2 November 2011-6 Zulhijjah 1432 H.
Jam satu pagi,bas SAPTCO yang kami naiki bergerak meninggalkan Madinah menuju ke Jeddah.Bermakna kembara Haji kami sudah bermula.Selain saya dan suami,Ustaz Aizat dan isterinya Kak Azimah beserta anak kecilnya Humaira' juga akan menyertai Kembara Haji ini.Kami mendaftar dengan Syarikat Travel Arab-Qawafil Arabiah di bawah kelolaan UQ-PROTEAM,pelajar-pelajar Malaysia yang belajar di Makkah.
Seperti yang dijadualkan,kami perlu tiba di Jeddah sebelum tengah hari esoknya kerana selepas Zohor,bas-bas Syarikat Qawafil Arabiah akan bergerak ke Makkah untuk terus melaksanakan Tawaf Qudum seterusnya menginap di khemah kami di Mina.
Awal-awal lagi sudah berlaku keributan di dalam bas.Seorang wanita Arab Mesir bertikam lidah dengan pemandu tentang tempat duduk.Saya tidak mengambil pusing dengan apa yang berlaku kerana hati dan minda fokus memikirkan apakah yang bakal berlaku sepanjang saya mengerjakan Haji nanti..Sukarkah?Penatkah?Bersediakah saya?Minda terus berfikir sambil hati tidak putus-putus melafazkan doa.."Ya Allah,permudahkanlah segala urusanku.."
"Ain jangan tidur dulu tau.Lepas Bir Ali baru boleh tidur sebab bas ni takkan berhenti.."Suami mengingatkan saya.
Zulhulaifah atau Bir Ali adalah Miqat bagi penduduk Madinah dan sekitarnya. Jaraknya dengan Makkah lebih kurang 450 kilometer dan lebih kurang 10 kilometer dari Madinah.Di sinilah kami perlu berniat ihram.
"Baik bang,"saya mengiyakan walaupun mata ini sudah terasa terlalu berat.Sesekali saya tersengguk,lantas suami menyiku lembut."Jangan tidur," Arahannya tegas diiringi senyuman tanda kasihankan saya.
Selepas melalui Bir Ali,saya terus tidur.Muadz juga lena di pangkuan saya.Inilah kali pertama Muadz menaiki bas.Syukur Alhamdulillah,sepanjang perjalanan hanya sekali dua dia merengek inginkan susu.Selepas menyusu anak soleh ini tidur semula,memberi peluang kepada umminya untuk berehat sama.
TRAGEDI
Saya terjaga apabila bas berhenti di Mat'am (Kedai makan) di tepi jalan.Saya tidak pasti di mana. Kata pemandu bas,kami sudah hampir memasuki Jeddah.Suasana pagi sangat mendamaikan.Bas berhenti sebentar kerana beberapa orang penumpang ingin membeli makanan untuk bersahur di kedai makan tersebut.
Tiba-tiba dua orang wanita Afrika meminta izin pemandu bas untuk turun kerana ingin membuang air kecil.Pemandu bas pula dengan tegas tidak membenarkan mereka turun.
"Bas berhenti sekejap sahaja.Di sini tiada tandas," Pemandu meninggikan suaranya.
"Tak ada masalah,kami boleh cari,"balas salah seorang wanita Afrika tersebut.
Akhirnya pemandu terus membukakan pintu bas dan mereka pun turun.Perasaan saya kurang enak apabila melihat muka pemandu bas yang masam mencuka.Dalam hati berdoa moga-moga tidak ada perkara buruk yang akan berlaku..Astaghfirullah.
10 minit berlalu..Masih ada seorang lagi wanita Afrika yang belum menaiki bas.Pemandu terus menghidupkan enjin bas dan terus bergerak meninggalkan tempat itu.
"Akhi,ada seorang lagi tertinggal!" seorang wanita menjerit lantang.
Mendengar sahaja jeritan wanita itu,satu bas mula kelam-kabut.
"Berhenti!Berhenti!" Penumpang menjerit bersahut-sahutan.
Pemandu bas masih buat-buat tidak tahu.Masih meneruskan perjalanan.
"Astaghfirullah,akhi!Dia wanita!Takkan nak tinggalkan dia di tempat sunyi begini!" Kedengaran suara menjerit dari belakang.
"Aku sudah beritahu tadi.Jangan turun.Bas cuma berhenti sekejap.Tapi dia nak turun juga."Jawab pemandu bas dengan kuat.
"Tapi dia perempuan.Takkan nak tinggalkan dia begitu!" Balas yang lainnya.
Saya beristighfar di dalam hati..Allah..inilah kali pertama peristiwa ini berlaku di hadapan mata saya.Seorang wanita ditinggalkan di tepi jalan.Hanya tempat persinggahan-cuma ada kedai makan kecil di situ.Dia berseorangan-tiada wanita lain menemaninya.Astaghfirullah..hati dipagut bimbang dan kasihan yang teramat kepada wanita itu.Dia menaiki bas ini untuk ke Jeddah dengan menggendong barang-barang yang banyak dan berat di belakangnya.Saya pasti barang-barang itu adalah untuk dijual,untuk mencari sesuap rezeki.Barang-barang itu masih ada di dalam bas ini,begnya juga masih ada.Tapi tuannya ditinggalkan di tepi jalan,di tempat yang cukup asing baginya.
PERTOLONGAN TIBA
Bas masih riuh-rendah.Tetapi pemandu masih berdiam diri,tidak mahu berhenti apatah lagi berpatah balik untuk mengambil wanita itu.
Tiba di Jeddah,kami melalui kawasan pemeriksaan Polis.Polis memeriksa adakah penumpang-penumpang yang mahu mengerjakan haji mempunyai tasrih ataupun tidak.
Dengan tidak semena-mena,seorang wanita Mesir bangun,menuju ke cermin tingkap pemandu dan memberitahu pihak polis.
"Tuan,ada seorang kawan kami tertinggal di Mat'am belakang,jauh dari sini.Kami terlupa dan tak perasan tadi.Tolong tuan,selamatkan dia,"Wanita itu memusing cerita,tidak memberitahu perkara sebenar.
Polis terkejut.Serentak dengan itu menyuruh pemandu bas turun.
Dua orang lelaki mampir ke hadapan dan bertanya wanita Mesir itu,mengapa tidak memberitahu hal yang sebenar?Wanita itu menjawab,"Aku takut kalau aku dihalau dari bas ini.Kamulah beritahu."
Lama bas kami ditahan.Mungkin pihak polis ingin mendapatkan penjelasan dari pemandu bas.
"Terus-terang dengan aku.Wanita itu sengaja ditinggalkan atau kamu semua terlupa?"Tanya salah seorang anggota Polis.
Lalu lelaki tadi turun dari bas dan berjumpa dengan polis untuk memberitahu hal yang sebenar..
"ALLAH TAK PERNAH TIDUR!"
Lebih kurang satu jam kami menunggu..Tiba-tiba sebuah kereta Polis berhenti di hadapan bas kami dan keluarlah wanita Afrika dari perut kereta tersebut.
"Alhamdulillah!" Kami semua mengucap syukur.Polis menyelamatkan wanita tadi dan membawanya kembali ke bas kami.
Pemandu kembali menaiki bas.Diam-langsung tidak bersuara.Mungkin dia telah menerima ceramah percuma dari Polis-polis tadi.
Wanita Afrika itu naik.Di wajahnya tergambar perasaan sedih dan geram bercampur dengan perasaan Syukur.
"Allah Mafi Naum!Allah Mafi Naum!" Tiba-tiba dia menjerit kuat.Apa yang saya faham,dia ingin memberitahu kami semua bahawa Allah Tidak pernah tidur.Bas kembali hingar-bingar.
"Allah tak pernah tidur.Kalau Allah tetapkan aku selamat,aku akan selamat.Allah tahu apa yang berlaku pada aku.Allah yang selamatkan aku."Kuat suaranya meluahkan perasaan yang ditahan-tahan.
Pemandu bas tidak menjawab sepatah pun.Hanya mendiamkan diri-pasrah dengan apa yang berlaku.
"Sabar Ukhti.Alhamdulillah kamu dah selamat.Tenang,tenang.." Ramai yang menasihati wanita tersebut.
Akhirnya bas kembali tenang sehinggalah kami tiba di destinasi.
Ianya pengalaman yang sangat berharga.
ALLAH TIDAK PERNAH TIDUR!
Kalimah itu memberi kesan yang mendalam kepada saya walaupun ia diucapkan spontan oleh wanita itu.Dalam keadaan saya mencari motivasi dan kekuatan hati untuk mengerjakan Haji,Allah menghantar wanita itu untuk memberi semangat kepada saya-menyedarkan dan menyentap hati saya.
ALLAH TIDAK PERNAH TIDUR..Dia Maha Tahu apa yang akan berlaku dan telah berlalu.Dia Maha Tahu setiap detik hati hamba-hambaNya sepanjang masa,tidak akan tertinggal walau seminitpun.Mintalah pada Allah,Dia Ada dan mendengar semua permintaan kita.
Tragedi Saptco..Ianya seperti sebuah drama yang sangat memberi kesan kepada jiwa..
1 comments:
salam..kak ainun, saya menunggu sambungan kisah Haji akak yang seterusnya...seronoknya akak duduk tanah Haram & berbahasa Arab...doakan ada pun dapat kesempatan tu..(",)
Post a Comment