Daisypath Anniversary tickers
Impian dan Sistem Turki

Semangat dan azam ini tercetus apabila terbit kesungguhan di hati saya untuk benar-benar menjaga Al-Quran.Al-Quran ini adalah amanah yang perlu saya pikul dengan sebaik mungkin sehinggalah saya meninggal dunia bertemu dengan Allah,Tuhan Yang Menciptakan saya.


Saya suka bertanya sahabat-sahabat saya yang sudah pun bergelar Hafizah,yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak.
"Bagaimana dengan hafazan Al-Quran?"
Rata-ratanya memberi jawapan, "Allah..sedih sangat.Tiada suasana,tiada semangat untuk mengulang.Tidak seperti berada di Maahad Tahfiz dulu.."

Ya,saya maklum akan situasi itu.Saya sendiri kadangkala menghadapinya.

Azam dan Impian

Dari pembacaan,analisa dan muhasabah yang saya jalankan kepada beberapa orang sahabat,saya menukilkan satu azam di dalam diri.Saya ingin mencari formula-formula,teknik-teknik atau strategi-strategi yang baik dalam menghafaz dan mengulang Al-Quran.Sebenarnya proses mengulang Al-Quran bagi saya lebih sukar berbanding menghafaz Al-Quran.Sebab itulah apabila hafazan Al-Quran tidak diendahkan atau ditinggal lama,agak sukar untuk mengingatinya kembali.Perlu usaha yang jitu dan mujahadah yang kuat untuk mendapatkan kembali kalam Allah yang mulia itu.

Terdapat pelbagai teknik dalam menghafaz dan mengulang Al-Quran yang telah dipraktikkan oleh Sekolah-sekolah atau Maahad-maahad Tahfiz di seluruh dunia amnya dan di Malaysia khususnya,di antaranya adalah dengan menggunakan Sistem Turki.

Sistem Turki ini telah dipraktikkan oleh para huffaz di Maahad Tahfiz Darul Tuba,Tangkak Johor dan ternyata memberi kesan yang baik kepada hafazan mereka.Saya pernah melawat ke Maahad Tahfiz ini suatu ketika dahulu sewaktu masih menuntut di Darul Quran JAKIM.Dengan izin Allah,saya ingin ke sana sekali lagi untuk mempelajari,mengkaji dan mempraktikkan bagaimana yang dikatakan menghafaz dan mengulang Al-Quran dengan menggunakan Sistem Turki itu. Ramai yang mengatakan bahawa Sistem Turki adalah antara sistem yang terbaik di dalam menghafaz dan mengulang Al-Quran.

Hasil kajian itu akan saya kongsikan bersama sahabat-sahabat,para penghafaz Al-Quran dan semua umat Islam InsyaAllah.Mungkin sudah ada kajian yang dijalankan sebelum ini tetapi tidak disebarkan seluas-luasnya kepada masyarakat umum.Sungguh,para Huffaz sangat ternanti-nanti teknik yang terbaik bagi mereka mengulang Al-Quran.Saya yakin semua yang sudah mengkhatamkan 30 juz Al-Quran sedar akan tanggungjawab dalam memelihara Al-Quran,cuma terdapat halangan-halangan sampingan yang merencatkan usaha dan semangat dalam mengulang Al-Quran.Situasi inilah yang perlu kita sama-sama atasi agar Agenda menghafaz dan mengulang Al-Quran menjadi agenda terpenting di dalam kehidupan kita sehari-hari.

Di samping itu,sikap dan watak kita juga perlu kepada perubahan.Kita perlu berusaha,bukan hanya menyerah kepada keadaan sehingga ulangan hafazan yang sedikit itu masih kekal di takuk lama.Berusahalah,lawan perasaan malas untuk mengulang Al-Quran,agar Al-Quran itu benar-benar menjadi syafaat kepada kita di akhirat kelak.

Hari-hari yang berbaki di bumi Barakah Madinah Al-Munawwarah ini,saya memohon ke hadrat Allah Taala agar impian dan cita-cita saya ini dimakbulkan dan mendapat pertolongan daripadaNya..Doakan saya!



3 comments:

sitiezahim said...

insyaAllah..:)

Biarlah rahsia said...

InsyaAllah Tuhan permudahkan segalanya...Dia tahu Ainun kuat semangatnya...insyaAllah

Pena Ainun Mardhiah said...

sitiezahim & Biarlah Rahsia: terima kasih kepada antuma atas doanya..:)