Daisypath Anniversary tickers
:: menemani suami menziarahi Madinah ::

Kabus tebal menyelimuti bumi Madinah kala ini.Kesejukan kian mencengkam,hingga terasa ke tulang sum-sum.Bumi barakah ini tetap menjanjikan ketenangan buat penghuninya.Dalam mengharungi cuaca panas ataupun sejuk,hati-hati insan yang mendiami tanah ini sentiasa redha dan memanjatkan tawakkal yang tinggi kepada Yang Esa..Inilah keberkatan bumi Madinah,yang terisi di dalamnya jasad yang sangat mulia,Nabi Muhammad SAW..

Hari ini saya punya satu misi,ingin menemani suami membawa jemaah haji Malaysia menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Madinah.Sebenarnya sudah beberapa kali suami membawa jemaah haji berziarah,tetapi kerana kondisi diri saya yang masih kurang stabil di trimester pertama berbadan dua,hasrat untuk menemaninya hanya tersimpan rapi di hati.Hari ini,dengan azam ingin sama-sama memberi sokongan kepadanya di samping saya sendiri ingin menggali sedalam-dalamnya ibrah di sebalik tempat-tempat sejarah tersebut,saya cuba menguatkan diri dan jasad agar dapat bersama hingga ziarah ini selesai.

Usai bersolat subuh berjemaah,kami meneruskan perjalanan ke Hotel Al-Haram,berdekatan dengan Masjid Nabawi untuk bertemu dengan jemaah haji Malaysia di sana.Bas-bas dibahagikan dan setiap bas akan diiringi oleh seorang muzawwir,yang ditugaskan untuk memberi penerangan tentang tempat-tempat yang bakal dilawati.Terasa seronok dapat bersama pakcik-pakcik dan makcik-makcik dari Malaysia,sekurang-kurangnya apabila melihat wajah-wajah mereka,dapat melepaskan kerinduan saya kepada ayah bonda di kampung.

Perjalanan dimulakan dengan destinasi pertama kami ke Masjid Quba'.Jemaah haji yang berada di Masjid Quba' ketika itu terlalu ramai,termasuk jemaah haji dari negara lain.Hajat di hati,ingin bersolat sunat 2 rakaat di sini,tapi kata abang,lebih baik saya tidak ikut serta berada dalam kelompok manusia yang ramai itu.."Bimbangkan anak,"katanya.



:: makam Syuhada Uhud ::


Apabila semua jemaah di bawah kumpulan abang tiba di bas kami,perjalanan diteruskan ke Bukit Uhud.Sepanjang perjalanan,suami meneruskan penerangan dan tazkirah,waktu keemasan yang diambil untuk menyebarkan seluas-luasnya dakwah ke dalam hati para jemaah.Tiba di Bukit Uhud,keadaan sama seperti di Masjid Quba' tadi.jemaah haji terlalu ramai.Walau bagaimanapun,kami masih punya ruang untuk berkumpul dan suami meneruskan penerangannya tentang Sejarah Uhud dan situasi peperangan itu..

Allahu Akbar,hati insan-insan yang beriman tidak kan mampu menafikan kekaguman dan kerinduan kepada Baginda Rasulullah SAW.Mengenang keperitan dan kesakitan yang ditanggung Rasulullah SAW dan para sahabat pada ketika itu,hati dijentik perasaan sebak dan pilu yang teramat.Terasa sempit dada mengenangkan sukarnya Baginda dan para sahabat melalui saat itu.Betapa hebat cinta para sahabat pada Baginda Rasul,sehingga sedaya upaya mereka tidak mengizinkan tubuh Rasulullah SAW dicederakan.Memang layaklah mereka dipilih sebagai penghuni Syurga,kerana kecintaan yang tiada taranya kepada Baginda.

Air mata kami menitik laju apabila mendengar kisah tentang Uhud ini.Melihat pakcik-pakcik dan makcik-makcik di kiri dan kanan saya mengelap air mata yang tumpah lantaran keinsafan dan kesedaran,saya sendiri tidak mampu mengawal perasaan.Biarpun beberapa kali saya telah melawat tempat ini sepanjang saya menetap di sini,namun iktibar yang terkandung di dalam Sirah Baginda tidak dapat menghentikan perasaan sebak yang bertamu di hati..kisah Uhud sungguh indah,seindah bukit yang Allah ciptakan ini,yang juga menjadi kecintaan Nabi..

Ziarah diteruskan lagi ke kebun dan pasar kurma,tempat untuk membeli kurma-kurma yang berpatutan harganya.Tempat ini menjadi destinasi terakhir ziarah kami.Seronok melihat keceriaan yang tergambar di wajah para jemaah.Semoga kepulangan mereka ke bumi Malaysia nanti,menjanjikan ketenangan dan kebahagiaan setelah melalui fasa ibadah Haji dan bertamu di bumi kecintaan Rasulullah SAW.

Kepada para pengunjung blog ini,di sini saya sertakan sedutan video penerangan suami saya tentang Bukit Uhud.Video ini dirakamkan oleh salah seorang jemaah haji yang menyertai kumpulan suami saya dalam edisi ziarah sebelum ini.Saya sendiri tidak tahu siapa empunya diri kerana video ini dikirim oleh seorang sahabat kepada suami.Jazakumullahu khairan kathira diucapkan kepada mereka..

Siiru 'ala Barakatillah:)








5 comments:

Ummu Iffah said...

Tahniah..
Saya baru tahu yg akak sedang mengandung..bila due yer?..

Pena Ainun Mardhiah said...

tq dik!:)due insyaAllah 21/4/2011..mohon doanya ye dik!

- ismisyakila - said...

alfun mabruk kak ainun :) semoga mudah sepanjang mengandung dan melahirkan kelak

Pena Ainun Mardhiah said...

amin..thanks dik.doakn akk ye:)

rugayahabubakar said...

Salam dik@anak kot....
Tkasih krn terima akak@antie sbg rakan fb Ainun. Sayang x berkesempatan musim haji lps. Kalau ikut tarikh pd cerita ni sma hari ziarah luar yg akak ikuti musim haji 1431 lalu. Utk pengetahuan Ainun akak pn menginap di Al Haram jgk dn sessi ziarah hr tu muzawwirnya W. Zakri Zulfahmi anak Terengganu. Kebetulan pulak akak pn dr Trg so kena sgt. Bertuah Ainu menjadi penghuni Kota Madinah yg penuh barakah.....salam dr Malaysia