-suasana musim sejuk di Mansurah-
November 2008
Jalan menuju ke Markaz Pelajar Malaysia Mansurah sangat becak.Air bertakung di sana sini.Saya meneruskan perjalanan dalam kesejukan musim dingin di Mesir ketika ini..Sesekali angin bertiup sepoi-sepoi bahasa menambahkan kesejukan hingga ke tulang sum-sum.Hujan lebatyang turun pada malam semalam menyebabkan jalan raya becak bersalut lumpur.Kereta lalu-lalang memercikkan air kotor dan mengenai jubah dan kasut.Oh,janganlah cuba-cuba memakai jubah yang berwarna cerah pada musim hujan begini.Jelaslah kelihatan kotor di sana sini.
"Subhanallah,sejuknya.." monolog saya di dalam hati.Sampai di selekoh Utubis Jadid,mata saya tertancap kepada para pekerja yang sedang mengutip sampah.Sekumpulan lagi menolak air yang bertakung di atas jalan dengan menggunakan penyapu dan peralatan lain.Apabila tibanya musim hujan,fenomena begini kerap saya saksikan.Sistem saliran yang kurang baik memungkinkan perkara ini terjadi.Tiada longkang,maka air yang bertakung menyukarkan kenderaan bergerak lancar.Apatah lagi dengan kepadatan rakyat dan kenderaan di Mesir ini.Jika tidak diuruskan dengan baik pasti akan kerap berlaku kemalangan.
5 minit lagi menghampiri ke jam 7 pagi.Saya mempercepatkan langkah.Sudah terbayang wajah Syeikh Husin yang menanti di pagar rumahnya.Menanti kami anak-anak murid menjemputnya untuk menyampaikan ilmu di Markaz Pelajar Malaysia Mansurah.Begitulah rutin kami pelajar-pelajar Qiraat setiap pagi.Apabila pelajar sudah ramai datang ke Markaz,kami akan bergilir-gilir ke rumah Syeikh setiap hari untuk menjemputnya.Apabila kami tiba di rumah Syeikh,maka beliau sedia maklum bahawa anak-anak muridnya sudah ramai menantinya di Markaz untuk menimba ilmu.
Tetapi pada hari itu perkara sebaliknya berlaku.Jam menunjukkan pukul 7.15 pagi tetapi baru satu baris pelajar yang tiba.Saya sudah bimbang.Pasti Syeikh akan kecewa nanti.Mahu tidak mahu terpaksalah juga saya dan Aini menjemput Syeikh.Jika tidak,tentu lebih lama Syeikh menunggu kami di pagar rumahnya.Kami berjalan kaki ke rumah Syeikh sambil menelefon kawan-kawan yang masih belum hadir.
"Mengapa lambat Mardhiah?"Syeikh mengajukan soalan setibanya kami ke rumahnya.
"Maafkan kami Syeikh,ramai yang masih belum tiba," jawab saya dalam keadaan serba salah.
"Mesyi,mafi musykilah," balas Syeikh dan kami terus mengatur langkah menuju ke Markaz semula.Syeikh hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan.Memang begitulah sikapnya.Mulutnya terkumat-kamit mengulang Al-Quran sepanjang perjalanan sehinggalah kami tiba di Markaz.
"Assalamualaikum",Syeikh memberi salam kepada semua anak-anak muridnya.
"Waalaikumussalam," balas kami.
"Ya Mardhiah,ainal baqi? (Ya Mardhiah,mana baki pelajar yang lain?)" Tanya Syeikh kepada saya sekaligus menambahkn perasaan serba salah di hati.
"Ma'alisy Ya Syeikh,Ma 'araftu..(Maafkan saya Syeikh,saya tidak tahu)" Balas saya dengan nada yang sangat bersalah.
Sangat bersalah kerana Syeikh sanggup meluangkan masanya untuk mengajar kami walaupun di dalam keadaan dirinya sangat sibuk.Seawal jam 6.30 pagi Syeikh sudah duduk di tingkat bawah rumahnya mengulang Al-Quran dan jam 7 pagi sepatutnya kami sudah hadir menjemputnya ke Markaz.Jam 9 pagi Syeikh menamatkan pengajian dan terus ke Kilang roti tempatnya bekerja.Syeikh bertugas sebagai Manager di kilang roti.Kadangkala,pada jam 11 pagi beliau bergegas kembali ke Markaz untuk mengajar pelajar Qiraat tahun 3 pula.Jam 12.30 tengahari kelas berakhir dan Syeikh terus menuju ke Masjid di sebelah rumahnya untuk mengimami Solat Zohor.Pada sebelah petang beliau akan mengajar kelas Tahfiz kanak-kanak dan pengajian Ilmu-ilmu Al-Quran untuk orang dewasa di sebelah rumahnya.Saya sendiri tertanya-tanya,bilakah masanya Syeikh berehat?Beliau bukanlah masih muda,umurnya sudah menjangkau 50-an.
"Musim sejuk ini memang menguji kita.Lebih-lebih lagi untuk bangun di awal pagi untuk mengulang Al-Quran dan mengulangkaji pelajaran," Suara Syeikh memecahkan suasana sekaligus mematikan lamunan saya sebentar tadi.
"Tetapi tahukah kamu,apabila kamu melangkah kaki ke kelas dalam keadaan sejuk pada pagi hari begini,Allah akan menggandakan pahala kamu.Allah akan memudahkan kamu memperoleh ilmu dan Allah akan memudahkan laluan kamu untuk memasuki Syurga.Oleh itu kuatkan jihad kamu dalam menuntut ilmu.Kuatkan semangat kamu untuk melawan nafsu tidur di pagi hari.Kamu akan terasa keindahannya nanti,"
Subhanallah,indahnya kalam-kalam nasihat dari Syeikh.
"Semakin banyak kamu membaca Al-Quran dalam keadaan sejuk-sejuk begini semakin kamu terasa akan keindahan Al-Quran.Allah sangat sayang kepada kamu.Berjihadlah dalam membaca Al-Quran.Kamu akan terpilih sebagai orang yang akan menghuni Syurga."
Kata-kata itu seolah-olah satu anak panah yang tepat mengenai hati saya.Ya,musim sejuk ini dugaan untuk kerap tidur sangatlah kuat.Terbayang lihaf (toto) tebal di katil yang menyelimuti tubuh yang sedang tidur kesejukan seperti berada di dalam aircond.Tetapi ini lagi seronok,aircond semulajadi,fresh!
Baru mula membuka Al-Quran,kelopak mata semakin berat.Baru mula menghadap kulit kitab,mata sudah mahu terlelap.Itulah penangan musim sejuk..parah,parah..
"Kamu perlu ada azam yang kuat.Azam yang kuat untuk menuntut ilmu Allah.Bukan untuk diri kamu sahaja,tetapi untuk Agama.Kamu datang jauh dari Malaysia ke Mesir ini untuk menuntut ilmu.Cuba kamu bayangkan perasaan ibu ayah kamu kalau mereka tahu kamu datang sini tetapi tidak belajar bersungguh-sungguh.Datang Mesir untuk tidur lena.Belajar main-main.Apa perasaan mereka?"
Subhanallah,semakin mendalam kata-kata Syeikh.
Daripada Abu Darda' r.a berkata: Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: "Barangsiapa yang menjalani satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan syurga. Sesungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha bagi orang yang menuntut ilmu. Dan sesungguhnya orang yang ada diseluruh lapisan langit dan bumi meminta ampun bagi orang yang alim sehingga ikan yang ada dilaut. Dan sesungguhnya kelebihan orang yang alim atas orang yang abid seperti kelebihan bulan purnama atas sekalian bintang-bintang. Dan sesungguhnya ulama itu pewaris Nabi-nabi. Dan para Nabi itu sebenarnya tidak mewariskan dinar (wang emas) dan dirham (wang perak)tetapi yang diwariskan oleh mereka ialah ilmu. Maka barangsiapa mengambil ilmu bererti ia telah mengambil habuan yang paling sempurna."
Hadis Riwayat Abu Daud
Jihad ini perlu diteruskan.Jika orang lain bermain-main aku perlu fokus kepada pelajaran.Jika orang lain enak tidur diselimuti lihaf tebal aku perlu bingkas bangun memperbanyakkan amal.Kerana kelazatan dunia ini hanya sementara,aku teringin menikmati nikmat di Syurga.
Ya Allah,aku pohon bantuanMu.Kuatkan aku untuk mencapai misi visiku!
0 comments:
Post a Comment