:: IMAM IBN AL-JAWZI ILMUWAN TERBILANG ::

Imam Ibn Al-Jawzi dilahirkan pada tahun 508 Hijrah di Baghdad. Oleh kerana bapa beliau meninggal semasa beliau masih kecil, beliau dipelihara oleh ibunya. Sejak kecil lagi beliau berminat dengan ilmu. Semasa sedang belajar di sekolah rendah, beliau jarang bermain dengan rakan-rakan lain.Sebaliknya,beliau menghabiskan masanya dengan membaca buku.Di dalam buku Said al-Khatir dilaporkan, beliau membaca lebih kurang 20,000 buah buku sewaktu mudanya.Beliau pernah berkata, " Cita-cita saya adalah menguasai semua bidang ilmu."Antara guru yang sempat mendidik beliau adalah seorang tokoh hadis terkenal iaitu Ibn Nasir.

Ibn Al-Jawzi juga adalah ulama yang warak.Cucu beliau,Abu Muzaffar melaporkan bahawa Ibn Al-Jawzi mengkhatamkan bacaan Al-Quran sekali seminggu.Beliau tidak menjamah makanan sehingga beliau yakin ia datang daripada sumber yang halal. Ibn Al-Farsi pula melaporkan, Ibn al-Jawzi sentiasa menghidupkan malamnya dengan ibadah.

Gabungan ilmu dan warak menjadikan dakwah Ibn Al-Jawzi berkesan. Dilaporkan,ceramah yang disampaikan beliau dihadiri oleh 10,000 hingga 15,000 orang,malah kadangkala jumlahnya lebih daripada itu. Dianggarkan lebih kurang 20,000 orang penganut agama Kristian dan Yahudi memeluk Islam selepas mendengar ceramah beliau. Ibn Al-Jawzi juga terkenal sebagai seorang penulis.Antara buku yang sempat beliau hasilkan adalah Talbis Iblis,Safwat as-Safa,Minhaj al-Qasidin wa Mufid as-sadiqin,Fadail Hasan Al-Basri, Manaqib Makruf al-Karkhi, Manaqib Rabi'a al-Adawiyya dan banyak lagi. Hal ini disebutkan di dalam Saviours of Islamic Spirit oleh Syeikh Abul Hasan Ali Nadwi.

Imam Al-Jawzi meninggal dunia pada malam Jumaat tahun 597 Hijrah.Pada hari kematiannya,aktiviti di kota Baghdad berhenti seketika. Hal ini kerana masyarakat sekitar mahu melaksanakan solat Jenazah sebagai penghormatan terakhir kepada Ilmuwan Islam agung yang sukar dicari ganti.

0 comments: