Daisypath Anniversary tickers
I'JAZ AL-QURAN: BEZA KALIMAH AL-WAQIAH,AL-QARIAH & AL-HAQQAH

KALIMAH AL-HAQQAH , AL-WAQI'AH & AL-QARI'AH


1- Ketiga-tiga kalimah ini membawa maksud Hari Kiamat namun perbezaan nama-nama tersebut memberi gambaran bagaimana situasi berlakunya hari tersebut.


2- Kalimah AL-QARI'AH : Membawa makna Gegaran. Diulang sehingga 3 kali di dalam Surah Al-Qari'ah untuk memberi perhatian kepada pembaca betapa dahsyatnya gegaran yang akan berlaku pada hari kiamat nanti.


3- Kalimah AL-WAQI'AH : Juga bermaksud Hari Kiamat.Membawa erti akan berlaku satu peristiwa yang besar.


4- Kalimah AL-HAQQAH : Dibaca panjang 6 harakat ( Mad Lazim Kalimi Muthaqqal) Menerangkan kepada kita semua betapa panjangnya tempoh hari kiamat dan penghisaban itu.


Kalimah HAQQAH adalah kalimah yang menggambarkan kedahsyatan dan kesukaran keadaan manusia pada hari tersebut.


Penggunaan Mad,Huruf Qaf yang tebal dan Syaddah (Sabdu) : Gabungan ketiga-tiga kombinasi ini memberi makna ianya sangat sukar sesukar manusia menyebut kalimah tersebut.Begitulah kesukaran yang akan dialami oleh manusia pada hari kiamat bahkan berganda-ganda dan tidak terfikir oleh akal manusia akan kesukarannya.






P/S: Ilmu ini saya perolehi dari guru saya di Mesir.Sekiranya ada kesilapan atau penambahan,saya sedia menerima teguran.




RAMADHAN SYAHRUL QURAN!

RAMADHAN SYAHRUL QURAN

Segala puji bagi Allah yang memberi peluang dan ruang kepada kita untuk kembali berada di bulan Ramadhan.Subhanallah,bulan yang Allah janjikan dengan seribu rahmat dan keampunan.


Ramadhan menjadi medan untuk kita menganjakkan paradigma dan potensi diri.Jauh sekali diistilahkan sebagai bulan yang membuatkan diri kita lemah,lemau dan tidak bermaya.Mari jadikan diri dan minda kita sebagai minda yang positif.Menjadikan Ramadhan sebagai bulan untuk memperbaiki diri dan mendekatkan kita kepada Allah.Beribadah dengan sebanyak-banyaknya dan mengharapkan keampunan Allah di dunia dan di akhirat.


Sebulan yang ada ini mari kita manfaatkan dengan sebaik mungkin.Seperti mana nasihat dan saranan dari Prof Muhaya," Sekiranya kita melazimi dan membiasakan diri serta konsisten untuk melakukan perkara baru dalam masa 3 minggu,insyaAllah perkara itu akan menjadi habit/tabiat kita pada hari-hari yang seterusnya."
Sebagai contoh,jika sebelum ini kita jarang membaca Al-Quran,jadikan bulan Ramadhan ini sebagai medan untuk kita berubah.Bacalah Al-Quran paling kurang 1 muka setiap hari.Lakukan pada setiap hari.Selepas 3 minggu insyaAllah kita akan terbiasa membaca Al-Quran dan bersemangat untuk menggandakan lagi bacaan.
Pada minggu pertama mungkin agak sukar,tetapi kuatkan semangat dan pasti Allah akan menurunkan bantuanNya buat hamba yang ingin dekat denganNya.


Selamat Menyambut Ramadhan..Ramadhan Syahrul Quran!

Coretan Tanpa Kata..

Hakikatnya manusia sangat perlukan pimpinan dari Allah.Allah yang menciptakan kita makhluk-makhlukNya.Sekuat manapun kita,hati ini perlu  akur,Allah adalah tempat kita bergantung harap dan meminta pertolongan.


Melihat keadaan sekeliling,perasaan sedih bertandang di hati.Manusia semakin jauh dengan Tuhan,semakin galak mencari keseronokan dunia tanpa rasa bersalah apa-apa.Tidak hanya menuding jari kepada orang lain,diri sendiri juga perlu bermuhasabah.Sejauh mana hubungan kita dengan Allah?Bagaimana solat kita,di awal atau sudah di penghujung waktu?Kita banyak menyampaikan nasihat pada orang lain tetapi bagaimana penghayatan nasihat itu kepada diri kita sendir?Astaghfirullah..saya memohon ampun kepada Allah..


Allah beri peluang untuk bertaubat dan berubah dengan hela nafas yang ada..
Cuba bisikkan pada hati kecil kita,kita sangat ingin kembali pada Allah.Ingin sekali menjauhkan diri dari segala maksiat yang berlegar di sekeliling kehidupan kita sepanjang  hari..


Kita ada Allah.Tatkala dihimpit resah gelisah yang tidak berkesudahan, Allah sudah nyatakan di dalam firmanNya, "Mintalah kepadaKu,Nescaya akanKu perkenankan permintaanmu.."



Sandstorm Di Madinah

-suhu Madinah hari ini-



Subhanallah..
Hari semalam dan hari ini Madinah dilanda ribut pasir (sandstorm) dan cuaca pada pagi ini sangat sejuk.Angin bertiup dengan kencang dan debu serta habuk berterbangan,keadaannya seperti jerebu yang agak dahsyat.Hari ini banyak sekolah yang bercuti lantaran cuaca yang kurang baik.Dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan.
Subhanallah..Kebiasaannya apabila peralihan cuaca dari musim sejuk ke musim panas situasi inilah yang biasanya berlaku.


Muadz juga diserang batuk-batuk dan selsema..Syafakallah Ya Muadz..

Jemaah umrah ketika ini sangat ramai,melimpah-ruah.Terbit rasa kasihan di hati apabila melihat jemaah umrah yang bersolat di dalam kesejukan di luar Masjid Nabawi.Namun saya yakin mereka tabah dan sabar menempuh situasi ini.Peluang berada di Madinah perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya.Cabaran yang perlu ditempuh hanya seketika cuma InsyaAllah..

-suasana di Masjid Nabawi semalam-

Impian dan Sistem Turki

Semangat dan azam ini tercetus apabila terbit kesungguhan di hati saya untuk benar-benar menjaga Al-Quran.Al-Quran ini adalah amanah yang perlu saya pikul dengan sebaik mungkin sehinggalah saya meninggal dunia bertemu dengan Allah,Tuhan Yang Menciptakan saya.


Saya suka bertanya sahabat-sahabat saya yang sudah pun bergelar Hafizah,yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak.
"Bagaimana dengan hafazan Al-Quran?"
Rata-ratanya memberi jawapan, "Allah..sedih sangat.Tiada suasana,tiada semangat untuk mengulang.Tidak seperti berada di Maahad Tahfiz dulu.."

Ya,saya maklum akan situasi itu.Saya sendiri kadangkala menghadapinya.

Azam dan Impian

Dari pembacaan,analisa dan muhasabah yang saya jalankan kepada beberapa orang sahabat,saya menukilkan satu azam di dalam diri.Saya ingin mencari formula-formula,teknik-teknik atau strategi-strategi yang baik dalam menghafaz dan mengulang Al-Quran.Sebenarnya proses mengulang Al-Quran bagi saya lebih sukar berbanding menghafaz Al-Quran.Sebab itulah apabila hafazan Al-Quran tidak diendahkan atau ditinggal lama,agak sukar untuk mengingatinya kembali.Perlu usaha yang jitu dan mujahadah yang kuat untuk mendapatkan kembali kalam Allah yang mulia itu.

Terdapat pelbagai teknik dalam menghafaz dan mengulang Al-Quran yang telah dipraktikkan oleh Sekolah-sekolah atau Maahad-maahad Tahfiz di seluruh dunia amnya dan di Malaysia khususnya,di antaranya adalah dengan menggunakan Sistem Turki.

Sistem Turki ini telah dipraktikkan oleh para huffaz di Maahad Tahfiz Darul Tuba,Tangkak Johor dan ternyata memberi kesan yang baik kepada hafazan mereka.Saya pernah melawat ke Maahad Tahfiz ini suatu ketika dahulu sewaktu masih menuntut di Darul Quran JAKIM.Dengan izin Allah,saya ingin ke sana sekali lagi untuk mempelajari,mengkaji dan mempraktikkan bagaimana yang dikatakan menghafaz dan mengulang Al-Quran dengan menggunakan Sistem Turki itu. Ramai yang mengatakan bahawa Sistem Turki adalah antara sistem yang terbaik di dalam menghafaz dan mengulang Al-Quran.

Hasil kajian itu akan saya kongsikan bersama sahabat-sahabat,para penghafaz Al-Quran dan semua umat Islam InsyaAllah.Mungkin sudah ada kajian yang dijalankan sebelum ini tetapi tidak disebarkan seluas-luasnya kepada masyarakat umum.Sungguh,para Huffaz sangat ternanti-nanti teknik yang terbaik bagi mereka mengulang Al-Quran.Saya yakin semua yang sudah mengkhatamkan 30 juz Al-Quran sedar akan tanggungjawab dalam memelihara Al-Quran,cuma terdapat halangan-halangan sampingan yang merencatkan usaha dan semangat dalam mengulang Al-Quran.Situasi inilah yang perlu kita sama-sama atasi agar Agenda menghafaz dan mengulang Al-Quran menjadi agenda terpenting di dalam kehidupan kita sehari-hari.

Di samping itu,sikap dan watak kita juga perlu kepada perubahan.Kita perlu berusaha,bukan hanya menyerah kepada keadaan sehingga ulangan hafazan yang sedikit itu masih kekal di takuk lama.Berusahalah,lawan perasaan malas untuk mengulang Al-Quran,agar Al-Quran itu benar-benar menjadi syafaat kepada kita di akhirat kelak.

Hari-hari yang berbaki di bumi Barakah Madinah Al-Munawwarah ini,saya memohon ke hadrat Allah Taala agar impian dan cita-cita saya ini dimakbulkan dan mendapat pertolongan daripadaNya..Doakan saya!



Di Saat Dia Pergi..

Di tangan Allah terletak segala kekuasaan dan keagungan.

Di tangan Allah manusia diciptakan dan sekelip mata Dia Yang Maha Kuasa layak mengambilnya kembali.

5 Hari yang lalu saya kehilangan anak yang baru 6 minggu di dalam kandungan.
Innalillah wa inna ilaihi Roji'un..

Jumaat,9 Mac 2012

Sehari sebelum itu saya bersemangat untuk berprogram bersama suami dan sahabat-sahabat di Yanbu',yang terletak 2 jam dari Madinah.Program bermula dari pagi sehingga selepas Asar dan saya cukup-cukup gembira apabila dapat mencurahkan ilmu dan berkongsi pengalaman bersama kakak-kakak di sana.

Pulang dari tempat program,terasa kepenatan yang amat sangat.Mungkin saya kurang berehat dan bergerak ke hulu ke hilir bersama anak kecil.Selepas solat dan makan malam,saya terus tidur dan berehat sepuasnya.

Pagi Jumaat yang barakah,terasa kondisi diri agak membimbangkan.Pendarahan bermula.Perasaan cuak melanda diri ketika itu.Pendarahan berterusan sehinggalah selepas solat Jumaat.Hati ibu ini terdetik,

"Ya Allah,anak ini datang dariMu.Engkau Yang Berkuasa menciptakannya.Ya Allah,aku hamba.Aku redha atas segala Qada' QadarMu.Ya Allah,Engkau Maha Baik.Engkau pasti tidak sedikit pun menzalimi aku.Ya Allah,tabahkan hatiku.Aku bulatkan hati ini untuk menyerahkan segala-galanya kepadaMu.Ya Allah,kepadaMu aku sembah dan kepadaMu aku meminta pertolongan.."

Zikir itu saya ulang-ulangi di dalam hati,sudah dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku kerana pendarahan ini agak luar biasa keadaannya.

"Hasbunallahu wa ni'mal wakil.." Saya tenangkan hati dengan melafazkan zikir ini sebanyak-banyaknya.

Suami saya yang penyayang tidak henti-henti memberi semangat,"Fikir positif Ain,InsyaAllah anak kita selamat." Sejuk hati mendengar kata-kata lembut suami.Saya tahu dia sangat bimbangkan keadaan saya dan anak ini.

Allah Maha Pengasih,Allah Maha Penyayang.

Jam 3.30 Petang,akhirnya keluar ketulan yang agak besar.

"Abang,Innalillah wa inna ilaihi Roji'un.Rasanya sudah tidak ada harapan.Anak kita sudah tiada," dengan tenang saya menyatakannya kepada suami.

Pada malamnya kami ke Hospital RC Yanbu' dengan bantuan Kak Nik dan suaminya.Kak Nik merupakan doktor dan tinggal di Yanbu kerana mengikuti suaminya yang bekerja di sini.
Hasil pemeriksaan doktor,saya bersyukur kerana tidak perlu melalui proses D&C.Kata Doktor hanya tinggal sedikit sahaja lagi baki yang tinggal dan InsyaAllah ia akan keluar sendiri selepas ini.

Nilai Ukhwah

Allah mencaturkan pengalaman berharga untuk saya lalui sebelum pulang ke Malaysia sedikit masa lagi.Saya dipertemukan dengan kakak-kakak Yanbu yang sangat baik MashaAllah.

Kak Suhaida dan Haji Ramly-Kami tumpang berteduh di rumah mereka selama beberapa hari tinggal di Yanbu.Terasa kasih-sayang mereka seolah-olah kami ini ahli keluarga mereka sendiri.Subhanallah,akhlak mulia yang mereka teladani dari sifat Nabi benar-benar kami kagumi.

Apabila mendapat berita tentang keadaan saya,Kak Nik,Kak Za Balad,Kak Za,Kak Nani dan Kak Yati datang menziarahi saya.Subhanallah,perasaan sedih dan terharu bercampur baur.Mereka sangat prihatin.

"Ainun sabar ya.InsyaAllah Allah akan gantikan yang lebih baik,"nasihat mereka kepada saya.

Saya tersentuh dengan pengorbanan Kak Nik.Akhlaknya benar-benar mencerminkan akhlak doktor yang solehah MashaAllah.Beliau sedang sarat mengandung 7 bulan tetapi sanggup membantu kami sehingga lewat malam ketika di hospital.Kak Nik yang menerangkan kepada doktor kondisi saya ketika itu.Apabila doktor bertemu doktor,sudah tentulah prosesnya menjadi lebih mudah.

Saya bersyukur.
Bersyukur kerana ditemukan dengan hamba-hamba Allah yang sangat mencintai ukhwah kerana Allah.Kami jarang bertemu.Tetapi apabila menatap wajah mereka terasa bagaikan menatap wajah kakak saya sendiri.

Tarbiah Dari Allah

Ini adalah didikan dari Allah kepada saya.Antara ujian yang perlu ditempuh untuk menjadikan saya manusia yang kenal erti sabar dan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah.

Memetik kata-kata dari seorang adik,

"Saat Allah swt mencintai seseorang, tempat pertama sentuhan cinta itu ialah HATI mereka.
Disitulah Allah melenyapkan segala rasa putus asa dan kesedihan akibat dosa mereka, kemudian digantikan dengan harapan dan keinginan untuk berubah menjadi insan yang bersih. hati kita seolah berbisik, "Aku tahu bila Allah mencintaiku iaitu saat aku membenci segala kejahatanku.."

CEMERLANG WALAUPUN SUDAH BERGELAR ISTERI DAN IBU


Saya mengenalinya semenjak di Darul Quran JAKIM.Umur kami sebaya.Syukur Alhamdulillah,Allah beri peluang dan pengalaman kepada kami untuk bersama di dalam satu Usrah yang dinamakan Usrah Sofiyyah.Usu (panggilan kami untuknya di dalam Usrah) adalah antara anak usrah saya yang paling komited MashaAllah.


Usu berkahwin pada usia muda,ketika itu dia masih belajar di Darul Quran.Suaminya adalah mahasiswa Universiti Ummul Qura Makkah Al-Mukarramah.Dengan izin Allah selepas beberapa tahun mereka berjauhan,akhirnya usu berjaya melanjutkan pengajian di Universiti yang sama seperti suaminya,Universiti Ummul Qura Makkah (Nisa').

Mereka dikurniakan dua orang cahaya mata ketika ini dan bakal menyambut kelahiran permata cinta yang ketiga pada awal April tahun ini InsyaAllah.Jujurnya apabila melihat dirinya saya sendiri terasa 'penat' .Melihat dia yang lincah menguruskan suami dan anak-anak seramai dua orang yang berumur lebih kurang 3 dan 2 tahun dan pada masa yang sama bergelar Mahasiswi kuliah Lughah,terselit perasaan kagum di hati saya.

Ada orang yang berpendapat terlalu sukar untuk mengandungkan anak-anak yang ramai ketika masih di dalam pengajian.Ada yang sanggup berhenti belajar untuk menjaga anak atau anak-anak terbiar comot tidak terurus apabila kedua-dua ibu bapanya sibuk belajar.

Tetapi syukur Alhamdulillah.Situasi ini tidak berlaku kepada keluarga pasangan muda ini.Kebetulan suami Usu adalah sahabat suami saya ketika di Darul Quran.Jadi ukhwah di antara keluarga kami dan keluarga mereka terasa erat.Kami banyak berkongsi bermacam-macam perkara terutaama tentang pengurusan keluarga dan anak-anak.

Perancangan Strategi

Berkahwin ketika masih di alam pengajian dan mempunyai anak-anak yang ramai tidak menjadi masalah apabila kita merancang strategi yang betul bagaimana untuk menempuh saat-saat yang sukar ini.Semua orang mempunyai cabaran masing-masing dalam menguruskan institusi keluarga.Bezanya bagaimana kita menguruskan minda kita untuk menjadikan setiap masalah di hadapan mata itu adalah sebagai satu cabaran dan peluang untuk berjaya,bukan meletakkan kita di ambang kegagalan.

Semalam saya bertanya Usu dan suaminya,adakah mereka pernah mengalami tekanan dalam menguruskan kewangan keluarga?Dengan anak-anak yang semakin membesar dan jarak yang rapat dan pada masa yang sama bakal menyambut kelahiran baru?

Kata mereka,itu adalah perkara normal yang pasti pernah dilalui tetapi sebagai pasangan suami isteri yang masih belajar,mereka berprinsip untuk tidak boros dan cerewet dalam berbelanja.Belanja sekadar yang perlu,tidak perlu terlalu mewah.

Paling membuatkan saya kagum kerana Usu masih maintain mencapai pangkat Mumtaz
( Cemerlang) di dalam semua peperiksaan yang dilaluinya,Subhanallah.3 hari 2 malam saya menumpang di rumah mereka saya dapat menilai bagaimana Usu menguruskan masa sebagai isteri dan ibu.

-Seawal subuh dia bangun mengerjakan solat dan bersiap-siap untuk ke kuliah jam 7.30 pagi.Pada masa yang sama menghantar anak-anak mereka ke Hadhonah (nurseri).
-Jam 12.30 tengahari suaminya pulang dari Universiti,memasak untuk isteri dan anak-anak.
-Jam 2 petang Usu pulang bersama anak-anaknya.Mereka makan tengahari dan biasanya anak-anak Usu tidur setelah penat bermain di Hadhonah.Mereka tidur nyenyak sehingga Maghrib.Jadi waktu inilah peluang untuk Usu dan suaminya berehat melepaskan lelah dan kepenatan setelah pulang dari kuliah.
-Maghrib dan Isyak: Mereka ke Masjidil Haram atau terlibat dengan program-program persatuan.
-Anak-anak Usu tidur agak lewat.lebih kurang jam 12.30 atau 1..Selepas anak-anak tidur,itulah waktunya usu membuat assignment dan mengulangkaji pelajaran.

Memuliakan Tetamu.
Antara akhlak mereka suami isteri yang patut kami contohi dan ikuti adalah memuliakan tetamu.Biarpun kami tumpang berteduh di rumah mereka pada hari Kuliah biasa,namun mereka tidak kekok melayan kami dengan baik.

Semalam suaminya masih sempat menghidangkan sate yang dibuat sendiri dan malam semalam Usu sempat lagi mengajar saya cara membuat keropok lekor.Sangat teruja saya dibuatnya.

Misi Akan Datang

Saya menulis tentang ini kerana saya dan suami juga merancang untuk menyambung pengajian di peringkat Master dan phD setelah pulang ke Malaysia nanti InsyaAllah.Kami juga ingin bekerja sebagai Pensyarah di Maahad Tahfiz atau Universiti dan ingin memperoleh anak-anak yang ramai sebagai pengikat cinta dan perjuangan (dengan izin Allah).Semangat inilah yang akan kami bawa bersama.

Tidak ada yang mustahil di dalam kehidupan ini,asal sahaja kita berfikiran positif dan merancang strategi awal dan cuba menjalankan amanah sebagai Hamba Allah,umat Rasulullah SAW,anak,menantu,suami,isteri,kakak,abang dan ipar dengan baik.Paling utama kita perlu yakin bahawa Allah Yang Maha Kuasa yang sentiasa memberi pertolongan,kekuatan dan ketabahan di dalam setiap derap langkah kita di muka bumi ini.

Positif dan Bersangka Baik kepada Allah!

CATATAN DARI MAKKAH

Syukur Alhamdulillah buat kesekian kalinya Allah izinkan kami untuk menjejak Tanah Haram Makkah.Bumi yang sentiasa kami rindui saban waktu..


Perjalanan memakan masa lebih kurang 6 jam dari Madinah kerana kami berhenti solat dan makan di Mahattah Amjad.Mahattah ini menjadi pilihan kerana hidangan nasi mandinya yang sangat lazat MashaAllah.

Perasaan bercampur baur di sepanjang perjalanan apabila mengenangkan ini adalah antara rakaman saat-saat akhir kami bermusafir ke bumi Makkah.Sebak di hati melihat bukit-bukau di sepanjang jalan.Bukit-bukau ini bakal saya tinggalkan sedikit masa lagi InsyaAllah.

Umrah

Pagi tadi kami bergerak dari rumah Ustaz Khairul Ariffin menuju ke Masjidil Haram dengan menaiki teksi.Indahnya melihat pemandangan Makkah sebelum subuh,MashaAllah.Keadaan tidaklah terlalu sesak dan kami tiba di Masjidil Haram pada pukul 5.35 pagi.Kesejukan menggigit-gigit tulang sum-sum.Anakanda Muadz seolah-olah memahami ummi dan abahnya ingin mengerjakan Umrah.Awal-awal lagi Muadz bangun dan bersiap untuk ke Masjidil Haram.

Usai solat subuh,keadaan di dataran kaabah sangat sesak.Oleh kerana kami bimbang akan keselamatan Muadz,kami membuat keputusan untuk menunggu dahulu sehingga keadaan sedikit reda untuk memulakan tawaf.Jam 7.15 pagi kami memuakan tawaf.Alhamdulillah pusingan 1 hingga ke 4 berjalan lancar.

Tiba ke pusingan ke 5 tawaf,solat sunat Istisqa' didirikan.Keadaan ketika itu menjadi sedikit sesak dan padat kerana ada antara jemaah yang sedang tawaf ketika itu tiba-tiba berhenti untuk mengerjakan solat Istisqa'.Dengan situasi dataran kaabah yang masih dipenuhi ramai manusia ketika itu,keadaan menjadi sedikit kelam-kabut.Selesai solat Istisqa',aktiviti tawaf berjalan lancar seperti biasa.

Di dalam kesibukan mengerjakan tawaf,saya sempat menangkap beberapa kalimah yang disampaikan oleh Syeikh yang menyampaikan khutbah selepas solat sunat Istisqa' antaranya menekankan tentang perlunya kita menghindari maksiat dalam kehidupan.
"Maksiat itu akan menyebabkan jauhnya kita dengan Rahmat dan Barakah dari Allah."

Ya Allah,Kami ingin kembali padaMu..

Dengan izin Allah Taala,kami selesai mengerjakan umrah pada jam 9.30 pagi Alhamdulillah.

Hati manusia sangat mengharapkan taufik dan hidayah dari Penciptanya.

Walau sebanyak manapun peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengerjakan Haji dan Umrah,tetapi sekiranya diri dan amalan kita masih berada pada takuk yang lama selepas itu,ia tidak memberi erti apa-apa.Berazamlah untuk memperbanyakkan amal kebaikan tanda bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan.Berubahlah ke arah yang lebih baik.

Saya ingin berkongsi kata-kata Prof Muhaya di dalam salah satu ceramahnya," Ketika anda mengerjakan tawaf di Kaabah,adakah anda hanya memerhatikan keadaan sekeliling,gelagat orang ramai atau anda benar-benar fokus pada ibadah anda?"

Beribadahlah dengan benar-benar fokus mengharap maghfirah dan kasih-sayang Allah.Di sana terdapat kelazatan rohani yang tidak tergambar dengan kata-kata.Semoga Allah meredhai kita semua,amin..

SMILE! ALLAH LOVES YOU!


Kadangkala diri kita sering diuji dan kita merasakan kitalah yang paling banyak dan berat menghadapi ujian.Lebih dahsyat lagi sehingga tahap kita seolah-olah menyalahkan Allah Taala,mengapa menurunkan ujian sebegitu berat kepada kita?


Astaghfirullah..


Sedarkah kita di dalam kehidupan sehari-hari pelbagai nikmat yang Allah berikan kepada kita?
Allah masih menganugerahkan harta,kejayaan dan perkara-perkara yang menerbitkan kegembiraan di hati kita walaupun kita sering lupakan Dia..

Kita sering lewat mengerjakan solat..
Kita sangat berkira untuk meluangkan masa membaca Al-Quran walaupun kita tahu Al-Quran itu kalam Allah,kata-kata Allah dan ibarat 'surat cinta' dari Allah untuk kita.

Lantas apabila ditimpa sedikit musibah,kita terus merungut dan menyalahkan takdir.

"Kenapalah aku begini?"
"Kenapa aku tak berjaya macam si polan tu?"
"Kenapa aku asyik sakit je?"
"Kenapa aku ni papa kedana?"

Hati Yang Sabar

Sebagai hamba kita memang layak untuk diuji.Dan ujian itu adalah tanda Allah memberikan perhatian dan kasih-sayangNya yang tidak berbelah bagi pada kita.

Firman Allah di dalam Surah Al-Ankabut Ayat 2-3:
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ * وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ }

“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beri

man,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah me

guji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” – Surah Al-Ankabut ayat 2-3


Apabila diuji maka akan terbitlah rasa sabar yang menggunung di dalam diri.Bersabarlah ketika saat mula kita ditimpa ujian.Bukan setelah merungut-rungut dan marah-marah barulah kita mengatakan " sabar,sabar.."

الصبر عند الصدمة الأولى
Teringat pada suatu ketika saya diuji semasa di Mesir.Kemarahan meluap-luap di dada ketika itu,terasa sangat pedih di hati.Lantas Kak Roslina,seorang sahabat saya yang solehah mengingatkan saya,

"Ainun,sabar ye.. الصبر عند الصدمة الأولى (Sabar itu adalah pada saat pukulan pertama).."

Astaghfirullah..terus hati beristighfar ketika itu.Ajaibnya,dari hati merasa panas dan meluap-luap sebentar tadi,ia terus menjadi tenang selepas mendengar nasihat dari sahabat saya itu.

Memang ketika marah dan sedih kita tidak mampu mengawal perasaan.Tidak hairanlah Nabi mengucapkan orang yang kuat itu adalah orang yang dapat menahan amarahnya.Bermakna kita mampu untuk menahan marah dan mengawal kesedihan.Teladanilah
Rasulullah SAW,para sahabat dan hamba-hamba Allah yang sabar.



Smile! Allah Loves You!

Positifkanlah diri saat ujian menyapa.

Syeikh saya di Mesir sering mengingatkan kami dengan katanya,
" Cuba kamu renung kehidupan Rasulullah SAW.Baginda Insan mulia,dicintai penduduk langit dan bumi.Tetapi dakwah Baginda tidak sunyi dari ujian.Saat Baginda berdakwah di Makkah Baginda dikecam hebat,saat Baginda meneruskan dakwah di Taif Baginda dibaling batu dan dihina dicaci,adakah itu bermaksud Baginda tidak disayangi Allah? Tidak!Itu bukan bermaksud Allah membenci Rasulullah SAW.Malah Baginda sangat dicintai Allah dan menjadi kekasih Allah.Semakin Rasulullah diuji,semakin kuat dan kental Baginda menyampaikan dakwah."

Begitu juga dengan kita.Apabila kita diuji dengan keperitan dan kesusahan bersabar dan senyumlah.Allah akan menggandakan lagi pahala dan kasih-sayangnya kepada kita.




Haram Dan Kuliah Ilmu Syeikh Syanqiti

Haram ( Masjid Nabawi ) semakin sesak.

Bagi saya sebagai orang yang menetap di Madinah suasana ini menimbulkan rasa seronok dan gembira di hati.
Kerana apa?
Kerana selepas tamat musim Haji yang lalu,suasana Masjid Nabawi agak lengang.Walaupun warga Madinah dan Saudi ramai menziarahi Masjid Nabawi tetapi jumlahnya tidaklah terlalu padat sehingga memenuhi segenap ruang masjid.

Tetapi apabila dibuka visa umrah,suasananya berbeza.Berbondong-bondong manusia menziarahi Madinah terutamanya Masjid Nabawi.Kemeriahannya kembali terasa.Saya sendiri seolah-olah merasakan diziarahi oleh saudara-mara dari seluruh dunia..Subhanallah!

Kuliah Ilmu Syeikh Syanqiti

Selepas solat maghrib baru saya perasan panggilan telefon dari suami.Apabila panggilan itu diulang berkali-kali bermakna ada sesuatu perkara penting yang ingin diberitahu.Syukurlah saya tergerak hati untuk membuka telefon.

" Ain,ada ceramah Syeikh Syanqiti sekejap lagi.Di tempat yang sama."

Kebetulan saya sudah berada di ruang solat wanita berhampiran pintu nombor 30.Di sini terdapat speaker yang akan memperdengarkan ceramah-ceramah yang diadakan di Masjid Nabawi.

Syeikh menyampaikan ilmu berkaitan tentang Zakat dan para pendengar bertanyakan soalan di akhir ceramah.Kata abang,suasana ceramah di ruang solat lelaki penuh dan padat,seperti suasana ceramah Ustaz Azhar Idrus di Malaysia.Ya,Syeikh Syanqiti memang sangat terkenal di seluruh dunia dengan kefaqihannya di dalam ilmu agama.

Antara kata-kata Syeikh yang sangat menyentuh hati saya adalah berkaitan dengan berbuat baik kepada ibu bapa.

" Hubungilah ibu bapa kamu setiap hari atau 3 hari sekali atau seminggu sekali atau sebulan sekali.Gembirakanlah mereka.Ada orang apabila mendapat kejayaan orang yang terawal yang dia maklumkan adalah sahabatnya.Tetapi sepatutnya semua yang berlaku pada kamu terutama berita gembira,berita kejayaan dan lain-lain sepatutnya beritakanlah kepada kedua ibu bapamu terlebih dahulu.Berbuat baiklah kepada mereka.Kita tidak tahu yang mana satu amalan kita yang Allah terima.Jadi,sentiasalah berbuat baik di dalam kehidupanmu."

Timbul sebak di hati mengenangkan emak dan abah di kampung.Terlalu rindu pada mereka setelah berbulan-bulan tidak berjumpa.Semoga Allah memanjangkan umur kami untuk bertemu dan dikurniakan peluang kepada kami untuk berbakti kepada kedua ibu bapa.

" Ya Allah,peliharalah kedua ibu-bapaku dan masukkanlah mereka ke dalam syurgaMu tanpa hisab..Amin.."