Daisypath Anniversary tickers
Kronologi 300,000 orang menghadiri upacara pengebumian Al Marhum Dato’ Hj. Fadhil Mohd Noor



Apabila membaca tentang artikel ni, mata berat menahan tangis..hati terasa sebak..semoga ALLAH merahmati hidup dan mati Allahyarham Al-Fadhil Ustaz Fadzil Noor

22 Jun 2002

10.30 malam berita keadaan yang mencemaskan mengenai Allahyarham diterima.

23 Jun 2002


1.30 pagi keadaan
Allahyarham dapat distabilkan.

7.00 pagi berita Allahyarham sedang nazak telah diterima.

10.30 pagi berita sedih pemergian Allahyarham kita semua terima dari HUKM.

11.30 pagi jenazah Allahyarham dibawa ke bilik mayat untuk dimandikan, diwaktu inilah kita lihat ribuan rakyat telah memenuhi HUKM.

12.30 petang jenazah di bawa ke Surau Taman Jaya (bersebelahan HUKM) dengan diiringi dengan laungan takbir serta tahlil disepanjang jalan yang lebih 10,000 orang mengiringinya.

12.45 petang jenazah dilawati oleh Dymm Sultan Kedah dan telah disolat jenazah sebanyak 6 kali sebelum masuk waktu zohor. Dimana setiap kali solat jenazah lebih 3,000 orang menjadi makmumnya.

1.45 petang rakan-rakan bukan Islam dan muslimah dibenarkan melawat jenazah di surau taman jaya.

2.30 petang jenazah dibawa ke lapangan terbang TUDM subang dengan diiringi oleh ribuan kenderaan dan dimaklumkan lebih 5,000 pendokong BA telah berada di Subang.

2.55 petang jenazah sampai di Subang, dengan sambutan takbir, suasana sungguh pilu kerana rakyat marhaen dengan jumlah lebih 10,000 orang mengiringi jenazah Allahyarham dari HUKM ke Subang.

3.15 petang maklumat diterima DSAI telah dibenarkan untuk melawat Allahyarham di Subang, Usaha Nurul Izzah dan Nurul Nuha berbincang dengan Pak Lah di Subang telah berjaya untuk membawa DSAI ke Subang. Penerbangan 3.30 petang telah ditangguhkan untuk menunggu DSAI tiba dari Sungai Buluh.

4.40 petang memandang DSAI lewat tiba dan waktu sudah terlalu lewat, Pesawat TUDM dengan membawa lebih 100 penumpang telah berlepas tepat jam 4.40 petang dari lapangan terbang Subang ke Kepala Batas.

6.00 petang jenazah tiba di lapangan terbang Kepala Batas dengan disambut lebih 20,000 rakyat marhaen dan terus di bawa ke Darul Ulum di Pokok Sena, apa yang dimaklumkan lebih 100,000 orang telah menunggu di Pokok Sena.

7.00 petang dengan bantuan pihak polis dan kerjasama orang ramai jenazah selamat ditiba di Darul Ulum, walaupun jalan raya kesesakkan teruk lebih 20 km, kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari Tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km.

7.45 malam selepas solat maghrib dianggarkan lebih 250,000 rakyat marhaen telah berada di Pokok Sena untuk memberikan penghormatan terakhir ke Allahyarham.

8.30 malam maklumat yang diterima dari jarak 3km ke Darul Ulum telah tidak boleh dimasuki oleh orang ramai lagi, keadaan amat sesak dan padat. Apa yang dimaklumkan ada penyokong BA yang berjalan kaki sejak 6.30 petang ke Darul Ulum gagal sampai kerana keadaan sesak tersebut.

9.15 malam jenazah Allahyarham telah diusung ala intifadha dari Darul Ulum ke tanah perkuburan dengan diiringi laugan takbir yang bergempita seluruh Pokok Sena dan sayup-sayup kedengaran sambutan takbir tersebut dari para jamaah yang tidak sampai ke Darul Ulum.

9.30 malam jenazah selamat dikebumikan.

10.00 malam upacara bacaan talkin dan tahlil selamat dilaksanakan ditanah perkuburan di hadapan Darul Ulum.

10.30 malam rakyat marhaen datang bertali arus untuk menziarahi kubur Allahyarham, dan dijangkakan menjelang pagi ini masih ramai yang terus menziarahi serta sedekah bacaan yassin dikubur Allahyarham.

11.00 malam kami keluar dari kawasan Darul Ulum dengan bantuan unit amal yang memberikan kerjasama kepada kami melalui jalan lain.

Kini telah terbukti seorang pemimpin Islam yang dikasih pasti telah menunjukkan berkatnya di dunia lagi. Tidak pernah terjadi dalam sejarah Malaysia, lebih 300,000 orang hadir dalam majlis pengkebumian seorang pemimpin.

Allahyarham Datuk Hj.Fadhil Nor adalah insan yang bertuah kerana ratusan ribu rakyat marhaen hadir untuk memberi sedekah Al-Fatihah dan sama-sama solat ke atas jenazah beliau. Hari ini Malaysia dan segala isi penduduknya pasti kehilangan seorang pejuang Islam, walaupun kepimpinan beliau dibenci oleh musuh politik, tapi Allah swt telah menunjukkan kepada umatnya Allahyarham adalah insan kerdil yang akan ditempatkan bersama para mujahid dan para syuhada di alam barzakh.

Al-Fatihah untuk roh Allahyarham dan takziah kepada keluarga beliau serta pemimpin Parti Islam Semalaysia (PAS) serta BA. Semoga Allah swt akan mengampunkan dosa-dosa Allahyarham serta ditempatkan bersama para syuhadah. Semoga ini akan memberikan kita keinsafan serta kembali kejalan Islam yang sejati lagi hakiki.


Biodata Al Marhum Presiden Pas YB Ustaz Dato Fadzil Nor


Presiden PAS Ustaz Dato Fadzil Noor meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia pada jam 10.30 pagi 23 Jun 2002.

YB Ustaz Dato' Hj Fadzil @ Ali bin Mohd. Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, kira-kira tiga kilometer dari bandar Alor Setar, Kedah.

Sejarah awal pendidikan Ustaz Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor bermula sekitar tahun 1946. Waktu itu beliau mengikuti pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga, Alor Setar sehingga tahun 1949. Kemudian menyambung pelajaran di peringkat menengah di Maktab Mahmud sehingga tahun 1958 sebelum meneruskan pengajian tinggi di tempat yang sama hingga tahun 1962.

Tahun 1963 beliau telah menyambung pelajaran ke seberang laut dengan mengikuti pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir dengan mendapat biasiswa kerajaan negeri Kedah. Di Universiti Al-Azhar, beliau mengambil jurusan Perundangan Islam (Syariah) dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1967 dengan memperolehi ijazah Sarjana Muda dalam lapangan tersebut.

Ustaz Dato' Hj Fadzil Mohd. Noor telah mendirikan rumah tangga dengan sepupunya Siti Khadijah Ibrahim pada tahun 1963. Isteri beliau merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Farbish Bakar, Alor Setar, Kedah. Kemudian setelah berkahwin turut bersama melanjutkan pelajaran ke Al-Azhar bersama suaminya. Hasil perkahwinan beliau dikurniakan lapan orang anak iaitu Huda, Ammar, Aiman, Muna'izzah, Muhamad Faiz, Salwa, Ahmad Fauwaz dan Ahmad Anas.

Pada tahun 1967, sewaktu di Al-Azhar, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha dan Timbalan Presiden dalam Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Tahun 1967 beliau pulang ke tanah air dan ditawarkan berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Maktab Mahmud. Pada 1973 ditawarkan berkhidmat sebagai pensyarah bahagian pendidikan Islam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sehingga tahun 1978.

Beliau telah dipecat oleh pihak pentadbir UTM ekoran tindakan beliau bertanding dalam pilihan raya pada tahun 1977 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Merah dan Parlimen Kuala Kedah.

Walau bagaimanapun, pemecatan beliau oleh pihak pentadbiran UTM dianggap tidak sah di sisi undang-undang dan mahkamah telah mengarahkan pihak pentadbir UTM membayar ganti rugi. Setelah isu tersebut selesai, beliau kembali bertugas sebagai pensyarah dan beberapa bulan kemudian beliau telah meletakkan jawatan kerana menceburkan diri sepenuh masa dalam PAS.
Selain aktif dalam politik, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Negeri Kedah.

Beliau pernah menganggotai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan memegang jawatan Setiausaha Penerangan Pertubuhan itu tahun 1973 hingga 1974. Beliau pernah memangku jawatan Presiden ABIM apabila Presiden ketika itu, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA. Selain itu beliau juga merupakan Setiausaha Agung Persatuan Ulama' Malaysia (PUM) tahun 1974.

Beliau melibatkan diri dalam politik PAS sejak tahun 1959 sewaktu menuntut di Maktab Mahmud. Beliau telah dilantik menjadi Yang Dipertua PAS kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan PAS Negeri Kedah. Kemudian beliau menganggotai Exco PAS Kedah. Penonjolan daya kepimpinannya semakin cemerlang telah meyakinkan anggota parti untuk melantik beliau sebagai Naib Yang Dipertua PAS Pusat sepenuh masa tahun 1981 hingga 1983.

Tahun 1983 beliau telah dilantik menjadi Timbalan Yang Dipertua PAS sebelum diberikan kepercayaan penuh oleh seluruh ahli PAS untuk menjadi Yang Dipertua PAS tahun 1989 sehingga sekarang dengan gelaran Presiden PAS.

Pembabitan awal Ustaz Dato' Fadzil di dalam kancah politik pilihan raya bermula tahun 1978, di mana PAS telah memberi mandat kepada beliau untuk bertanding di negeri Kedah dalam pilihan raya umum iaitu di kawasan Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah.

Pada tahun 1980, beliau sekali lagi bertanding dalam pilihan raya kecil di kawasan DUN Bukit Raya berikutan kematian ahli DUN kawasan tersebut.

Tahun 1982 beliau sekali lagi bertanding di kawasan DUN Bukit Raya dan seterusnya berjaya mempertahankan kerusi di kawasan itu selama empat penggal berturut-turut sehingga Pilihan raya Umum 1995.

Pada 1982 beliau menang dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN) Haji Safirol Haji Hasim dan calon bebas Mohd. Mokhtar Abdullah dengan majoriti 346 undi, 1986 menang dengan majoriti 2,215 undi mengalahkan calon BN Ahmad Zakuan Hj. Ahmad, 1990 mengalahkan calon BN Dato' Syed Mansor Barakbah dengan majoriti 1,829 dan terbaru pada Pilihan raya Umum 1995 mengalahkan calon BN juga iaitu Fadzil Hanafi dengan majoriti 2,414.

Hingga jam 10.30 pagi pada 23 Jun 2002, apabila Allahyarham menghembuskan nafas terakhir, Ustaz Dato' Hj. Fadzil Mohd. Noor telah menerajui kepimpinan PAS dan diamanahkan sebagai Presiden parti.

AL-FATIHAH.


http://muslimsdiary.blogspot.com/

0 comments: