Di Atas Rantaian Ukhwah Ini..


Mei 2004.

Saya mula mendaftarkan diri di Darul Quran JAKIM.Membawa cita-cita tinggi untuk menghafaz Al-Quran,bidang yang menjadi kecintaan saya sejak kecil.Lebih kurang seminggu saya dan kawan-kawan menjalani orientasi.


Saya mula bertemunya di Masjid Darul Quran.Taaruf dimulakan dengan berbalas senyuman,tanpa disengajakan."MashaAllah,comel," bisik saya di dalam hati.Kami tidak sempat berbual apa-apa kerana masa yang perlu ditepati selaku peserta orientasi.


Minggu orientasi selesai,alangkah seronoknya.Setiap hari kami bertembung lagi di Masjid Darul Quran,tempat yang paling utama dan selesa bagi pelajar-pelajar Darul Quran menghafaz Al-Quran.Masjid yang luas,ditambah lagi dengan pemandangan tasik yang cantik mengelilingi kawasan masjid,membuatkan hati terasa amat tenang.


"Assalamualaikum,Diyana sihat?" saya menegurnya ketika kami bertembung ingin mengambil rehal untuk meletakkan Al-Quran yang ingin dibaca.


"Waalaikumussalam.Alhamdulillah sihat.Dah habis ye orientasi.." Dia membalas sapaan saya dengan senyuman.


"Ya,habis dah.Lega.." kami sama-sama tersenyum mesra.


Saya suka memilih kawasan di tepi sebelah kiri masjid untuk menghafaz dan mengulang Al-Quran.Terasa lebih privasi.Diyana pun begitu.Tempat kami mengulang agak hampir cuma kebiasaannya dia di hadapan sedikit.


Kami hanya sempat berbual apabila waktu hendak pulang ke asrama,ketika masing-masing sibuk menyarung jubah,pakaian rasmi pelajar banat( perempuan) di sini.


Rupa-rupanya bilik kami di asrama tidaklah jauh mana.Sering saya bertembung dengannya.Sahabat saya ini murah dengan senyuman.Barulah saya tahu dia merupakan pimpinan bagi pelajar-pelajar Persijilan Darul Quran pada tahun itu.Memang patutlah dia sentiasa kelihatan sibuk ke sana sini dengan menggenggam fail-fail dan buku.


Masjid mempertemukan kami dan masjid jugalah yang mengeratkan kami.Dia sering memberikan nasihat dan perkongsian ringkas kepada saya tentang rencah hidup sebagai hafizah Al-Quran.Maklumlah,saya masih baru dalam bidang yang mencabar ini.Setiap kali selepas Asar,pelajar banat akan diisi dengan slot tazkirah oleh pimpinan ataupun individu sukarela,dan Diyana sering menyampaikan tazkirah ketika itu.


Lebih kurang setahun setengah kami berkenalan di Darul Quran,Diyana meneruskan pengembaraan ilmunya di UIAM.Bermula detik itu kami terus terpisah


Alhamdulillah,dengan berkembangnya teknologi hari ini,saya dapat menjejaki semula sahabat-sahabat lama di facebook,termasuklah Diyana. Rupanya Diyana sudah berumahtangga.Gembira di hati melihatnya bahagia,walaupun hampir enam tahun kami tidak bersua muka.Saya sentiasa mengikuti perkembangannya dan sahabat-sahabat satu batch dengan beliau yang agak rapat dengan saya,antaranya Afzan,Ruby,Syeril dan Mahani.


Lebih gembira di hati ini bila mengetahui Diyana sudah beroleh cahaya mata,seorang puteri yang diberi nama Nurhanan Insyirah binti Ahmad Khalil.Bayi ini lebih kurang usia anak saya,Muhammad Muadz.Wajahnya persis wajah si ibu,sangat comel mashaAllah.




14 OKTOBER 2011


Jumaat,jam 7 malam waktu Saudi.


" Kak,Kak Diyana dah takde.Al-Fatihah.." Mesej ringkas yang dihantar oleh adik saya,Nur Ilyani yang sama-sama belajar di Darul Quran itu mengejutkan saya dan serentak dengan itu memecahkan empangan airmata.


Persoalan terjawab.
Sepanjang minggu itu saya sangat merindui Diyana,Syeril,Ruby,Afzan dan sahabat-sahabat batch mereka.Agak pelik rasanya.Bertahun-tahun kami tidak berjumpa,malah langsung tidak bermesej.Tapi kerinduan ini amat mendalam,apabila mengenangkan kami sama-sama pernah menuntut ilmu di bumi Al-Quran,sama-sama nasihat-menasihati di atas jalan kebenaran.Ukhwah ini terasa sungguh erat,mereka saya rasakan sangat dekat.


Minggu itu juga ketika saya singgah di facebook Diyana,baru saya tahu yang beliau menghidap penyakit SLE.Air mata mengalir saat membaca doa-doa dari sahabat-sahabat beliau.Ya Allah,beratnya ujian yang sedang ditanggung oleh sahabatku.Sempat saya menitipkan doa dan semangat buatnya di wall,tapi saya yakin beliau tidak sempat membacanya kerana ketika itu beliau sedang bertarung melawan penyakit di hospital.


Saya membaca kembali mesej dari Ilyani sebentar tadi.Seperti tidak percaya.Diyana sudah pergi..


Beliau seorang wanita yang solehah dan sangat menjaga kehormatan diri.Beliau rajin mengerjakan Qiyamullail dan solat-solat sunat,rajin menghadiri majlis ilmu.Dan yang pasti,Al-Quran yang menjadi amanahnya sentiasa dan tidak jemu dibaca.Saya yakin beliau pergi dalam keadaan yang tenang,hamba solehah yang gembira bertemu RabbNya.


Keesokan harinya Ilyani terus mengirim berita Allahyarhamah kepada saya.


"Yani kat rumah arwah.Nak simpan pukul 11 waktu Malaysia.Menitis air mata tengok buah hati arwah dan suami berusia 5 bulan..baby ikut muka arwah.."


Air mata saya mengalir lagi.Sedaya upaya saya membalas mesej Yani,


"Allah sayangkan Kak Diyana.Dia sangat baik,dia kembali pada Allah dalam keadaan diredhai Allah dan suami..yani,mesti muka kak Diyana tenang kan sekarang?Akak teringin nak tengok muka baby arwah.yani tolong ambil gambar baby nanti ye.akak tunggu update dari yani.terima kasih banyak-banyak dik.."


"InsyaAllah kak..Baby Hannan sangat comel.Tak meragam pun walaupun bagi susu formula..macam tahu-tahu je.."


Terkenangkan anak Allahyarhamah,Nurhanan Insyirah.Allah pasti menjagamu nak.Allah takkan biarpun dirimu keseorangan tanpa bimbingan dan kasih-sayang.Kamu beruntung lahir dari rahim ibu yang solehah,yang sangat dekat dengan Allah dan sangat tegar dalam perjuangan.


Seharian saya tidak senang duduk.Setiap saat bibir ini melafazkan doa,moga-moga Allahyarhamah tergolong dalam golongan hambaNya yang solehah dan dihimpunkan bersama wanita-wanita Syurga,amin..


Mesej terakhir Ilyani pada hari itu benar-benar mengujakan saya..
"Alhamdulillah arwah dah selamat dikebumikan.Arwah macam tidur lena.."


Alhamdulillah..Allahu Akbar..Benarlah janji Allah sepertimana dalam firmanNya:


"Wahai jiwa yang tenang!Kembalilah kepada TuhanMu dengan hati yang redha dan DiredhaiNya.Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu,dan masuklah ke dalam SyurgaKu."
( Surah Al-Fajr : Ayat 27- 30)


Sahabatku,moga dirimu tenang di sana..



Allahyarhamah Diyana pada majlis pertunanganAnak Allahyarhamah:Nurhanan Insyirah

Medan Keseronokan Penuntut Ilmu

suami saya ketika membawa ziarah jemaah haji



Musim Haji tiba lagi.

Kebiasannya pada Musim Haji suami saya akan menempuh jadual yang sangat padat,sebagai penuntut ilmu di Universiti Islam Madinah,Talaqqi di bersama Syeikh Khalid di rumah beliau,talaqqi bersama Syeikh Maqrami dan Syeikh Abdul Karim( Mufti Masjid Nabawi)di Masjid Nabawi Asy-Syarif,sebagai muzaawir( Pembawa ziarah jemaah Haji) dan pada masa yang sama menjalankan tugas wajib sebagai suami dan bapa.



Sebagai isteri sering terselit perasaan kasihan di hati apabila melihat wajah suami yang kepenatan setiap kali pulang dari kuliah.Tapi saya tahu suami saya punya visi dan misi yang besar di dalam hidupnya.Kepenatan pulang dari membawa ziarah jemaah Haji Malaysia tidak menghalangnya untuk terus berkejaran menuntut ilmu di Masjid Nabi.


Saya tahu,cintanya pada Ilmu dan para Masyayikh sangat tinggi.

"Kali ni abang tak boleh nak bawa ziarah banyak-banyak masa waktu kuliah.Sayang kelas.Sem ni abang belajar tentang hudud,Qisas dan lain-lain.Beza kita belajar kat sini dengan tempat lain.Kat sini negara yang amalkan Qisas.Penerangan Syeikh sangat mendalam,sangat padat.Di Malaysia nanti kita perlu memahamkan masyarakat pasal hukum ni.Bukan setakat belajar,tapi kita akan jadi tempat rujukan."Luah abang kepada saya semasa kami pulang dari Masjid Nabawi.


Semester ini merupakan semester akhir suami saya bergelar mahasiswa Universiti Islam Madinah.Bermakna semester ini adalah yang paling penting dan perlu kepada tumpuan yang jitu kepada pelajaran.Tidak cukup dengan ilmu yang dicedok dari universiti,peluang belajar dengan Syeikh-syeikh yang amat ramai di Madinah ini perlu dimanfaatkan.Bagi saya,amat rugi sekiranya mahasiswa-mahasiswa di sini tidak mengambil peluang menuntut ilmu dengan syeikh di sini.Peluang terbentang di hadapan mata dengan banyaknya kuliah-kuliah ilmu yang diadakan bukan sahaja di Masjid Nabawi,malah di Masjid Qiblatain dan Quba' juga meriah dengan majlis ilmu.


Inilah medan keseronokan bagi penuntut ilmu.Bagi yang benar-benar bersungguh-sungguh,ilmu itu akan digali lagi,dirujuk dan didalami dari pelbagai sumber.



MESIR MENGAJARKU CINTAKAN ILMU


Tiga tahun saya bergelar mahasiswi Maahad Qiraat Fatayat Mansurah,di bawah naungan Universiti Al-Azhar,Mesir.


Tiga tahun saya menempuh ujian dan cabaran menuntut lmu di tempat orang,yang iklimnya sudah tentu tidak sama dengan Malaysia.


Tiga tahun saya menguatkan hati berpagi-pagian keluar menuntut ilmu seawal jam 7 pagi.Jika ketika itu musim sejuk,kebiasaannya hujan akan turun denga lebatnya di bumi Mansurah.Jalan-jalan akan becak dan sana-sini air bertakung teruk kerana di Mesir tidak disediakan saliran air atau longkang-longkang yang baik seperti di Malaysia.Keluar awal pagi pada musim sejuk bermakna fizikal perlu menempuh fasa gigil-menggigil sepanjang di jalanan.Di dalam kelas Syeikh Husin pula ujiannya lebih berat.Mengantuk yang tidak dapat dikawal-kawal.Bukan seorang dua yang mengantuk,malah boleh dikatakan setiap barisan ada yang tersengguk-sengguk.Namun Syeikh Husin tidak pernah menyebut beliau terasa hati dengan kami.Cuma nasihat dari seorang bapa,"Kuatkan diri kamu menuntut ilmu.Allah akan redha pada kamu."


Pulang dari kelas Syeikh Husin,saya bersama sahabat saya,Kak Fatin bergegas mencari teksi.Kami perlu bersegera ke Markaz Sibawaih,menuntut ilmu Bahasa Arab bersama Ustazah Hebah.Kelas tamat pada pukul satu.Kami terus solat Zohor dan berkejar pula ke Maahad Qiraat untuk menghadiri kuliah rutin setiap hari.



Menjelang Asar,kelas tamat dan kami pulang ke rumah.Andai ada kesempatan,kaki melangkah ke Dewan Mahasiswa Mahasiswi Mansurah untuk mengikuti kuliah ilmu harian yang disampaikan oleh ustaz-ustaz,mahasiswa yang sama-sama menuntut ilmu di Perlembahan Nil ini.Hampir maghrib baru tiba di rumah.


Selepas Maghrib masa terbaik untuk mengulang Al-Quran,selepas Isyak masa untuk mengulangkaji pelajaran dan kemudian barulah tidur.


Penat?Ya,memang penat.Tetapi apa yang saya rasakan sekarang adalah kepuasan.Kepuasan apabila mencabar diri sendiri melalui pelbagai kesusahan dan ujian di Mesir semata-mata untuk menuntut ilmu.Sungguh,saya dapat rasai apa itu keberkatan menuntut ilmu.Allah akan permudahkan segala urusan dengan syarat kita bersungguh-sungguh menuntut ilmu kerana Allah.


Kini selepas setahun saya meninggalkan Mesir,saya amat merindui suasana itu.InsyaAllah,dengan izin Allah saya ingin ke sana lagi dan bertemu dengan guru-guru,muallim-muallimah saya.Hanya dengan Ilmu dapat mengubah segalanya!






Menuntut ilmu kadangkala payah,perlu kepada MUJAHADAH



Menuntut ilmu kadangkala memeritkan,perlu kepada KEAZAMAN



Menuntut ilmu kadangkala tidak punya wang,perlu kepada PENGORBANAN



Menuntut ilmu itulah PERJUANGAN!



Nasi Maqlubah dan Basbousa




Nasi Maqlubah Mak Long.Kredit untuk Prof Kamil:)


Malam semalam saya dan suami mendapat jemputan dari Pak Long Isa dan Mak Long Normah.Hajat di hati sebenarnya ingin menziarahi pak long dan mak long sebelum mereka pulang ke Malaysia pada hari Rabu ini.Kebetulan pula,pak long dan mak long menjemput Profesor Kamil dan Kak Roza pada waktu yang sama.Alhamdulillah,dapatlah saya berkenalan dan berborak panjang dengan Kak Roza yang baru menetap di Madinah sejak sebulan yang lalu.

Pak Long dan Mak Long sudah kami anggap sebagai ayah dan ibu kami di Madinah ini.Mereka berasal dari Kedah, sudah menetap di sini lebih kurang 47 tahun.Cukup lama kan?Alhamdulillah,rezeki dari Allah..

Sementara mak long memasak,saya dan Kak Roza berbual panjang.Kak Roza cukup ramah orangnya,anak-anaknya pula Amirul dan Sofiyya sangat suka dengan baby.Terhibur hati saya melihat Amirul pandai memangku dan bermain dengan Muadz.Ahmad,cucu Pak Long pula menambahkan kemeriahan suasana.Ahmad kalau tidak silap saya berumur dua tahun lebih.Keletahnya yang cerdik dan pandai bercakap Arab sangat mencuit hati kami.

Hidangan sudah sampai..Nasi Maqlubah,Mee Bandung,Basbousa,Salatah terhidang di depan mata.

"MashaAllah,banyaknya mak long!kak Roza,mak long ni pakar masak kat Madinah ni tau." saya bersuara menghidupkan suasana.

"Mak long masak camana ni?" Kak Roza pula berminat untuk menuntut resepi.

"Ni spagetti ke mak long?" tanya saya pula.

"Tak..mee ni mak long buat sendiri.mak Long beli mesin dia,buat sendiri ja.." mak Long terus menjawab soalan kami.

Selera kami makan sampai bertambah-tambah.MashaAllah,memang sedap!

Maqlubah, atau maknanya masakan yang diterbalikkan (upside down) adalah satu resepi yang masyhur di Jordan. Ia adalah masakan yang berasaskan nasi dan mempunyai aroma yang sungguh menyelerakan.



Basbousa pula sejenis halawah ( manisan) yang menjadi kegemaran orang Arab.Teringat waktu di Mesir dulu,saya kurang berminat untuk makan manisan atau kuih-kuih Arab ni sebab kadang-kadang terlalu manis.

PESAN KAK ROZA




"Ainun teruskan menulis.Menulis ni kena mula,kena selalu tulis.Setiap hari biasakan tulis satu page,30 hari dah 30 page kan?"

Nasihat Kak Roza saya tanam dalam-dalam di hati.Kak Roza seorang penulis dan telah menulis 2 buah buku antaranya bertajuk "Travelog Cinta Abadi."Suaminya pula saya rasa satu Malaysia sudah maklum-Profesor Kamil yang menulis buku "Travelog Haji."

Syukur Alhamdulillah,Allah temukan saya dengan mereka.Supaya saya tidak terhenti usaha di sini malah berganda-ganda semangat untuk menghasilkan yang terbaik buat ummah melalui mata pena.

Hari ini saya bukan sahaja dapat menikmati Nasi Maqlubah dan Basbousa yang sangat sedap,malah dapat mendengar nasihat-nasihat dari Kak Roza yang sangat lazat..Alhamdulillah!