NILAI-NILAI INSANI..

Bismillahirrahmanirrahim..

~ 1 ~

Dari kejauhan, saya memerhatikan muslimah itu tanpa jemu.Seringkali saya melihat susuk tubuh itu di dalam Masjid Nabi ini.Dalam hati saya terselit kagum,dia wanita yang menghidap sindrom down,tetapi amalannya luar biasa.Pergerakannya cergas,tingkahnya lincah seolah-olah dirinya tidak ada kekurangan apa-apa.Setelah berjaya mencari rak untuk meletakkan sandalnya,dia terus bergegas mengambil kerusi dan mengangkat takbir mengerjakan solat.

"aik,dia solat berdiri macam orang lain,tapi kerusi tu untuk apa?" saya bermonolog sendiri.

Usai mengerjakan solat,dia kembali mendapatkan kerusi itu.Duduk,mengambil Al-Quran dan membacanya.

Subhanallah,bersih jiwanya,menjadikan Al-Quran temannya yang setia.

Saya kembali menilik diri ini. Allah menjadikan aku sempurna tubuh badan dan akal,alangkah malunya andai aku bermalas-malasan dan sering beralas-alasan dalam mengerjakan amal..Astaghfirullah..

Tidak terhenti setakat itu..setelah kembali dari Raudhah,saya kembali duduk di ruang muslimat,ingin menghabiskan target bacaan Al-Quran harian saya.Tiba-tiba ternampak sekali lagi kelibat wanita itu.Selagi lagi saya tersenyum.Lincahnya dia mengutip sampah-sampah kecil yang ada di sekeliling masjid,di ruang muslimat itu tanpa mempedulikan orang di sekelilingnya. Dia cergas bergerak mengutip kerusi-kerusi yang tidak diletakkan di tempat asal,seolah-olah dia juga pekerja di Masjid Nabawi. MashaAllah,bersihnya hatimu saudariku.Dalam keadaan dirimu yang sedemikian,masih tergerak di hatimu untuk menjaga kemuliaan Masjid Nabi ini.Semoga Allah mengurniakan kebahagiaan padamu di dunia dan di akhirat.

~2~

Kini mujahid saya@ suami sedang bertempur di medan Imtihan. Maka lebih banyak masa yang kami luangkan di Masjid Nabawi kerana suami lebih selesa mengulangkaji di maktabah Masjid Nabawi berbanding di rumah.Alhamdulillah, saya lebih-lebih lagi gembira dapat berlama-lamaan di rumah Allah.Anak di dalam uterus ini perlu dididik sedari dalam kandungan agar bisa menjadi pemuda yang diikat hatinya dengan masjid. Kelmarin kami bertolak sebelum subuh dan berkampung di masjid sehinggalah selepas zohor. Alhamdulillah,menatap fajar yang indah di bumi Madinah ini adalah pengalaman yang sangat menggembirakan.

Andai anda pernah menjejakkan kaki di Masjid Nabawi, anda akan dapat melihat para pekerja masjid yang sangat berdedikasi melaksanakan amanah.
Cekap,sangat cekap,mashaAllah.
Itulah yang saya rasakan setiap kali melihat mereka bekerja membersihkan masjid.Tugas mereka terus bermula seusai mengerjakan solat Subuh-membersihkan karpet-karpet,rak-rak Al-Quran,mengelap tiang-tiang masjid,mencuci tandas,mencuci lantai sehinggakan masjid ini kelihatan bersih berkilat sepanjang masa.

Apa yang membuatkan saya takjub,mereka bekerja tanpa henti-henti dan bersungguh-sungguh seolah-olah tidak pernah keletihan.

"Hebatkan bang,pekerja masjid ni, depa tak benarkan sekecil sampah pun ada kat keliling masjid,sungguh-sungguh depa buat kerja.Untungnya,dahlah jaga masjid,berganda-ganda pahala depa dapat."
Inilah ayat yang selalu saya ulang pada suami apabila keluar dari Masjid Nabawi.

Mungkin bagi orang lain ia adalah perkara biasa,tetapi tidak bagi saya.Muslim yang memahami bahawa kerja itu adalah amanah akan melakukan kerja dengan penuh kesungguhan walaupun sekecil-kecil perkara.Apatah lagi apabila menyentuh tentang organisasi,andai kerja yang dibuat itu sambil lewa,tentu sahaja ada kecacatan dan hasilnya yang tidak sempurna.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi pernah menitipkan pesannya di dalam sebuah ceramahnya di Qatar,di antara isi ceramahnya adalah nasihat kepada muslimin dan muslimat agar menguatkan kepakaran dan daya kerja agar melahirkan umat Islam yang berkualiti. Ketika beliau berada di Jerman , beliau mendapati jalan raya pada waktu pagi dan lewat petang sangat lengang.Lantas Al-Fadhil Syeikh bertanya kepada salah seorang pemandu yang membawanya ke tempat program,mengapa keadaan sedemikian berlaku?
Jawab pemandu tersebut,"Pada waktu pagi para pekerja berpusu-pusu ke tempat kerja dan bekerja dengan penuh kesungguhan dan jarang-jarang ada yang curi tulang kerana mengutamakan kualiti kerja masing-masing.Pada waktu petang pula mereka terus pulang dan melepaskan keletihan dan kelelahan mereka selama bekerja sepanjang hari di rumah.Jadi tidak ramai yang keluar pada waktu begitu."
Justeru,selaku umat Islam yang dididik dengan acuan Al-Quran dan As-Sunnah,sepatutnya kita lebih-lebih lagi memastikan kerja yang kita lakukan diurus dan diselesaikan dengan sebaiknya,bukan sekadar "aci boleh" atau "hangat-hangat tahi ayam" sahaja.
Semoga beroleh manfaat..Siiru 'Ala Barakatillah..:)