencari teksi.Kami perlu bersegera ke Markaz Sibawaih,menuntut ilmu Bahasa Arab bersama Ustazah Hebah.Kelas tamat pada pukul satu.Kami terus solat Zohor dan berkejar pula ke Maahad Qiraat untuk menghadiri kuliah rutin setiap hari.
Menjelang Asar,kelas tamat dan kami pulang ke rumah.Andai ada kesempatan,kaki melangkah ke Dewan Mahasiswa Mahasiswi Mansurah untuk mengikuti kuliah ilmu harian yang disampaikan oleh ustaz-ustaz,mahasiswa yang sama-sama menuntut ilmu di Perlembahan Nil ini.Hampir maghrib baru tiba di rumah.
Selepas Maghrib masa terbaik untuk mengulang Al-Quran,selepas Isyak masa untuk mengulangkaji pelajaran dan kemudian barulah tidur.
Penat?Ya,memang penat.Tetapi apa yang saya rasakan sekarang adalah kepuasan.Kepuasan apabila mencabar diri sendiri melalui pelbagai kesusahan dan ujian di Mesir semata-mata untuk menuntut ilmu.Sungguh,saya dapat rasai apa itu keberkatan menuntut ilmu.Allah akan permudahkan segala urusan dengan syarat kita bersungguh-sungguh menuntut ilmu kerana Allah.
Kini selepas setahun saya meninggalkan Mesir,saya amat merindui suasana itu.InsyaAllah,dengan izin Allah saya ingin ke sana lagi dan bertemu dengan guru-guru,muallim-muallimah saya.Hanya dengan Ilmu dapat mengubah segalanya!
Nasi Maqlubah Mak Long.Kredit untuk Prof Kamil:)Malam semalam saya dan suami mendapat jemputan dari Pak Long Isa dan Mak Long Normah.Hajat di hati sebenarnya ingin menziarahi pak long dan mak long sebelum mereka pulang ke Malaysia pada hari Rabu ini.Kebetulan pula,pak long dan mak long menjemput Profesor Kamil dan Kak Roza pada waktu yang sama.Alhamdulillah,dapatlah saya berkenalan dan berborak panjang dengan Kak Roza yang baru menetap di Madinah sejak sebulan yang lalu.
Pak Long dan Mak Long sudah kami anggap sebagai ayah dan ibu kami di Madinah ini.Mereka berasal dari Kedah, sudah menetap di sini lebih kurang 47 tahun.Cukup lama kan?Alhamdulillah,rezeki dari Allah..
Sementara mak long memasak,saya dan Kak Roza berbual panjang.Kak Roza cukup ramah orangnya,anak-anaknya pula Amirul dan Sofiyya sangat suka dengan baby.Terhibur hati saya melihat Amirul pandai memangku dan bermain dengan Muadz.Ahmad,cucu Pak Long pula menambahkan kemeriahan suasana.Ahmad kalau tidak silap saya berumur dua tahun lebih.Keletahnya yang cerdik dan pandai bercakap Arab sangat mencuit hati kami.
Hidangan sudah sampai..Nasi Maqlubah,Mee Bandung,Basbousa,Salatah terhidang di depan mata.
"MashaAllah,banyaknya mak long!kak Roza,mak long ni pakar masak kat Madinah ni tau." saya bersuara menghidupkan suasana.
"Mak long masak camana ni?" Kak Roza pula berminat untuk menuntut resepi.
"Ni spagetti ke mak long?" tanya saya pula.
"Tak..mee ni mak long buat sendiri.mak Long beli mesin dia,buat sendiri ja.." mak Long terus menjawab soalan kami.
Selera kami makan sampai bertambah-tambah.MashaAllah,memang sedap!
Maqlubah, atau maknanya masakan yang diterbalikkan (upside down) adalah satu resepi yang masyhur di Jordan. Ia adalah masakan yang berasaskan nasi dan mempunyai aroma yang sungguh menyelerakan.

Basbousa pula sejenis halawah ( manisan) yang menjadi kegemaran orang Arab.Teringat waktu di Mesir dulu,saya kurang berminat untuk makan manisan atau kuih-kuih Arab ni sebab kadang-kadang terlalu manis.
PESAN KAK ROZA

"Ainun teruskan menulis.Menulis ni kena mula,kena selalu tulis.Setiap hari biasakan tulis satu page,30 hari dah 30 page kan?"
Nasihat Kak Roza saya tanam dalam-dalam di hati.Kak Roza seorang penulis dan telah menulis 2 buah buku antaranya bertajuk "Travelog Cinta Abadi."Suaminya pula saya rasa satu Malaysia sudah maklum-Profesor Kamil yang menulis buku "Travelog Haji."
Syukur Alhamdulillah,Allah temukan saya dengan mereka.Supaya saya tidak terhenti usaha di sini malah berganda-ganda semangat untuk menghasilkan yang terbaik buat ummah melalui mata pena.
Hari ini saya bukan sahaja dapat menikmati Nasi Maqlubah dan Basbousa yang sangat sedap,malah dapat mendengar nasihat-nasihat dari Kak Roza yang sangat lazat..Alhamdulillah!






