Daisypath Anniversary tickers
:: JADUAL IMTIHAN UMAIR ::

As-Syahid Hassan Al-Banna pernah berkata:
" Islam adalah suatu sistem yang meliputi segala bentuk fenomena kehidupan. Islam merupakan negara dan tanah air ATAU kerajaan dan ummat.Ia merupakan akhlak dan kekuatan ATAU rahmat dan keadilan,kebudayaan dan undang-undang ATAU ilmu dan kehakiman,material dan harta benda ATAU usaha dan kejayaan,jihad dan dakwah ATAU ketenteraan dan fikrah sepertimana ia juga adalah aqidah yang benar DAN ibadah yang sahih, tanpa ada perbezaan.."

Umar Abdul Aziz pernah berkata : " Siapa yang beramal tanpa pengetahuan lebih banyak merosak berbanding mengelokkan.."

:: Universiti Islam Madinah ::

~ Salam Imtihan buat suami yang sedang gigih menuntut ilmu di bumi Madinah.

Buat keluarga tercinta di tanah air,ini jadual exam angah/Asshik untuk semester ini.Semoga angah berjaya mencapai MUMTAZ kali ni,amin..^_^

9/6 : SYAFAWI AL-QURAN

13/6 : FIQH 3

14/6 : TAUHID 3

15/6 : DUNIA ISLAM MASA KINI

16/6 : TAFSIR AL-QURAN 2

17/6 : NAHU 3

20/6 : USUL FIQH 3

21/6 : HADITH 2

* Exam bermula jam 10.30 pagi-12.30 tengahari

Buatmu pejuang Agama!
~ Usaha SEHABIS mampu bukan SEKADAR mampu!
~ Tanda-tanda orang yang berilmu adalah benar kata-katanya ,tidak suka membuat kejahatan dan berasa senang menambah pengetahuan.
~ Orang yang BERANI adalah mereka yang tidak mudah patah hati,tetapi bertahan menghadapi setiap dugaan dan cabaran!
~Semoga dirimu terus bersemangat,bermatlamat dan beriltizam dalam melengkapkan diri untuk menyertai ketombokan yang telah sedia di medan. Medan telah tersedia,cuma menunggu pejuang yang ikhlas untuk meneruskan misi dakwah ini..

I know you can do it! ALLAH MA'AK!

:: DENAI KEHIDUPAN 1986 - 2009 ::

Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..kepadaMu kami sembah dan kepadaMU jua kami meminta pertolongan..

Alhamdulillah,syukur ke hadrat Allah masih mengizinkan diri ini terus bernafas dan mengenalkan diri ini akan hebatnya kekuasaan Allah..

Catatan 27 Mei 2009-Pagi ini saya meneruskan kehidupan seperti biasa.Menginjak ke umur 23 tahun pada hari ini,terasa diri saya sudah semakin hampir kepada kematian.
Pagi ini,seawal jam 7,dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya melangkah ke
muhadharah Syeikh Husin seperti biasa,berjalan kaki di sepanjang Sungai Nil sebelum membelok ke simpang utama kawasan Utubis Jadid..Pagi ini terasa kelainan yang luar biasa..Hati terus bermuhasabah,selama 23 tahun Allah meminjamkan roh ini,sudah banyakkah amalan yang saya sediakan untuk bekalan menuju Pencipta saya Yang Maha Agung?Mata saya terus memusatkan pandangan ke arah Sungai Nil yang tenang mengalir..mashaAllah,betapa indahnya ciptaan Allah.terbayang jasad kecil Nabi Allah Musa terapung-apung di atas permukaan sungai ini suatu ketika dahulu.Alangkah getirnya keadaan dirimu tika itu wahai Nabi..Betapa sukarnya dirimu berdakwah mengajak ummatmu mentauhidkan Allah.Duhai Nabi,dikau tidak pernah berputus asa.segala cacian dan mehnah kau hadapi dengan tabah.Teguhnya hatimu berhadapan dengan sikap Bani Israel,tidak sekali-kali kau mengalah.Guruku banyak menceritakan kepada kami tentang kisah dirimu di dalam Surah Al-Qasas.Subhanallah,segala kesusahan yang engkau hadapi wahai Nabi Allah,sama seperti apa yang dihadapi oleh junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W..Mampukah diri ini kuat dan tabah seperti dirimu?

Cuaca semakin panas..Inilah ujian yang perlu dihadapi apabila tibanya
faslu soifi..Perlu tabah dan cekal menyelusuri hari-hari di bumi Anbiya' ini untuk menuntut dan menggali ilmu-ilmu Allah yang mulia.Kaki terus melangkah,hati terus bermuhasabah..23 tahun..sudah lama diri ini lahir ke dunia.Ku rindukan wajah itu..wajah emak yang melahirkan diri ini..Sudah lama tidak ketemu wajah ibu.23 tahun yang lepas pada tarikh ini,saya selamat lahir ke dunia pada pukul 3.15 pagi.Emak..tentu pada waktu itu emak menahan sakit yang teramat bukan?tentu pada waktu tu abah bergegas bangun menjemput bidan datang ke rumah.tentu pada masa tu bibir mak terus berzikir,mendoakan diri anakmu ini selamat dilahirkan..hati terus bermonolog sendiri..saya pernah bertanya mak.."mak,mak ingat tak macam mana keadaan mak masa lahirkan yah dulu?" mak menjawab,"mak tak berapa ingat yah,yang mak ingat yah lahir pada bulan Puasa,bulan Ramadhan.."

Tentu pada masa tu mak tak sempat sediakan makanan sahur untuk abah,abg long,kak ti, abg mi, abg wan dan kak jannah..kasihan mak..tabahnya mak menahan kesakitan melahirkan 5 putera dan 4 puteri.." waktu yah kecil dulu,yahlah yang paling kuat menangis.satu Jengka ni boleh dengar kalau yah nangis."mak bercerita lagi sambil tersenyum."ha?" saya hanya mampu membalas senyuman itu.ibu itu..wajahnya terlalu tenang.membesarkan kami 9 beradik yang mempunyai pelbagai ragam dan keadaan..didikan emak,kata-kata emak terpahat di dalam hati..mak..terima kasih mak..terima kasih kerana menanggung sakit mengandung dan melahirkan yah ke dunia ini dengan penuh redha.terima kasih di atas setiap titis susu emak yang mengalir.terima kasih di atas suapan bubur dan nasi yang mak suapkan ke mulut ini dengan penuh kasih-sayang.terima kasih kerana tabah melayan setiap tangisan yah sedari kecil sehingga kini.terima kasih mak..kerana sentiasa mendidik diri ini menjadi seorang muslimah yang takutkan azab Allah.mak selalu merendah diri..mak kata pelajaran mak tak seberapa.tapi bagi kami,dikaulah ibu yang terbaik di seluruh dunia,hinggakan kami tidak mampu melupakan dirimu walau sedetik pun wahai ibu...

purdahku hampir basah dengan air mata..sedar tak sedar sudah hampir kaki ini sampai ke kelas..emak..andai diizinkan Allah,yah ingin menjaga emak sebaik-baiknya suatu hari nanti.yah ingin selalu berada di sisi mak,suapkan makan untuk mak,tidurkan mak dengan penuh kasih-sayang,gembirakan mak dan sentiasa membuatkan mak tersenyum..mak,doakan yah berjaya di dunia dan akhirat ya.doakan kita sama-sama tenang dan bahagia tatkala kita dipanggil menghadap Allah nanti..

Syukur Alhamdulillah..muhadharah pada hari ini berakhir di dalam suasana yang amat menggembirakan.Melihat wajah syeikh yang amat zuhud mengingatkan saya akan kata-kata muallimah saya di TAHAP dulu.." orang beriman,Allah akan pancarkan nur di wajahnya.jasad mereka di dunia tetapi hati mereka menuju akhirat." Subhanallah,diri ini perlu berusaha lagi lantaran masih banyak kekurangan di dalam jiwa kerdil ini..semoga Allah memanjangkan umur saya di dalam ketaatan,amin.

Teristimewa buat suami,ahli keluarga dan semua sahabat yang mendoakan..jazakumullah khairan kathira di atas segala keprihatinan dan kasih-sayang yang dicurahkan.Jazakumullah khairan kathira di atas segalanya,saya amat menghargai setiap kata-kata dan hadiah dari kalian..buat sahabat2 sekelas saya,jazakumullah khairan kathira menyediakan sedikit majlis untuk saya,amat terharu dengan pengorbanan kalian..Semoga Allah memberkati setiap hati-hati yang ikhlas menjaga ukhuwah kerana AgamaNya,amin..

" Ya Allah, kurniakanlah kebaikan bagi kami dalam beragama yang merupakan kunci kehormatan bagi kami.Kurniakan kebaikan bagi kami di dunia yang merupakan tempat kami menjalani hidup.Kurniakan kami kebaikan di akhirat, yang merupakan tempat kami kembali.Jadikanlah kematian sebagai kebebasan bagi kami dari segala keburukan.Ya Allah,jadikanlah umur terbaik kami di penghujungnya,jadikanlah amal terbaik kami di penutupnya, jadikanlah hari-hari terbaik kami di saat bertemu denganMu.Ya Allah,jadikanlah Al-Quran sebagai imam, cahaya, hidayah dan sumber rahmat bagi diri kami.Ya Allah,anugerahkanlah kami rasa takut kepadaMu,yang membatasi antara kami dengan perbuatan maksiat kepadaMu,dan anugerahkanlah ketaatan kepadaMu yang akan menyampaikan kami kepada syurgamu.."

:: MADINAH : BUMI ITU MEKAR DI DALAM DOAKU ::









:: QIYADAH : TERCAPAIKAH KREDIBILITI YANG DIHARAP? ::


Turki pimpinan Kamal Ataturk , menjauhkan Islam dari kepimpinan hidup manusia. Negara dua wajah ini adalah bencana yang paling dahsyat dalam sejarah manusia dan kemanusiaan. Meminggirkan agama ( deen ) ini dari fungsinya sebagai pedoman dan petunjuk jalan kehidupan manusia adalah tikaman yang paling memedihkan dan menusuk jantung umat. Adakah contoh pemimpin yang zalim ini akan berulang kembali?

Masa terus berputar, pemimpin datang dan pergi. Tetapi berapa ramaikah pemimpin yang benar-benar memartabatkan Al-Quran sebagai paksi? Meletakkan hukum Allah sebagai perlembagaan yang wajib dilaksanakan? Berapa ramaikah pemimpin yang benar-benar berakhlak sepertimana sifat-sifat Rasulullah SAW dan para sahabat di dalam membawa hati-hati manusia mengenali Pencipta mereka?

Menjadi seorang pemimpin bukanlah suatu tugas yang mudah. Bukan setakat berseronok-seronok mendapat jawatan yang tinggi di dalam masyarakat , bukan setakat berasa gembira apabila ke mana-mana dia pergi dirinya dikenali, bukan setakat memperoleh bonus yang tinggi setiap tahun, kereta yang berderet-deret, rumah yang bertingkat-tingkat.Bukan setakat itu!

Amanah yang terpundak di tunjak jemala seorang pemimpin akan dipersoalkan di akhirat kelak. Pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang menanamkan rasa takut akan azab Allah di dalam dirinya. Setiap derap langkah yang diatur, setiap strategi yang dirancang, setiap projek yang ingin dilaksanakan semuanya mengharapkan rahmat dan keredhaan daripada Allah. Apabila seorang pemimpin menyedari amanah kepimpinan ini adalah taklifan daripada Allah , maka dia akan sentiasa berhati-hati di dalam setiap tindak-tanduknya, bimbang akan kemurkaan Allah terhadap diri dan rakyatnya.

Pemimpin yang ikhlas adalah mereka yang sedia menerima teguran dari anak buah dan rakyat jelatanya lantaran dia menyedari bahawa dia adalah insan biasa yang tidak sunyi dari melakukan salah dan silap. Insan lain adalah cerminan yang terbaik buat pemimpin. Tidak ada salahnya bagi pemimpin menerima teguran dari insan lain kerana darjat manusia itu adalah sama, yang berbeza hanyalah takwa di sisi Allah Yang Maha Mencipta. Maka tidak perlulah insan yang menyalurkan teguran itu dibenci, di 'gam' dan di 'bisu'kan oleh kuasa kerdil kita yang hanya sementara di dunia ini.

Semoga Allah meredhai Al-Faaruuq ( Umar Bin Al-Khattab) ketika beliau menegaskan bahawa kewajipan para pengikut memberi nasihat dan kewajipan pemimpin menerimanya. Beliau berkata sedemikian ketika mana seorang lelaki berkata kepadanya dengan begitu keras : " Wahai Umar ! Takutlah kepada Allah." Lalu mereka yang ingin menghampirkan diri kepada sultan dan ingin mendapatkan kasih-sayangnya mengambil peluang dan berkata, " Lembutkanlah (kata-katamu) terhadap Amirul Mukminin." Lalu Umar r.a berkata , " Tidak ada kebaikan pada kamu sekiranya kamu tidak memperkatakannya(yakni kata2 nasihat)dan
tidak ada kebaikan kepada kami(yakni pemerintah ) sekiranya kami tidak menerimanya."

Semoga Allah meredhai Abu Bakar ketika beliau bangun menyampaikan khutbahnya sejurus selepas perlantikannya sebagai khalifah untuk menggariskan manhaj lurus yang menjadi asas kepada urusan pemimpin dan pengikutnya. Beliau berkata , " Aku dilantik sebagai pemerintah sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku dan sekiranya aku melakukan kesilapan maka perbetulkanlah aku. Taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dalam melaksanakan urusan kamu dan sekiranya aku melakukan maksiat kepada Allah maka tidak ada ketaatan lagi kepadaku."
Semoga Allah memberi taufik kepada para pemerintah umat muslimin untuk mengikut jejak langkah para pemimpin yang unggul ini.

Sesungguhnya kepimpinan yang benar-benar telus dan bersih serta dapat menyelamatkan umat seluruhnya dari kemurkaan Allah adalah kepimpinan yang berteraskan kepada suluhan wahyu yang suci. Seruan di dalam Al-Quran dan Hadis diikuti,hukum Allah tegas dimartabatkan, program-program hiburan ditapis dengan sebaik-baiknya, anak-anak muda dididik agar mengenali Allah dan mencintai Rasulullah SAW, program-program agama diperhebatkan, seruan untuk mengerjakan solat dan menyeru para wanita menutup aurat berkumandang dengan lantang di dalam setiap ucapannya. Subhanallah, kredibiliti pemimpin seperti inilah yang amat diharap-harapkan dan ditunggu-tunggu oleh seluruh umat manusia. Inilah pemimpin yang dicintai oleh Allah,dibanggakan oleh Rasulullah SAW.

Apabila pemimpin mementingkan keduniaan dan pangkat serta harta melekat di dalam hati, maka tidak ada lagi ciri-ciri ikhlas. Kemelut yang berlaku sekarang adalah berpunca dari krisis kepimpinan. Pemimpin yang tidak mentauhidkan Allah mempunyai nilai kepimpinan yang rendah dan jauh merosot berbanding dengan nilai kepimpinan yang berdasarkan Akidah. Sekiranya mereka terpilih, kerosakan akan berlaku hingga ke peringkat akar umbi. Bayangkanlah, apabila pemimpin yang diangkat oleh rakyat sewenang-wenangnya mengamalkan riba', menggunakan wang rakyat untuk menambahkan harta dan kekayaan, maka di manakah akan hadirnya keberkatan?Adakah harta yang bergunung-ganang seperti harta si Qarun derhaka itu akan dapat dibawa pulang ke kubur dan melindungi diri pemimpin dari diazab di akhirat kelak??


:: SEHARUSNYA KITA BERUBAH ::

Sinar Islam itu lahir di tengah-tengah kegelapan umat dunia. Umat di sebelah timur diterangi cahaya ilmu dari Al-Quran sedangkan umat di sebelah barat masih dalam keadaan 'dungu' dan 'jumud'. Kehebatan Islam telah meributkan para pengkaji dan memeningkan otak pahlawan-pahlawan gagah termasuk Napoleon Bonaparte.Islam lahir dengan penuh keindahan dan keagungan sehingga dapat dilihat buktinya apabila terpadamnya api di Negara Majusi.

Justeru, bangkitlah wahai pemimpin Islam! Kita ditaklif amanah membawa seruan suci ini untuk membina kembali Khilafah Islam yang pernah runtuh suatu ketika dahulu. Kita adalah penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah SAW, jangan biarkan rantai ini terputus di zaman kita lantaran tiada hati-hati yang sanggup memikul amanah dan beban dakwah. Kepada semua pemimpin dan yang dipimpin, bertindaklah berdasarkan kebenaran. Seiring dengan kebenaran adalah kejujuran. Jika kebenaran dan kejujuran menjadi pegangan hidup kita,maka kehidupan ini akan sentiasa dilimpahkan rahmat dan keampunan dari Yang Maha Esa. Wallahua'lam.

:: SEGUNUNG KASIH SELAUTAN RINDU ::

Bismillahirrahmanirrahim..

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..

Post kali ini masih bercerita tentang program =) kenapa saya suka program? kerana program itu mendidik diri saya menjadi insan yang rencam fikirannya, membuatkan saya sering berfikir amanah-amanah saya terhadap masyarakat yang masih belum tertunai. kerana bila kita berseorangan , kadangkala kita jarang memikirkan masalah umat . Disebabkan itulah dianjurkan kita agar sntiasa bermasyarakat , berprogram agar kita tidak tergolong sebagai mahasiswa yang mandom, jumud dan beku.

' NAFSU KAMU SEKIRANYA TIDAK DISIBUKKAN DENGAN ALLAH , MAKA IA AKAN MENYIBUKKAN KAMU DENGAN PERKARA-PERKARA YANG BATIL "

Pada 2o Mei yang lepas , saf pimpinan Takhasus Qiraat Tahun 2 telah mengadakan program " Segunung Kasih Selautan Rindu ". Mendengar namanya sahaja kita sudah dapat meneka apakah isi di dalamnya=) sungguh,program pada hari ini amat menyeronokkan! ^_^

Kami memulakan program dengan Solat Hajat dan seterusnya taklimat dari urusetia program..Tahniah kepada Kak Ina kerana berjaya mengendalikan program ini dengan baik bermula dari awal hingga ke akhir . Celotehnya yang santai dan kata2nya yang sarat dengan nasihat membuatkan kami tak jemu mendengar hingga ke akhir program=) lepas ni boleh jadi moderator forum DPMM pulak ye! ^_^

Saya amat tertarik dengan sukaneka yang diadakan. Simple tapi dapat mengeratkan lagi ukhwah sesama kami. Tambahan pula watak setiap sahabat yang hadir amat mencuit hati , menjadikan program ini meriah dan ceria,alhamdulillah..( adik H,akak takkan lupa gaya awak
makan epal
! ^_^ )selain itu , kami dihidangkan dengan tayangan slide show, cabutan bertuah dan slot bertukar2 hadiah..(jazakumullah khairan kathira kepada kak hajar sidek,hadiah akak amat cantek! nanti saya bawa gi madinah yek ^_^ )

Apabila berada di akhir program,sebak di hati ini tidak dapat ditahan-tahan apabila mengenangkan sedikit masa lagi kami akan berpisah sementara kerana ramai yang akan pulang bercuti ke Malaysia..nikmatnya ukhwah, hati yang bertaut kerana Aqidah ini terlalu manis rasanya..merekalah sahabat dan teman di saat diri ini memerlukan pertolongan. sayang kalian kerana Allah! ^_^ Buat kak Siti Hajar Zulkifli dan semua pimpinan kami..Jazakumullah Khairan Kathira kerana menjadi pemimpin kami yang terbaik.Hanya Allah yang layak membalas jasa kalian..

p/s : lain kali saya masukkan gambar ye,dengan izin
Pengarah ^_^..Jangan lupa semua,kelas Syeikh Husin Al-Asyari bermula pada 25/5..madah Ulum Quran dan Tarikh Mushaf =)

:: KHABAR DARI MESIR : YAUMUL THAQAFI 2009 ::

Bismillahirrahmanirrahim..

Salam ukhwah dan salam juang buat semua..Semoga hembusan nafas yang dipinjamkan kepada kita pada hari ini dan hari2 seterusnya dimanfaatkan sepenuhnya sebagai tanda syukur kita kepada Allah..

Pada 18 Mei yang lepas , saya dan sahabat2 Qiraat diamanahkan oleh saf kepimpinan DPMM untuk mengadakan Program " Yaumul Thaqafi " di Dewan Persada Jazirah Al-Ward,Mansurah. Sudah lama rasanya tidak mengendalikan program seperti ini lebih-lebih lagi untuk menjadi 'kepala' program , berdebar juga rasanya =)Objektif program ini adalah untuk membentuk Jilul Quran yang mampu menguasai ilmu-ilmu yang terkandung di dalam Al-Quran, Menguatkan ribat ukhuwah sesama ahli DPMM dan Merealisasikan teori yang dipelajari seiring dengan praktikal bertepatan dengan sasaran Dewan Perwakilan Mahasiswa/i Mansurah 2004-2009..Syukur Alhamdulillah,berkat kerjasama yang padu antara semua urusetia dan semua peserta , alhamdulillah program ini berjalan lancar hingga ke akhirnya..

Antara slot menarik di dalam program ini adalah Diskusi Kitab " Waajibat Assyabab Al-Muslim" karangan Doktor Majdi & kitab " Bidayatul Hidayah " karangan Imam Al-Ghazali. Diskusi kitab ini disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Salman Bin Maskuri. sebagai urusetia, kami berusaha sedaya upaya untuk mendengar pengisian bernilai yang disampaikan walaupun pada masa yang sama agak sibuk ke hulu ke hilir bagi memastikan gerak kerja unit-unit lain berjalan lancar =) Jazakumullah Khairan Kathira buat kakak2 kuliah dan adik2 perubatan yang sudi melapangkan masa menghadiri program ini walaupun sekarang adalah fatrah imtihan kalian. Kesungguhan kalian menggali ilmu amat mengkagumkan!

Kitab ' Waajibat Assyabab Al-Muslim' membicarakan tentang kewajipan-kewajipan kita terhadap Allah SWT, Kewajipan terhadap diri dan jiwa, kewajipan terhadap Akal, kewajipan terhadap Pelajaran/Ilmu, Kewajipan bersama ahli keluarga , kewajipan bersama masyarakat dan lain2.Antara ilmu dan pengajaran yang dapat saya kutip di dalam kitab ' Waajibat Assyabab Al-Muslim :

Dan telah berkata Syeikhul Islam Ibnu Taimiyah : "Sesungguhnya di dunia ada sebuah syurga, sesiapa yang tidak memasuki syurga dunia ,maka dia tidak akan dapat merasai kemanisan syurga di akhirat." Apakah syurga dunia itu?? Syurga itu adalah KEMANISAN IMAN..kemanisan bersembang,mengadu,berbisik dengan Allah,Tuhan sekalian alam..kita banyak menghabiskan masa sehari2 berbual dan berbicara sesama insan, sedangkan amat sedikit masa yang kita peruntukkan untuk bersama Pencipta kita. Kadang2,nak bersolat tahajud 2 rakaat pun kita rasa amat berat . Hamba Allah yang merasai kemanisan iman akan merasai betapa seronoknya mengerjakan solat dan tidak resah gelisah sekiranya Surah yang dibacakan oleh imam solat itu agak panjang.=)

Bagaimana untuk sampai ke tahap cinta Allah ?

- Kita mestilah sentiasa sibuk dengan Allah - setiap masa: berjalan,tidur ,belajar , makan dan apa sahaja yang kita buat kita mesti ingat Allah. Kemudian, kita perlu merasai lazatnya melaksanakan ibadah kerana Allah,kita rasa rindu untuk bermunajat , tak sabar untuk mengerjakan solat , bila dengar azan terus kita nak solat..mashaAllah,hebatnya jatidiri seorang muslim andai sentiasa mendisiplinkan dirinya sebegini. Ustaz Salman memberi analogi begini: kalau orang yang sedang bercinta , waktu kekasih telefon , mesti rasa seronok bukan? begitu juga hubungan kita dengan Allah. Allah yang mencipta kita dari tiada kepada ada, mndengar semua doa2 kita, membantu kita bila kita dirundung duka,maka selayaknyalah kepada Allah kita banyak memohon dan bermunajat. Untuk sampai ke tahap cinta Allah ini juga kita perlu melatih diri untuk bangun malam (Qiyamullail) walaupun sekadar mengerjakan solat sunat 2 rakaat.Banyakkan membaca Al-Quran dan menangis lantaran menginsafi segala dosa2 kita.

Banyak lagi ilmu yang dibincangkan di dalam kitab ini.InsyaAllah , di lain pertemuan saya akan berkongsi dengan lebih mendalam tentang kitab ini .

Berbalik kepada program tadi,pada sebelah petangnya kami mengadakan solat hajat khusus untuk kakak2 tahun 3 yang akan menghadapi imtihan pada 3 Jun ini serta solat hajat untuk seluruh warga azhari dan azhariah yang sedang menghadapi imtihan kala ini. semoga ilmu yang didapati akan dapat dimanfaatkan sepertimana sasaran yang ingin kita capai bersama : ' Melahirkan Generasi Ulama' .

Seterusnya,majlis diserikan lagi dengan slot 'Bond of Love' iaitu sesi bertaaruf dengan semua kakak2 , sahabat2 dan adik2 Qiraat. Lebih kurang macam program Jejak Kasih ,pertemuan antara 3 generasi..adik2 yang berada di tahun 1 sekarang adalah generasi ke-7 sejak lahirnya Takhasus Qiraat di bumi Mansurah ini.Slot seterusnya adalah forum bersama kakak2 tahun 3. seramai 3 orang ahli panel dijemput untuk membincangkan peranan , amanah dan tanggungjawab kami sebagai pelajar2 Qiraat.Forum ini juga adalah peluang kepada kami untuk mendengar pengalaman-pengalaman yang telah dirasai oleh kakak2 sepanjang 3 tahun mereka bermusafir ke bumi bertuah ini. antara 'ibrah yang tersemat kukuh di hati adalah pesanan mereka agar kami study sungguh2 dari awal, Al-Quran jaga sungguh2 dari sekarang , biarlah rasa gementar yang kita rasa dalam exam baru2 ni kekal hingga hari2 mendatang supaya kita sentiasa bersedia dan menjadi kewajipan kepada kami untuk sama2 menabur bakti membantu masyarakat di sini dan di mana sahaja.Ikhlaskan niat menuntut ilmu kerana Allah.Majlis diteruskan lagi dengan slot 'Kalam Tasyji' oleh Ukht Baizurah, slide show dan slot permainan ' Regu Qurra'. dalam slot ini , peserta dibahagikan kepada 3 kumpulan. Pada 5 minit pertama,mereka diberi kertas yang mengandungi biodata 3 imam@ Rawi Qiraat. mereka dikehendaki mengingati isi2 tersebut dalam masa 5 minit.Kemudian,urusetia akan mengambil semula kertas tersebut dan setiap kumpulan dikehendaki menghantar seorang wakil untuk melakonkan watak imam tersebut manakala ahli kumpulan yang lain akan membuat tekaan yang tepat siapakah imam yang dilakonkan itu..syabas diucapkan kepada semua peserta, mereka dapat melakonkan watak dengan baik dan tekaan yang tepat walaupun dalam keadaan tersipu2 malu ^_^

Program kami pada hari ini diakhiri dengan Slide Show ukhuwah , Salam Wida' dan jamuan.

Alhamdulillah , seronok dapat bertemu muka dengan semua sahabat2,kakak2 dan adik2 .. Semoga ukhuwah yang terbina hari ini terus terpatri kukuh di hati kita semua buat selama2nya..maaf tak dapat sertakan sekali dengan gambar , lain kali saya akan masukkan gambar ye wahai teman2 ! ^_~


Buat akhirnya, saya ingin berkongsi kata2 yang saya dapat pada hari ini,kiriman sahabat tersayang :

Persahabatan itu seperti tangan dan mata... Saat tangan terluka, mata ikut menangis. Saat mata menangis tangan menghapuskannya ...
^_^





:: WANITA ::

Sesungguhnya Islam telah meletakkan golongan wanita di suatu kedudukan yang sesuai di dalam 3 bidang utama :

1 - KEMANUSIAAN ~ Islam mengiktiraf keinsanan wanita seperti golongan lelaki . Perkara inilah yang menjadi topik persoalan dan penafian kebanyakan tamadun manusia yang lampau.

2- KEMASYARAKATAN ~ Islam memberi peluang kepada golongan wanita di dalam bidang Pendidikan dan ilmu pengetahuan dan meletakkan mereka pada kedudukan yang baik di dalam masyarakat pada semua marhalah kehidupan mereka, sejak dari kecil , dewasa , isteri, ibu dan sehinggalah tuanya yang semakin memerlukan kasih-sayang dan perhatian yang sewajarnya.

3- PERUNDANGAN - Islam telah memberikan hak2 pengurusan harta yang sempurna kepada golongan wanita apabila telah cukup umurnya tanpa campurtangan daripada walinya sama ada ayah , suami dan lain2.

Justeru, jelaslah kepada kita bahawa Islam hadir melihara hak-hak seorang wanita,sekaligus menolak mentaliti yang telah dibawa oleh golongan Sister In Islam bahawa wujud diskriminasi kepada wanita di dalam Islam.

:: MALAM-MALAM SEORANG PEJUANG ::

Malam telah sempurna,ketenangan telah menyelimuti alam..Perlahan-lahan pejuang bangkit dari istirehat singkatnya.Percik air dingin menyegarkan setiap sel jasadnya.Dia tersenyum merasai nikmat tersebut."Ya Allah,sihatkanlah jasad yang lemah ini untuk selalu mampu menyempurnakan janji kita yang belum selesai"


"Allahuakbar…..”
Lantunan itu menghanyutkan,lalu terbentanglah segala hamparan kepasrahan mengisi kekosongan hati,kembali membawa diri untuk menginsafi kekurangan yang ada ..Bangkitlah ketidak berdayaan,tumbanglah kesombongan dan keangkuhan serta keegoan manusia kerdil..Lalu terpantul harapan memenuhi ruang batin yang tertekan,mengalir bersama lisan yang bergetar ,diantara bening mata yang kabur..
"Astaghfirullah…"
Sang pejuang terhanyut dalam lautan yang tidak bertepi..Sang pejuang mengeluh ya Allah yang maha perkasa,genapkan lah segala keterbatasan dan kelemahanku dan ampunilah diatas kelemahanku"

Sang pejuang meratap,membayangkan dirinya dalam kehidupan,melihat dirinya yang berjalan membawa hati yang berubah-rubah."Ya ALLAH apakah lagi yang membuatku mampu bertahan dalam kemuliaan dakwah ini,kecuali hati yang bersih dan ikhlas menerima segala ketetapanMU"..

Jiwa pejuang melayang tinggi,menatap jasadnya diatas garis-garis kehidupan,membawa panji Islam yang berkibar.Ia bergerak menyerukan kepada kemuliaan Allah,membawanya ke tengah-tengah kesombongan hamba terhadap penciptanya..

Jiwa itu terhempas…tersedar dari ketidakberdayaan yang menghantui..
menyatu dalam jasad yang lemah…
meratap...banjir dalam air mata kekerdilan,pengharapan,dan banjir permohonan…

Meminta dan terus meminta..

agar di permudahkan laluan hidupnya untuk membawa yang lain melalui jalan hidup yang sempurna..
meminta agar diteguhkan diri menjadi murabitun ummah yang disayangi ALLAH, dibanggai Rasulullah..
meminta agar dikurniakan kemanisan iman dr Nya,sebagai bekal jalan panjang ini..
Meminta agar di kurniakan ihsan dan itqan dalam menyeru kepada yang ma’ruf dan mencegah kepada yang mungkar..
Meminta agar diampuni dosanya dan diterima segala taubat hamba yang berdosa..
Dan tidak lupa meminta untuk kebaikan buat ummah keseluruhannya...


Hembusan nafas panjang melepaskan kesatnya jiwa,harap hadir mengisi ruang batin yang pasrah.Sang pejuang bangkit dengan dada yang lapang,hati yang ringan menyonsong hari baru yang bakal menjelang..

Kedudukan ahli ibadah dipikul..kini sang pejuang menemui kehidupan baru.Kedudukan pejuang disandang kembali..Menjadi pedang-pedang yang siap dihunuskan..menjadi tombak-tombaK yang siap dilontarkan..menjadi panah-panah yang siap dilepaskan dari busur..
Sampai tetap janji ALLAH,kemuliaan atau syahid baginya..

GAH DAN IZZAHNYA PEJUANG TERLETAK PADA QIAMULLAILNYA..

MUSLIMAH : MENDEPANI CABARAN DAN ISU

MUSLIMAH :
MENDEPANI CABARAN DAN ISU
( Membina Institusi Naqibah )

إن الحمد لله نحمده ونستعينه ونستغفره ونعوذ بالله من شرور أنفسنا وسيئات أعمالنا من يهده الله فلا مضل له ومن يضلله فلن تجد له وليا مرشدا . والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين ، أما بعد ...

Mukaddimah:

Cabaran dan ujian adalah sunnatullah yang akan diberikan kepada setiap mukmin bahkan terhadap perjuangan Islam, berdasarkan firman Allah swt: al Ankabut : 1 - 3 :

Maksudnya: Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

Terdapat sesetengah cabaran dan isu yang menyebabkan perjuangan Islam lemah dan lumpuh, tetapi ada juga cabaran yang menghasilkan kekuatan baru kepada Jamaah Islam. Jamaah yang tidak kukuh dari aspek penyusunan dan barisan pimpinan, biasanya tidak mampu bertahan lama apabila dipukul dengan cabaran dan ujian (luar dan dalam). Manakala jamaah yang berada dalam keadaan baik dan tersusun di semua peringkat, cabaran dan isu boleh melahirkan kekuatan baru. Ujian itu akan meningkatkan daya juang dan keyakinan.

Pada keseluruhannya jamaah yang kuat dan tersusun adalah suatu yang dicita-citakan kerana ia akan memiliki benteng pertahanan yang kukuh dan strategi yang berkesan. Untuk tujuan tersebut, catatan ringkas ini dicadangkan sebagai garis panduan dan bahan pemikiran ke arah melahirkan barisan tenaga kerja jamaah yang mantap yang dapat meneguhkan jamaah khususnya muslimat dalam mendepani cabaran dan isu yang mendatang. Ia merangkumi beberapa noktah yang dirasakan perlu mendapat perhatian muslimah.

PENGERTIAN NAQIBAT

Naqibat berasal daripada perkataan: نقب على القوم- نقابة ertinya : seseorang yang mengurus dan mengendalikan urusan masyarakat. Firman Allah Taala : Al-Maidah : 12

Maksudnya: Dan Demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil (supaya mereka menjunjung perintahNya dan menjauhi laranganNya), dan Kami telah utuskan dari kalangan mereka dua belas ketua (untuk memimpin golongan masing-masing); dan Allah berfirman (kepada mereka): "Bahawa Aku adalah beserta kamu (memerhati segala-galanya). Demi Sesungguhnya jika kamu dirikan sembahyang, serta kamu tunaikan zakat, dan kamu beriman Dengan Segala Rasul (utusanku) serta menolong bantu mereka (dalam menegakkan ugama Allah), dan kamu pinjamkan Allah (dengan sedekah dan berbuat baik pada jalanNya) secara pinjaman Yang baik (bukan kerana riak dan mencari keuntungan dunia), sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu.

Dalam sejarah dakwah Islamiah pula, Rasulullah saw pula telah mengambil bai'ah pada waktu malam di Aqabah/Mina daripada 12 orang yang terdiri daripada 3 orang mewakili golongan Aus dan 9 orang mewakili golongan Khazraj.

Naqib di dalam Harakah Islamiah bermaksud : seorang ahli jamaah yang mempunyai kelayakan thaqafah, khasais dan iltizamat yang mantap dan diamanahkan untuk memimpin dan mentarbiyah ahli-ahli jamaah mengikut wasilah-wasilah tertentu (umum dan khusus).

NAQIBAT DALAM KACAMATA JAMAAH ISLAM

Di dalam bahagian ini saya akan menggambarkan kedudukan naqibat sebagai sebuah institusi/markaz yang amat penting dalam jamaah Islam. Naqibat merupakan tenaga penggerak yang amat penting dalam jamaah, sebab itu muslimat tidak akan mampu mendepani cabaran dan isu dengan baik sekiranya berlaku kepincangan dalam institusi naqibat.

Akibatnya muslimah akan menghadapai persoalan : Bagaimanakah ahli dapat dipimpin arah perjuangan mereka? Bagaimanakah ahli dapat ditarbiyah rohani, jasmani dan thaqafah mereka? Seterusnya muslimah akan menghadapi kesukaran-kesukaran untuk menyerahkan mandat penting dalam mengendalikan tugas-tugas jamaah.

Semua persoalan dan kesukaran itu tidak akan terungkai dan terjawab selagimana tidak wujud dalam saf jamaah suatu barisan tenaga naqibat yang mempunyai kelayakan dan persediaan yang cukup mantap.

Naqib di dalam kacamata jamaah Islam merupakan sepohon pokok yang baik dan berguna kepada manusia dan alam seluruhnya. Firman Allah Taala : Ibrahim : 24

Maksudnya: Tidakkah engkau melihat (Wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

Ini bererti institusi Naqibat adalah merupakan pokok-pokok yang tersebut yang menghiasi taman gerakan Islam. Untuk menghasilkan kekuatan dan keutuhan jamaah maka setiap pokok itu hendakhlah dirangkai dengan pokok-pokok yang lain dengan ikatan-ikatan berikut :

- Ikatan iman dan amal
- Ikatan ukhuwwah dan mahabbah.
- Ikatan saling hormat-menghormati
- Ikatan kerjasama dan jihad
- Ikatan syura
- Ikatan taaruf, tafahum dan takaful
- Ikatan perasaan.

Rangkaian para Naqibat ini akan melahirkan suatu kesatuan. Kesatuan itu pula akan menghasilkan kekuatan dan keutuhan. Allah swt menggesa supaya meneguhkan kesatuan ini melalui firmannya : As-Saf : 4
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela ugamaNya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.

Ayat di atas sebenarnya mengarahkan supaya diwujudkan suatu rangkaian para naqibat yang sehati sejiwa, satu kefahaman, satu matlamat dan hasrat perjuangan.

Inilah suatu perkara yang amat sukar dicapai oleh umat Islam. Namun begitu usaha-usaha melahirkan barisan tenaga nuqaba’ yang baik dan mantap adalah merupakan tugas asasi kepada jamaah kita, kerana bertolak dari rangkaian tenaga inilah jamaah dapat mengatur pelbagai usaha ke arah melahirkan ahli-ahli yang bermutu.

Setelah memahami kedudukan institusi naqibat, maka dapatlah kita nyatakan bahawa para naqibat adalah bertanggungjawab sebagai :

1) Madrasah-madrasah kecil kepada jamaah bagi menyalurkan ilmu dan tarbiah kepada ahli-ahli mengikut manhaj / muqarar yang ditentukan oleh jamaah.

2) Mursyid, tempat rujuk dan bernaung kepada ahli-ahli jamaah dalam melicinkan perjalanan hidup mereka.

3) Cermin dan tempat mengukur kekuatan dan kemantapan jamaah dan ahli-ahli. Sekiranya Nuqaba’/ Naqibat lemah, maka kita dapat bayangkan realiti jamaah dan ahli-ahli .

4) Benteng pertama kepada jamaah dalam mempertahankan kekuatan dari serangan dan tekanan-tekanan musuh dari luar.

5) Tentera-tentera jamaah yang bertanggungjawab mengawal keselamatan sempadan jamaah dari dicerobohi oleh syaitan dan musuh-musuh.

6) Pengawal-pengawal yang bekerja mengawal keselamatan dalaman jamaah dari sebarang anasir yang boleh menghuru-harakan kestabilan organisasi dan ahli-ahli atau pergerakan dalaman jamaah.

Bertolak dari tanggungjawab di atas, maka para naqibat hendaklah mempunyai persiapan berikut :

1) Membersihkan hati dan perasaan dari perkara-perkara yang tidak baik seperti sifat-sifat keji: nifaq, hasad, mementingkan diri sendiri, malas dan sebagainya. Sebaliknya tanamkan di dalam jiwa sifat-sifat yang mulia seperti ikhlas, sedar dan bersungguh-sungguh, kasih sayang, hormat-menghormati sesama sendiri dan sebagainya.

2) Menanamkan keyakinan yang tinggi terhadap kebesaran dan keagungan Allah swt.

3) Menghayati sepenuhnya keagungan Rasulullah saw sebagai perutusan Allah swt kepada ummat akhir zaman.

4) Meyakini kesempurnaan Islam dan masa depannya (kemenangan).

5) Meyakini bahawa wadah perjuangan yang didokong adalah wadah yang diredhai Allah dan menepati kehendak-kehendak syara'.

6) Menghiasi diri dengan syakhsiah yang mulia.

7) Meyakini bahawa Amal Jama’ie dan amalan syura adalah kaedah perjuangan yang dijamin oleh Allah swt.

8) Meyakini bahawa pengorbanan dan kesabaran adalah tangga-tangga kejayaan.

CIRI-CIRI ASAS PARA NAQIBAT

Apa yang dimaksudkan dengan ciri-ciri asas para naqibat ialah : Ciri-ciri yang mesti dimiliki oleh para naqibat bagi menjamin suatu pengendalian usrah yang sempurna dan berkesan, seterusnnya menjayakan peranan mereka sebagai naqibat di luar usrah.

PERTAMA : CIRI-CIRI MURABBI

Naqib ialah seorang Murabbi yang mempunyai syakhsiah yang unggul, semangat dan kesungguhan yang tinggi untuk mentarbiah, melatih, mendidik, membina akhlak, sikap dan perjalanan hidup ahli-ahli sehingga mampu memikul amanah perjuangan di semua peringkat. Para Murabbi adalah orang-orang yang tidak mengenal putus asa, malah menghadapi tugas-tugas pentarbiahan dengan meletakkan sepenuhnya pergantungan kepada pertolongan dan hidayah Allah swt.

KEDUA: CIRI-CIRI GURU ATAU MU'ALLIM

Naqib adalah seorang mu’allim yang mempunyai persiapan ilmu dan thaqafah yang luas, memiliki semangat yang tinggi untuk mencurahkan seluruh ilmu pengetahuan kepada ahli-ahli usrah dan membimbing mereka di dalam bidang keilmuan.

Ditegaskan di sini bahawa para Naqibat hendaklah mendalamkan pembacan dan pengetahuan tentang Usuluddin, Syariah dan Akhlak, serta ilmu-ilmu lain berkaitan dengan dakwah, psikologi dan sosiologi.

Qodiman berkata:

العلم لا يعطيك بعضه إلا إذا أعطيته كلك

Maksudnya: Tiadalah memberikan ilmu itu sebahagiannya melainkan apabila kamu memberikan seluruh diri kamu kepadanya.

KETIGA: CIRI-CIRI SEORANG IBU

Naqibat adalah seorang ibu (yang bertanggungjawab) menumpukan sepenuh perhatian, kasih sayang, belaian mesra kepada anak-anaknya dengan menaruh harapan yang tinggi agar anak-anaknya menjadi manusia yang berguna dan berjasa kepada agama setelah dewasa nanti.

Sifat-sifat seperti ini mesti dimiliki oleh para naqibat. Segala tindak-tanduknya adalah bertitik-tolak dari rasa kasih sayang dan kasih mesra dengan niat mendidik ahli-ahli usrah supaya berjasa kepada Islam.

KEEMPAT: CIRI-CIRI UKHT MUSLIMAH

Naqibat adalah seorang ukht Muslimah yang sejati yang hidup bersama dengan ahli-ahli usrah di atas landasan persaudaraan Islam, bersedia memberi teguran dengan baik dan menerima nasihat dan pandangan dengan rasa senang hati.

Apabila kita meneliti keempat-empat ciri asas di atas, kita dapati bahawa hubungan antara naqibat dengan ahli usrah seluruhnya ditegakkan di atas rukun-rukun usrah berikut : al-Ta’aruf, al-Tafahum dan al-Takaful. Para naqibat dan ahli usrahnya yang tidak menghayati ketiga-tiga rukun ini secara mendalam tidak dapat menjayakan keempat-empat ciri asas di atas dan begitulah sebaliknya.

PENGUKUHAN NAQIBAT DALAM MENDEPANI CABARAN DAN ISU

Selepas mengetahui keperluan naqibat untuk menguasai ilmu asas dalam aqidah, ibadat, muamalah Islamiah dan peri pentingnya menjelmakan syakhsiah Islamiah dalam kehidupan mereka, mereka juga dituntut untuk mempunyai kemampuan mengaitkan perkembangan dan isu semasa dengan persoalan ibtila', istidraj, ujian-ujian Allah, tanda-tanda kemurkaan Allah, azab Allah di dunia, azab Allah di akhirat, menghuraikan bagaimana umat terdahulu menerima balasan di dunia lagi terhadap perbuatan yang mereka lakukan. Ayat al Quran berikut dikaitkan dengan apa yang sedang berlaku sekarang sebagaimana firmanNya dalam surah Ar Rum: 4 :

Maksudnya: Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Oleh hal demikian, untuk mendepani seribu satu cabaran dan isu yang semakin kompleks perlu wujud mekanisma pengukuhan dan takwin di kalangan para naqibat sebagaimana berikut:

1) Mengetahui tujuan sebenar penciptaan manusia.

Allah swt berfirman: al Hijr: 98

Maksudnya: Dan Sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu (perkara Yang tetap) yakin.

Renungilah jawapan seorang sahabat ra Rub'ie bin 'Amir terhadap soalan Rustum panglima tentera Rom, yang menggambarkan kefahaman beliau tentang tujuan penciptaan manusia, katanya:

لقد ابتعثنا الله لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة رب العباد ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة

Maksudnya: Kami adalah tentera yang dihantar oleh Allah swt untuk mengeluarkan sesiapa yang berkehendak daripada penyembahan sesama manusia kepada penyembahan pencipta manusia, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam, dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat.

2) Mengambil Qudwah Rasulullah saw dan para sahabat.

Berbanding agama lain, hanya Islam yang menekankan konsep qudwah dan uswatun hasanah. Ini disebabkan oleh kedudukan diri baginda saw sendiri yang telah menunjukkan qudwah dan contoh kepada umat Islam dalam pelbagai aspek. Firman Allah swt: al Fath: 29

Maksudnya: Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat ruku' dan sujud, Dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan Ibadat mereka Yang ikhlas).

Demikianlah sifat mereka Yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman Yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya.

(Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad saw dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan berkembang biaknya umat Islam itu. (dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

Kita dapat mengambil qudwah daripada seluruh kehidupan Rasulullah saw; baginda sebagai anak saudara (kekeluargaan), baginda sebagai suami, menantu, ayah, datuk (kekeluargaan), baginda sebagai ketua tentera (keselamatan), baginda sebagai ketua negara (politik dan pentadbiran), dan sebagainya.

Allah swt telah mengakui keluhuran pekerti Rasulullah saw melalui firmanNya dalam surah al Qalam: 4 :

Maksudnya: Dan Bahawa Sesungguhnya Engkau mempunyai akhlak Yang amat mulia.

3) Mestilah optimis dengan kemenangan dan menjauhi pesimis.

Islam melarang umatnya daripada mempunyai perasaan putus asa, kecewa, dan pesimis dalam sesuatu isu dan keadaan. Firman Allah swt :

Maksudnya: Dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum Yang kafir".

Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa golongan yang berputus asa adalah tergolong di kalangan orang-orang kafir. Lembaran sejarah ketamadunan Islam membuktikan kepada kita tiadanya perkataan putus asa dan pesimis dalam kamus kehidupan seorang muslim. Ia mengingatkan kita bagaimana kecekalan dan keyakinan khalifah pertama Abu Bakar as Siddiq dalam memerangi gerakan ar riddah dalam masa yang sama pada mulanya beliau tidak mendapat sokongan padu daripada para sahabat yang lain. Tetapi beliau tetap yakin dan percaya serta tidak putus asa dalam usahanya itu.

Begitu juga dengan kekuatan keyakinan dan perasaan optimis Salahuddin al Ayyubi ketika berhadapan dengan tentera Salibiyah, bahkan juga keazaman Saifuddin Qutuz yang berjaya mematahkan kemaraan tentera Tatar daripada memasuki Mesir.
Kita perlu melakukan sebagaiman yang dilakukan oleh panglima Khalid bin al Walid dalam peperangan Yarmouk yang telah melantik Miqdad bin 'Amru untuk membacakan surah al Anfal kepada tentera Islam, manakala Abu Sufian sebagai penceramah dan tukang cerita bagi membangkitkan semangat dan motivasi tentera Islam dengan kisah-kisah kegemilangan tentera Islam terdahulu dalam peperangan Badar al Kubro, Khaibar, Mu'tah dan lain-lain.

Renungi dan hayatilah firman Allah swt: an Nisaa': 104:

Maksudnya: Dan janganlah kamu lemah (hilang semangat) dalam memburu musuh (yang menceroboh) itu; kerana kalau kamu menderita sakit (luka atau mati) maka sesungguhnya mereka pun menderita sakitnya seperti penderitaan kamu; sedang kamu mengharapkan dari Allah apa yang mereka tidak harapkan (iaitu balasan yang baik pada hari akhirat kelak). Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

4) Mengetahui bahaya yang sedang melanda dunia Islam.

Naqibat mesti mengetahui perkembangan dan isu semasa dunia Islam antarabangsa kerana apa yang berlaku di Malaysia adalah juga hasil perancangan musuh di peringkat antarabangsa yang digerakkan secara kolektif dan terancang. Perbezaan yang wujud hanyalah character dan nama, manakala skripnya adalah sama dan seragam di seluruh dunia. Firman Allah swt: Ali Imran: 118:

Maksudnya: Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi "orang dalam" (yang dipercayai). mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. mereka sukakan apa Yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya.

Hal ini lebih jelas dalam ucapan Raja Louis ke 9 di hadapan tentera Salibiyah selepas dibebaskan daripada penjara Dar Ibnu Luqman, Mansurah Mesir, katanya:

إذا أردتم أن تهزموا المسلمين فلا تقاتلوهم بالسلاح وحدة فقد هزمتم في معركة السلاح ولكن حاربوهم في عقيدتهم

Maksudnya: Jika kamu ingin menewaskan orang-orang Islam maka jangan perangi mereka dengan senjata semata-mata, telah terbukti kamu tewas, akan tetapi tumpukanlah serangan kamu terhadap aqidah mereka.

Selepas kejatuhan Soviet Union, pesaing tunggal kepada kuasa besar Amerika Syarikat dan pelobinya Yahudi adalah agama Islam. Tragedi 11 September telah dimanipulasikan untuk mengkambinghitamkan Islam dan umatnya. Kerajaan Afghanistan telah menjadi mangsa pertama, diikuti dengan Iraq dan kini mereka sedang berkira-kira untuk menyerang Iran ataupun Syria. Ini bagi merealisasikan penubuhan Israel Raya oleh Yahudi di tengah-tengah peta negara-negara Arab dengan selesa tanpa sebarang tentangan daripada blok negara-negara Islam.

Malaysia tidak terkecuali daripada perancangan jahat antarabangsa ini dengan beberapa isu yang berlaku diantaranya isu Sekolah Agama Rakyat (SAR), Kelab Mujahidin Malaysia (KMM), Interfaith Commission (IFC), dan sebagainya. Oleh itu sekiranya agenda musuh di peringkat antarabangsa ini dapat dikenalpasti maka memudahkan kita mengetahui apakah punca dan motif setiap isu yang berlaku di negara kita.

Benarlah fiman Allah swt dalam surah al Baqarah: 120:

Masudnya: Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu Yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.

5) Memperdalami uslub (teknik) paling berkesan dalam dakwah.

Ucapan yang paling baik adalah seruan kepada Allah swt dan ajaran Islam. Ia merupakan seruan kebenaran agar manusia dapat dikeluarkan daripada kegelapan taghut dan kejahilan kepada sinar keimanan dan keintelektualan. Firman Allah swt: Fussilat: 33:

Maksudnya: Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

Di kalangan manusia terdapat variasi penerimaan sesuatu seruan. Rasulullah saw telah menyatakan perumpamaan perbezaan tersebut sebagaimana tanah yang Allah swt jadikan dengan pelbagai jenis. Apabila hujan turun ada tanah yang boleh menakung air, ada yang boleh menakung tetapi hanya sebentar cuma, dan ada tanah yang poros langsung tidak boleh menakung air.

Oleh itu, naqibat perlu mahir ketika menyampaikan mesej dakwahnya. Inilah yang dinamakan hikmah sebagaimana firman Allah swt: an Nahl: 125:

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) Dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran Yang baik, dan berbahaslah Dengan mereka (yang Engkau serukan itu) Dengan cara Yang lebih baik; Sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang Yang sesat dari jalannya, dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang mendapat hidayah petunjuk.

Namun demikian persoalan uslub ini bukanlah yang paling utama kerana ia merupakan khilaf di kalangan para ulama' dalam menentukan teknik yang paling baik atau sesuai dengan sesuatu masa dan keadaan. Para ulama' sepakat menyatakan kewajipan amar ma'ruf dan nahi mungkar. Inilah yang perlu difokuskan dan diutamakan. Rasulullah saw bersabda:

عن النعمان بن بشير رضي الله عنهما عن النبي صلى الله عليه وسلم قال : مثل القائم في حدود الله والواقع فيها كمثل قوم استهموا على سفينة فصار بعضهم أعلاها وبعضهم أسفلها فكان الذين في أسفلها إذا استقوا من الماء مروا على من فوقهم فقالوا : لو أنا خرقنا في نصيبنا خرقا ولم نؤذ من فوقنا فإن تركوهم وما أرادوا هلكوا جميعا وإن أخذوا على أيديهم نجوا ونجوا جميعا ( رواه البخاري )

Maksudnya: Perumpamaan di antara orang yang menjaga hukum Allah swt dan mereka yang melanggarnya adalah seperti satu kaum yang melakukan undian ketika menaiki sebuah kapal, maka sebahagian mereka mendapat undian duduk di bahagian atas kapal dan sebahagian yang lain di sebelah bawah. Kumpulan yang mendapat undian duduk di bahagian bawah kapal akan melalui sebelah atas apabila hendak mengambil air, lalu mereka berkata: Apa kata kalau kita tebuk sahaja sebelah bawah bahagian kita untuk ambil air, jadi kita tidak akan menyusahkan mereka yang duduk di bahagian atas. Sekiranya mereka ini dibiarkan sahaja melakukan kehendak mereka, maka mereka semua akan tenggelam, sebaliknya kalau mereka dipimpin (dicegah dan ditegur) maka mereka semua akan selamat.

Selain itu, perlu dijelaskan di sini bahawa di antara uslub (teknik) yang paling berkesan dalam dakwah ialah perbuatan seorang da'ie mestilah bertepatan dengan perkataannya, bermuamalah dengan penuh keikhlasan dan membuat kajian bi'ah terlebih dahulu. Ia boleh dibincangkan secara lebih terperinci dengan mengadakan bengkel perbincangan methodologi dakwah guna merumus cadangan serta kaedah-kaedah baru dalam urusan dakwah.

6) Memperteguh aqidah qadha' dan qadar.

Pengukuhan terakhir bagi naqibat yang ingin saya sentuh ialah dalam persoalan aqidah iaitu berkaitan dengan qadha' dan qadar. Keteguhan dalam persoalan ini menjamin keutuhan keyakinan dan ketenangan jiwa seseorang muslim. Ini kerana dia yakin bahawa semua cabaran dan ujian yang dilaluinya pasti mempunyai hikmah tersendiri yang hanya diketahui oleh Allah swt. Kerja buat musuh dan gangguan mereka tidak mampu memudharatkan jemaah kita melainkan dengan izin Allah swt.

Kefahaman ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah saw yang berbunyi:

عن أبي العباس عبد الله بن عباس رضي الله عنهما قال : كنت خلف النبي r يوما فقال : يا غلام إني أعلمك كلمات : احفظ الله يحفظك احفظ الله تجده تجاهك إذا سألت فاسأل الله وإذا استعنت فاستعن بالله واعلم أن الأمة لو اجتمعت على أن ينفعوك بشيء لم ينفعوك إلا بشيء قد كتبه الله لك ، وإن اجتمعوا على أن يضروك بشيء لم يضروك إلا بشيء قد كتبه الله عليك ، رفعت الأقلام وجفت الصحف (رواه الترمذي)

Maksudnya: Berkata Ibnu Abbas: Suatu hari aku berada di belakang Rasulullah saw, baginda bersabda: Wahai budak, aku ingin mengajar kamu beberapa perkara: Peliharalah (kewajipan) Allah swt nescaya Allah swt akan memeliharamu, jagalah (hak-hak) Allah nescaya kamu akan dapatiNya membantumu, apabila kamu meminta mintalah kepada Allah, apabila kamu memerlukan bantuan mintalah bantuan daripada Allah, ketahuilah sesungguhnya jika suatu umat berpakat untuk memberikan manfaat kepadamu nescaya mereka tidak boleh memberi manfaat kepadamu melainkan sesuatu yang telah Allah swt tentukan kepadamu, dan jika mereka semua berhimpun untuk memudharatkanmu nescaya mereka tidak mampu melakukannya melainkan dengan sesuatu yang telah Allah swt tentukan ke atasmu, telah diangkat pena dan telah kering lembaran suhuf.
Keyakinan aqidah seumpama inilah yang perlu dipasakkan dalam hati kita. Yakinlah sesungguhnya usaha yang kita lakukan, peluh yang kita titiskan, harta yang kita infaqkan, masa yang kita luangkan dan perasaan yang kita korbankan tidak akan dipersiakan oleh Allah swt. Firman Allah dalam surah ar Rum: 47:

Maksudnya: Dan sememangnya adalah menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.

Di samping itu, kerja buat yang kita lakukan juga perlu disusuli dengan tawakkal yang pasrah membulat kepada Allah swt. Kerana hanya Allah swt sahaja yang maha memberi hidayah kepada hambanya, kita hanya diminta berusaha dan berikhtiar, membuat proposal dan program tetapi Allah swt sahaja yang akan memberikan kefahaman kepada masyarakat lalu menerima agenda kita, begitu juga pencapaian sasaran objektif dan matlamat serta kesan yang mendalam kepada peserta sesuatu program. Serahkanlah segala urusan kita kepada Allah swt dengan hakikat tawakkal sebenar sebagaimana tawakkal seekor burung yang disebut oleh baginda saw:

عن عمر رضي الله عنه قال : سمعت رسول الله صلى الله عليه وسلم يقول : لو أنكم تتوكلون على الله حق توكله لرزقكم كما يرزق الطير تغدو خماصا وتروح بطانا ( رواه الترمذي )

Maksudnya: Sekiranya kamu bertawakkal kepada Allah swt dengan sebenarnya nescaya Allah swt akan memberikan rezeki kepada kamu sebagaimana dia memberi rezeki kepada burung yang keluar dengan perut kosong dan kembali dalam keadaan kekenyangan.

KUALITI NAQIBAT DAN MUSLIMAT

Saya juga ingin mengenengahkan di sini secara ringkas tentang kualiti naqibat yang diperlukan dalam rangka mendepani cabaran dan isu dengan cemerlang. Di antaranya ialah:

1) kualiti ikhlas
2) kualiti taqwa
3) kualiti akhlak
4) kualiti mental
5) kualiti kerja
6) kualiti kemahiran
7) kualiti thaqafah

Kualiti tujuh perkara tersebut perlu dilunasi oleh kita semua kerana ia merupakan pemangkin ke arah pembinaan tenaga kerja naqibat yang berdaya saing dan berketerampilan. Ia juga menjamin kelangsungan istiqamah dalam perjuangan Islam.

Perkara istiqamah sangat penting dalam Islam kerana ia menjadikan seseorang itu kekal dalam jalan dakwah walau berhadapan dengan seribu satu mehnah dan tribulasi. Dia tidak mudah terpengaruh dengan suasana dan suara-suara yang menghasut. Berkenaan dengan perkara ini baginda saw bersabda:

لا تكونوا إمعة تقولون إن أحسن الناس أحسنا وإن ظلموا ظلمنا ولكن وطنوا أنفسكم إن أحسن الناس أن تحسنوا وإن أساءوا فلا تظلموا ( رواه الترمذي )

Maksudnya: Janganlah kamu menjadi seperti orang yang tidak mempunyai prinsip (pegangan) dengan berkata : sekiranya manusia baik maka kami akan baik dan jika mereka melakukan kezaliman maka kami pun akan berbuat zalim. Akan tetapi tetapkanlah diri kamu sekiranya manusia baik maka kamu akan lakukan yang lebih baik dan sekiranya mereka melakukan keburukan maka janganlah kamu melakukan kezaliman.

PENUTUP

Kesimpulannya dapatlah kita nyatakan bahawa kejayaan muslimah dan naqibat mendepani cabaran dan isu adalah bergantung kepada sejauh mana kemampuan kita mengukuhkan institusi naqibat dan kualiti diri muslimat itu sendiri. Melahirkan suatu barisan tenaga muslimat dan naqibat yang mantap dan bermutu adalah suatu jaminan dan syarat kejayaan jemaah dalam proses pembentukan sebuah jemaah yang kuat dan kukuh.

Sebaliknya kegagalan dan kepincangan di peringkat naqibat akan memberikan kesan yang buruk kepada pembentukan ahli jamaah. Hasilnya jamaah akan menghadapi kepincangan dan kelemahan yang silih berganti dan sukar di atasi. Apatah lagi untuk mendepani cabaran yang sedikit dan isu yang sangat remeh.

Saya berkeyakinan bahawa program-program seumpama ini yang merupakan sebahagian daripada usaha pemerkasaan muslimat dan naqibat perlu digerakkan dan diteruskan secara berkala guna memperbaiki kelemahan dan kekurangan. Manakala kekuatan yang dimiliki pula perlu untuk dikongsi secara kolektif dan dimanfaatkan secara maksimum.

Wassalam

Oleh: Abu Mus'ab bin Hj Abd Ghafir

Isu "Bohsia" : SIGMA Hantar Surat Pada Ketua Polis Negara

Ditulis oleh SIGMA Pusat
Selasa, 12 Mei 2009 19:13
Serikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA), salah satu entiti terpenting dan terbesar GAMIS melangkah lebih agresif selepas mengenalpasti isu pertama untuk diperjuangkan oleh mereka iaitu isu Bohsia atau "re-born" (kelahiran semula) Bohsia yang dahulunya senyap seketika, namun kini tiba-tiba ia mengganas.
"Kita telah menghantar surat rasmi kepada Yang Berbahagia Tan Sri Dato Musa Hassan, Ketua Polis Negara untuk SIGMA diberikan peluang mendengar dan berbincang secara langsung dengan beliau yang pada sekitar bulan lepas memaparkan fakta menakutkan mengenai kadar jenayah remaja yang kian meningkat.", demikian ujar Penasihat SIGMA, saudari Rafidah Jannah bt Salleh ketika menghantar salinan faks surat tersebut ke Gamis Daily.


TAHNIAH SIGMA!!

:: REDHAMU MU'ALLIM ::


Bismillahirrahmanirrahim..
Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam..Ya Allah, jadikanlah kami hambaMu yang bersyukur di atas segala kurniaanMu..

16 Mei tiba lagi..setiap tahun apabila tibanya tarikh ini hati saya pasti sebak,terbayang jasa dan pengorbanan mu'allim dan mu'allimah yang membentuk diri ini menjadi manusia.Mengenalkan saya tentang erti cinta pada Allah,menceritakan kepada saya tentang sirah-sirah Rasulullah, memujuk hati saya tika diri ini hampir rebah dan terus mendoakan diri ini agar menjadi muslimah yang berjaya di dunia dan akhirat..

Jujurnya , saya bukanlah seorang yang puitis dan kritis untuk menutur kata dan menitipkan kalam..namun, tulisan ini terus menari , tangan ini terus menitip bicara dengan rasa hati yang paling dalam..saya amat menghargai guru-guru saya.kalian bonda dan ayahanda yang amat saya hormati selamanya kerana Allah..tika ini,seorang demi seorang wajah guru-guru saya terbayang di ruang mata ini..mashaAllah,mulianya hati seorang guru..

Emak dan Abah ~ Guru pertama yang memperkenalkan saya huruf Alif, Ba , Ta..abah yang membelikan saya muqaddam warna merah.Abah akan mengajar kami 9 beradik mengaji lepas maghrib tiap-tiap malam. Mak Abah yang mendidik saya , orang perempuan tak elok selalu pakai seluar , kurang manis. saya orang kampung, lebih cantik kalau selalu
berkain batik.Abah amat marah kalau kami mengaji salah tajwid , kalau hukum ikhfa' haqiqi saya baca tak cukup dengung , pasti kena sergah . saya mengaji pun terketar-ketar..rupa-rupanya itulah didikan Al-Quran yang terbaik.Kerana Al-Quran itu terlalu mulia..

Guru-guru Tabika Jengka 16 ( Cikgu Rasidah , Cikgu Kalsom dan Cikgu Noor ) ~
Tika ini saya berumur 6 tahun..waktu rehat , kami akan dihidangkan dengan makanan.yang paling saya ingat , menu utama bubur kacang. kami kena makan menghadap dan cikgu akan kata " ok,semua baca doa.." bila hari-hari buat perkara yang sama, maka diri dah terbiasa , dah setting dalam kepala, sebelum makan wajib baca doa . doa yang kami baca berlagu-lagu,berlenggok-lenggok, macam dalam cerita upin dan ipin.selepas makan, ini adalah waktu untuk kanak-kanak riang di Tabika ni berseronok -seronok main jongkang-jongket,buaian , dan lain-lain..pernah satu masa , saya memang tak minat nak main . ( mungkin sebab lebih suka main masak2 kat rumah .Jadi saya pun terus buka buku latihan. saya ingat lagi, buku tu warna biru,kulit depan gambar belon . Buku itulah yang jadi peneman saya dan tak lama lepas tu,Cikgu Shidah datang. " eh,mardhiah tak gi main? pegilah main dgan kawan2.." kata cikgu dengan lembut . " takpelah cikgu,saya tengah buat latihan ni.." balas saya sambil tersengih.." bagus mardhiah,kalau mardhiah rajin,mardhiah akan jadi orang pandai .." cikgu senyum lagi..semangat saya bila cikgu cakap macam tu..terima kasih cikgu sidah..

Cikgu2 SKJ 16 ~
Terlalu banyak kisah yang berlaku sepanjang menuntut ilmu di sekolah ini..mula belajar membaca , menulis dan mengira . waktu darjah 1 , cikgu akan bekalkan kami sebuah buku sebelum balik.kami kena lancarkan buku tu semasa di rumah dan keesokan harinya kena baca/ tasmi' depan cikgu balik..balik rumah , saya akan membaca depan mak, lepas tu duduk melancar di beranda rumah dan lepas tu mengadap mak balik , takut sangat-sangat kalau tersalah baca. ingat lagi,ada satu perkataan yang berpuluh-puluh kali saya fail nak sebut -" ladybird"..tak taulah knpa susah sangat nak sebut perkataan ni,syukurlah mak sabar melayan kerenah anaknya ini..kesan dari didikan cikgu mewajibkan kami baca buku hari2, saya jadi suka membaca ,apa jua jenis bacaan hingga ke saat ini..alhamdulillah..

ustazah fauziah ~ ibu yang paling rapat dengan saya di sekolah rendah dulu..ustazah yang mula-mula mengajar saya menghafaz Al-Quran..semasa saya darjah 4, ustazah taqdim saya untuk mewakili sekolah ke Pertandingan Hafazan sekolah-sekolah rendah seluruh Zon Jengka.saya tolak awal-awal, " ustazah, saya tak layak, saya tak reti .." ustazah kata , " takpe ainun,ustazah akan ajar ainun.." disebabkan tak nak menghampakan ustazah,maka saya pun bersetuju walaupun rasa macam memang tak layak sangat2.. bila bagitau mak abah, mereka amat bersetuju .." inilah peluang nak belaja Quran banyak-banyak2 .." kata mak..

setiap hari , waktu kelas Pendidikan Islam, ustazah akan panggil saya mengaji di meja guru.waktu rehat,ustazah panggil lagi saya mengaji di perpustakaan.waktu petang,lepas balik dari sekolah agama rakyat, ustazah korbankan lagi masa rehatnya bersama anak-anak untuk temankan saya mengaji di sekolah..saya tahu ustazah penat,saya dapat rasa ustazah letih..tapi ustazah tak pernah jemu mendidik saya..waktu cuti panjang, ustazah takkan biarkan saya berlatih sendiri.ustazah jemput saya ke rumahnya ,habis mengaji ustazah akn menghantar saya pulang..alhamdulillah,berkat kesungguhan dan didikan ustazah, saya makin kenal ayat-ayat Allah sampaikan rasa terlalu sayang untuk tinggalkan bidang ini.. Jazakumullah Khairan Kathira ustazah...

Teristimewa buat semua guru2 SKJ 16 & ustaz2 dan ustazah2 di SRA JENGKA 16..Selamat Hari Guru!

SMKA TAHAP ~
Meningkat ke usia remaja=)alhamdulillah, ditawarkan ke sekolah yang menjadi idaman seluruh warga Pahang adalah hadiah yang amat bermakna buat diri yang kerdil ini. Di sini saya belajar erti Tarbiah dan Dakwah.Di sini saya makin mengenali dan merasai betapa indahnya Islam..
Guru-guru di sini amat penyayang , tidak jemu mendidik kami dengan penuh kasih sayang..

Cikgu Noraini & Cikgu Mat Jusoh ~ Maha Suci Allah yang mempertemukan saya dengan kalian. Bila saya rasa down , tidak ada kekuatan , cikgu berdua tempat saya mengadu..saya menangis dan cikgu menangis,,saya ketawa dan cikgu ketawa..cikgu mengajar saya,bila kita bertindak , buatlah sesuatu daripada hati ..hati yang bersih tidak akan menipu. Wajah redup keibuan dan kebapaan kalian amat menenangkan hati ini..cikgu banyak memberi semangat pada saya untuk menjadi Ketua Pelajar yang baik. " ketua yang baik adalah ketua yang memimpin dengan hati yang penyayang. jangan jemu untuk mendidik anak buah ." waktu saya hampir rebah , cikgu bisikkan kalimah yang kembali menguatkan jiwa ini..hingga dalam bab pemilihan jodoh saya , cikgu berdua sentiasa mendoakan . masih basah di ingatan , setiap kali saya menelefon cikgu , cikgu pasti berkata .."ainun,cikgu doakn ainun kahwin dengan lelaki yg soleh , yg dapat jaga ainun sebaik-baiknya.."alhamdulillah..mungkin berkat doa yang sentiasa cikgu berdua titipkan,Allah temukan saya dengan suami =) alhamdulillah..

ustaz Rodzi ~ terasa janggal untuk memanggilnya ustaz..lebih selesa memanggilnya abi..selepas Ustazah Fauziah, abi adalah tok guru saya mengajar ilmu Al-Quran . saya mengenali abi semasa saya darjah 5 , sewaktu mewakili negeri Pahang dalam pertandingan tahfiz peringkat Kebangsaan..segan sangat waktu tu, kerana saya hanya orang kampung,nak bertanding dengan orang yang hebat2 di seluruh negara..abi amat syadid dalam mengajar makhraj huruf. rasanya dah betul saya sebut,tapi bagi abi,masih banyak yang salah..saya banyak kali menangis, takut sangat waktu kena tegur ..paling tak boleh lupa, waktu baca Surah Al-Qadr..amat rumit nak membunyikan huruf Ra' yang di akhir ayat tu..selagi tak lulus,saya tak boleh berpindah ke surah lain..maka menangislah saya tanda protes tapi tetap tak dilayan =) di SMKA TAHAP, saya masuk Kelas Kemahiran Al-Quran ( KKQ ) dan abi adalah tenaga pengajar kami pada masa tu..hingga sekarang tarannum Surah Al-Qamar tidak pernah saya lupakan. oleh kerana suami saya pun masuk KKQ dan belajar silibus yang sama,maka kami pun bergilir-gilir bertarannum mengikut lagu yang abi ajarkan bila ada waktu lapang =)yang peliknya Surah Al-Qamar ni je yang menepati piawaian tarannum sebenar,surah lain tak pass lagik=)

Buat semua guru yang pernah mengajar saya : Cikgu Hasma ( kimia), Madam Hiew (Biologi),Cikgu Rosmiyah ( Fizik), Cikgu Razak
( Math Mode ), Madam Cheah ( BI), Ustazah Nor Ana ( BAT ), Teacher Zaitun (BI ), Ustaz Zulhazmi ( BA),Us Syed Nazir ( BA),
Cikgu Lily ( Kemahiran Hidup), Cikgu Zainal ( Kemahiran Hidup), dan semua guru -guru yang amat saya sayangi..Jazakumullah Khairan kathira..hanya Allah yang selayaknya membalas semua jasa kalian..

DARUL QURAN JAKIM...
Ayahanda dan bonda..kalian adalah lilin yang menerangi diri ini..

~Ustaz Tahir & Ustazah Nik Hazama~Biarpun sempat dalam 2 sem je tasmi' dengan Us Tahir,tapi itulah pengalaman berharga yang tidak akan dilupakan sampai bila2 . Hafazan mesti masyi, tajwid kena betul , dengung kena cukup, berhenti mesti kena dengan makna ayat..semua itu mengajar saya erti hidup dan adab seorang Hamalat Al-Quran..Kemudian , Ustazah Nik Hazama mengambil alih kelas saya. Ustazah adalah bekas pelajar cemerlang DQ juga satu masa dulu..dialah kakak,dialah ibu..banyak memberi cabaran dan suntikan semangat pada diri ini..
" walaupun sibuk jadi exco , Quran kena masyi ainun .." pesan ustazah setiap hari.Saat paling membahagiakan apabila saya berjaya mengkhatamkan ayat terakhir di dalam Al-Quran di hadapan ustazah..sebak , terlalu sebak..waktu tu rasanya tak mampu untuk membaca doa Khatam Al-Quran..saya amat berterima kasih pada ustazah.tanpa kata2 cabaran, kritik dan semangat saya tak mampu untuk menghabiskan hafazan yang mulia ini..

Ucapan istimewa juga ditujukan buat Ayahanda Pengetua Darul Quran,Ustazah Shahidah , Ustazah Norhayati, ayahanda Ustaz Zamri Shapik,Ustaz Zamri Zainuldin, Ustaz Nazri , Ustaz Abd Jalal , Ustaz Shahrul ( Penyelia tesis saya ) Ustazah Zurina dan semua muallim dan muallimah..Semoga setiap titik peluh kalian mendidik kami diganjari pahala yang tidak terkira di sisi Allah Taala..amin..



~ PERLEMBAHAN NIL , MESIR ~

Syeikh Husin Al-Asyari ,Ustazah Manal,Ustaz Sayed , Ustaz Bazz, Ustazah Wala', Ustaz Sattar , Syeikhah Hibah , dan semua syeikh syeikhah di bumi Anbiya' ini..Kami mengharap doa dan restu dari kalian..moga2 kami tergolong sebagai penuntut ilmu yang ikhlas kerana Allah Taala, amin..




JUGA BUAT SEMUA GURU DI SELURUH DUNIA~~~ SELAMAT HARI GURU! ^_^