Daisypath Anniversary tickers
TETAMU RAUDHAH

Pagi-pagi lagi saya mengingatkan suami saya tentang hajat saya yang menggunung untuk ke Raudhah pada hari ini.Sungguh kerinduan yang teramat untuk menjejak Raudhah.Apatah lagi bila mengenangkan sedikit masa lagi Raudhah akan dipenuhi oleh tetamu yang datang dari segenap ceruk rantau untuk menunaikan fardhu Haji.

"Ok,pukul 8 siap tau.Kelas abang mula pukul 8.30" Abang mengingatkan saya.

Alhamdulillah.seronok tak terkata dan tidak sabar rasanya untuk menjejakkan kaki ke Raudhah.Sebelum ini banyak halangan yang tidak mengizinkan saya untuk ke sana.Sepanjang tahun Masjid Nabawi sentiasa penuh kecuali pada bulan Syawal dan selepas bulan Zulhijjah,sebelum visa umrah dibuka.Pada waktu itu sahaja Masjid Nabawi benar-benar lengang,hanya warga Saudi sahaja yang memenuhi kawasan masjid.

Tepat jam 8 pagi,kami sekeluarga bergerak ke Masjid Nabawi.Alhamdulillah perjalanan tidak memakan masa yang lama,lebih-lebih lagi rumah kami tidaklah jauh mana dengan Masjid Nabawi.Abang menurunkan saya dan Muadz di perkarangan masjid,berhampiran dengan Perkuburan Baqi' dan meneruskan perjalanannya ke universiti.

Seperti dijangka,masjid ketika itu agak lengang.Mungkin pada waktu pagi golongan wanita berada di rumah menjalankan kewajipan sebagai isteri dan ibu.Di sini kaum wanita tidak bekerja dan tidak boleh memandu kereta.Maka tanggungjawab di rumah dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Saya menanggalkan sandal,terus menuju ke dalam masjid dan seperti biasa perlu melalui pemeriksaan beg di pintu masjid.Hati berbunga girang.Hari ini terasa istimewa kerana inilah kali pertama saya ke Raudhah bersama Muadz pada waktu pagi."Ya Rasulullah,aku datang bersama anakku.Semoga anakku ini dapat meneruskan perjuangan sucimu menegakkan kalimah Allah di muka bumi." Bisik saya di dalam hati.

Sampai di Raudhah,saya terus mencari ruang kosong.Syukur,masih ada ruang kosong di tengah,tetapi saya masih menunggu.Mengharapkan ada tempat yang lebih baik di sebelah tepi,berhampiran dengan Makam Rasulullah.Saya bimbang untuk meletakkan Muadz di laluan orang,bimbang anak kecil ini dipijak.Kebiasaannya dalam kawasan yang kecil,orang yang lalu-lalang tidak memandang ke bawah,jadi bimbang mereka tidak perasan akan Muadz yang sedang berbaring di karpet.

Beberapa minit berlalu,masih lagi tiada ruang di sebelah tepi yang kosong.

"Ukhti,kamu nak solat?Mari saya jagakan anak kamu." Seorang wanita Arab menghulurkan bantuan.

"Ya,saya nak solat.Kamu tolong tengokkan anak saya ya."

Di dalam hati memanjat syukur,ada insan mulia yang sudi membantu.Dia benar-benar menjaga Muadz dengan baik.Setiap kali ada orang lalu dan hendak melangkah,cepat-cepat dia mendepakan tangan,supaya tidak ada kaki yang memijak Muadz.Syukur Alhamdulillah,saya dapat bersolat dengan tenang.Muadz pula?Seperti biasa dia seronok bila berjumpa ramai orang.Riuh suaranya menegur ummi solat.Mungkin apabila melihat mulut saya terkumat-kamit semasa solat,dia ingatkan saya bercakap dengannya.Sangat menghiburkan hati:)



"Jazakumullahu khairan kathira" ucap saya kepadanya usai saya mengerjakan solat.
" Wa Iyyak.." Balas beliau dengan senyuman.


Seketika kemudian Muadz menangis tanda mengantuknya sudah di tahap yang tidak dapat ditahan-tahan.Saya terus ke karpet merah di belakang Raudhah,menyusukan Muadz sehinggalah anak ini tertidur.Hajat di hati ingin lagi menyambung solat,maka niat ini diteruskan juga sambil menggendong Muadz menuju ke Raudhah semula.Saya letakkan Muadz di atas karpet.Sebelum tu sempat juga menjeling-jeling ke arah Pengawas Masjid,bimbang juga mereka tak benarkan saya letakkan Muadz di situ,kerana memakan ruang orang yang ingin solat.Tapi apabila melihat banyak lagi ruang-ruang Raudhah yang masih kosong,saya menarik nafas lega.Tidurlah Muadz dengan lena di atas karpet Raudhah.Hati saya berkata,"Muadz,Muadz sepatutnya syukur sangat-sangat pada Allah.Kecil-kecil lagi Muadz dah boleh pergi Raudhah,siap boleh tidur lagi.":)



Tepat jam 9.30 pagi,suami datang menjemput kami pulang.Syukur Alhamdulillah,terasa kepuasan di hati dapat menjadi tetamu Raudhah hari ini.



Raudhah..



Merakam sejuta bicara antara hamba dengan Rabbnya..








2 comments:

Nadiah Sukery said...

Kak,

doakan sy, nk ke sane jgk :)

Pena Ainun Mardhiah said...

InsyaAllah dik..akak sntiasa doakn semua umat Islam berpeluang datang ke Makkah dan Madinah..moga Allah makbulkan permintaan kita,amin