Daisypath Anniversary tickers
Haram Dan Kuliah Ilmu Syeikh Syanqiti

Haram ( Masjid Nabawi ) semakin sesak.

Bagi saya sebagai orang yang menetap di Madinah suasana ini menimbulkan rasa seronok dan gembira di hati.
Kerana apa?
Kerana selepas tamat musim Haji yang lalu,suasana Masjid Nabawi agak lengang.Walaupun warga Madinah dan Saudi ramai menziarahi Masjid Nabawi tetapi jumlahnya tidaklah terlalu padat sehingga memenuhi segenap ruang masjid.

Tetapi apabila dibuka visa umrah,suasananya berbeza.Berbondong-bondong manusia menziarahi Madinah terutamanya Masjid Nabawi.Kemeriahannya kembali terasa.Saya sendiri seolah-olah merasakan diziarahi oleh saudara-mara dari seluruh dunia..Subhanallah!

Kuliah Ilmu Syeikh Syanqiti

Selepas solat maghrib baru saya perasan panggilan telefon dari suami.Apabila panggilan itu diulang berkali-kali bermakna ada sesuatu perkara penting yang ingin diberitahu.Syukurlah saya tergerak hati untuk membuka telefon.

" Ain,ada ceramah Syeikh Syanqiti sekejap lagi.Di tempat yang sama."

Kebetulan saya sudah berada di ruang solat wanita berhampiran pintu nombor 30.Di sini terdapat speaker yang akan memperdengarkan ceramah-ceramah yang diadakan di Masjid Nabawi.

Syeikh menyampaikan ilmu berkaitan tentang Zakat dan para pendengar bertanyakan soalan di akhir ceramah.Kata abang,suasana ceramah di ruang solat lelaki penuh dan padat,seperti suasana ceramah Ustaz Azhar Idrus di Malaysia.Ya,Syeikh Syanqiti memang sangat terkenal di seluruh dunia dengan kefaqihannya di dalam ilmu agama.

Antara kata-kata Syeikh yang sangat menyentuh hati saya adalah berkaitan dengan berbuat baik kepada ibu bapa.

" Hubungilah ibu bapa kamu setiap hari atau 3 hari sekali atau seminggu sekali atau sebulan sekali.Gembirakanlah mereka.Ada orang apabila mendapat kejayaan orang yang terawal yang dia maklumkan adalah sahabatnya.Tetapi sepatutnya semua yang berlaku pada kamu terutama berita gembira,berita kejayaan dan lain-lain sepatutnya beritakanlah kepada kedua ibu bapamu terlebih dahulu.Berbuat baiklah kepada mereka.Kita tidak tahu yang mana satu amalan kita yang Allah terima.Jadi,sentiasalah berbuat baik di dalam kehidupanmu."

Timbul sebak di hati mengenangkan emak dan abah di kampung.Terlalu rindu pada mereka setelah berbulan-bulan tidak berjumpa.Semoga Allah memanjangkan umur kami untuk bertemu dan dikurniakan peluang kepada kami untuk berbakti kepada kedua ibu bapa.

" Ya Allah,peliharalah kedua ibu-bapaku dan masukkanlah mereka ke dalam syurgaMu tanpa hisab..Amin.."

0 comments: