:: QIYADAH : TERCAPAIKAH KREDIBILITI YANG DIHARAP? ::


Turki pimpinan Kamal Ataturk , menjauhkan Islam dari kepimpinan hidup manusia. Negara dua wajah ini adalah bencana yang paling dahsyat dalam sejarah manusia dan kemanusiaan. Meminggirkan agama ( deen ) ini dari fungsinya sebagai pedoman dan petunjuk jalan kehidupan manusia adalah tikaman yang paling memedihkan dan menusuk jantung umat. Adakah contoh pemimpin yang zalim ini akan berulang kembali?

Masa terus berputar, pemimpin datang dan pergi. Tetapi berapa ramaikah pemimpin yang benar-benar memartabatkan Al-Quran sebagai paksi? Meletakkan hukum Allah sebagai perlembagaan yang wajib dilaksanakan? Berapa ramaikah pemimpin yang benar-benar berakhlak sepertimana sifat-sifat Rasulullah SAW dan para sahabat di dalam membawa hati-hati manusia mengenali Pencipta mereka?

Menjadi seorang pemimpin bukanlah suatu tugas yang mudah. Bukan setakat berseronok-seronok mendapat jawatan yang tinggi di dalam masyarakat , bukan setakat berasa gembira apabila ke mana-mana dia pergi dirinya dikenali, bukan setakat memperoleh bonus yang tinggi setiap tahun, kereta yang berderet-deret, rumah yang bertingkat-tingkat.Bukan setakat itu!

Amanah yang terpundak di tunjak jemala seorang pemimpin akan dipersoalkan di akhirat kelak. Pemimpin yang terbaik adalah pemimpin yang menanamkan rasa takut akan azab Allah di dalam dirinya. Setiap derap langkah yang diatur, setiap strategi yang dirancang, setiap projek yang ingin dilaksanakan semuanya mengharapkan rahmat dan keredhaan daripada Allah. Apabila seorang pemimpin menyedari amanah kepimpinan ini adalah taklifan daripada Allah , maka dia akan sentiasa berhati-hati di dalam setiap tindak-tanduknya, bimbang akan kemurkaan Allah terhadap diri dan rakyatnya.

Pemimpin yang ikhlas adalah mereka yang sedia menerima teguran dari anak buah dan rakyat jelatanya lantaran dia menyedari bahawa dia adalah insan biasa yang tidak sunyi dari melakukan salah dan silap. Insan lain adalah cerminan yang terbaik buat pemimpin. Tidak ada salahnya bagi pemimpin menerima teguran dari insan lain kerana darjat manusia itu adalah sama, yang berbeza hanyalah takwa di sisi Allah Yang Maha Mencipta. Maka tidak perlulah insan yang menyalurkan teguran itu dibenci, di 'gam' dan di 'bisu'kan oleh kuasa kerdil kita yang hanya sementara di dunia ini.

Semoga Allah meredhai Al-Faaruuq ( Umar Bin Al-Khattab) ketika beliau menegaskan bahawa kewajipan para pengikut memberi nasihat dan kewajipan pemimpin menerimanya. Beliau berkata sedemikian ketika mana seorang lelaki berkata kepadanya dengan begitu keras : " Wahai Umar ! Takutlah kepada Allah." Lalu mereka yang ingin menghampirkan diri kepada sultan dan ingin mendapatkan kasih-sayangnya mengambil peluang dan berkata, " Lembutkanlah (kata-katamu) terhadap Amirul Mukminin." Lalu Umar r.a berkata , " Tidak ada kebaikan pada kamu sekiranya kamu tidak memperkatakannya(yakni kata2 nasihat)dan
tidak ada kebaikan kepada kami(yakni pemerintah ) sekiranya kami tidak menerimanya."

Semoga Allah meredhai Abu Bakar ketika beliau bangun menyampaikan khutbahnya sejurus selepas perlantikannya sebagai khalifah untuk menggariskan manhaj lurus yang menjadi asas kepada urusan pemimpin dan pengikutnya. Beliau berkata , " Aku dilantik sebagai pemerintah sedangkan aku bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya aku berbuat baik maka bantulah aku dan sekiranya aku melakukan kesilapan maka perbetulkanlah aku. Taatilah aku selagi mana aku mentaati Allah dalam melaksanakan urusan kamu dan sekiranya aku melakukan maksiat kepada Allah maka tidak ada ketaatan lagi kepadaku."
Semoga Allah memberi taufik kepada para pemerintah umat muslimin untuk mengikut jejak langkah para pemimpin yang unggul ini.

Sesungguhnya kepimpinan yang benar-benar telus dan bersih serta dapat menyelamatkan umat seluruhnya dari kemurkaan Allah adalah kepimpinan yang berteraskan kepada suluhan wahyu yang suci. Seruan di dalam Al-Quran dan Hadis diikuti,hukum Allah tegas dimartabatkan, program-program hiburan ditapis dengan sebaik-baiknya, anak-anak muda dididik agar mengenali Allah dan mencintai Rasulullah SAW, program-program agama diperhebatkan, seruan untuk mengerjakan solat dan menyeru para wanita menutup aurat berkumandang dengan lantang di dalam setiap ucapannya. Subhanallah, kredibiliti pemimpin seperti inilah yang amat diharap-harapkan dan ditunggu-tunggu oleh seluruh umat manusia. Inilah pemimpin yang dicintai oleh Allah,dibanggakan oleh Rasulullah SAW.

Apabila pemimpin mementingkan keduniaan dan pangkat serta harta melekat di dalam hati, maka tidak ada lagi ciri-ciri ikhlas. Kemelut yang berlaku sekarang adalah berpunca dari krisis kepimpinan. Pemimpin yang tidak mentauhidkan Allah mempunyai nilai kepimpinan yang rendah dan jauh merosot berbanding dengan nilai kepimpinan yang berdasarkan Akidah. Sekiranya mereka terpilih, kerosakan akan berlaku hingga ke peringkat akar umbi. Bayangkanlah, apabila pemimpin yang diangkat oleh rakyat sewenang-wenangnya mengamalkan riba', menggunakan wang rakyat untuk menambahkan harta dan kekayaan, maka di manakah akan hadirnya keberkatan?Adakah harta yang bergunung-ganang seperti harta si Qarun derhaka itu akan dapat dibawa pulang ke kubur dan melindungi diri pemimpin dari diazab di akhirat kelak??


:: SEHARUSNYA KITA BERUBAH ::

Sinar Islam itu lahir di tengah-tengah kegelapan umat dunia. Umat di sebelah timur diterangi cahaya ilmu dari Al-Quran sedangkan umat di sebelah barat masih dalam keadaan 'dungu' dan 'jumud'. Kehebatan Islam telah meributkan para pengkaji dan memeningkan otak pahlawan-pahlawan gagah termasuk Napoleon Bonaparte.Islam lahir dengan penuh keindahan dan keagungan sehingga dapat dilihat buktinya apabila terpadamnya api di Negara Majusi.

Justeru, bangkitlah wahai pemimpin Islam! Kita ditaklif amanah membawa seruan suci ini untuk membina kembali Khilafah Islam yang pernah runtuh suatu ketika dahulu. Kita adalah penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah SAW, jangan biarkan rantai ini terputus di zaman kita lantaran tiada hati-hati yang sanggup memikul amanah dan beban dakwah. Kepada semua pemimpin dan yang dipimpin, bertindaklah berdasarkan kebenaran. Seiring dengan kebenaran adalah kejujuran. Jika kebenaran dan kejujuran menjadi pegangan hidup kita,maka kehidupan ini akan sentiasa dilimpahkan rahmat dan keampunan dari Yang Maha Esa. Wallahua'lam.