Daisypath Anniversary tickers
TIPS MENGULANG AL-QURAN BAGI PARA ISTERI


Kali pertama menggalas amanah sebagai seorang Hafizah Al-Quran,ia bukanlah suatu tiket untuk seorang wanita itu mendabik dada dengan mengatakan "aku sudah ingat 30 juz Al-Quran.'' Tidak,Bukan semudah itu!

Al-Quran itu mukjizat yang agung.Fahamilah makna kalimah 'Hafizah Al-Quran'.Ia bermaksud 'Penjaga Al-Quran'.Sesiapa sahaja boleh bergelar Hafizah,tidak semestinya dia perlu memasuki gerbang Maahad Tahfiz Al-Quran terlebih dahulu.Pokoknya,ingin menjadi Hafizah Al-Quran atau sudahpun bergelar Hafizah,kedua-duanya perlu melalui fasa Usaha dan Mujahadah yang tinggi untuk memelihara Al-Quran.

Guru saya di Darul Quran dulu selalu berpesan," Selangkah kamu memasuki bidang menghafaz Al-Quran ini,bermakna kamu telah mengikat janji untuk terus menjaga Al-Quran sepanjang hayat kamu.Al-Quran tidak boleh sewenang-wenangnya dilupakan."

Kata-kata inilah yang menjadi pegangan saya selama ini.Al-Quran sangat mudah terlepas dari ingatan apabila tidak diulang-ulang bacaannya.Itulah konsep menghafaz Al-Quran.

Menilik sirah Rasulullah SAW dalam aspek penjagaan Al-Quran ini,pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh sahabat-sahabat Rasulullah SAW dalam menjaga Al-Quran.Antaranya setelah mereka mendengar ayat-ayat Al-Quran yang baru diturunkan,mereka terus menghafaznya,lalu menulisnya di atas batu,tulang dan kulit binatang.Beginilah cara pengumpulan ayat-ayat Al-Quran yang dilakukan oleh para sahabat supaya ayat Al-Quran ini tidak hilang dan dilupakan.

Tips Mengulang Al-Quran

Bergelar seorang isteri pada masa yang sama menggalas amanah sebagai Hafizah Al-Quran,ianya bukan suatu tanggungjawab yang mudah.Walaupun seorang isteri bertugas sebagai suri rumahtangga,kerja yang terhidang di hadapan mata seolah-olah tidak pernah habis.Bagi isteri yang bekerjaya pula,ramai yang mengadu tidak punya ruang masa yang banyak untuk mengulang Al-Quran,malah untuk membaca Al-Quran pun tidak sempat.

Saya cuba mencari tips yang berguna dan praktikal bagaimana untuk mengulang semula Al-Quran yang pernah kita hafaz sebelum ini dengan mengambil kira realiti kehidupan kita sebagai isteri dan ibu yang saban hari dihambat oleh kesibukan kerja dan keluarga.

Tips Mengulang Al-Quran antaranya:

1- Mempatrikan keazaman yang tinggi untuk mengulang semula 30 Juz Al-Quran walau di mana sekalipun kita berada.
-Renungkan sejenak,kita pernah berada di Darul Quran-hampir separuh kehidupan harian kita berdamping dengan Al-Quran,pantang ada masa yang terluang kita akan membaca dan menghafaz serta mengulang Al-Quran.Al-Quran sentiasa ada di dalam genggaman dan pelukan walau ke mana sekalipun kita pergi- ke kelas Tasmi',ke bilik kuliah,ke masjid,ke dewan makan malah sewaktu minggu orientasi sekalipun barang amanah yang paling wajib dijaga oleh para peserta adalah Al-Quran.Mengapa suasana ini tidak kita teruskan apabila keluar dari Darul Quran?Jadikan Al-Quran itu sentiasa menjadi pendamping kita untuk dibaca di tempat kerja,di dewan kuliah mahupun dibaca di dalam kereta.

2-Meletakkan target dan sasaran untuk menamatkan semula Hafazan 30 Juz.(Menjadi Hafizah semula)
-Ramai Hafizah yang segan dan malu alah untuk mengaku dirinya adalah Hafizah kerana Al-Quran yang pernah dihafaz tidak diingati dengan baik atau biasanya disebut 'tidak masyi'.Saya sendiri mengalami situasi ini.Apabila ditanya," Kamu Hafizah?Hafaz semua Al-Quran?" Jawapan yang biasanya terluncur laju di lisan saya adalah: "Ya,saya pernah menghafaz tetapi perlu mengulang dan lancarkan semula."

Tetapi sampai bila kita perlu berada di takuk lama dan hanya menyerahkan pada keadaan tanpa mengubah hafazan kita menjadi lebih baik?Sebaiknya mulai hari ini dan saat ini,bersama-samalah kita menganjakkan paradigma dan menyusun strategi untuk memastikan suatu hari nanti Al-Quran 30 juz ini benar-benar terpahat di dalam hati dan ingatan kita.

*bersambung*

2 comments:

muslimah rempit said...

Terima kasih atas info...

Semoga saya dapat mempraktikkannya...

Pena Ainun Mardhiah said...

sama-sama:)