Daisypath Anniversary tickers
CATATAN DARI MAKKAH

Syukur Alhamdulillah buat kesekian kalinya Allah izinkan kami untuk menjejak Tanah Haram Makkah.Bumi yang sentiasa kami rindui saban waktu..


Perjalanan memakan masa lebih kurang 6 jam dari Madinah kerana kami berhenti solat dan makan di Mahattah Amjad.Mahattah ini menjadi pilihan kerana hidangan nasi mandinya yang sangat lazat MashaAllah.

Perasaan bercampur baur di sepanjang perjalanan apabila mengenangkan ini adalah antara rakaman saat-saat akhir kami bermusafir ke bumi Makkah.Sebak di hati melihat bukit-bukau di sepanjang jalan.Bukit-bukau ini bakal saya tinggalkan sedikit masa lagi InsyaAllah.

Umrah

Pagi tadi kami bergerak dari rumah Ustaz Khairul Ariffin menuju ke Masjidil Haram dengan menaiki teksi.Indahnya melihat pemandangan Makkah sebelum subuh,MashaAllah.Keadaan tidaklah terlalu sesak dan kami tiba di Masjidil Haram pada pukul 5.35 pagi.Kesejukan menggigit-gigit tulang sum-sum.Anakanda Muadz seolah-olah memahami ummi dan abahnya ingin mengerjakan Umrah.Awal-awal lagi Muadz bangun dan bersiap untuk ke Masjidil Haram.

Usai solat subuh,keadaan di dataran kaabah sangat sesak.Oleh kerana kami bimbang akan keselamatan Muadz,kami membuat keputusan untuk menunggu dahulu sehingga keadaan sedikit reda untuk memulakan tawaf.Jam 7.15 pagi kami memuakan tawaf.Alhamdulillah pusingan 1 hingga ke 4 berjalan lancar.

Tiba ke pusingan ke 5 tawaf,solat sunat Istisqa' didirikan.Keadaan ketika itu menjadi sedikit sesak dan padat kerana ada antara jemaah yang sedang tawaf ketika itu tiba-tiba berhenti untuk mengerjakan solat Istisqa'.Dengan situasi dataran kaabah yang masih dipenuhi ramai manusia ketika itu,keadaan menjadi sedikit kelam-kabut.Selesai solat Istisqa',aktiviti tawaf berjalan lancar seperti biasa.

Di dalam kesibukan mengerjakan tawaf,saya sempat menangkap beberapa kalimah yang disampaikan oleh Syeikh yang menyampaikan khutbah selepas solat sunat Istisqa' antaranya menekankan tentang perlunya kita menghindari maksiat dalam kehidupan.
"Maksiat itu akan menyebabkan jauhnya kita dengan Rahmat dan Barakah dari Allah."

Ya Allah,Kami ingin kembali padaMu..

Dengan izin Allah Taala,kami selesai mengerjakan umrah pada jam 9.30 pagi Alhamdulillah.

Hati manusia sangat mengharapkan taufik dan hidayah dari Penciptanya.

Walau sebanyak manapun peluang yang Allah berikan kepada kita untuk mengerjakan Haji dan Umrah,tetapi sekiranya diri dan amalan kita masih berada pada takuk yang lama selepas itu,ia tidak memberi erti apa-apa.Berazamlah untuk memperbanyakkan amal kebaikan tanda bersyukur di atas nikmat yang Allah kurniakan.Berubahlah ke arah yang lebih baik.

Saya ingin berkongsi kata-kata Prof Muhaya di dalam salah satu ceramahnya," Ketika anda mengerjakan tawaf di Kaabah,adakah anda hanya memerhatikan keadaan sekeliling,gelagat orang ramai atau anda benar-benar fokus pada ibadah anda?"

Beribadahlah dengan benar-benar fokus mengharap maghfirah dan kasih-sayang Allah.Di sana terdapat kelazatan rohani yang tidak tergambar dengan kata-kata.Semoga Allah meredhai kita semua,amin..

1 comments:

rerama salju said...

Salam,
brp umur baby masa buat Umrah tu?baby dah berkhatan?T.kasih