Daisypath Anniversary tickers
Dimulakan dengan Bismillah..

Bismillahirrahmanirrahim..

Seminggu lebih blog tidak di update.Saya memohon maaf kepada sahabat-sahabat yang berziarah dan jutaan terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini,moga-moga ada ilmu yang bermanfaat yang dapat dibawa pulang walaupun hanya sekadar satu ayat.

Semakin mengenali Madinah dan berkenalan dengan ahli-ahlinya,semakin banyak catatan dan memori yang ingin diungkap dan dicatat.Banyak peristiwa yang berlaku yang tidak sempat lagi saya tuliskan di ruangan ini.InsyaAllah,saya akan cuba meluangkan masa setiap hari untuk menulis,seusai melaksanakan tugas-tugas sebagai suri di rumah ini.Sedia maklum,suami dan rumahtangga adalah keutamaan bagi seorang isteri.Saya menulis juga dengan izin suami yang sangat dikasihi,dengan harapan ilmu yang ada dapat dikongsikan bersama orang lain.

Alhamdulillah,memasuki trimester kedua ini,kesihatan diri semakin stabil.Jadual saya juga sudah berubah.Setiap hari,saya akan bersama suami ke Masjid Nabawi selepas Asar.Jadual pengajian suami setiap hari sangat padat,bermula seawal jam 7.30 pagi kuliah di Universiti Islam Madinah,tiba di rumah lebih kurang jam 1.30 petang dan bergegas pula ke Masjid Nabawi untuk mengikuti talaqi bersama Syeikh Maqrami pada jam 4.30 petang (setiap hari).Malam Sabtu,talaqi pula bersama Mufti Masjid Nabawi dan Malam Selasa,mengikuti jilsah bersama Syeikh Khalid.

Alhamdulillah,seronok dapat melihat secara live perjuangan suami menuntut ilmu.Semoga ilmu-ilmu yang ditimba dapat dimanfaatkan buat umat Islam keseluruhannya.
Moga ketemu lagi di lain waktu.Siiru 'ala Barakatillah..:)

:: Titipan Di Keheningan Malam ::

Malam semakin larut,namun kedua mata ini masih segar,seakan tidak mahu lelap.Mujahidku masih belum pulang,banyak urusan ummah yang perlu diuruskan.Biarlah dia bertugas dengan tenang kerana saya tahu,semua yang dia lakukan hanyalah untuk Islam,kerana Allah.Hati seorang isteri sentiasa mendoakan,moga kehidupan suami diwakafkan semata-mata kerana Agama tercinta.Sedari bujang,dirinya amat mencintai dunia tarbiyyah dan tentunya dia memilih diri ini sebagai isteri agar sentiasa dapat menguatkannya di medan juang,bukan menjadi penghalang padanya untuk terus bergerak aktif di arena dunia Dakwah.Moga Allah memberkatimu suamiku.

Syukur Alhamdulillah,hari-hari yang kami lewati di bumi Madinah ini kian membahagiakan.Setiap hari,semakin banyak perkara baru yang saya pelajari tentang suami.Bagaimana sikapnya,pemikirannya,cita-citanya,kesukaannya,malah perkara-perkara yang membuat hatinya kurang senang juga dapat saya fahami.Kami masih baru bertatih dalam memahami apa itu cinta,apa itu sayang.Sungguh,percintaan seusai perkahwinan ini sangat indah.Kebahagiaaan dan ketenangan dirasai setelah terpatri perjanjian untuk menyelusuri "Sakinah,Mawaddah dan Rahmah" hingga ke syurga abadi.


"Kebahagiaan kita tidak terletak pada harta,
tidak pada penampilan diri, tidak juga pada gemerlap perhiasaan dan keindahan dunia.
Ukuran kebahagiaan terkait erat pada hati dan ruh manusia yang mendamba redha Tuhannya.."

Demikian kata-kata hikmah yang terukir dari seorang mujaddid agung,Asy-Syahid Hassan Al-Banna.

Perkahwinan dengan didasari rasa cinta kerana Allah pastinya akan membuahkan hasil yang baik.Bukan mudah ingin menjadi seorang isteri yang solehah dan suami yang soleh,tetapi segalanya tidak mustahil untuk dicapai apabila kita rela menundukkan sedikit keegoan diri dan bersedia menerima pasangan seadanya,penuh dengan rasa cinta.Pastinya seorang manusia itu tidak pernah sempurna,tetapi dengan adanya azam untuk menjadi hamba yang bertaqwa akan mendorong seseorang itu untuk terus menempuh hidup berdasarkan acuan Al-Quran dan sunnah Rasululullah SAW.

:: Cergas Ketika Hamil ::

Masyarakat sering mengaitkan wanita hamil dengan fenomena letih, gemuk, berat dan sebagainya. Faktor ini mungkin disebabkan wanita hamil sendiri yang menonjolkan imej sebegitu rupa di khalayak. Walhal, wanita hamil boleh tampil cergas dan “gagah” biarpun mereka sedang sarat mengandung malah terpaksa pula bekerja di pejabat seperti individu lain.

Mengandung merupakan suatu proses semulajadi yang dialami oleh wanita normal yang telah berumahtangga. Selepas persenyawaan berlaku diikuti dengan beberapa proses lahiriah, maka wanita hamil akan mengalami pelbagai peringkat sewaktu tempoh kehamilan mereka itu.

Apabila disahkan hamil, janin atau embrio dalam uterus anda akan membesar hari demi hari. Bermula daripada sekecil biji anggur ia akan membesar berkali-kali ganda hingga kadang-kadang mencecah berat lima kilogram beras. Proses pembesaran inilah yang membuatkan tubuh badan wanita hamil berubah, mengembang dan menjalani proses kematangan
yang tertentu.


Selama sembilan bulan berikutnya semua organ dalam badan wanita hamil seperti hati, paru-paru, darah, payu dara, sistem penghadaman, buah pinggang, kulit dan sudah tentunya uterus akan mengalami perubahan yang besar. Perubahan ini berlaku apabila kandungan hormon dalam badan seperti progesteron bertindak balas dengan tubuh badan wanita hamil.

Soalnya, bagaimana anda ingin kelihatan gagah biarpun anda terpaksa mengusung perut yang memboyot ke sana dan ke mari? Rahsianya mudah sahaja. Anda perlu faham kitaran kehamilan anda sendiri dan berusaha untuk mengatasi segala masalah dengan bijak.

Bermulanya sebuah kisah…

Jika sebelum mengandung, perut anda kelihatan begitu ramping. Kini setelah anda mengandung sebulan, dua atau tiga bulan dan seterusnya, perut anda akan kelihatan sedikit menonjol dan berisi. Walau bagaimanapun, saiz perut ini terpulang kepada individu.

Ada wanita yang perutnya kelihatan sangat kecil malah seperti tidak mengandung biarpun sedang hamil lima bulan. Ini mungkin disebabkan faktor genetik ataupun tulang selangka mereka yang memang kecil dan molek. Tip yang boleh diamalkan di sini ialah meminta pasangan anda mengambil gambar anda bermula bulan pertama kandungan sehinggalah bulan kesembilan. Secara psikologinya, jika anda mempunyai turutan foto anda sebegini, anda mungkin tidak terasa sangat keletihan ekoran mengandung. Maka dengan sendirinya anda akan berasa selesa dan cergas sentiasa.

:: Hati membesar ::

Organ hati wanita hamil akan membesar sewaktu mengandung kerana hati terpaksa bekerja keras mengepam lebihan darah dalam badan. Pada ketika ini, denyutan jantung akan bertambah dan organ hati wanita hamil akan mengepam lebih dua liter berbanding 5 liter sewaktu tidak mengandung. Keadaan ini membuatkan anda berasa kurang selesa, lesu dan tidak bermaya sepanjang masa.

Jika anda berasa demikian, apabila anda mahu berbaring, cuba berbaring secara mengiring. Dengan berbaring mengiring, simpulan-simpulan urat dalam tubuh anda tidak menyekat perjalanan darah. Anda juga akan berasa tendangan kaki bayi anda dengan lebih jelas dan ketara.

:: Susah untuk bernafas ::

Pada trimester ketiga kehamilan, kebanyakan ibu hamil sukar untuk bernafas. Hal ini kerana perut yang membesar telah menekan diafragma dan keadaan ini menyebabkan anda sukar untuk menyedut udara dan sering kali berasa sebu pada ulu hati. Keadaan ini tidak berlarutan dan ia hanya untuk sementara sahaja. Apabila anda melahirkan bayi kelak, kesemua perasaan tidak selesa dan rasa sukar bernafas akan hilang begitu sahaja.

Walaupun kebanyakan orang menganggap ibu hamil terpaksa makan dan bernafas untuk dua orang iaitu dirinya dan anak yang dikandung, namun yang ajaibnya hal itu tidak begitu. Ibu hamil seolah-olah mendapat kekuatan untuk berhadapan dengan masalah ini.

Tip bagi kelihatan gagah dan tangkas serta tiada masalah pernafasan ketika mengandung ialah dengan mempelajari teknik-teknik bernafas dengan betul. Yoga adalah teknik senaman dalaman yang baik untuk pernafasan ibu hamil. Selain itu, Tai Chi atau Qigong dan teknik-teknik meditasi lain boleh diamalkan. Bagi wanita Islam, anda digalakkan banyak bersembahyang dan berzikir untuk mendapat ketenangan. Apabila hati tenang maka dengan sendirinya anda akan berasa mudah untuk bernafas.

:: Sukarnya berjalan ::

Dengan perut yang sudah membesar, anda seolah-olah hilang upaya untuk berjalan atau menaiki tangga. Kebanyakan ibu hamil akan berasa mengah dan nafas menjadi tercungap-cungap setelah berjalan agak lama dan jauh kerana anda terpaksa membawa badan yang begitu berat dengan pertambahan cecair dalam badan.

Untuk kelihatan segar dan boleh berjalan dengan cergas, elakkan daripada memakai kasut tumit tinggi yang boleh menyebabkan betis dan bahagian kaki anda terasa penat dan kejang. Pakailah kasut tanpa tumit yang lembut ataupun jika masih ingin kasut yang bertumit, pilihlah yang setinggi satu atau dua inci sahaja. Selain itu, amalan meminum susu dan sumber makanan yang kaya khasiat kalsium juga boleh menguatkan tulang dan anda tidak mudah penat jika berjalan jauh.

:: Berfikiran positif ::

Walaupun tubuh anda gagah dan sentiasa cergas, namun kadangkala mental pula yang bermasalah. Ada wanita yang cergas fizikalnya tetapi lemah apabila berhadapan dengan tanggungjawab baru ataupun perubahan hormon yang berlaku sepanjang kehamilan.

Amat penting anda berfikiran positif ketika ini kerana pelbagai perubahan mendadak mungkin tidak dapat diterima oleh anda apatah lagi dengan perubahan bentuk badan. Tidak kira anda sedang hamil anak pertama, kedua ataupun yang ketujuh, anda wajar bersikap positif sentiasa. Dengan sikap yang positif dan fizikal yang cergas, anda akan kelihatan seperti “Superwoman”.

Kesimpulannya, anda sebagai wanita hamil masih boleh tampil cergas, gagah dan riang sentiasa biarpun sedang sarat mengandung. Kesemua masalah tersebut tidak sewajarnya menjadi penghalang untuk anda bergaya dan sihat seperti wanita lain dan sudah tentu sekali berhak dipanggil “SUPERWOMAN”.

rujukan : Petikan majalah PA&MA Julai 2002

:: menemani suami menziarahi Madinah ::

Kabus tebal menyelimuti bumi Madinah kala ini.Kesejukan kian mencengkam,hingga terasa ke tulang sum-sum.Bumi barakah ini tetap menjanjikan ketenangan buat penghuninya.Dalam mengharungi cuaca panas ataupun sejuk,hati-hati insan yang mendiami tanah ini sentiasa redha dan memanjatkan tawakkal yang tinggi kepada Yang Esa..Inilah keberkatan bumi Madinah,yang terisi di dalamnya jasad yang sangat mulia,Nabi Muhammad SAW..

Hari ini saya punya satu misi,ingin menemani suami membawa jemaah haji Malaysia menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah.Sebenarnya sudah beberapa kali suami membawa jemaah haji berziarah,tetapi kerana kondisi diri saya yang masih kurang stabil di trimester pertama berbadan dua,hasrat untuk menemaninya hanya tersimpan rapi di hati.Hari ini,dengan azam ingin sama-sama memberi sokongan kepadanya di samping saya sendiri ingin menggali sedalam-dalamnya ibrah di sebalik tempat-tempat sejarah tersebut,saya cuba menguatkan diri dan jasad agar dapat bersama hingga ziarah ini selesai.

Usai bersolat subuh berjemaah,kami meneruskan perjalanan ke Hotel Al-Haram,berdekatan dengan Masjid Nabawi untuk bertemu dengan jemaah haji Malaysia di sana.Bas-bas dibahagikan dan setiap bas akan diiringi oleh seorang muzawwir,yang ditugaskan untuk memberi penerangan tentang tempat-tempat yang bakal dilawati.Terasa seronok dapat bersama pakcik-pakcik dan makcik-makcik dari Malaysia,sekurang-kurangnya apabila melihat wajah-wajah mereka,dapat melepaskan kerinduan saya kepada ayah bonda di kampung.

Perjalanan dimulakan dengan destinasi pertama kami ke Masjid Quba'.Jemaah haji yang berada di Masjid Quba' ketika itu terlalu ramai,termasuk jemaah haji dari negara lain.Hajat di hati,ingin bersolat sunat 2 rakaat di sini,tapi kata abang,lebih baik saya tidak ikut serta berada dalam kelompok manusia yang ramai itu.."Bimbangkan anak,"katanya.



:: makam Syuhada Uhud ::


Apabila semua jemaah di bawah kumpulan abang tiba di bas kami,perjalanan diteruskan ke Bukit Uhud.Sepanjang perjalanan,suami meneruskan penerangan dan tazkirah,waktu keemasan yang diambil untuk menyebarkan seluas-luasnya dakwah ke dalam hati para jemaah.Tiba di Bukit Uhud,keadaan sama seperti di Masjid Quba' tadi.jemaah haji terlalu ramai.Walau bagaimanapun,kami masih punya ruang untuk berkumpul dan suami meneruskan penerangannya tentang Sejarah Uhud dan situasi peperangan itu..

Allahu Akbar,hati insan-insan yang beriman tidak kan mampu menafikan kekaguman dan kerinduan kepada Baginda Rasulullah SAW.Mengenang keperitan dan kesakitan yang ditanggung Rasulullah SAW dan para sahabat pada ketika itu,hati dijentik perasaan sebak dan pilu yang teramat.Terasa sempit dada mengenangkan sukarnya Baginda dan para sahabat melalui saat itu.Betapa hebat cinta para sahabat pada Baginda Rasul,sehingga sedaya upaya mereka tidak mengizinkan tubuh Rasulullah SAW dicederakan.Memang layaklah mereka dipilih sebagai penghuni Syurga,kerana kecintaan yang tiada taranya kepada Baginda.

Air mata kami menitik laju apabila mendengar kisah tentang Uhud ini.Melihat pakcik-pakcik dan makcik-makcik di kiri dan kanan saya mengelap air mata yang tumpah lantaran keinsafan dan kesedaran,saya sendiri tidak mampu mengawal perasaan.Biarpun beberapa kali saya telah melawat tempat ini sepanjang saya menetap di sini,namun iktibar yang terkandung di dalam Sirah Baginda tidak dapat menghentikan perasaan sebak yang bertamu di hati..kisah Uhud sungguh indah,seindah bukit yang Allah ciptakan ini,yang juga menjadi kecintaan Nabi..

Ziarah diteruskan lagi ke kebun dan pasar kurma,tempat untuk membeli kurma-kurma yang berpatutan harganya.Tempat ini menjadi destinasi terakhir ziarah kami.Seronok melihat keceriaan yang tergambar di wajah para jemaah.Semoga kepulangan mereka ke bumi Malaysia nanti,menjanjikan ketenangan dan kebahagiaan setelah melalui fasa ibadah Haji dan bertamu di bumi kecintaan Rasulullah SAW.

Kepada para pengunjung blog ini,di sini saya sertakan sedutan video penerangan suami saya tentang Bukit Uhud.Video ini dirakamkan oleh salah seorang jemaah haji yang menyertai kumpulan suami saya dalam edisi ziarah sebelum ini.Saya sendiri tidak tahu siapa empunya diri kerana video ini dikirim oleh seorang sahabat kepada suami.Jazakumullahu khairan kathira diucapkan kepada mereka..

Siiru 'ala Barakatillah:)








:: 33 Tahun hanya 8 masalah?? ::


Syeikh Syaqiq Al-Balkhi bertanya kepada muridnya Hatim Al-Asam :


"Sudah berapa lama awak belajar denganku?"

Jawab Hatim," Tiga puluh tiga tahun guru,"

Tanya Syaqiq, "Berapa banyak ilmu yang kamu petik?"

Jawab Hatim," Hanya lapan masalah sahaja."

Terkejutlah gurunya seraya berkata," Tiga puluh tiga tahun hanya lapan masalah?"

Jawab Hatim,"Benar guru,saya tidak berdusta."

Gurunya,Syaqiq berkata : " Sila datangkan lapan masalah tersebut."


Kata Hatim:


PERTAMA : AKU LIHAT KEPADA MAKHLUK.Setiap orang mempunyai barang kesayangannya tetapi bila sampai ke kubur,nescaya berpisah.Justeru aku jadikan kesayanganku segala kebajikanku supaya ia kekal bersamaku di dalam kubur.


KEDUA: Aku lihat firman Allah dalam surah Al-Nazi'at,ayat 40 (yang bermaksud) :

Maksudnya: "Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada keinginan hawa nafsunya."

~Justeru aku bersungguh-sungguh mujahadah nafsu hingga stabil dalam ketaatan kepada Allah SWT.


KETIGA : AKU LIHAT SETIAP ORANG MEMPUNYAI BARANG YANG BERHARGA YANG

DISIMPANNYA.Kemudian aku lihat ayat Allah SWT di dalam Surah An-Nahl,Ayat 97 (Yang bermaksud) :


" Sesiapa yang mengerjakan amal soleh baik laki-laki mahupun perempuan dalam keadaan beriman,maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan sesungguhnya akan Kami beri balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan."


~ Tatkala dapat bagiku sesuatu yang berharga nescaya aku hadapkannya (kepada Allah dengan bersedekah) supaya sentiasa kekal di sisiku.


KEEMPAT : SESUNGGUHNYA AKU LIHAT RAMAI MANUSIA BERMEGAH DENGAN HARTA KEKAYAAN,NASAB KETURUNAN DAN KEMULIAAN.Sedangkan semuanya tiada nilai.Lantas aku lihat firman Allah SWT dalam Surah Al-Hujurat ,Ayat 13 (yang bermaksud) :

" Hai Manusia.Sesungguhnya Kami ciptakan kamu daripada kalangan laki-laki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal.Sesungguhnya,orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu.Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."


~Justeru,aku beramal untuk bertaqwa supaya aku mulia di sisiNya.


KELIMA : SESUNGGUHNYA AKU LIHAT MANUSIA SALING BERHASAD DENGKI.Kemudian aku lihat ayat Surah Al-Zukhruf,ayat 32 . justeru aku tinggalkan hasad.


KEENAM : AKU LIHAT KEBANYAKAN MEREKA SALING BERMUSUHAN.Kemudian aku lihat firman Allah SWT dalam Surah Al-Fathir,ayat 6 (yang bermaksud) :


"Sesungguhnya,syaitan itu ialah musuh bagimu.Maka anggaplah ia musuhmu kerana sesungguhnya syaitan-syaitan itu hanya mengajak golongannya supaya mereka menjadi penghuni neraka yang menyala-nyala."


~Justeru,aku tinggalkan permusuhan dengan mereka dengan hanya menjadikan syaitan sahaja sebagai musuh.


KETUJUH : AKU LIHAT MANUSIA SANGGUP MENGHINA DIRI KERANA MENCARI REZEKI.Bila aku lihat firman Allah dalam Surah Hud ,Ayat 6 (yang bermaksud) :


" Dan tidak ada suatu binatang yang melata di bumi,melainkan Allahlah yang memberi rezekinya dan Dia mengetahui tempat berdiam binatang itu dan tempat penyimpanannya.Semuanya tertulis dalam kitab yang nyata.(Luh Mahfuz)"


~Justeru,aku sibukkan dengan apa yang menjadi amanahku dan meninggalkan urusan rezeki kepada Tuhanku.


KELAPAN : AKU LIHAT MEREKA BERGANTUNG KEPADA HASIL BUATAN DAN KESIHATAN MEREKA,TETAPI AKU BERTAWAKKAL KEPADA ALLAH.


Jawab Gurunya Syeikh Syaqiq : "Sesungguhnya aku lihat dalam kitab Taurat,Zabur,Injil dan Al-Quran.Dan inilah inti pati kitab samawi yang empat ini.Siapa beramal dengan lapan masalah itu nescaya dia beramal dengan keempat-empat kitab.

selesaikan hutang Nurul(2) :)


Bismillahirrahmanirrahim..
Alhamdulillah,baru selesai mengerjakan solat Isyak.Sementara menunggu kepulangan suami,saya akan cuba menyelesaikan misi saya malam ni iaitu menyiapkan homework!:)

~5 Ibnu Khaldun 2003~


11-ok,beralih pula ke zaman sekolah menengah saya.dari tingkatan 1 hingga tingkatan 5,saya menuntut ilmu di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang,Jerantut (TAHAP).mula mendaftar pada 27 Januari 1999 dan ditempatkan di kelas 1 Ibnu Rusydi.saya bagitahu mak waktu saya di darjah 6,"mak,yah nak masuk TAHAP sebab yah nak pakai tudung labuh macam mak,"dan mak pun tersenyum penuh makna mendengar celoteh saya.memang saya cuba-cuba pakai tudung mak waktu sekolah rendah lagi.teruja betul dengan tudung labuh.


12-Antara insan yang menggalakkan saya untuk belajar di sekolah ini adalah Ayahanda Ustaz Abd.Rodzi,jurulatih saya ketika saya mewakili negeri dalam pertandingan tahfiz dulu.Beliau juga mengajar di sekolah ni.Saya memang sangat teruja untuk belajar di sini kerana ingin mendalami ilmu AL-Quran di samping ilmu-ilmu lain.

13-Bagi saya SMKA TAHAP sangat istimewa.Terdapat Kelas Kemahiran Al-Quran yang disediakan untuk pelajar-pelajar bermula dari Tingkatan 1 hingga tingkatan 5.Alhamdulillah,dapat menimba pelbagai ilmu dan yang paling saya teruja adalah Ilmu Qiraat.Suatu ilmu yang baru bagi saya dan sahabat-sahabat.

14-SMKA TAHAP hidup dengan suasana tarbiyyah dan sarat dengan majlis-majlis ilmu.Selepas maghrib,masa kami terisi dengan Kuliah Tafaqquh yang disampaikan oleh ustaz-ustaz yang mengajar di sekolah ini.Malam Sabtu adalah waktu istimewa untuk pelajar-pelajar melibatkan diri dalam Usrah yang akan diuruskan oleh para Naqib dan Naqibah yang dilantik.Hari Jumaat (sebelum zohor),pelajar perempuan diwajibkan berada di surau untuk bersama-sama mendengar tazkirah oleh para ustazah dan guru-guru atau kakak senior kami.Alhamdulillah,suasana tarbiyyah ini membentuk pemikiran dan adab sebagai hamba Allah,anak dan pelajar.

15-Tamat SPM,saya terpilih untuk menyertai PLKN di Rompin Pahang.Dugaan,kami adalah peserta SIri Pertama PLKN ketika itu.cerita lanjut tentang PLKN,boleh rujuk entri saya sebelum ni (PLKN:JANGAN DILUPAKAN PEMBINAAN ROHANI DAN AKHLAK)

16-Habis cerita pasal TAHAP,masuk pula zaman kampus saya.Alhamdulillah,saya dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pilihan saya sejak zaman menengah lagi iaitu Darul Quran JAKIM,Kuala Kubu Bharu Selangor.Pertama kali saya berjauhan dengan keluarga,keluar dari negeri Pahang merantau ke negeri orang:)

17-Selama 3 tahun berada di DQ,sangat mematangkan saya selaku seorang muslimah dan remaja.Dunia kami adalah menghafaz dan mengulang Al-Quran,aktiviti wajib dan akan ditasmi' pada setiap hari. Di sini juga mengajar saya bagaimana untuk menjadi seorang pemimpin yang mampu berfikiran rencam dan membahagikan masa dengan baik selaku mahasiswi dan pimpinan.

18-Syukur Alhamdulillah,laluan hidup ini dipermudahkan olehNya.Akhirnya saya berjaya berada di Mesir bumi Kinanah untuk menuntut ilmu Allah dalam takhasus Qiraat.Mesir adalah medan ilmu yang amat saya cintai.Pelbagai mehnah dan ujian yang dihadapi,tapi pada masa yang sama pelbagai kenangan manis yang terukir yang tak dapat digambarkan melalui kata-kata.

19-Telah tertulis di Luh Mahfuz,bahawa saya menyandang gelaran isteri pada usia seawal 22 Tahun.Saya juga tidak menjangka akan bergelar isteri pada usia seawal itu,tapi perancangan Allah itu Maha Sempurna.Alhamdulillah,dengan izin Allah,kami selamat diijabkabulkan pada 30 Ogos 2008:)

20-Kisah perkahwinan kami penuh dengan warna-warni:)tempoh perbincangan antara 2 keluarga,keizinan dari mak abah saya,persiapan perkahwinan dari A-Z hanya dalam masa lebih kurang sebulan lebih.Saya sendiri takjub,betapa perancangan Allah itu tidak pernah ada cacat dan celanya.

21-Saya mengenali suami ketika di sekolah menengah lagi kerana suami dulu Bendahari Persatuan Agama Islam dan saya timbalannya.Tapi kami tak pernah berbincang melainkan hal-hal persatuan saja dan selepas tu sekali lagi kami belajar di institusi yang sama(Darul Quran).Di sinilah saya menerima lamaran suami yang amat-amat saya tak jangka:)

22-Alhamdulillah,Allah kuatkan kami agar menjaga hubungan ini,tidak semudahnya berhubung meluahkan hati dan perasaan.Dia terpilih belajar di Madinah dan saya berada di Mesir,kami sama-sama menyimpan hasrat untuk berumahtangga seusai saya menamatkan pengajian,tetapi dengan izin Allah,kami bernikah lebih awal dari perancangan asal.Syukur Alhamdulillah,semua urusan dipermudahkan olehNya.

23-Menjadi isteri dalam versi jarak jauh bukanlah satu kondisi yang mudah.Apabila kami mencapai kata sepakat untuk bernikah,perkara pertama yang kami lakukan adalah menyusun proposal-target dan perancangan kami untuk cemerlang dalam pelajaran dan rumahtangga.Bagi saya,perkara ini teramat-amat penting bagi pasangan yang berkahwin ketika belajar+berjauhan agar dapat menjadi rujukan dan kayu ukur dalam mencapai cita-cita,agar tidak terkandas di tengah jalan.

24-Kami berjauhan lebih kurang 2 tahun.saya bertemu suami hanya apabila suami bercuti dan beliau akan menziarahi saya di Mesir.Pejam celik pejam celik,tak sangka tempoh itu sudah berakhir.Alhamdulillah,berkahwin semasa belajar tak menghalang kami untuk menumpukan perhatian pada pelajaran.Pokoknya,perlu azam dan matlamat yang jelas,dan pada masa yang sama,tidak putus-putus memohon pertolongan Allah.Hanya Allah Zat Yang Maha Kuasa yang memberikan kekuatan dan mengurniakan ketabahan ke dalam jiwa hambaNya.

25-Dan kini,Alhamdulillah saya dapat berkhidmat untuk suami sepanjang masa.Syukur,syukur Ya Allah..Berada di Madinah adalah hadiah yang paling bermakna buat saya.InsyaAllah,saya akan berada di bumi kecintaan Rasulullah SAW ini sehingga tahun 2012,sehingga suami tamat belajar.

Dah cukup 25?Alhamdulillah:)selesai juga akhirnya.Segala kekurangan harap dimaafkan ye!

selesaikan hutang Nurul :)

Bismillahirrahmanirrahim..

Alhamdulillah,masih diberi peluang oleh Allah untuk menghirup udara yang segar pada hari ini.
Entry kali ini adalah menyelesaikan homework yang dah lama nurul (adik junior saya di DQ) bagi..dah lama juga kan nurul?maafkan akak ye.puas fikir nak berkongsi pasal apa :)

sebelum tu mabruk buat ukhti Nurul dan Akh Imran atas kelahiran cahaya mata kedua baru-baru ini.Mereka pasangan yang berjiwa besar.Walaupun masih berada dalam bidang pengajian,tapi kondisi ini tak menghalang mereka untuk terus melaksanakan amanah mereka selaku pelajar dan ibubapa.Moga Allah memudahkan segala urusan kalian,amin..

Emm,tagging itu berbunyi begini..

"Once you have been tagged,you are supposed to write a note with 25 random things,fact,habits,or goal about you....If I tag you,its because I want to know more about you.."

InsyaAllah,saya cuba selesaikan hari ni.Selagi tak selesai,rasa bersalah pula kat adik sorang ni:)

1-Nama diberi 'Ainun Mardhiah binti Ismail.Kata mak abah saya,nama ni dicadangkan oleh bapa saudara saya (adik abah).Ada seorang lagi sepupu saya yang sama nama dengan saya.seronok juga bila nama kami serupa:)

2-Saya anak ke 6 dari 9 orang adik beradik( 5 lelaki,4 perempuan).Alhamdulillah,dibesarkan dalam keluarga yang ramai,memang meriah.Dalam family,hanya tinggal 3 orang sahaja lagi adik-adik saya yang masih belajar di USM,UIA & di Banting(persediaan untuk ke oversea).Yang lain Alhamdulillah sudah punya kerjaya masing-masing sebagai Imam Masjid Negeri,doktor,businessman,guru,pensyarah dan surirumah sementara(sayalah tu:)

3-Kami berasal dari keluarga yang sederhana.Abah bekerja sebagai peneroka,mak pula sebagai suri rumah,tapi Alhamdulillah dengan rahmat dan bantuan Allah,kami bahagia hingga ke saat ini.Saya takkan boleh lupa kenangan kami semasa kecil mengikut abah menoreh getah di ladang.Bila cuti sekolah,abang-abang ke ladang getah dengan berbasikal,kami yang perempuan ni pula ikut abah naik motor.Alhamdulillah,pengalaman itu amat indah untuk dikenang.Kesusahan dulu membuatkan kami sentiasa sedar jangan sombong dan pandang rendah pada orang lain.

4-Abah saya adalah kaunselor terbaik buat saya dan adik-beradik.Setiap kali menghantar kami ke sekolah,pasti bibirnya tak lekang dengan nasihat berharga,"Belajar rajin-rajin,abah takde harta yang banyak nak bagi anak-anak abah,ILMU je yang boleh selamatkan kita,naikkan martabat kita."Tiap kali kami nak exam,tiap pagi abah akan panggil kami adik-beradik dan bacakan doa,tiupkan atas ubun-ubun kami.Mak pula akan siapkan bekal makanan untuk kami supaya tak lapar di sekolah,memeluk dan mencium kami dengan erat sebelum kami melangkah keluar dari rumah..Pergi kami dihantar dengan lambaian dari seorang ibu,pulang kami disambut dengan keceriaan dan kasih-sayang yang tidak terhingga..isk,sebak pula hati ni..-_-

5-Abah amat tegas mentarbiah kami.Sebelum pukul 7 malam,semua kena berhenti main,bersiap untuk solat Maghrib.adik-beradik lelaki abah wajibkan ke surau,berzikir dan jadi Bilal:)adik-beradik perempuan solat dengan mak di rumah.Dilarang sama-sekali untuk menonton TV senja-senja begitu.(cerita pun bukan best).Lepas solat Maghrib,kami mengaji sama-sama."Melancar dulu,dah lancar baru panggil abah.Abah nak dengar,"kata abah pada kami.

6-kami takut kalau mengaji main-main.Abah sangat tegas bab Mengaji Al-QUran ni.Paling takut kalau salah tajwid.Jangan beranganlah nak berborak-borak,curi-curi tidur time tu,abah tahu!agaknya abah mengintai kami kat celah dinding kot.kalau tak lancar apa hukumannya?tak boleh pindah ke mukasurat seterusnya,stay mengaji kat tempat yang sama sampai kami lulus dan abah puas hati.

7-Antara motivasi yang abah selalu berikan pada kami tanpa kami sedari adalah waktu kami di jalanraya.kalau nampak kereta Honda Accord,BMW atau Mercedes,abah akan kata,"ni kereta Yah(saya),ni kereta abang wan,ni kereta abang mi."pendek kata tiap sorang dari kami konon-kononnya sudah ada kereta masing-masing.Secara tak langsung ianya boleh jadi inspirasi buat kami untuk belajar sungguh-sungguh!:)

8-Cita-cita saya dari kecil ingin menjadi seorang Pensyarah.Saya ingat lagi,waktu di Darjah 4,saya buat buku nota kecil dan tulis impian saya dalam tu.ada 2 item yang paling utama:
1-Mahu melanjutkan pelajaran ke Mesir..2-bercita-cita untuk menjadi seorang Pensyarah.Alhamdulillah,impian saya yang pertama dimakbulkan Allah.Saya sudah pulang sebagai Graduan Al-Azhar dengan izin Allah,Alhamdulillah.

9-Cita-cita kedua saya (Pensyarah)akan cuba saya realisasikan apabila saya pulang ke Malaysia nanti insyaALLAH.Saya sangat meminati bidang pendidikan dan suka berkongsi dengan orang sekeliling.Moga-moga ilmu Allah ini tersebar di seluruh dunia dan kalimah ALLAH kembali dijulang suatu hari nanti,insyaAllah.

10-Beralih ke hobi saya,tentunya membaca-tidak kira apa jua jenis buku.Sangat cintakan buku,suka beli buku dan baca buku.

Baru 10,dah panjang rasanya.Saya berhenti dulu di sini,bersambung ke entry seterusnya,insyaAllah:)


NOTA CINTA BUAT HATI..


Kedinginan yang dirasai saat ini membawa hati bermusahasabah.Betapa Allah menjadikan siang dan malam itu tidak sia-sia.Siang adalah peluang untuk manusia bekerja,mengurusi kehidupan,mencari rezeki dan nafkah untuk isteri,anak-anak dan keluarga.Malamnya pula diberi peluang lagi oleh Allah untuk merehatkan fikiran,melepaskan kelelahan yang dirasai saban hari.Indahnya kehidupan mukmin itu,sepertiga malamnya diisi pula dengan bangun mengucapkan 'terima kasih' kepada Allah,mengerjakan solat sunat dan berzikir,tanda penghambaan kepada Rabbnya.


Subhanallah,cemburunya aku kepada pemilik hati sebegini.Hatinya diikat erat untuk taat mencintai Allah dan Rasulnya.Dunia baginya hanyalah sementara,hanya medan untuk menggandakan amalan.Perisainya adalah Al-Quran dan sunnah,yang dibaca,dihadam dan diamalkan siang dan malam.Natijahnya,Allah tidak melupakan hamba yang sebegini.Allah memancarkan nur ketaqwaan ke wajah dan di hatinya.Dia sentiasa tenang tatkala orang lain dalam resah dan gelisah,dia sentiasa tersenyum biarpun diuji dengan kedukaan dan kesakitan,dia tak lupa merendahkan diri dan hati di dalam sujudnya,menitiskan air mata dan merasai diri ini tidak sunyi dari melupakan dosa.Dia mudah untuk melontarkan kemaafan bagi insan-insan di sekelilingnya.Beruntungnya jika aku punya hati yang sebegini..

Subhanallah,lembutnya hati hamba itu..Dia memulakan pagi harinya dengan azam ingin melakukan amalan dan ketaatan sebanyak-banyaknya pada Allah.Lunaknya hati itu,apabila insan lain bercerita tentang kekuasaan Allah dan kegembiraan yang dijanjikan oleh Allah buat mukmin yang soleh iaitu Syurga yang mengalir sungai-sungai indah di bawahnya,hatinya bertambah khusyuk dan tawaduk melaksanakan ketaatan. Apabila diceritakan tentang lembaran sirah Rasulnya,Nabi Muhammad yang amat dicintai,air matanya menitis setitik demi setitik,seolah dapat merasai keperitan yang dihadapi oleh Baginda Rasulullah selama membawa panji tarbiyyah..

Allahu Akbar,hati sebeginilah yang dipandang Allah..
Walau kehidupannya sarat dengan ujian,baginya inilah wasilah agar dia makin hampir dengan Allah.Dia makin intim bermunajat pada Penciptanya,kerana dia tahu Allah menguji tanda hamba itu mampu memikul beban ujian tersebut.Dia tidak sesekali mengeluh,malah ulas bibirnya basah dengan zikir,memuji dan terus memuji Allah Yang Maha Berkuasa Lagi Maha Bijaksana.
aku juga ingin memiliki hati sebegini Ya Allah..

Ku renung lagi langit yang terbentang luas.Dalam doaku,aku yakin Allah Maha Mendengar degup hati ini,doa yang kulafazkan saban waktu.."Ya Allah,aku ingin berubah.Pandulah aku,pimpinlah aku ke jalan yang Engkau redhai Ya Ilahi Rabbi.Aku tak mahu tergolong dalam hamba yang rugi.Rugi di dunia kerana tidak beramal dengan sebanyak-banyaknya.Rugi di Akhirat lantaran tidak terpilih untuk berada di Syurga,singgahsana yang kuimpi..Terimalah taubatku Ya Allah."